Terutamanya bagi bumiputera yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan, sudah tentu bimbingan dan sokongan daripada pihak-pihak tertentu amat diharapkan dalam mengukuhkan perniagaan.
Itulah yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Stesen MARDI Kuala Terengganu, Terengganu yang memfokuskan usaha melahirkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan peniaga kecil dalam hasilan produk berasaskan ikan.
Sejak ditubuhkan 37 tahun yang lalu, agensi Kementerian Pertanian dan Indusri Aasas Tani itu telah membantu ramai peniaga kecil untuk memasarkan produk dan meningkatkan daya saing mereka dalam perniagaan melalui penggunaan teknologi dan peralatan terkini dihasilkan MARDI.
Menurut Pengarah MARDI Terengganu, Fadzlirahimi Ismail, penggunaan teknologi MARDI dalam pembuatan makanan adalah yang terkini dan canggih mengikut peredaran zaman.
Katanya, banyak peralatan baharu ditempatkan di MARDI untuk melatih usahawan IKS yang berminat untuk meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang pembuatan makanan menggunakan mesin yang berteknologi tinggi.
“Umumnya, ramai tahu penggunaan teknologi dalam kalangan pengusaha IKS agak terhad memandangkan mereka memerlukan kos yang agak besar untuk membeli mesin-mesin tersebut.
“Jadi, kami di sini menawarkan peralatan-peralatan serba canggih ini kepada mereka supaya mereka dapat mengembangkan perniagaan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran produk-produk mereka ke pasaran yang lebih luas,” ujarnya.
Menerusi kursus yang dijalankan oleh Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan (PB) MARDI ini, usahawan-usahawan IKS yang berminat boleh mendapatkan kursus dan bimbingan perniagaan seperti cara pembuatan, inovasi produk serta pembelian mesin untuk meningkatkan hasil pengeluaran.
Selain itu, katanya sambutan usahawan IKS terhadap program bimbingan dan kursus yang disediakan sangat memberangsangkan dan permintaan untuk mengikuti kursus pembuatan makanan sentiasa penuh.
“Sehingga kini, usahawan yang datang untuk menjalani latihan tidak terhad kepada produk hasilan ikan sahaja, malahan ada yang datang untuk belajar buat pes, rempah dan juga pati jus kerana kita mempunyai peralatan yang lengkap untuk tujuan itu.
“Mereka terdiri daripada usahawan di seluruh negara, malah ada yang datang dari Sabah dan Sarawak untuk menjalani kursus meningkatkan kepakaran dalam penghasilan keropok,” ujarnya.
Tidak terhad dengan itu, bantuan juga diberikan dalam segi pemilihan pembungkusan produk yang sesuai untuk dikomersialkan, dari segi teknikal, pemprosesan, penggunaan bahan yang sesuai, pelabelan dan memastikan semua elemen dipenuhi untuk mendapatkan sijil halal yang diiktiraf.
BANTUAN BERTERUSAN
Menariknya, selepas menjalani latihan dan kursus meningkatkan kemahiran dalam pembuatan makanan, peserta kursus boleh mengeluarkan produk mereka sendiri dengan menggunakan peralatan yang terdapat di test bed MARDI.
Test Bed merupakan makmal teknologi yang dilengkapi mesin canggih dan bilik sejuk beku untuk kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi produk makanan terpilih.
Saintis PB, Nor Azmah Umar menjelaskan, kebiasaannya usahawan akan diberikan kursus pembuatan atau dipanggil sebagai latihan sangkut sebagai permulaan untuk mendapatkan ilmu kemahiran menghasilkan produk-produk yang berpotensi dikomersialkan.
“Mereka akan datang dan buat produk mereka sambil dibimbing dan dipantau oleh pakar-pakar dari MARDI untuk menghasilkan produk yang dengan cara yang betul serta berkualiti tinggi dengan bayaran sebanyak RM100.
“Lama-lama bila ada yang dah pandai dia boleh buat sendiri produk tersebut dan jika dia tidak mampu lagi membeli mesin yang diperlukan untuk penghasilan produk tersebut, dia boleh menggunakan peralatan yang terdapat di makmal berkenaan ,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Test Bed, Nurul Lieyana Ibrahim berkata, sekiranya usahawan telah menjalani latihan sangkut, mereka boleh menggunakan makmal berkenaan selama 30 hari dalam setahun dan hanya perlu membayar bil utiliti sahaja.
Menurutnya, sesi latihan yang memuatkan 15 usahawan pada satu-satu masa itu mempunyai objektif yang jelas untuk membantu menyelesaikan masalah usahawan dari segi penghasilan produk dan teknikal.
Bantuan yang diberikan adalah secara berterusan sehingga usahawan mencapai keuntungan memberangsangkan dan mampu untuk membeli mesin mereka sendiri dengan bimbingan daripada pakar.
Sehingga kini, MARDI Kuala Terengganu telah berjaya melahirkan 23 orang usahawan bimbingan yang berjaya mengukuhkan perniagaan di negeri tersebut.
