Thursday, September 6, 2018

Bukan mudah hasilkan tanah organik


Sharizal Saidin,43 (kiri) dan Latif Saidin,46, menunjukkan pokok  
SHAHRIZAL SAIDIN, 43 (kiri) dan Latif Saidin,46, menunjukkan pokok kobis subur yang diuji menggunakan tanah organik semulajadi di Kampung Sri Hamzah di Kemayan, Bera, Pahang. 
Usaha keras Sharizal Saidin, 43, untuk menghasilkan tanah organik berkualiti tinggi sejak 10 tahun lalu akhirnya berbaloi apabila dia kini berjaya menghasilkan tanah organik berkualiti ‘sembilan dalam satu’.
Formula tanah organik yang dihasilkan Sharizal dan abangnya, Latif Saidin, 46, bukan sahaja berkualiti dan diiktiraf oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tetapi juga lebih bersih kerana tidak menggunakan sebarang najis.
Sharizal berkata, formula yang menggunakan sembilan bahan utama termasuk sabut kelapa dan sisa buangan kelapa sawit itu adalah berdasarkan pengalamannya bekerja menghasilkan tanah organik selain pelbagai kursus yang diikutinya.
“Bukannya mudah untuk mendapatkan formula terbaik ini kerana tidak ada orang yang akan semudahnya memberikan rahsia mereka dan saya bersyukur usaha keras saya selama ini akhirnya membuahkan hasil.
“Tanah organik semulajadi sembilan dalam satu yang bebas daripada najis ini telah terbukti berkualiti dan mampu menjadikan tanaman tumbuh dengan cepat dan subur serta boleh digunakan dalam jangka masa panjang,”katanya ketika ditemui di pusat pemprosesan tanah organik semulajadi di Kampung Sri Hamzah di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, tanah organik dihasilkannya itu sentiasa dipastikan mempunyai kualiti terbaik apabila melalui pemeriksaan berkala oleh pihak MARDI
Beliau memberitahu, tanah organik berkenaan bukan sahaja dapat menyuburkan tanaman malah memulihkan tanah yang telah ditanam dengan tanaman lain.
Tambahnya, bagi memastikan kualiti terbaik berterusan setiap siri tanah organik yang dihasilkan akan diuji dengan penanamam sayur terlebih dahulu sebelum tanah berkenaan dipasarkan.
“Sememangnya saya tidak pernah berkompromi dalam soal kualiti yang mana saya ada menolak permintaan pemborong yang meminta saya mengurangkan kualiti untuk harga yang lebih rendah,”katanya.
Dalam pada itu, Sharizal berkata, tanah organik berkenaan dijual dengan harga runcit RM12 bagi bungkusan lapan kilogram dan RM4 bagi bungkusan 2.5 kilogram.
Katanya, pada masa ini permintaan amat menggalakkan yang mana dia mampu menjual sebanyak 34 tan tanah organik semulajadi berkenaan sebulan yang dipasarkan ke seluruh negara.
“Pemasaran utama produk saya ini adalah melalui media sosial seperti Facebook selain ejen-ejen jualan yang saya lantik di seluruh negara seperti di Melaka, Gombak dan juga Johor Bharu.
“Selain pelanggan individu saya juga mempunyai pelanggan tetap daripada nurseri-nurseri di seluruh negara yang membuat pesanan berterusan,”katanya.
Sesiapa yang ingin mendapatkan Tanah Organik Semulajadi boleh menghubungi Sharizal di talian 019-9657386 atau datang ke pusat pemprosesan Tanah Organik Semulajadi di Kampung Sri Hamzah.

Baja untuk pertanian bandar

UNCANG baja. 
UNCANG baja.
Satu daripada elemen atau input penting dalam bidang penanaman adalah baja kerana ia memberi zat tambahan untuk keperluan pokok bergantung kepada fungsi baja tersebut.
Bagi pertanian konvensional, baja diletakkan di sekeliling pokok, ditaburkan begitu sahaja sehinggalah ia hilang dan dianggap diserap oleh akar.
Namun, amat menarik apabila teknologi pertanian mengalami perubahan demi perubahan bergantung kepada ekosistem semasa yang didorong oleh faktor penggunaan teknologi dalam bidang tersebut yang semakin canggih.
Sebagai contoh, antara topik yang banyak diperbincang ketika ini adalah pertanian bandar yang merujuk kepada penanaman tanpa tanah, pertanian vertikal atau menegak, hidroponik, aeroponik dan sebagainya.
Bagi menyokong perkembangan pertanian bandar itu, sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalankan penyelidikan berkaitan dengan pembangunan baja. Kumpulan penyelidik Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan itu menjalankan penyelidikan bertajuk baja pelepasan terkawal guna semula (recycled controlled release fertilizer) daripada tanah gunung berapi.
Menurut ketua penyelidiknya Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, mineral tanah gunung berapi yang diperoleh daripada Indonesia mempunyai sifat yang unik iaitu mempunyai kadar penukaran ion yang sangat tinggi.
Oleh demikian katanya, mineral ini mampu untuk menyerap ion-ion yang diperlukan oleh pokok dan dilepaskan secara perlahan-lahan. Walau bagaimanapun, mineral ini hanya mampu mengambil ion-ion bercas positif seperti ammonium dan kalium dan tidak berkesan kepada ion fosfat iaitu ion bercas negatif.
Oleh itu, bagi meningkatkan kadar penukaran ion bahan mineral ini terhadap semua ion sama ada ion positif atau ion negatif, pengubahsuaian pada mineral itu diselidik dan penyelidik menemui satu cara yang terbaik untuk menyerap ion-ion positif dan negatif yang berguna untuk pertumbuhan pokok dan seterusnya melepaskan ion-ion ini secara perlahan di dalam tanah,” ujarnya.
Kaedah pengubahsuaian itu dipatenkan bawah UTM. Produk yang dihasilkan melalui penyelidikan ini ialah mineral tanah gunung berapi yang mempunyai elemen-elemen utama pokok iaitu N (nitrogen), P (fosforus) dan K (potassium atau kalium).
Kajian diteruskan dengan mengkaji kesesuaian produk ini untuk diguna semula setelah digunakan kepada pokok menggunakan beberapa kaedah.
Setelah diselidiki, pihaknya menemukan kaedah yang sesuai untuk mengguna semula produk baja iaitu dengan memasukkannya ke dalam beg seperti uncang teh dan produk yang digunakan semula dibawa ke makmal untuk ditambah semula nutrien baja tersebut.
DIGUNA SEMULA
Menurut Dr. Nik Ahmad Nizam lagi, hasil kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati bahawa produk baja tersebut boleh diguna semula sehingga lima kali dan keupayaannya untuk meningkatkan pertumbuhan pokok tidak terjejas.
Mengenai permulaan penglibatannnya dalam penyelidikan tersebut, beliau berkata, pada peringkat awal penyelidikan iaitu dalam pengajian sarjana dan doktor falsafah, ia berkaitan dengan pengubahsuaian bahan daripada tanah gunung berapi bagi tujuan penyingkiran logam berat di dalam air dan juga sebagai bahan pembawa untuk agen antibakteria dan ubat.
“Daripada kajian ini, saya telah kembangkan aplikasi bahan yang telah diubah suai ini sebagai bahan pembawa kepada nutrien yang diperlukan oleh pokok.
“Sifat bahan ini iaitu mempunyai kapasiti penjerapan dan penyahjerapan ion-ion membolehkan ia digunakan sebagai bahan untuk tujuan baja pelepasan terkawal,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, kajian tersebut dimotivasikan daripada masalah baja komersial seperti baja kimia dan baja organik yang memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.
Penggunaan baja tersebut secara meluas dan agak lama telah menyebabkan perubahan negatif terhadap struktur tanah dan juga nutrien yang dilepaskan menyebabkan berlakunya pencemaran air yang meluas di kawasan pertanian.
Adalah amat penting bagi memastikan nutrien yang diperlukan oleh pokok dilepaskan secara optimum daripada baja bagi pertumbuhan pokok dan bagi mengelakkan pencemaran persekitaran berlaku.
Inovasi bantu cara pembajaan
Inovasi terhadap sesuatu bahan perlu dilakukan sehingga ke tahap molekul dan menggunakan asas kimia bagi pembangunan sesuatu bahan. Bahan yang ingin dihasilkan juga bukan hanya sekadar campuran secara fizikal tetapi juga mengambil kira sifat-sifat fizikokimia terhadap bahan tersebut.
Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek berkata, pemahaman terhadap kimia bahan dapat membantu mengoptimumkan penggunaannya terutamanya dalam bidang baja pelepasan terkawal dan seterusnya dapat diubah suai mengikut keperluannya.
“Disebabkan inilah produk baja yang dihasilkan mempunyai elemen inovasi yang boleh mengubah cara pembajaan pokok kerana pembangunan produk ini hasil daripada kajian terhadap sifat bahan daripada gunung berapi ini,” ujarnya.
Kebiasaanya kata beliau, pengusaha baja mencampurkan bahan ini secara fizikal dengan baja lain seperti baja kimia dan organik dan menyebabkan bahan ini hilang bersama-sama dengan baja dalam tanah dan seterusnya ke dalam air bawah tanah.
Akan tetapi kata beliau, produk baja yang dihasilkan dapat dikutip semula dan diguna semula.
Penggunaan produk baja yang dihasilkan perlu disertakan dengan ilmu pengetahuan kepada pengguna dan juga pengguna perlu dididik mengenai kelestarian alam sekitar.
Kesedaran terhadap kesan negatif hasil penggunaan yang meluas baja kimia dan organik perlu diberi perhatian supaya kita dapat bersama-sama menjaga alam sekitar.
Kesedaran tersebut boleh diberikan melalui media massa dan sosial. Kesedaran pengguna terhadap penjagaan ekologi dapat ditingkatkan dan seterusnya akan menukar produk baja daripada baja biasa kepada baja pelepasan terkawal.
“Bagi memastikan produk ini dapat dipasarkan dan mempunyai pasaran yang meluas, kami akan berusaha untuk mendapatkan beberapa geran prapengkomersialan seperti Smartfund dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), geran dari MTDC (Malaysia Technology Development Corporation) dan dari agensi lain,” ujarnya.
Pada masa terdekat ini, pihaknya akan membuat permohonan geran pembangunan prototaip dari Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, UTM bagi menghasilkan produk berskala besar dan mengkaji kaedah pembungkusan produk yang sesuai digunakan untuk tujuan pengkomersialan.
Prototaip produk
Setelah prototaip produk ini berjaya dihasilkan dan perancangan perniagaan disediakan, pihaknya berusaha mendapatkan pelaburan dari syarikat yang ingin melabur bagi penghasilan secara besar-besaran.
Konsep perniagaan yang akan dijalankan adalah menerusi perniagaan dalam talian.
Selain itu, pendidikan mengenai kepentingan produk ini kepada alam sekitar dan kelestarian pertanian akan diuar-uarkan melalui media sosial secara meluas.
“Kami berharap agar semua pihak seperti pengurusan UTM, kerajaan, agensi yang berkaitan, syarikat yang berkaitan dan juga pengguna dapat memberikan sokongan terhadap pembangunan dan pengkomersialan produk ini kerana ia akan memberikan manfaat yang sangat besar kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar negara kita,” ujarnya.
Projek penyelidikan ini bermula pada tahun 2012 menggunakan geran penyelidikan Sciencefund dari MOSTI berjumlah RM254,600 selama dua tahun setengah.
Hasil daripada projek tersebut berjaya menjumpai kaedah yang sesuai bagi menghasilkan produk baja yang efektif ini.
Melalui projek tersebut, pihaknya memperoleh beberapa kejayaan yang membanggakan iaitu paten yang difailkan, memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat baja iaitu Provet Group of Companies Sdn. Bhd., beberapa kertas kerja saintifik dan memenangi hadiah gangsa dalam pameran inovasi Inatex 2015 dan lain-lain.
Selepas itu, pihaknya memperoleh geran penyelidikan dari UTM bawah skim geran universiti penyelidikan sebanyak RM50,000 pada tahun 2016 bagi membuat kajian lanjutan terhadap produk baja ini.
“Dalam projek ini, kami berjaya menghasilkan produk baja yang boleh diguna semula dan terbukti berkesan terhadap pokok mulberry.
“Menerusi projek ini juga kami berjaya memperoleh kejayaan iaitu hak cipta untuk kaedah guna semula baja ini, memorandum persefahaman dengan syarikat baja cecair iaitu Mark & Force Sdn. Bhd., dan juga memenangi hadiah gangsa dalam Inatex 2017. Kita memfokuskan produk ini untuk kegunaan pertanian bandar kerana ia mudah digunakan, bersih dan tidak berbau serta efektif terhadap semua jenis pokok landskap,” ujarnya.
Tiga kaedah penyediaan baja
Dr Nik Ahmad Nizam Nik Malek berkata, produk baja tersebut disediakan melalui tiga kaedah utama iaitu kemasukan ion ammonium atau kalium (potassium) dalam kerangka bahan gunung berapi.
Bahan yang telah dikayakan dengan ammonium atau kalium ini kemudiannya ditambahkan dengan bahan organik yang membolehkannya menjerap ion negatif iaitu fosfat.
Akhir sekali, bahan tersebut ditambahkan dengan ammonium fosfat atau kalium fosfat supaya produk yang dihasilkan mempunyai ion ammonium, fosfat dan kalium sebagai elemen N, P dan K.
Kemudian kata beliau, baja tersebut dimasukkan ke dalam uncang bagi memastikannya tidak bercampur dengan tanah dan dapat dikutip semula.
“Disebabkan bahan daripada gunung berapi ini tidak larutresap dalam air dan stabil pada suhu tinggi dan juga pada larutan asid dan alkali, ia dapat dikutip semula selepas beberapa bulan penggunaannya sebagai baja,” ujar beliau. Hanya elemen N, P dan K yang terkandung dalam produk baja ini sahaja yang akan keluarkan untuk pertumbuhan pokok.
Produk yang dikutip semula akan dibawa ke makmal dan dipanaskan pada suhu tertentu bagi menghilangkan benda asing dan seterusnya dirawat dengan air masin supaya bahan asalnya daripada tanah gunung berapi ini dapat diguna semula dan dimasukkan dengan elemen-elemen N, P dan K semula.
“Buat masa ini, kita memfokuskan penggunaan produk ini untuk digunakan dalam pertanian bandar (urban farming) di mana produk ini dimasukkan ke dalam uncang dalam skala yang kecil,” ujarnya.
Pada masa akan datang, pihaknya berhasrat ingin meluaskan penggunaannya kepada tanaman herba dan komoditi seperti kelapa sawit.
Uncang yang akan digunakan ialah berskala besar dan satu teknologi yang memudahkan penggunaannya akan dibangunkan bagi memastikan penggunaan baja ini digunakan secara optimum.
Selain itu, produk tersebut dapat dijadikan sebagai suplemen kepada tanaman atas batas dan fertigasi. Ini kerana, produk baja tersebut bukan hanya dapat melepaskan nutrien yang ada dalam baja ini, ia juga dapat mengambil nutrien dalam tanah dan melepaskannnya secara perlahan-lahan.

Cabaran ternak burung puyuh

Hairulizam bermula dengan 300 ekor, kini mampu hasilkan 70,000 ekor sebulan
Keenakan burung puyuh berempah keluaran Nur FNZ  Enterprises kini  
Keenakan burung puyuh berempah keluaran Nur FNZ Enterprises kini berada di pasaran.
PONTIAN 18 Julai - Bermula dengan 300 ekor burung puyuh pada tahun 1997 yang diletak dalam sebuah sangkar sebagai percubaan, kini penternakan itu memberi pendapatan lumayan.
Seorang pengusaha penternakan burung puyuh, Hairulizam Saat, 48, berkata, bukan mudah untuk terus mencapai kejayaan kerana terlebih dahulu ‘diduga’ kesabarannya apabila hanya 91 ekor yang hidup, selebihnya mati tanpa diketahui puncanya.
Namun, ujian tersebut tidak mematahkan semangat dan usa­ha beliau untuk terus meneroka bidang penternakan burung puyuh secara komersial sehingga muncul menjadi penternak berjaya pada hari ini.
Sebelum menceburi bidang tersebut, beliau menjadi peniaga pasar malam yang menjual burung puyuh goreng serta lain-lain produk berasaskan ayam terma­suk kentang goreng.
Menurutnya, idea untuk menternak burung puyuh diambil berikutan pembekal daging unggas berkenaan menghentikan penghantaran sehingga menye­bab­kannya terputus bekalan dalam tempoh tertentu produk tersebut.
Dia dan isterinya, Siti Fairus Paiman, 42, kemudian nekad menceburi penternakan burung puyuh kerana yakin dengan potensi bidang berkenaan.
“Selepas enam bulan menternak burung puyuh dalam sangkar, kami mula membina reban pertama bagi menambah jumlahnya yang telah menunjukkan pencapaian mengalakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Beroperasi di Kampung Parit Saniman, Ayer Baloi, dekat sini di atas tanah seluas 2.4 hektar, be­liau membeli anak puyuh daripada pembekal di Kedah dengan harga 52 sen seekor yang berusia sehari.
Hairulizam memberitahu, bagi menambahkan pengetahuan dalam bidang ternakan, beliau mengikuti kursus ternakan burung puyuh anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Alhamdulillah, kursus yang diterima memberikan banyak faedah kepada saya dalam me­ngu­rus ternakan burung puyuh yang hanya mengambil tempoh matang selama 30 hari,” katanya.
Menurutnya, cabaran dalam penternakan itu adalah masalah penyakit yang biasanya menyebabkan kira-kira 10 peratus puyuh mati bagi setiap reban yang dianggarkan mampu menampung 10,000 ekor burung tersebut.
Jika pada tahun 1997, hanya beliau dan keluargnya menjalankan perusahaan itu, namun dengan jumlah reban sebanyak 33 buah, pihaknya memerlukan pekerja tambahan.
“Seramai 19 pekerja bertugas dengan syarikat kami, Nur FNZ Enterprises termasuk pekerja asing yang menjadi tulang belakang kejayaan perniagaan yang kini berusia 39 tahun.
“Masing-masing mempunyai peranan seperti pembersihan reban, memberi makan, menjaga keperluan puyuh daripada anak sehingga membesar dan kerja-kerja memproses puyuh untuk dibekukan,” katanya.
Dengan tagline ‘Puyuh Segar Dari Ladang’ kini syarikat tersebut menjadi pengeluar daging puyuh yang utama di negeri ini dan mampu mengeluarkan 70,000 ekor setiap bulan.

Menggilap usahawan kreatif, inovatif




Untuk menjadi usahawan berjaya bukan satu perkara yang mudah kerana ia menuntut pengorbanan besar melibatkan wang ringgit dan masa.
Terutamanya bagi bumiputera yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan, sudah tentu bimbingan dan sokongan daripada pihak-pihak tertentu amat diharapkan dalam mengukuhkan perniagaan.
Itulah yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Stesen MARDI Kuala Terengganu, Terengganu yang memfokuskan usaha melahirkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan peniaga kecil dalam hasilan produk berasaskan ikan.
Sejak ditubuhkan 37 tahun yang lalu, agensi Kementerian Pertanian dan Indusri Aasas Tani itu telah membantu ramai peniaga kecil untuk memasarkan produk dan meningkatkan daya saing mereka dalam perniagaan melalui penggunaan teknologi dan peralatan terkini dihasilkan MARDI.
Menurut Pengarah MARDI Terengganu, Fadzlirahimi Ismail, penggunaan teknologi MARDI dalam pembuatan makanan adalah yang terkini dan canggih mengikut peredaran zaman.
Katanya, banyak peralatan baharu ditempatkan di MARDI untuk melatih usahawan IKS yang berminat untuk meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang pembuatan makanan menggunakan mesin yang berteknologi tinggi.
“Umumnya, ramai tahu penggunaan teknologi dalam kalangan pengusaha IKS agak terhad memandangkan mereka memerlukan kos yang agak besar untuk membeli mesin-mesin tersebut.
“Jadi, kami di sini menawarkan peralatan-peralatan serba canggih ini kepada mereka supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran produk-produk mereka ke pasaran yang lebih luas,” ujarnya.
Menerusi kursus yang dijalankan oleh Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan (PB) MARDI ini, usahawan-usahawan IKS yang berminat boleh mendapatkan kursus dan bimbingan perniagaan seperti cara pembuatan, inovasi produk serta pembelian mesin untuk meningkatkan hasil pengeluaran.
Selain itu, katanya sambutan usahawan IKS terhadap program bimbingan dan kursus yang disediakan sangat memberangsangkan dan permintaan untuk mengikuti kursus pembuatan makanan sentiasa penuh.
“Sehingga kini, usahawan yang datang untuk menjalani latihan tidak terhad kepada produk hasilan ikan sahaja, malahan ada yang datang untuk belajar buat pes, rempah dan juga pati jus kerana kita mempunyai peralatan yang lengkap untuk tujuan itu.
“Mereka terdiri daripada usahawan di seluruh negara, malah ada yang datang dari Sabah dan Sarawak untuk menjalani kursus meningkatkan kepakaran dalam penghasilan keropok,” ujarnya.
Tidak terhad dengan itu, bantuan juga diberikan dalam segi pemilihan pembungkusan produk yang sesuai untuk dikomersialkan, dari segi teknikal, pemprosesan, penggunaan bahan yang sesuai, pelabelan dan memastikan semua elemen dipenuhi untuk mendapatkan sijil halal yang diiktiraf.
BANTUAN BERTERUSAN
Menariknya, selepas menjalani latihan dan kursus meningkatkan kemahiran dalam pembuatan makanan, peserta kursus boleh mengeluarkan produk mereka sendiri dengan menggunakan peralatan yang terdapat di test bed MARDI.
Test Bed merupakan makmal teknologi yang dilengkapi mesin canggih dan bilik sejuk beku untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi produk makanan terpilih.
Saintis PB, Nor Azmah Umar menjelaskan, kebiasaannya usahawan akan diberikan kursus pembuatan atau dipanggil sebagai latihan sangkut sebagai permulaan untuk mendapatkan ilmu kemahiran menghasilkan produk-produk yang berpotensi dikomersialkan.
“Mereka akan datang dan buat produk mereka sambil dibimbing dan dipantau oleh pakar-pakar dari MARDI untuk menghasilkan produk yang dengan cara yang betul serta berkualiti tinggi dengan bayaran sebanyak RM100.
“Lama-lama bila ada yang dah pandai dia boleh buat sendiri produk tersebut dan jika dia tidak mampu lagi membeli mesin yang diperlukan untuk penghasilan produk tersebut, dia boleh menggunakan peralatan yang terdapat di makmal berkenaan ,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Test Bed, Nurul Lieyana Ibrahim berkata, sekiranya usahawan telah menjalani latihan sangkut, mereka boleh menggunakan makmal berkenaan selama 30 hari dalam setahun dan hanya perlu membayar bil utiliti sahaja.
Menurutnya, sesi latihan yang memuatkan 15 usahawan pada satu-satu masa itu mempunyai objektif yang jelas untuk membantu menyelesaikan masalah usahawan dari segi penghasilan produk dan teknikal.
Bantuan yang diberikan adalah secara berterusan sehingga usahawan mencapai keuntungan memberangsangkan dan mampu untuk membeli mesin mereka sendiri dengan bimbingan daripada pakar.
