Definisi
Harta Intelek adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Perlindungan hakcipta di Malaysia adalah berasaskan kepada Akta Hakcipta 1987.
Malaysia tidak mempunyai sistem pendaftaran hakcipta. Sesuatu karya adalah dilindungi secara automatik sebaik sahaja ia memenuhi syarat-syarat berikut :
- usaha yang mencukupi telah dilakukan untuk menjadikan karya itu bersifat asli;
- karya tersebut telah ditulis, direkod atau dijadikan dalam bentuk bahan;
- penciptanya adalah orang yang berkelayakan; dan
- karya tersebut telah dibuat di Malaysia atau penerbitan pertama karya adalah di Malaysia.
Karya Yang Layak Mendapat Perlindungan Harta Intelek
Karya-karya yang layak mendapat perlindungan Harta Intelek ialah :
- karya sastera ;
- karya muzik ;
- karya seni ;
- filem ;
- rakaman bunyi ;
- siaran; dan
- karya terbitan
Karya-karya di atas adalah dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan karya-karya itu dihasilkan. Walaupun begitu peruntukan berkenaan keaslian mestilah ditepati.
Karya Sastera
Karya sastera terdiri daripada:-
- novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, karya syair dan penulisan lainnya;
- lakonan, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, karya koreografi dan pantomin;
- treatis, sejarah, biografi, karangan dan artikel;
- ensiklopedia, kamus dan karya rujukan lain;
- surat, laporan dan memorandum;
- syarahan, ucapan, khutbah dan karya-karya lain yang sama sifatnya;
- jadual atau penyusunan yang dinyatakan dalam perkataan-perkataan, angka-angka dan simbol-simbol sama ada dalam bentuk yang boleh dilihat atau tidak; dan
- program-program komputer atau penyusunan program-program komputer tetapi tidak termasuk teks rasmi kerajaan atau badan-badan berkanun yang bersifat perundangan atau peraturan, ataupun keputusan-keputusan kehakiman.
Karya Muzik
Apa-apa karya muzik dan termasuklah karya yang digubah untuk iringan muzik.
Karya Seni
- Lukisan cat, lukisan, ecing, litograf, ukir-kayu, ukir-pahat dan cetakan dan apa- apa karya tiga dimensinya;
- Peta, pelan, carta, rajah, ilustrasi, lakaran dan karya-karya tiga dimensi berhubung dengan geografi, topografi, senireka atau sains;
- Karya seniukir;
- Karya senibina dalam bentuk bangunan atau model bangunan;
- Fotograf yang tidak terkandung dalam filem;
- Karya pertukangan seni, termasuklah tenunan halus bergambar, kain bertekad dan barang-barang petukangan tangan dan seni perusahaan.
Filem
Apa-apa penetapan sesuatu siri gambaran pandangan pada bahan daripada apa-apa perihalan, sama ada lutcahaya atau tidak, supaya boleh dengan menggunakan bahan itu dengan atau tanpa apa-apa bantuan sesuatu perekaan:
- ditunjukkan sebagai gambar bergerak atau
- dirakamkan pada bahan-bahan lain, sama ada lutcahaya atau tidak supaya dengan menggunakan bahan itu ianya boleh ditunjukkan sedemikian, dan termasuklah bunyi yang terkandung dalam sesuatu alur bunyi yang berkaitan dengan suatu filem.
(Dari tafsiran ini bunyi latar sesuatu filem adalah dianggap sebahagian dari filem. Begitu juga fotograf yang diambil dari filem adalah dianggap sebahagian dari filem itu sendiri. Rakaman bunyi latar filem tanpa kebenaran pemunya hakcipta adalah dianggap pelanggaran hakcipta di dalam filem tersebut.)
Rakaman Bunyi
Apa-apa penetapan siri bunyi yang boleh didengar dan boleh dikeluarkan semula dengan apa-apa cara, tetapi tidak termasuk suatu alur bunyi yang berkaitan dengan suatu filem.
Siaran
Pemancaran bunyi atau gambaran atau kedua-duanya melalui wayarless atau wayar untuk penerimaan orang awam.
Karya-karya lain yang mendapat hakcipta
Selain daripada karya-karya yang telah ditetapkan dibawah seksyen 7(1) Akta Hakcipta 1987 terdapat karya-karya lain yang juga diberikan perlindungan hakcipta. Karya-karya tersebut adalah seperti karya-karya berikut:
(a) Karya Terbitan
- "karya-karya terbitan" berikut adalah dilindungi seperti mana karya asal;
i) terjemahan, penyesuaian, susunan dan perubahan lain karya-karya yang layak bagi hakcipta; dan
ii) koleksi karya-karya yang layak bagi hakcipta yang oleh sebab pemilihan dan susunan kandungannya, menjadikannya suatu hasil ciptaan intelek.
ii) koleksi karya-karya yang layak bagi hakcipta yang oleh sebab pemilihan dan susunan kandungannya, menjadikannya suatu hasil ciptaan intelek.
b) Harta Intelek dalam Edisi Karya Diterbitkan
- Harta Intelek dalam edisi karya yang diterbitkan adalah hakcipta yang diberikan kepada penerbit-penerbit buku dan penerbit-penerbit lain. Setiap edisi diterbitkan bagi mana-mana satu atau lebih karya sastera, seni atau muzik sama ada dalam hal:
i) Penerbitan pertama edisi itu berlaku dalam Malaysia; atau
ii) Penerbit edisi itu adalah orang berkelayakkan pada penerbitan pertama itu.
i) Penerbitan pertama edisi itu berlaku dalam Malaysia; atau
ii) Penerbit edisi itu adalah orang berkelayakkan pada penerbitan pertama itu.
Kelayakan bagi perlindungan
Faktor penghubung untuk mendapatkan perlindungan Harta Intelek diberi ialah:
- Pencipta adalah "orang yang berkelayakan"; dan
- Tempat di mana penerbitan pertama dilakukan iaitu samada di Malaysia ataupun di mana-mana negara yang menjadi ahli kepada Konvensyen Berne.
Jangkamasa Perlindungan Harta Intelek
(a) Karya sastera, muzik dan seni
- Bagi karya sastera, muzik atau seni (selain daripada fotograf) maka hakcipta wujud semasa hayat pencipta dan lima puluh tahun selepas kematiannya.
(b) Karya yang diterbitkan selepas kematian pencipta
- Jika sesuatu karya sastera, muzik atau seni (selain daripada fotograf) tidak pernah diterbitkan sebelum kematian penciptanya, maka hakcipta akan wujud hingga lima puluh tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang karya itu mula-mula diterbitkan.
(c) Karya yang diterbitkan tanpa nama atau dengan nama samaran
- Jika sesuatu karya sastera, muzik atau seni (selain daripada fotograf) diterbitkan tanpa nama atau dengan menggunakan nama samaran, maka hakcipta akan wujud sehingga lima puluh tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun karya itu mula-mula diterbitkan. Melainkan jika identiti pencipta diketahui kemudiannya, maka di sini jangkamasa hakcipta akan dikira sebagai sepanjang hayat pencipta dan lima puluh tahun selepas kematiannya.
(d) Karya ciptaan bersama
- Dalam keadaan di mana dua orang atau lebih membuat satu karya yang boleh dikira sebagai karya ciptaan bersama, maka jangkamasa hakcipta adakah masih sepanjang hayat pencipta dan lima puluh tahun selepas kematiannya. Tetapi ia akan dikira berdasar kan kepada hayat salah seorang pencipta bersama itu yang terakhir sekali meninggal dunia diantara mereka.
(e) Edisi diterbitkan
- Hakcipta mengenai sesuatu edisi diterbitkan akan wujud sehingga lima puluh tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang edisi itu mula-mula diterbitkan.
(f) Rakaman bunyi
- Hakcipta mengenai sesuatu rakaman bunyi akan wujud sehingga lima puluh tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang rakaman itu mula-mula diterbitkan.
(g) Siaran
- Hakcipta mengenai sesuatu siaran akan wujud sehingga lima puluh tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang siaran itu mula-mula dibuat.
(i) Filem
- Hakcipta mengenai sesuatu filem akan wujud sehingga lima puluh tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang filem itu mula-mula diterbitkan.
