Usaha
keras Sharizal Saidin, 43, untuk menghasilkan tanah organik berkualiti
tinggi sejak 10 tahun lalu akhirnya berbaloi apabila dia kini berjaya
menghasilkan tanah organik berkualiti ‘sembilan dalam satu’.
Formula tanah organik yang
dihasilkan Sharizal dan abangnya, Latif Saidin, 46, bukan sahaja
berkualiti dan diiktiraf oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) tetapi juga lebih bersih kerana tidak
menggunakan sebarang najis.
Sharizal berkata, formula yang menggunakan
sembilan bahan utama termasuk sabut kelapa dan sisa buangan kelapa sawit
itu adalah berdasarkan pengalamannya bekerja menghasilkan tanah organik
selain pelbagai kursus yang diikutinya.
“Bukannya
mudah untuk mendapatkan formula terbaik ini kerana tidak ada orang yang
akan semudahnya memberikan rahsia mereka dan saya bersyukur usaha keras
saya selama ini akhirnya membuahkan hasil.
“Tanah
organik semulajadi sembilan dalam satu yang bebas daripada najis ini
telah terbukti berkualiti dan mampu menjadikan tanaman tumbuh dengan
cepat dan subur serta boleh digunakan dalam jangka masa panjang,”katanya
ketika ditemui di pusat pemprosesan tanah organik semulajadi di Kampung
Sri Hamzah di sini, baru-baru ini.
Menurutnya,
tanah organik dihasilkannya itu sentiasa dipastikan mempunyai kualiti
terbaik apabila melalui pemeriksaan berkala oleh pihak MARDI
Beliau
memberitahu, tanah organik berkenaan bukan sahaja dapat menyuburkan
tanaman malah memulihkan tanah yang telah ditanam dengan tanaman lain.
Tambahnya,
bagi memastikan kualiti terbaik berterusan setiap siri tanah organik
yang dihasilkan akan diuji dengan penanamam sayur terlebih dahulu
sebelum tanah berkenaan dipasarkan.
“Sememangnya
saya tidak pernah berkompromi dalam soal kualiti yang mana saya ada
menolak permintaan pemborong yang meminta saya mengurangkan kualiti
untuk harga yang lebih rendah,”katanya.
Dalam
pada itu, Sharizal berkata, tanah organik berkenaan dijual dengan harga
runcit RM12 bagi bungkusan lapan kilogram dan RM4 bagi bungkusan 2.5
kilogram.
Katanya, pada masa ini
permintaan amat menggalakkan yang mana dia mampu menjual sebanyak 34 tan
tanah organik semulajadi berkenaan sebulan yang dipasarkan ke seluruh
negara.
“Pemasaran utama produk saya ini
adalah melalui media sosial seperti Facebook selain ejen-ejen jualan
yang saya lantik di seluruh negara seperti di Melaka, Gombak dan juga
Johor Bharu.
“Selain pelanggan individu
saya juga mempunyai pelanggan tetap daripada nurseri-nurseri di seluruh
negara yang membuat pesanan berterusan,”katanya.
Sesiapa
yang ingin mendapatkan Tanah Organik Semulajadi boleh menghubungi
Sharizal di talian 019-9657386 atau datang ke pusat pemprosesan Tanah
Organik Semulajadi di Kampung Sri Hamzah.