Value proposition atau tawaran nilai adalah apa yang dijanjikan oleh peniaga atas perkhidmatan atau produk yang dijual. Dalam erti kata lain, apa yang pelanggan dapat dengan wang mereka? Terdapat pelbagai jenis value proposition dan perbezaan itu boleh berlaku walaupun menggunakan alat yang sama serta industri yang serupa.
Newness (Baru)
Peniaga menawarkan perkara baru dalam produk atau perkhidmatannya yang tidak pernah dijual sebelum ini. Sebagai contoh, syarikat Karangkraf mengeluarkan majalah baru Hijabista yang mempunyai rangkuman yang baru dan berbeza dengan majalah-majalah lain.
Performance (Prestasi)
Tawaran nilai prestasi selalunya berlaku dalam industri yang melibatkan peralatan dan jentera. Sebagai contoh, Toyota menawarkan kereta-kereta yang dicanang sebagai mempunyai prestasi yang lebih baik dari segi kuasa dan penjimatan minyak. Perbandingan prestasi boleh dibuat kepada produk sendiri atau pesaing.
Customization (Personalisasi)
Tawaran nilai ini adalah bagi perniagaan yang menghasilkan barangan atau memberikan perkhidmatan secara tempahan. Sebagai contoh, tukang jahit dan kedai papan tanda.
Getting the Job Done (Selesaikan Tugas)
Ada masanya, pembelian dibuat kerana 'terpaksa' dan 'terdesak' bagi menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, seseorang itu memanggil syarikat Rentokill kerana rumahnya sudah diserang anai-anai dan dia mahu semua perosak itu dihapuskan. Dalam erti kata lain, syarikat menawarkan sesuatu yang menjadi penyelesaian kepada masalah pelanggan.
Design (Rekabentuk)
Dalam sesetengah industri, rekabentuk menjadi perbezaan tawaran apabila harga sudah lebih kurang serupa. Sebagai contoh, kereta-kereta Toyota, Nissan dan Honda mensasarkan kelas harga yang sama. Dalam keadaan sebegini agak ramai juga yang membuat pilihan berdasarkan rekabentuk.
Status
Ada juga barangan dan perkhidmatan yang dibeli kerana status jenamanya. Sebagai contoh, memliki beg L0uis Vuitton dikaitkan dengan kekayaan dan kejayaan.
Price (Harga)
Sebuah syarikat boleh menonjol dalam pasaran dengan menawarkan produk atau perkhidmatan yang sama pada harga yang lebih rendah. Sebagai contoh, pasaraya Mydin dan syarikat penerbangan Air Asia.
Cost Reduction (Pengurangan Kos)
Value Proposition ini berlaku apabila pilihan membeli adalah lebih murah berbanding membuat sendiri. Sebagai contoh, adalah lebih murah membeli baju melayu yang sudah siap berbanding membeli kain dan menghantarnya kepada tukang jahit.
Risk Reduction (Pengurangan Risiko)
Bagi Value Proposition ini, pembeli tidak semestinya tidak boleh membuat sendiri produk atau perkhidmatan tersebut. Tetapi membiarkan pihak lain membuatnya adalah lebih selamat. Sebagai contoh, kita boleh sahaja baiki wayar lampu di rumah tetapi lebih baik kita panggil tukang bagi melakukan kerja tersebut.
Accessibility (Kebolehcapaian)
Kebolehcapaian membolehkan pengguna membeli produk dan perkhidmatan yang selama di luar jangkauan mereka atas sebab-sebab tertentu. Sebagai contoh, syarikat PTS banyak menerbitkan buku-buku terjemahan bestseller. Ini memberi satu value proposition yang besar kepada para pengguna yang kurang fasih Bahasa Inggeris tetapi sangat berminat dengan konten versi asal.
Convenience (Kemudahan)
Sektor makanan banyak memberi contoh bagi value proposition seperti ini. Kemudahan boleh datang dalam bentuk makanan segera atau sejuk beku. Serbuk perencah juga satu bentuk kemudahan - berapa ramai antara kita masih membancuh serbuk kari sendiri? Bagi makanan siap juga, rangkaian makanan segera adalah raja kemudahan melalui perkhidmatan penghantaran dan kaunter pandu lalu.
Topik seterusnya: Channels (Saluran)