MINAT mendalam
terhadap dunia perniagaan membuatkan Sarudin Sahak, 32, berhenti kerja
sebagai eksekutif kawalan kredit di sebuah bank terkemuka semata-mata
mahu menceburi bidang yang digemarinya sejak sekian lama.
Namun menceburi dunia perniagaan
bukan mudah seperti disangka. Perniagaan yang dijalankan seperti
membekalkan barangan kepada agensi dan membuka kedai makan gagal
bertahan lama.
Tidak mahu berputus asa, Sarudin mencari
peluang untuk bertapak dalam perniagaan kosmetik bersama isterinya, Wan
Marina Wan Musa, 37, pada 2015.
Usahanya dalam dunia perniagaan kosmetik
sejak enam tahun lalu membuahkan hasil. Bagaimanapun, minat mendalam
terhadap perniagaan makanan mendorong siswazah Kolej Profesional Mara
ini melibatkan diri dalam perusahaan pekasam daging.
“Walaupun perniagaan kosmetik yang
diusahakan bersama isteri mulai diterima ramai, namun saya buat
keputusan untuk mencari peluang dalam industri makanan yang menjadi
minat saya.
“Dalam mencari produk makanan yang
mempunyai identiti Kedah, saya akhirnya memutuskan untuk menghasilkan
dan memasarkan pekasam daging.
“Ini kerana penyediaan pekasam yang diperap
dengan beras goreng sudah lama terkenal dalam kalangan masyarakat di
utara Semenanjung, khususnya di Kedah. Permintaan tinggi dari negeri
lain turut mendorong saya membuka perniagaan ini,” katanya ketika
ditemui S2 di Alor Janggus, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Menurut Sarudin, dia memilih untuk
memulakan perniagaan pekasam daging kira-kira dua tahun lalu selepas
yakin makanan yang sinonim dengan penduduk negeri Kedah itu mempunyai
potensi untuk dipasarkan.
Pengasas jenama Pekasam Daging Ori itu
memberitahu, pekasam ikan air tawar seperti puyu dan lampam sudah begitu
sebati dalam menu ‘orang utara’, tetapi itu tidak menghalangnya
memasarkan produk pekasam berasaskan daging lembu sebagai satu kelainan.
“Saya memilih untuk menjalankan perniagaan
pekasam kerana pasaran masih luas, ditambah pula terdapat pelbagai
variasi pekasam. Pekasam Kedah yang menggunakan serbuk beras mendapat
permintaan ramai.
“Selepas sebulan membuat eksperimen,
barulah saya mendapat resipi tepat bagi memastikan pekasam daging yang
dihasilkan rangup di bahagian luar, namun isinya lembut dan tidak liat
setelah digoreng.
“Hanya tiga bahagian daging lembu iaitu
topside, chuck tender dan knuckle digunakan bagi menjamin kualiti produk
pekasam daging kami tidak liat,” ujarnya yang telah berjaya menembusi
pasaran seluruh negara.
Katanya, dia juga perlu memastikan daging
lembu yang diperap dengan beras goreng serta bahan-bahan lain termasuk
herba mengikut sukatan yang ditetapkan bagi memastikan rasa Pekasam
Daging Ori tidak ‘lari’.
Sarudin memberitahu, dia mampu menghasilkan
kira-kira 200 bungkus pekasam dengan penggunaan kira-kira 20 kilogram
daging lembu setiap hari.
“Pada masa ini, saya mempunyai 20 ejen yang
aktif di seluruh negara. Memandangkan proses membuat pekasam daging
dibuat secara manual, maka pasaran Pekasam Daging Ori terhad di dalam
negara sahaja.
“Tidak dinafikan produk Pekasam Daging Ori
mendapat permintaan di luar negara seperti Brunei, namun saya masih
mencari kaedah untuk menambah hasil pengeluaran tanpa menjejaskan
kualiti produk,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk Pekasam Daging Ori, boleh ikuti laman Facebook milik Pekasam Daging Ori.