BERMULA
dengan 100 pokok cili yang ditanam secara konvensional di halaman rumah
ibu mentua di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, Melaka, pasangan suami
isteri, Mohd Hafis Wahab, 31, dan Zamirah Laji,30, kini gigih
menjalankan projek tanaman cili padi fertigasi.
Ketika awal penglibatan, tanaman
cili dilakukan secara bersepah di tepi rumah. Tanpa ilmu mengenai
tanaman cili, banyak pokok diserang penyakit. Namun itu tidak mematahkan
semangat mereka untuk terus berbudi pada tanah. Kursus anjuran pelbagai
pihak mula disertai bagi menambah pengetahuan.
“Minat tanam cili timbul selepas saya
melihat penghuni Pusat Serenti Tampin diajar berkebun yang merupakan
sebahagian daripada program pemulihan. Sebagai staf di pusat itu, saya
tidak melepaskan peluang untuk belajar bersama.
“Ilmu bertani diturunkan kepada mereka daripada pegawai pertanian yang bertugas,” kata Mohd Hafis kepada S2.
Berbekalkan
sedikit pengetahuan yang ditimba di pusat serenti tersebut, Mohd Hafis
membeli anak pokok dari rumah semai untuk ditanam di keliling rumah ibu
mertuanya.
Mempertaruhkan 100 pokok,
beliau menjadikan kesemua pokok itu sebagai ‘makmal’ bagi mengkaji
pokok, jenis penyakit dan serangga perosak, baja yang sesuai, kaedah
meracun dan lain-lain perkara berkaitan.
“Dari
situ, saya dapat tahu banyak perkara mengenai penyakit seperti masalah
kulat, hama, afid, lalat buah, ulat pengorek buah, kutu trip dan
lain-lain. Setiap jenis serangga perosak itu perlu dihapuskan
menggunakan racun dalam kuantiti tertentu.
“Bagi
memudahkan kerja, saya merujuk pada prosedur operasi standard (SOP)
penggunaan racun supaya racun dan baja yang disiram pada pokok tidak
terlebih atau terkurang,” tambahnya.
Melihat
hasil yang memuaskan hati dan dapat pula banyak permintaan sama ada
dari orang kampung mahupun pekedai berdekatan, Mohd Hafis mula berfikir
secara serius untuk menghasilkan cili secara komersial.
Memandangkan
kawasan belakang rumah milik ibunya di Kampung Tanjong Dahan, Kuala
Sungai Baru, Melaka lebih luas dan boleh dijadikan tapak tanaman
fertigasi, beliau terus ‘berpindah’ ke sana.
“Kawasan
belakang rumah mak lebih luas. Berbekalkan ilmu yang saya kutip melalui
kursus anjuran pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian, Forme Niaga
dan Mardi, saya tekad mengusahakan tanah dengan bukaan lebar 15.2 meter
dan panjang 29 meter.
“Keluasan itu cukup
memuatkan 1,000 pokok cili padi daripada varieti Centil,” katanya yang
pernah mengikuti kursus fertigasi anjuran Forme Niaga dengan yuran
dikenakan RM150. Kursus akan datang yang bakal diikutinya adalah anjuran
Mardi pada September ini.
Menurutnya,
beliau mengeluarkan modal sebanyak RM7,000 untuk membina sistem
fertigasi yang lengkap iaitu mengandungi antaranya tangki air baja, pam
air, pengukur masa, penapis, injab dan paip poli. Kos itu tidak termasuk
pagar dan kerja-kerja membersihkan tapak. Jika dihitung, kos
keseluruhan mencecah RM11,000,” ujarnya yang menggunakan weedmat untuk
dihamparkan pada tanah bagi mengelak rumpai tumbuh.
Memilih
waktu malam untuk kerja-kerja meracun, katanya waktu itu paling sesuai
kerana serangga perosak aktif pada waktu tersebut.
Dalam
pada itu, Zamirah memberitahu, apabila suaminya ke kebun untuk
kerja-kerja meracun dan memeriksa pokok, beliau akan sentiasa berada di
sisinya.
“Kalau saya tengok suami
‘hilang’ di rumah pada waktu malam, saya tahu ke mana dia pergi. Kalau
tak ada kerja-kerja di kebun, suami sekadar melepak sambil memerhatikan
tanaman. Sebagai isteri, saya akan sentiasa menemaninya, melayannya
berbual sambil minum kopi,” tambahnya.
Hasil pertama yang diraih agak lumayan yang mana dianggarkan sebanyak 80 kilogram cili dituai daripada 1,000 pokok.
“Saya
upah tiga pekerja sementara sebagai pemetik buah. Ini antara masalah
yang dihadapi kerana tidak ramai berminat bekerja memetik buah,” katanya
sambil memberitahu harga semasa cili padi varieti Centil adalah antara
RM11 hingga RM12 sekilogram yang dipasarkan terus ke Pasar Borong
Melaka.
“Jika saya jual terus ke kedai runcit, harga jual adalah RM16 sekilogram,” ujarnya.
Mengulas
perancangan masa hadapan, Mohd Hafis berkata, beliau akan meluaskan
tapak tanamannya dengan membuka tapak baru di sebelah tapak sedia ada.
Keluasan yang hampir sama membolehkannya menanam 2,000 pokok, sekali gus
melipatgandakan hasil tuaian.
Dalam pada
itu, beliau berterima kasih kepada Penolong Pegawai Pertanian Kawasan
Kuala Sungai Baru, Mohd Salizam Mohamad Saleh yang banyak memberi tunjuk
ajar dan bantuan kepadanya.