Sehingga kini, MARDI Kuala Terengganu telah berjaya melahirkan 23 orang usahawan bimbingan yang berjaya mengukuhkan perniagaan di negeri tersebut.
Dalam perkembangan terkini, pihaknya menggalakkan usahawan untuk menghasilkan Surimi yang dilihat mampu dikomersialkan sebagai produk makanan halal memandangkan penghasilan produk itu hanya dimonopoli oleh kaum bukan Islam sebelum ini.
MARDI bantu tambah baik perniagaan
Bagi Pengarah Urusan Sinku Food Industries Sdn. Bhd., Zalehah Mohamad, MARDI telah memainkan peranan yang penting dalam memacu perkembangan dunia perniagaan keropoknya.
Katanya, dengan mendapatkan bimbingan MARDI sejak 13 tahun yang lalu, pelbagai perubahan dan penambahbaikan yang telah dilakukan oleh agensi berkenaan dalam membantunya memasarkan produk ke pasaran yang lebih luas.
Beliau yang juga merupakan usahawan bimbingan MARDI, kini telah mempunyai kira-kira 43 kiosk keropok lekor di bawah jenama Leko-leko di seluruh negara.
Berkongsi pengalaman, usahanita berusia 56 tahun itu berkata, pada awalnya, beliau memulakan perniagaan menghasilkan keropok lekor kerana mempunyai minat yang dan didorong oleh senario industri keropok lekor yang agak suram ketika itu.
Katanya, permintaan terhadap keropok lekor sangat tinggi, tetapi bekalan tidak dapat memenuhi permintaan pasaran kerana produk makanan tersebut diusahakan secara kecil-kecilan sahaja.
Justeru, beliau bertekad mahu mengusahakan memasarkan keropok lekor dalam skala yang besar bagi memenuhi kehendak pasaran dan pengguna.
Setelah tiga tahun menjalankan perniagaan, beliau membuat keputusan untuk mendapatkan bimbingan daripada MARDI untuk menghasilkan keropok lekor yang lebih tahan lama.
“Ketika itu, banyak permintaan daripada pelanggan yang mahukan keropok lekor yang lebih tahan lama.
“Oleh itu, saya meminta MARDI untuk menghasilkan keropok lekor yang lebih tahan lama dan dari situ lah lahir keropok lekor rangup yang saya usahakan sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, bantuan dan bimbingan daripada MARDI juga telah membantu merancakkan perusahaan keropoknya yang terletak di Kawasan Perindustrian Chendering, Terengganu.
Menurutnya, produk terbaharunya iaitu keropok berasaskan ayam yang dihasilkan oleh MARDI mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna kerana ia menggunakan isi ayam sebenar dan tanpa bahan perisa.
“Sejak dipasarkan beberapa bulan yang lalu, kami mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan yang menyukai keenakan keropok tersebut.
“Keropok ayam yang diletakkan di premis dalam kompleks lapangan terbang juga sangat laku dan habis terjual dalam masa yang singkat.” jelasnya.
Untuk perancangan masa hadapan, Zalehah berkata pihaknya berminat untuk memasarkan produk-produk berkualiti ini ke pasaran luar negara.
Penyelidikan dan pembangunan makanan
Selain menyediakan khidmat nasihat, bimbingan dan latihan, agensi tersebut turut menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam meningkatkan kualiti makanan untuk dikomersialkan.
Saintis Pusat Penyelidikan Sains Makanan MARDI, Nor Salasiah Mohamed berkata, pihaknya menjalankan penyelidikan yang lengkap terhadap produk makanan berkaitan ikan untuk membantu usahawan menambah varieti produk mereka.
Menurutnya, kajian yang dijalankan termasuklah berkaitan mikrobiologi, nilai pemakanan dan jangka hayat bagi memastikan ia boleh bertahan selama setahun.
“Kita di sini akan menjalankan penyelidikan makanan sekiranya ada permintaan daripada usahawan untuk menambah baik produk hasilan mereka untuk dikomersialkan ke pasaran yang lebih besar.
“Selain itu, setelah R&D dijalankan, kita juga akan memberikan cadangan pembungkusan kepada usahawan untuk memelihara jangka hayat produk untuk tempoh masa yang lebih panjang,” ujarnya.
Terbaharu pihaknya berjaya menghasilkan teknologi pemprosesan keropok segera ayam dengan mencipta formulasi keropok yang menggunakan isi ayam dan berkemungkinan ia adalah produk pertama di di negara ini yang menggunakan isi ayam.
Katanya, lambakan produk makanan berasaskan ayam yang berada di pasaran ketika ini kebanyakannya hanya menggunakan perisa dan bukan daripada isi ayam yang sebenar.
“Ia juga adalah permintaan daripada usahawan iaitu Sinku Food Industries Sdn. Bhd. yang meminta kita menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan varieti baharu memandangkan keropok ikan mempunyai masalah pengembangan.
“Jadi, kita menggantikannya dengan penggunaan isi ayam dan mendapati masalah itu telah dapat diatasi dengan nilai pengembangan keropok sehingga 73 peratus kerana ayam mengandungi protein yang tinggi iaitu sekitar 16 peratus,” jelasnya.
Penyelidikan tersebut telah dijalankan selama setahun dengan peruntukan RM49,000 daripada Mara.
Menurutnya, kebanyakan penyelidikan yang dijalankan adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan dalam menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi.

Permintaan tinggi Pekasam Daging

MINAT mendalam terhadap dunia perniagaan membuatkan Sarudin Sahak, 32, berhenti kerja sebagai eksekutif kawalan kredit di sebuah bank terkemuka semata-mata mahu menceburi bidang yang digemarinya sejak sekian lama.
Namun menceburi dunia perniagaan bukan mudah seperti disangka. Perniagaan yang dijalankan seperti membekalkan barangan kepada agensi dan membuka kedai makan gagal bertahan lama.
Tidak mahu berputus asa, Sarudin mencari peluang untuk bertapak dalam perniagaan kosmetik bersama isterinya, Wan Marina Wan Musa, 37, pada 2015.
Usahanya dalam dunia perniagaan kosmetik sejak enam tahun lalu membuahkan hasil. Bagaimanapun, minat mendalam terhadap perniagaan makanan mendorong siswazah Kolej Profesional Mara ini melibatkan diri dalam perusahaan pekasam daging.
“Walaupun perniagaan kosmetik yang diusahakan bersama isteri mulai diterima ramai, namun saya buat keputusan untuk mencari peluang dalam industri makanan yang menjadi minat saya.
“Dalam mencari produk makanan yang mempunyai identiti Kedah, saya akhirnya memutuskan untuk menghasilkan dan memasarkan pekasam daging.
“Ini kerana penyediaan pekasam yang diperap dengan beras goreng sudah lama terkenal dalam kalangan masyarakat di utara Semenanjung, khususnya di Kedah. Permintaan tinggi dari negeri lain turut mendorong saya membuka perniagaan ini,” katanya ketika ditemui S2 di Alor Janggus, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Menurut Sarudin, dia memilih untuk memulakan perniagaan pekasam daging kira-kira dua tahun lalu selepas yakin makanan yang sinonim dengan penduduk negeri Kedah itu mempunyai potensi untuk dipasarkan.
Pengasas jenama Pekasam Daging Ori itu memberitahu, pekasam ikan air tawar seperti puyu dan lampam sudah begitu sebati dalam menu ‘orang utara’, tetapi itu tidak menghalangnya memasarkan produk pekasam berasaskan daging lembu sebagai satu kelainan.
“Saya memilih untuk menjalankan perniagaan pekasam kerana pasaran masih luas, ditambah pula terdapat pelbagai variasi pekasam. Pekasam Kedah yang menggunakan serbuk beras mendapat permintaan ramai.
“Selepas sebulan membuat eksperimen, barulah saya mendapat resipi tepat bagi memastikan pekasam daging yang dihasilkan rangup di bahagian luar, namun isinya lembut dan tidak liat setelah digoreng.
“Hanya tiga bahagian daging lembu iaitu topside, chuck tender dan knuckle digunakan bagi menjamin kualiti produk pekasam daging kami tidak liat,” ujarnya yang telah berjaya menembusi pasaran seluruh negara.
Katanya, dia juga perlu memastikan daging lembu yang diperap dengan beras goreng serta bahan-bahan lain termasuk herba mengikut sukatan yang ditetapkan bagi memastikan rasa Pekasam Daging Ori tidak ‘lari’.
Sarudin memberitahu, dia mampu menghasilkan kira-kira 200 bungkus pekasam dengan penggunaan kira-kira 20 kilogram daging lembu setiap hari.
“Pada masa ini, saya mempunyai 20 ejen yang aktif di seluruh negara. Memandangkan proses membuat pekasam daging dibuat secara manual, maka pasaran Pekasam Daging Ori terhad di dalam negara sahaja.
“Tidak dinafikan produk Pekasam Daging Ori mendapat permintaan di luar negara seperti Brunei, namun saya masih mencari kaedah untuk menambah hasil pengeluaran tanpa menjejaskan kualiti produk,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk Pekasam Daging Ori, boleh ikuti laman Facebook milik Pekasam Daging Ori.

Usahawan Kecil Cili Padi



BERMULA dengan 100 pokok cili yang ditanam secara konvensional di halaman rumah ibu mentua di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, Melaka, pasangan suami isteri, Mohd Hafis Wahab, 31, dan Zamirah Laji,30, kini gigih menjalankan projek tanaman cili padi fertigasi.
Ketika awal penglibatan, tanaman cili dilakukan secara bersepah di tepi rumah. Tanpa ilmu mengenai tanaman cili, banyak pokok diserang penyakit. Namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berbudi pada tanah. Kursus anjuran pelbagai pihak mula disertai bagi menambah pengetahuan.
“Minat tanam cili timbul selepas saya melihat penghuni Pusat Serenti Tampin diajar berkebun yang merupakan sebahagian daripada program pemulihan. Sebagai staf di pusat itu, saya tidak melepaskan peluang untuk belajar bersama.
“Ilmu bertani diturunkan kepada mereka daripada pegawai pertanian yang bertugas,” kata Mohd Hafis kepada S2.
Berbekalkan sedikit pengetahuan yang ditimba di pusat serenti tersebut, Mohd Hafis membeli anak pokok dari rumah semai untuk ditanam di keliling rumah ibu mertuanya.
Mempertaruhkan 100 pokok, beliau menjadikan kesemua pokok itu sebagai ‘makmal’ bagi mengkaji pokok, jenis penyakit dan serangga perosak, baja yang sesuai, kaedah meracun dan lain-lain perkara berkaitan.
“Dari situ, saya dapat tahu banyak perkara mengenai penyakit seperti masalah kulat, hama, afid, lalat buah, ulat pengorek buah, kutu trip dan lain-lain. Setiap jenis serangga perosak itu perlu dihapuskan menggunakan racun dalam kuantiti tertentu.
“Bagi memudahkan kerja, saya merujuk pada prosedur operasi standard (SOP) penggunaan racun supaya racun dan baja yang disiram pada pokok tidak terlebih atau terkurang,” tambahnya.
Melihat hasil yang memuaskan hati dan dapat pula banyak permintaan sama ada dari orang kampung mahupun pekedai berdekatan, Mohd Hafis mula berfikir secara serius untuk menghasilkan cili secara komersial.
Memandangkan kawasan belakang rumah milik ibunya di Kampung Tanjong Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka lebih luas dan boleh dijadikan tapak tanaman fertigasi, beliau terus ‘berpindah’ ke sana.
“Kawasan belakang rumah mak lebih luas. Berbekalkan ilmu yang saya kutip melalui kursus anjuran pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian, Forme Niaga dan Mardi, saya tekad mengusahakan tanah dengan bukaan lebar 15.2 meter dan panjang 29 meter.
“Keluasan itu cukup memuatkan 1,000 pokok cili padi daripada varieti Centil,” katanya yang pernah mengikuti kursus fertigasi anjuran Forme Niaga dengan yuran dikenakan RM150. Kursus akan datang yang bakal diikutinya adalah anjuran Mardi pada September ini.
Menurutnya, beliau mengeluarkan modal sebanyak RM7,000 untuk membina sistem fertigasi yang lengkap iaitu mengandungi antaranya tangki air baja, pam air, pengukur masa, penapis, injab dan paip poli. Kos itu tidak termasuk pagar dan kerja-kerja membersihkan tapak. Jika dihitung, kos keseluruhan mencecah RM11,000,” ujarnya yang menggunakan weedmat untuk dihamparkan pada tanah bagi mengelak rumpai tumbuh.
Memilih waktu malam untuk kerja-kerja meracun, katanya waktu itu paling sesuai kerana serangga perosak aktif pada waktu tersebut.
Dalam pada itu, Zamirah memberitahu, apabila suaminya ke kebun untuk kerja-kerja meracun dan memeriksa pokok, beliau akan sentiasa berada di sisinya.
“Kalau saya tengok suami ‘hilang’ di rumah pada waktu malam, saya tahu ke mana dia pergi. Kalau tak ada kerja-kerja di kebun, suami sekadar melepak sambil memerhatikan tanaman. Sebagai isteri, saya akan sentiasa menemaninya, melayannya berbual sambil minum kopi,” tambahnya.
Hasil pertama yang diraih agak lumayan yang mana dianggarkan sebanyak 80 kilogram cili dituai daripada 1,000 pokok.
“Saya upah tiga pekerja sementara sebagai pemetik buah. Ini antara masalah yang dihadapi kerana tidak ramai berminat bekerja memetik buah,” katanya sambil memberitahu harga semasa cili padi varieti Centil adalah antara RM11 hingga RM12 sekilogram yang dipasarkan terus ke Pasar Borong Melaka.
“Jika saya jual terus ke kedai runcit, harga jual adalah RM16 sekilogram,” ujarnya.
Mengulas perancangan masa hadapan, Mohd Hafis berkata, beliau akan meluaskan tapak tanamannya dengan membuka tapak baru di sebelah tapak sedia ada. Keluasan yang hampir sama membolehkannya menanam 2,000 pokok, sekali gus melipatgandakan hasil tuaian.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Penolong Pegawai Pertanian Kawasan Kuala Sungai Baru, Mohd Salizam Mohamad Saleh yang banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan kepadanya.

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI