BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Sunday, January 4, 2009

Tingkatkan imej pesara ATM

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my


SEBAHAGIAN daripada penerima sijil kursus Perhebat Siri2/2008 bergambar kenangan selepas majlis penyampaian sijil di Kem Sungai Buloh, baru-baru ini.

Perhebat sedia latihan kemahiran buka peluang kerjaya lebih luas

PERSEPSI sempit masyarakat dan majikan swasta yang beranggapan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya layak bekerja sebagai pengawal keselamatan wajar diubah kerana mereka sebenarnya mempunyai banyak lagi kemahiran lain.

Ini kerana sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat perkhidmatan, bakal pesara diwajibkan mengikuti latihan teori dan amali pelbagai kemahiran yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua.


Program persediaan itu dibuat Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi membekalkan bakal pesara dengan satu daripada lima fokus utama iaitu kemahiran asas, peningkatan kemahiran, keusahawanan, pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kawal selia.

Segala kemahiran yang dipelajari itu boleh digunakan sebagai asas untuk mereka menceburi bidang lain selepas menamatkan perkhidmatan dengan ATM, sekali gus meneruskan kehidupan sebagai rakyat biasa dengan sempurna.

Perhebat yang ditubuhkan Jemaah Menteri pada 13 April 1994 bertanggungjawab menjalankan aktiviti berhubung penyediaan kursus latihan kepada bakal pesara ATM dan sehingga kini, dianggarkan seramai 800 hingga 900 bakal pesara berjaya dilatih setiap tahun.



Antara kursus yang ditawarkan di Perhebat ialah Mekanik Kenderaan Motor; Jurubina Bangunan dan Pembuat Perabot; Jurukerja Paip dan Jurukimpal Arka; Juruelektrik Pendawaian Dalaman; Penyejukbekuan dan Penyaman Udara; Pereka Grafik dan Juruteknik Komputer; Peruncitan dan Pembangunan Industri Kecil Sederhana; Pengurusan Pelancongan dan Usahawan Perkhidmatan Dobi.

Pada 23 Disember lalu, seramai 476 pelatih dan 27 pegawai jurulatih tamat latihan masing-masing dan menerima sijil dalam Majlis Penyampaian Sijil Perhebat Siri2/2008 di Kem Sungai Buloh, Selangor.

Pengerusi Perhebat, Jeneral (B) Tan Sri Borhan Ahmad, ketika merasmikan majlis itu berkata, beliau yakin kursus yang diikuti semua pelatih itu akan membantu mereka memulakan pekerjaan sendirian di luar bidang ketenteraan.

“Dalam pada itu, pesara juga boleh memohon bantuan melalui skim pembangunan yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) serta agensi kerajaan lain seperti Tabung Usahawan Kecil dan dana yang disediakan kerajaan.


“Kita percaya peluang pekerjaan dan perniagaan terbuka luas kepada semua pesara ATM yang berminat asalkan mereka berfikiran positif dan berusaha merebut segala peluang itu,” katanya.

Sementara itu, pelatih terbaik kursus Peruncitan dan Pembangunan Industri Kecil Sederhana, Pegawai Waran I Rejimen Semboyan Diraja, Subaher Zakaria, 39, berkata banyak manfaat diperoleh melalui kursus itu.

“Banyak perkara diajar dan didedahkan kepada kami sepanjang tempoh enam bulan kursus ini. Ia membuatkan saya lebih optimis untuk berjaya dalam kehidupan selepas bersara nanti.

“Kursus ini juga membuka mata saya untuk meluaskan perniagaan berasaskan herba tradisional yang mula diusahakan beberapa bulan lalu. Selain itu, saya juga merancang untuk terbabit dalam bidang penternakan binatang tidak lama lagi,” katanya yang berkhidmat dalam ATM selama 21 tahun.

Seorang lagi pelatih kursus sama, Pegawai Waran II Rejimen Semboyan Diraja, Jamri Tukiman, berkata kursus itu memberi banyak idea dan pengetahuan untuk meluaskan lagi perniagaannya yang diusahakan sejak setahun lalu.

“Saya mempunyai sebuah butik andaman dan studio gambar di Muar, Johor, yang saya usahakan sebagai perancangan selepas bersara.

“Kursus ini membolehkan saya belajar banyak perkara baru dan pada masa sama meningkatkan pengetahuan mengenai perniagaan dengan lebih teratur dan sistematik,” katanya yang mengakui kebanyakan pesara mempunyai banyak peluang pekerjaan di dalam masyarakat dan tidak terhad kepada pengawal keselamatan saja.

Related Posts with Thumbnails