Hairulizam bermula dengan 300 ekor, kini mampu hasilkan 70,000 ekor sebulan
PONTIAN
18 Julai - Bermula dengan 300 ekor burung puyuh pada tahun 1997 yang
diletak dalam sebuah sangkar sebagai percubaan, kini penternakan itu
memberi pendapatan lumayan.
Seorang pengusaha penternakan burung
puyuh, Hairulizam Saat, 48, berkata, bukan mudah untuk terus mencapai
kejayaan kerana terlebih dahulu ‘diduga’ kesabarannya apabila hanya 91
ekor yang hidup, selebihnya mati tanpa diketahui puncanya.
Namun, ujian tersebut tidak mematahkan semangat
dan usaha beliau untuk terus meneroka bidang penternakan burung puyuh
secara komersial sehingga muncul menjadi penternak berjaya pada hari
ini.
Sebelum menceburi bidang tersebut,
beliau menjadi peniaga pasar malam yang menjual burung puyuh goreng
serta lain-lain produk berasaskan ayam termasuk kentang goreng.
Menurutnya,
idea untuk menternak burung puyuh diambil berikutan pembekal daging
unggas berkenaan menghentikan penghantaran sehingga menyebabkannya
terputus bekalan dalam tempoh tertentu produk tersebut.
Dia
dan isterinya, Siti Fairus Paiman, 42, kemudian nekad menceburi
penternakan burung puyuh kerana yakin dengan potensi bidang berkenaan.
“Selepas
enam bulan menternak burung puyuh dalam sangkar, kami mula membina
reban pertama bagi menambah jumlahnya yang telah menunjukkan pencapaian
mengalakkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Beroperasi
di Kampung Parit Saniman, Ayer Baloi, dekat sini di atas tanah seluas
2.4 hektar, beliau membeli anak puyuh daripada pembekal di Kedah dengan
harga 52 sen seekor yang berusia sehari.
Hairulizam
memberitahu, bagi menambahkan pengetahuan dalam bidang ternakan, beliau
mengikuti kursus ternakan burung puyuh anjuran Jabatan Perkhidmatan
Veterinar (JPV).
“Alhamdulillah, kursus yang
diterima memberikan banyak faedah kepada saya dalam mengurus ternakan
burung puyuh yang hanya mengambil tempoh matang selama 30 hari,”
katanya.
Menurutnya, cabaran dalam
penternakan itu adalah masalah penyakit yang biasanya menyebabkan
kira-kira 10 peratus puyuh mati bagi setiap reban yang dianggarkan mampu
menampung 10,000 ekor burung tersebut.
Jika
pada tahun 1997, hanya beliau dan keluargnya menjalankan perusahaan itu,
namun dengan jumlah reban sebanyak 33 buah, pihaknya memerlukan pekerja
tambahan.
“Seramai 19 pekerja bertugas
dengan syarikat kami, Nur FNZ Enterprises termasuk pekerja asing yang
menjadi tulang belakang kejayaan perniagaan yang kini berusia 39 tahun.
“Masing-masing
mempunyai peranan seperti pembersihan reban, memberi makan, menjaga
keperluan puyuh daripada anak sehingga membesar dan kerja-kerja
memproses puyuh untuk dibekukan,” katanya.
Dengan
tagline ‘Puyuh Segar Dari Ladang’ kini syarikat tersebut menjadi
pengeluar daging puyuh yang utama di negeri ini dan mampu mengeluarkan
70,000 ekor setiap bulan.