BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Thursday, January 15, 2015

Berada Dekat Dengan Sumber Peluang Sebagai Cara Mencapai Cita-cita Anda


Ramai orang yang berada dekat dengan sesuatu peluang, tetapi tidak berhasrat atau bercita-cita mencapai sesuatu peluang. Manakala orang yang bercita-cita mencapai sesuatu pula tidak berusaha untuk berada dekat dengan peluang.
Jadi kali ini saya akan menerangkan bagaimana anda yang ingin mencapai sesuatu cita-cita dengan kaedah berapa dekat dengan peluang tersebut. Ini mungkin langkah paling awal untuk anda mencapai sesuatu yang anda cita-citakan dalam apa saja bidang.
Jika anda ingin memancing ikan, anda perlu berada di kolam memancing, tasik ataupun laut yang mempunyai ikan didalamnya. Anda tidak mungkin mendapat ikan jika memancing di longkang di belakang rumah atau di kolam renang. Jadi anda perlu mengenalpasti lautan yang anda ingin terokai dahulu sebagai langkah awal.
Contohnya, katakan anda bercita-cita menjadi seorang penyanyi tetapi anda tidak nampak jalan bagaimana untuk mencapai cita-cita itu ataupun anda tidak kenal sesiapa penerbit yang ingin mengambil anda untuk mengembangkan bakat yang anda ada. Ataupun anda tidak kenal sesiapa komposer untuk mengubah lagu untuk anda.
Langkah awal yang anda harus lakukan adalah berusaha untuk berapa dekat dengan industri yang anda ingin ceburi itu.
Bagaimana caranya ?
Cita-cita anda adalah untuk menjadi penyanyi, sebagai langkah awal anda boleh cuba untuk mendapatkan mana-mana tugas berikut.
- Cari kerja yang berkaitan dengan industri musik. Samada anda menjadi office boy di pejabat musik atau menjadi penyanyi latar untuk penyanyi lain. Dengan kaedah seperti ini, anda akan mengetahui lebih mendalam mengenai industri ini. Semua pengalaman yang anda dapat ini akan membantu anda dalam mencapai cita-cita anda kelak
- Cari peluang untuk anda mendengarkan lagu anda kepada orang disekeliling anda. Orang disekeliling kita adalah individu yang terbaik untuk anda mencuba sesuatu. Mereka mungkin membuat lawak atas inisiatif anda ini, namun ia lebih baik daripada orang yang anda tidak kenali membuat lawak mengenai kelemahan anda. Jadi anda mempunyai peluang luas untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
- Hasil daripada mengenali kelemahan yang ada, anda boleh belajar dan cuba memperbaiki kelemahan ini sehingga ke tahap untuk anda pergi ke lebih ramai orang
- Gunakan kuasa internet dengan cuba menulis blog atau merakamkan lagu anda untuk diletakkan dalam youtube dan facebook supaya lebih ramai orang dapat melihat bakat anda ini.
Semua di atas adalah kaedah untuk anda ‘berada dekat dengan industri’  yang anda idamkan.
Apa sebenarnya yang anda dapat dengan berada lebih dekat ?
- Anda dapat masuk ke dalam dunia baru. Iaitu dunia industri idaman anda. Di dunia ini anda akan mula mengenali rakan-rakan yang dapat membantu anda mencapai tujuan dan cita-cita anda.
- Anda memahami selok belok industri ini. Ini sangat penting kerana tanpa mengetahui asam garam sesuatu industri, adalah mustahil untuk anda berjaya di dalamnya.
- Anda tahu apa kehendak industri ini dan mula mencari jalan untuk memenuhi kehendak industri ini..
Ini samalah seperti jika anda ingin menjadi seorang usahawan. Anda perlu berada dekat dengan industri ini, mula berkawan dengan kawan-kawan usahawan yang lain dan fahami selok belok perniagaan dengan lebih baik. Anda akan mendapati, kaedah ini adalah sangat efektif dan anda tidak akan gagal untuk berjaya mencapai cita-cita anda.
Cuba praktikkan teknik ini dan anda akan mula mendekati cita-cita anda ini hari demi hari. Sentiasa ingat mengenai cita-cita anda dan berusaha secara berterusan untuk mencapainya. Usaha tangga kejayaan.

Bagaimana Mencari Modal Memulakan Perniagaan / Bisnes


Persoalan paling utama ataupun lebih tepat jika disebut alasan paling utama untuk seseorang untuk tidak memulakan perniagaan adalah MODAL.

Modal yang dimaksudkan adalah duit tunai.

Saya pernah menghadiri banyak seminar dan perjumpaan usahawan dengan wakil rakyat. Persoalan utama yang selalu dibangkitkan.

“Kami tak ada duit, macam mana nak start perniagaan ?”

“Bank kejam kerana tidak mahu beri pinjaman kepada peniaga kecil”

“Kenapa kerajaan tidak meluluskan gran (duit free) untuk perniagaan kami ?”

“Kerajaan patut bantu kami untuk maju, apa guna kami sokong kerajaan ini ?”

Wakil rakyat pula akan dengar rungutan ini dan akan menjawab, “Saya telah dengar segala rungutan ini dan saya akan panjangkan kepada boss saya untuk tindakan yang lanjut. Kami faham masalah anda dan akan cuba sedaya upaya untuk selesaikan”

Ini adalah skrip biasa yang dihalwakan dalam telinga usahawan. Setelah selepas majlis itu, wakil rakyat dan usahawan ini akan melupakan perkara ini. he he he.

Jawapan dari saya,

1. Untuk meminjam dari bank, anda perlu buktikan yang anda mampu membayar balik. Ini adalah persoalan asas dari bank. Sama juga jika kita sendiri yang meminjamkan wang kita kepada orang lain.

2. Jika perniagaan anda mempunyai masa depan dan meyakinkan, dan rekod perbankan anda cantik, bank pasti akan bagi duit. Memang bisnes model bank adalah membuat keuntungan dari pinjaman yang diberikan. Ini adalah peluang perniagaan bagi mereka, kenapa perlu mereka tolak ? Kerana perancangan anda tidak meyakinkan atau rekod anda buruk.

Jadi anda tidak dapat modal dari pelabur adalah atas beberapa sebab iaitu

1. Anda belum pernah buktikan apa-apa. Saya tahu bahawa anda yakin dengan perancangan bisnes anda. Semua orang pun yakin dengan perancangan bisnes mereka.

2. Bisnes yang anda rancang memang tak ada masa depan.

Jika anda masih yakin dengan perancangan bisnes anda. Teruskan dengan apa yang ada. Jangan la nak mengharapkan kerajaan atau bank untuk berikan pinjaman atau bantuan gran.

OK. berbalik kepada persoalan asal.

Adakah anda memerlukan modal untuk memulakan perniagaan ?

Sebenarnya anda boleh memulakan perniagaan dengan modal yang kecil atau tanpa sebarang modal.

Sebagai manusia, kesemua kita sudah dikurniakan dengan modal yang sedia ada. Iaitu modal dalam bentuk…

1. Masa 24 jam sehari

2. Otak dengan akal dan fikiran

3. Tubuh badan yang mempunyai tenaga

4. Manusia lain yang mempunyai semua 3 modal di atas.

Fikir dengan 4 modal utama ini, apa yang boleh anda lakukan. Saya akan sediakan beberapa cara di bawah ini.

Jika anda ingin membuat bisnes yang kecil, mulakan dengan mencari apa masalah yang anda boleh selesaikan ? dan mendapat wang dari penyelesaian ini.

Menawarkan Khidmat Percuma

Anda boleh menawarkan khidmat membuat website jika anda pandai membuat website. Jika klien ini tak nak anda buat website. Cakap pada klien tersebut.

“Jangan risau, saya akan buat website ini secara percuma, jika anda suka nanti baru bayar”

Ini salah satu cara untuk kita membina pelanggan. Jika kerja yang anda buat itu baik, tidak ada orang yang tidak akan bayar. Jika dia tak bayar pun, dia akan promosikan kepada rakan-rakannya. Anda kini sudah mempunyai seorang marketing agent.

Mencari Rakan Trading

Trading yang sama maksudkan disini adalah mencari rakan niaga strategik yang dapat kita bertukar ilmu dan kepakaran.

Anda inginkan sebuah website tetapi anda tidak mempunyai modal. Anda perhatikan diri anda dan lihat apa yang anda boleh buat. Jika anda mampu untuk mengajar memasak. Mungkin anda boleh offer dalam mudah.my atau dalam facebook bahawa anda boleh mengajar memasak kepada student universiti sebagai trading untuk membuat website.

Bagi anda memasak adalah mudah, bagi student itu membuat website adalah mudah. Jadi anda dapat website, student itu mendapat ilmu memasak.

Pengalaman peribadi saya, website saya www.kursusborongchina.com dibuat dengan percuma oleh seorang rakan saya Bub. Saya tidak pun menyuruh dia buat website ini, setelah siap dia tunjuk kepada saya. Saya terkejut dan suka dengan website ini. Sebagai balasan saya offer banner syarikatnya Bub Hosting untuk diletakkan dalam website saya secara percuma.

Saya yang tidak pandai membuat website dapat website, bub yang perlukan iklan dapat iklan. Situasi menang-menang.

Menawarkan Servis

Sebagai seorang manusia, tentu ada kemahiran anda yang anda sudah mahir.

Mengajar ilmu kepada orang lain adalah servis yang mudah yang tidak memerlukan anda mengeluarkan modal.

Jika anda mampu mengajar pelajar universiti anda boleh menyediakan tuisyen untuk mereka, jika anda tidak mampu, ajarlah budak sekolah menengah, jika masih tidak mampu, ajarlah budak sekolah rendah.

Jika masih tidak mampu, adakah anda tahu menulis dan membaca ? Terdapat orang yang tidak tahu membaca dan menulis. Jadi tawarkan servis ini kepada mereka. Kepada kanak-kanak di Tadika.

Walaupun ramai parent yang tahu menulis dan membaca, mereka mungkin tidak mempunyai masa untuk ini. Jadi tawarkan servis ini kepada mereka untuk mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis.

Jika anda tidak tahu membaca dan menulis..

Tawarkan apa-apa kemahiran yang anda tahu. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat terdapat kursus seperti Kursus Mengosok Baju, Kursus Makan Secara Formal, Kursus Memikat Wanita, Kursus Mengajar Bahasa Isyarat, dan banyak lagi.

Bagi saya secara peribadi, alasan modal adalah alasan paling tidak logik untuk diberikan jika anda ingin bekerja sendiri atau memulakan perniagaan.

Usahawan adalah seorang yang mengabungkan sumber yang ada untuk mencapai objektifnya. Sumber ini boleh jadi tanah pertanian, rakan yang ramai, minat yang mendalam dalam satu-satu bidang atau apa saja yang anda dapat gunakan untuk mencapai objektif anda.

Adakah anda masih perlukan modal ?

Jika jawapan anda Ya, anda sesuai kekal sebagai seorang pekerja makan gaji sepanjang hidup anda.

Bekerja makan gaji adalah cara terbaik menjadi binatang peliharaan yang berada di dalam kandang, berkawan dengan rakan-rakan yang terhad, tiada kebebasan, terpaksa dengar arahan boss, membuat kerja yang tidak disukai, dipersalahkan atas semua kesalahan dan yang paling utama, makan gaji adalah kareer yg palingg berisiko. Anda boleh dipecat bila-bila masa. Tapi masyarakat mengajar kita, kerja makan gaji adalah kerja yang selamat.

Sumber Rujukan : http://www.shahabudeenjalil.com/2011/03/bagaimana-mencari-modal-memulakan-perniagaan/

Monday, January 5, 2015

Apa pentingnya komunikasi dalam perniagaan?


Oleh: Irfan Khairi

Komunikasi adalah amat penting dalam perniagaan & kerjaya. Sama ada cara kita bercakap dengan boss kita, staff kita, pelanggan kita atau teman sekerja yang lain.

Anda perasan tak bahawa CEO company, selalunya adalah mereka yang hebat berkomunikasi? Mereka yang berpangkat tinggi dalam syarikat adalah mereka yang efektif dalam berkomunikasi? Dan nama-nama ikon perniagaan seperti Donald Trump, Bill Gates, Michael Dell, Anita Roddick (Bodyshop) kesemuanya amat bijak apabila memberi public speaking (komunikasi).

Jawapannya adalah, ianya bermula dengan kebolehan berkomunikasi dengan efektif. Komunikasi yang akan membawa seseorang itu menjadi CEO, komunikasi yang efektif yang akan membawa seseorang itu berpangkat tinggi, serta komunikasi yang efektif juga membawa nama ikon perniagaan bersama perniagaan mereka kepada kejayaan.

Di negara barat, amat jarang kita temui orang yang pemalu, atau segan dalam berkomunikasi. Ini adalah kerana, sejak sekolah lagi mereka dididik mengenai kominikasi berkesan. Di Malaysia pula, ramai yang pendiam, pemalu dan penyegan oleh kerana kebudayaan Malaysia.

Tip hari ini adalah untuk anda fikir sejenak, adakah kelemahan dalam bidang komunikasi yang menghalang kejayaan anda?

Dalam aktiviti jungle tracking, peserta yang dibelakang sekali akan menentukan kelajuan kumpulan itu untuk sampai ke destinasi betul tak? Ini kerana, peserta yang paling lemah di belakang akan mengganggu kelajuan keseluruhan kumpulan, walaupun peserta yang didepan adalah kuat dan laju.

Cuba anda ingat kembali sekiranya anda pernah pergi jungle tracking dengan satu kumpulan, tidak kira betapa laju yang depan (selalunya team leader), tetapi, kalau dah kedepan sangat, team leader tersebut perlu berhenti dan tunggu anak-anak buah yang lain. Terutama yang paling lemah di belakang sekali. bukan?

Pengajarannya adalah, kelemahan inilah yang akan melambatkan anda dalam mencapai matlamat anda.

Perbaiki kelemahan anda yang paling ketara, dan ini akan mencepatkan lagi anda dalam mencapai apa sahaja matlamat anda. Sebelum itu, anda perlu pastikan dan mengaku dimanakah kelemahan anda (dimanakah peserta paling lemah di dalam diri anda). Dengan mengetahui faktor yang paling lemah, baru anda tahu cara memperbaikinya.

Ketika saya baru mula menjalankan perniagaan, kelemahan utama saya adalah dalam bidang komunikasi. Kelemahan ini telah menghalang saya mencapai kejayaan yang lebih baik. Maklumlah, orang Malaysia ramai yang penyegan dan pemalu sama seperti saya juga dulu.

Ada juga yang memikirkan mereka sudah hebat dalam komunikasi, tetapi masih belum mencapai kejayaan yang diinginkan. Puncanya adalah, komunikasi bukan sahaja pada percakapan. Tetapi cara kita berkomunikasi melalui gaya, cara, body language, dan juga cara kita menulis.

Bak kata pepatah, "Communication - the human connection, is the key to personal and career success." - Paul J. Meyer
Media Berbayar (iaitu pengiklanan) masih lagi salah satu cara yang berkesan untuk mempromosikan jenama anda. Namun adakah ia memberikan pulangan yang maksimum terhadap pelaburan anda?

Pengguna muda (Generasi X dan Y ) hari ini kian menggunakan telefon pintar, tablet atau laptop semasa menonton televisyen (TV) dan di Amerika Syarikat sahaja, menurut Google, lebih 77 peratus penonton melakukannya. Ini menunjukkan bahawa mereka adalah multitasker yang melakukan pelbagai aktiviti dalam satu masa.

Tabiat ini dimanfaatkan oleh Papa John’s Pizza untuk mendapatkan pelanggan berbayar yang berkekalan semasa pertandingan akhir Super Bowl Amerika Syarikat di mana kadar pengiklanan TV adalah yang termahal kerana mempunyai rating penonton yang amat tinggi.

Upacara coin toss iaitu melambung syiling untuk menentukan pasukan mana memulakan sepakan juga acara yang paling tinggi tontonannya. Pada 2012 dan 2013, Papa John’s Pizza melancarkan kempen untuk meramalkan keputusan melambung syiling tersebut. Penonton digalakkan mendaftar dan mengundi melalui e-mel. Pemenang akan menerima kod untuk mendapatkan piza istimewa secara percuma.

Papa John’s Pizza tidak pula membeli masa iklan TV pada pertandingan akhir Super Bowl. Sebaliknya bajet itu digunakan untuk menghadiahkan piza percuma kepada penonton yang kini menjadi pelanggan tetap dan berbayar. Jualan sebarang jenama piza adalah yang tertinggi pada setiap pertandingan akhir Superbowl.

Melalui data pelanggan yang menyertai kempen tersebut, Papa John’s Pizza menghantar e-mel susulan mengenai promosi yang akan datang dan ini mampu membina kesetiaan pelanggan mereka.

Melalui Facebook dan Twitter pula mereka mampu mendapatkan lebih ramai peminat, pengikut yang kemudian menjadi tukang canang jenama mereka. Inilah proses yang dikenali sebagai Media Yang Dikongsi (Earned Media).