(j) Karya kerajaan dan badan antarabangsa
- Hakcipta mengenai karya-karya kerajaan, pertubuhan kerajaan, dan badan antarabangsa akan wujud sehingga lima puluh tahun dari permulaan tahun kalender berikutan dengan tahun yang karya itu mula-mula diterbitkan.
Hak-hak Eksklusif Pemunya Hakcipta
Hakcipta yang diberikan ke atas karya sastera, muzik, seni, filem dan rakaman bunyi memberikan kepada pemunya hakcipta itu beberapa hak eksklusif. Hak-hak eksklusif ini bolehlah dibahagikan kepada perkara-perkara berikut:
- Hak untuk membuat pengeluaran semula karya tersebut dalam apa-apa bentuk bahan;
- Hak untuk menerbitkan karya tersebut;
- Hak untuk membuat pertunjukan karya tersebut kepada awam;
- Hak untuk membuat siaran karya itu;
- Hak untuk membuat apa-apa penyesuaian atas karya itu; atau
- Hak untuk memasukkan karya ke dalam perhubungan melalui kabel.
Pengecualian kepada Hak Esklusif
(a) Perlakuan yang wajar bagi penyelidikan ,kritikan, ulasan dan lain-lain hal.
- bagi maksud penyelidikan yang bukan mencari keuntungan, pengajian sendirian, kritikan atau pelaporan peristiwa-peristiwa semasa, tertakluk kepada syarat bahawa jika penggunaan itu adalah penggunaan awam, ia hendaklah disertai dengan suatu perakuan tajuk karya itu dan penciptaannya, kecuali jika karya itu yang berkaitan dengan perlakuan apa-apa perbuatan bagi maksud-maksud penyelidikan yang bukan mencari keuntungan, pengajian sendirian dan pelaporan ulasan peristiwa-peristiwa semasa dengan cara sesuatu rakaman bunyi, filem atau siaran.
Pengecualian-pengecualian lain adalah seperti berikut:-
(b) melakukan mana-mana perbuatan di dalam seksyen 13 (1) secara parodi, pastice atau karikatur;
(c) kemasukan dalam sesuatu filem atau siaran apa-apa karya seni yang terletak di sesuatu tempat di mana karya itu boleh dilihat oleh awam;
(d) pengeluaran semula dan pengedaran salinan apa-apa karya seni yang terletak dengan kekal di sesuatu tempat di mana karya itu boleh dilihat oleh awam;
(e) kemasukan secara sampingan sesuatu karya di dalam sesuatu karya seni, rakaman bunyi, filem atau siaran. Perlu diingat bahawa kemasukan secara sampingan karya itu tidak terpakai bagi kemasukan secara sampingan sesuatu karya itu ke dalam sesuatu karya sastera; atau
(f) memasukan sesuatu karya dalam sesuatu siaran, pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam, koleksi karya sastera atau muzik, rakaman bunyi atau filem, jika kemasukan sedemikian dibuat secara illustrasi bagi maksud mengajar dan bersesuaian dengan amalan yang wajar dengan syarat bahawa sumbernya dan nama penciptanya yang terdapat pada karya yang digunakan itu hendaklah disebut.
Pelanggaran Harta Intelek
Pelanggaran terhadap hakcipta berlaku apabila seseorang, tanpa persetujuan atau lesen tuan punya hakcipta itu, mengimport sesuatu artikel ke dalam Malaysia bagi maksud:
(a) Menjual, menyewakan atau dengan cara dagangan, menawarkan atau mendedahkan artikel itu untuk jualan atau sewaan;
(b) Mengedar artikel itu;
(b) Mengedar artikel itu;
- bagi maksud dagangan; atau
- bagi apa-apa maksud lain ke takat yang akan memudaratkan tuan punya hakcipta itu; atau
(c) Dengan cara dagangan, mempamer artikel itu kepada awam.
Keempunyaan Pertama Harta Intelek
Karya sastera,muzik dan seni.
- Jikalau sesuatu karya dibuat di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan atau dalam masa bekerja pencipta karya itu maka hakcipta adalah disifatkan sebagai berpindahmilik kepada majikan pencipta itu. Tetapi ini adalah tertakluk kepada apa-apa perjanjian di antara kedua-dua pihak tersebut yang menolak atau menghadkan pindahmilik itu.
Karya-karya yang dibuat di bawah kontrak perkhidmatan
- Jikalau seseorang itu dikatakan bekerja di bawah sesuatu kontrak perkhidmatan maka dia adalah dianggap sebagai pekerja kepada majikannya. Jadi apa saja hakcipta yang didapatinya bagi mana-mana karya ciptaannya akan dipindah milik kepada majikannya.
Karya yang ditempah
- Jika sesuatu karya adalah ditempah oleh seseorang maka hakcipta karya itu hendaklah disifatkan sebagai dipindahmilik kepada orang yang telah menempah karya itu.
Pindahmilik Harta Intelek
Hakcipta adalah dianggap sebagai harta alih yang boleh dipindahmilik melalui penyerahhakkan, pemberian wasiat atau dengan kuasa undang-undang.
Penguatkuasaan Harta Intelek
Pemunya hakcipta mempunyai dua cara untuk penguatkuasaan hakciptanya. Ia boleh mendapatkan remedi-remedi sivil di mahkamah ataupun dengan membuat laporan polis bagi membuat tindakan jenayah. Jikalau ia membuat tindakan sivil maka pemunya hakcipta harus menanggung semua perbelanjaan membawa kes itu mahkamah.
Remedi-remedi Sivil
Jikalau berlaku pelanggaran hakcipta, pemunya hakcipta mempunyai beberapa remedi sivil yang tersedia untuknya. Ini termasuklah gantirugi, injunksi dan akaun keuntungan.
a) Injunksi
- Terdapat 3 jenis injunksi yang boleh dipohon oleh pemunya hakcipta. Ini terdiri daripada yang berikut:
- injunksi interlokutori
- injunksi tetap.
- Quia Timet.
b) Gantirugi bagi pelanggaran hakcipta
- Pihak plaintif juga boleh membuat permohonan mendapatkan pampasan dalam bentuk pembayaran gantirugi kepadanya dari pihak defendan.
c) Gantirugi tambahan
- Gantirugi tambahan juga boleh diberikan oleh mahkamah. Apabila relif yang berkesan tidak boleh diadakan untuk plaintif dengan apa-apa jalan lain, maka mahkamah dalam mentaksirkan gantirugi untuk pelanggaran itu, adalah berkuatkuasa untuk mengawad apa-apa gantirugi tambahan sebagaimana yang difikirkan patut oleh mahkamah dalam keadaan tersebut.
d) Akaun keuntungan
- Akaun keuntungan juga boleh dipohon oleh pihak plaintif dari pihak defendan. Di dalam mentaksirkan akaun keuntungan ini pihak mahkamah akan mengambil kira keuntungan yang mungkin diperolehi oleh pihak plaintif atas karyanya jika tidak berlaku pelanggaran hakcipta ini oleh pihak defendan.
e) Hantar serah
- Pihak plaintif juga memohon bagi hantar serah karya langgaran tersebut kepadanya untuk dimusnahkan. Tujuan nya di sini adalah supaya pihak defendan tidak akan cuba melupuskan barang-barang langgaran tersebut kepada orang lain. Akta Hakcipta 1987 juga membuat peruntukan bagi beberapa kesalahan-kesalahan jenayah bagi perlanggaran hakcipta di Malaysia.
Kesalahan-kesalahan
(a) Membuat untuk jualan atau sewa apa-apa salinan langgaran;(b) Menjual, menyewakan atau secara dagangan, mendedahkan atau menawarkan untuk dijual atau disewakan apa-apa salinan langgaran;(c) Mengedar salinan-salinan langgaran;(d) Memiliki bagi apa-apa kegunaan selain daripada untuk kegunaan persendirian dan domestik, apa-apa salinan langgaran;(e) Dengan cara dagangan mempamirkan pada awam apa-apa salinan langgaran;(f) Mengimport ke dalam Malaysia, selain daripada kegunaan persendirian dan domestiknya, sesuatu salinan langgaran; atau(g) Membuat atau ada dalam miliknya apa-apa perekaan yang digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud membuat salinan langgaran.
Kesalahan memintasi Teknologi
(h) memintas atau menyebabkan dipintas apa-apa langkah teknologi yang berkesan;(i) membuang atau mengubah apa-apa maklumat pengurusan hak elektronik tanpa kebenaran; atau(j) mengedarkan, mengimport untuk pengedaran atau penyampaian kepada orang awam, tanpa kebenaran, karya atau salinan karya yang berkenaan dengannya maklumat pengurusan hak elektronik telah dibuang atau diubah tanpa kebenaran.
Penalti-penalti yang diperuntukan
Seseorang yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman-hukuman berikut:-
Dalam hal kesalahan (a) hingga (f), denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 bagi setiap salinan langgaran, atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan bagi apa-apa kesalahan kali kemudian, denda tidak kurang dari RM4,000 dan tidak melebihi RM40,000 bagi setiap salinan langgaran untuk kesalahan kedua dan seterusnya. Hukuman penjara juga boleh dikenakan tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya iaitu denda dan hukuman penjara.
Dalam hal kesalahan (h) hingga (j), denda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan bagi apa-apa kesalahan kali kemudian, denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Harta Intelek dan hak moral
Prinsip ini menerangkan berkenaan hakcipta sebagai satu hak ke atas harta dan juga hakcipta sebagai satu hak moral perseorangan (droit moral) ke atas karyanya.
Jenis-jenis Hak Moral
(a) Hak "paternity".
- Hak ini adalah merupakan hak untuk menuntut penciptaan sesuatu karya.
- Hak ini adalah merupakan hak untuk menuntut penciptaan sesuatu karya.
(b) Hak "integrity".
- Ini adalah hak untuk mencegah perubahan atau apa-apa perbuatan yang mencacatkan sesuatu karya itu.
- Ini adalah hak untuk mencegah perubahan atau apa-apa perbuatan yang mencacatkan sesuatu karya itu.
Di Malaysia, hak-hak moral seseorang pencipta itu adalah diberi perlindungan di bawah seksyen 25 Akta Hakcipta 1987.
Hak statutori
Hak moral yang diberikan di bawah peruntukan Akta Hakcipta adalah dikira sebagai hak statutori pencipta terhadap karyanya. Jadi apa-apa pelanggaran hakcipta adalah dikira sebagai pelanggaran terhadap kewajipan statutori.
Definasi ‘Pelaku”
“pelaku ertinya orang yang membuat persembahan secara langsung.
Persembahan Secara Langsung
a) Termasuklah:-
- persembahan karya drama, atau sebahagian daripada karya tersebut itu, termasuk sesuatu persembahan sedemikian yang dibuat dengan menggunakan boneka, atau persembahan karya drama yang dibuat secara spontan;
- persembahan karya muzik atau sebahagiandaripada karya itu, atau persembahan karya muzik yang dibuat secara spontan;
- pembacaan, pengucapan atau penyampaian karya sastera, atau sebahagian daripada karya itu, atau pembacaan, pengucapan atau penyampaian karya sastera yang dibuat secara spontan;
- persembahan tarian;
- persembahan lakonan sarkas atau lakonan anekaragam atau apa-apa tontonan atau pertunjukan seumpamanya; atau
- persembahan berhubungan dengan pengungkapan cerita rakyat,
yang disampaikan secara langsung oleh seorang atau lebih di Malaysia, sama ada di hadapan penonton atau selainnya; tetapi
b) tidak termasuk:-
- apa-apa pembacaan, pengucapan atau penyampaian apa-apa bahan berita atau maklumat;
- apa-apa persembahan secara langsung sesuatu aktiviti sukan; atau
- penyertaan dalam sesuatu persembahan secara langsung oleh penonton.
Kelayakan bagi perlindungan pelaku
Hak pelaku hendaklah wujud dalam tiap-tiap persembahan secara langsung yang pelakunya itu ialah:
a) warganegara atau pemastautin tetap Malaysia; atau
b) bukan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia tetapi persembahannya-
b) bukan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia tetapi persembahannya-
- di adakan di Malaysia
- telah digabungkan dalam rakaman bunyi yang dilindungi di bawah Akta ini; atau
- belum lagi ditetapkan dalam rakaman bunyi tetapi termasuk dalam suatu siaran yang layak untuk dilindungi di bawah Akta ini
Jangkamasa Hak Pelaku
Perlindungan diberikan selama 50 tahun dari tarikh persembahan.
Sumber:Perbadanan Harta Intelek Malaysia
No comments:
Post a Comment