Dalam perkembangan terkini, pihaknya menggalakkan usahawan untuk menghasilkan Surimi yang dilihat mampu dikomersialkan sebagai produk makanan halal memandangkan penghasilan produk itu hanya dimonopoli oleh kaum bukan Islam sebelum ini.
MARDI bantu tambah baik perniagaan
Bagi Pengarah Urusan Sinku Food Industries Sdn. Bhd., Zalehah Mohamad, MARDI telah memainkan peranan yang penting dalam memacu perkembangan dunia perniagaan keropoknya.
Katanya, dengan mendapatkan bimbingan MARDI sejak 13 tahun yang lalu, pelbagai perubahan dan penambahbaikan yang telah dilakukan oleh agensi berkenaan dalam membantunya memasarkan produk ke pasaran yang lebih luas.
Beliau yang juga merupakan usahawan bimbingan MARDI, kini telah mempunyai kira-kira 43 kiosk keropok lekor di bawah jenama Leko-leko di seluruh negara.
Berkongsi pengalaman, usahanita berusia 56 tahun itu berkata, pada awalnya, beliau memulakan perniagaan menghasilkan keropok lekor kerana mempunyai minat yang dan didorong oleh senario industri keropok lekor yang agak suram ketika itu.
Katanya, permintaan terhadap keropok lekor sangat tinggi, tetapi bekalan tidak dapat memenuhi permintaan pasaran kerana produk makanan tersebut diusahakan secara kecil-kecilan sahaja.
Justeru, beliau bertekad mahu mengusahakan memasarkan keropok lekor dalam skala yang besar bagi memenuhi kehendak pasaran dan pengguna.
Setelah tiga tahun menjalankan perniagaan, beliau membuat keputusan untuk mendapatkan bimbingan daripada MARDI untuk menghasilkan keropok lekor yang lebih tahan lama.
“Ketika itu, banyak permintaan daripada pelanggan yang mahukan keropok lekor yang lebih tahan lama.
“Oleh itu, saya meminta MARDI untuk menghasilkan keropok lekor yang lebih tahan lama dan dari situ lah lahir keropok lekor rangup yang saya usahakan sekarang,” ujarnya.
Tambahnya, bantuan dan bimbingan daripada MARDI juga telah membantu merancakkan perusahaan keropoknya yang terletak di Kawasan Perindustrian Chendering, Terengganu.
Menurutnya, produk terbaharunya iaitu keropok berasaskan ayam yang dihasilkan oleh MARDI mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna kerana ia menggunakan isi ayam sebenar dan tanpa bahan perisa.
“Sejak dipasarkan beberapa bulan yang lalu, kami mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan yang menyukai keenakan keropok tersebut.
“Keropok ayam yang diletakkan di premis dalam kompleks lapangan terbang juga sangat laku dan habis terjual dalam masa yang singkat.” jelasnya.
Untuk perancangan masa hadapan, Zalehah berkata pihaknya berminat untuk memasarkan produk-produk berkualiti ini ke pasaran luar negara.
Penyelidikan dan pembangunan makanan
Selain menyediakan khidmat nasihat, bimbingan dan latihan, agensi tersebut turut menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam meningkatkan kualiti makanan untuk dikomersialkan.
Saintis Pusat Penyelidikan Sains Makanan MARDI, Nor Salasiah Mohamed berkata, pihaknya menjalankan penyelidikan yang lengkap terhadap produk makanan berkaitan ikan untuk membantu usahawan menambah varieti produk mereka.
Menurutnya, kajian yang dijalankan termasuklah berkaitan mikrobiologi, nilai pemakanan dan jangka hayat bagi memastikan ia boleh bertahan selama setahun.
“Kita di sini akan menjalankan penyelidikan makanan sekiranya ada permintaan daripada usahawan untuk menambah baik produk hasilan mereka untuk dikomersialkan ke pasaran yang lebih besar.
“Selain itu, setelah R&D dijalankan, kita juga akan memberikan cadangan pembungkusan kepada usahawan untuk memelihara jangka hayat produk untuk tempoh masa yang lebih panjang,” ujarnya.
Terbaharu pihaknya berjaya menghasilkan teknologi pemprosesan keropok segera ayam dengan mencipta formulasi keropok yang menggunakan isi ayam dan berkemungkinan ia adalah produk pertama di di negara ini yang menggunakan isi ayam.
Katanya, lambakan produk makanan berasaskan ayam yang berada di pasaran ketika ini kebanyakannya hanya menggunakan perisa dan bukan daripada isi ayam yang sebenar.
“Ia juga adalah permintaan daripada usahawan iaitu Sinku Food Industries Sdn. Bhd. yang meminta kita menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan varieti baharu memandangkan keropok ikan mempunyai masalah pengembangan.
“Jadi, kita menggantikannya dengan penggunaan isi ayam dan mendapati masalah itu telah dapat diatasi dengan nilai pengembangan keropok sehingga 73 peratus kerana ayam mengandungi protein yang tinggi iaitu sekitar 16 peratus,” jelasnya.
Penyelidikan tersebut telah dijalankan selama setahun dengan peruntukan RM49,000 daripada Mara.
Menurutnya, kebanyakan penyelidikan yang dijalankan adalah bertujuan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan dalam menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi.