Setelah melihat asas Value Proposition dan Customer Segment, hari ini kita lihat pula tentang Channels. Channels atau Saluran adalah jambatan antara Value Proposition kepada Customer Segment. Dalam erti kata lain, Channels adalah medium untuk anda membawa nilai kepada pelanggan.
Channels pula kemudiannya mempunyai beberapa jenis dan berfungsi untuk beberapa fasa.
Terdapat lima jenis saluran yang boleh digunakan:
Pemborong (Orang Tengah + Rakan)
Kedai Rakan Niaga (Orang Tengah + Rakan)
Kedai Sendiri (Orang Tengah + Sendiri)
Web (Sendiri + Terus)
Jurujual (Sendiri + Terus)
Syarikat Air Asia menggunakan paling tidak tiga jenis Saluran iaitu Kedai Rakan Niaga (Agensi Pelancongan), Kedai Sendiri dan Web (AirAsia.com).
Fasa-fasa saluran:
1. Kesedaran
2. Penilaian
3. Pembelian
4. Penghantaran
5. Khidmat selepas jualan
Setiap saluran pula boleh digunakan untuk kesemua jenis fasa atau sebahagiannya. Sebagai contoh, kempen kesedaran boleh dilakukan secara online sehingga pada tahap pembelian (pembayaran) tetapi selepas itu penghantaran dan khidmat selepas jualan dilakukan oleh jurujual atau ejen syarikat.
Pemisahan antara fasa-fasa ini selalunya jelas bagi produk-produk yang mahal seperti tiket penerbangan dan modul latihan. Jika di pasar malam, fasa satu hingga empat bergabung terus dalam masa yang singkat. Pelanggan pilih produk yang mereka mahukan, berikan duit, dapat produk dan terus beredar. Fasa kelima mungkin langsung tidak akan berlaku.
Topik Seterusnya: Customer Relationship (Perhubungan Pelanggan)