Kalau dilihat kebanyakan kempen pengiklanan adalah kempen memberi kesedaran dan maklumat sahaja tanpa sebarang aktiviti untuk mendapatkan pelanggan tetap. Alangkah ruginya.

Pengguna hari ini mempunyai gajet untuk memberi maklum balas secara spontan dan mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti yang menarik atau memberi ganjaran atas sebarang pembelian.

Pengumpulan data oleh syarikat pemasaran adalah aktiviti yang tidak boleh dilepaskan kerana data ini adalah aset yang berharga sama ada sebagai peminat, pengikut atau tukang canang terutama melalui media sosial untuk membangunkan jenama anda. Dan mereka ini mampu akhirnya dijadikan pelanggan tetap dan berbayar.

Dengan menggunakan platfom mudah alih, pemasar hari ini mesti memanfaatkan Media Berbayar (Paid Media) agar akhirnya menjadi Media Yang Dikongsi (Earned Media). Di samping itu Media Yang Dimiliki (Owned Media) iaitu kesemua aset pemasaran anda mesti digunakan untuk mempromosikan jenama anda.

Ini termasuklah katalog, papan tanda, mesej e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook, Instagram, aplikasi mudah alih, Twitter, laman sesawang dan apa sahaja yang dimiliki dan dikawal oleh pemasar.

PENULIS adalah Konsultan Komunikasi Pemasaran Lensa Films dan Jurulatih Kanan ClickAcademy Asia. E-mel: adisatriaahmad@gmail.com

Kesemua aset ini belum tentu mampu meraih penonton atau pembaca melainkan ada aktiviti yang menggalakkan pengguna menjadi peminat, pengikut atau tukang canang jenama anda.

Satu cara yang paling berkesan ialah melalui Pemasaran Kandungan (Content Marketing) iaitu proses pemasaran yang menarik, kreatif dan mengekalkan kesetiaan pelanggan anda dengan mencipta kandungan secara konsisten untuk mengubah atau meningkatkan tabiat pengguna terhadap jenama anda. Proses ini dikenali sebagai Pembangunan Audien Yang Dimiliki (Proprietary Audience Development).

Kedua-dua proses ini saling berkaitan. Satu menyediakan kandungan dan satu lagi menggunakan kandungan tersebut.

Inilah proses pemasaran moden terutama dalam era internet dan mudah alih di mana pengguna sentiasa berinteraksi dengan jenama mereka dan bersama komuniti yang mempunyai minat dan keperluan sama. Para ahli pemasaran mesti peka bahawa ketiga-tiga jenis media ini (Media Berbayar, Media Yang Dimiliki dan Media Yang Dikongsi) akan bersatu dan saling kait-mengait untuk mengembangkan saiz, interaksi, perhubungan dan nilai Audien Yang Dimiliki.

Iqbal usahawan muda madu lebah


TANPA disangka, Muhammad Iqbal Taufik Mat Nawi mampu bergelar usahawan tani dalam industri penternakan lebah meskipun tidak menyambung pelajaran ke menara gading .

Anak muda kelahiran Pekan, Pahang yang baru berusia 22 tahun itu hanya berbekalkan keyakinan bahawa dirinya mampu menjadi usahawan berjaya dengan usaha, doa, tawakal serta diiringi restu keluarga.

Melihat industri penternakan madu lebah menawarkan masa depan yang cerah, dia mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam bidang tersebut. Malah, langkahnya untuk terjun ke bidang tani juga dianggap selaras dengan dasar serta saranan kerajaan.

Apa tidaknya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sememangnya menggalakkan lebih ramai petani muda terlibat dalam cabang pertanian baharu seperti penanaman herba, penanaman terumbu karang dan pengeluaran madu lebah yang mempunyai potensi sebagai perusahaan bernilai tinggi.

Menurut Iqbal, walaupun terpaksa bekerja dalam cuaca tidak menentu seperti hujan dan panas yang sudah tentu tidak digemari anak-anak muda lain, namun pengorbanan itu amat setimpal dengan usaha gigihnya sehingga mampu memperoleh pendapatan mencecah RM50,000 sebulan.

“Syukur usaha saya dengan bantuan keluarga mampu mencapai ke tahap sebegini. Walaupun, ramai kawan-kawan memilih untuk menyambung pelajaran ke pengajian tinggi, tetapi gerak hati mahu mencuba nasib dalam industri pertanian ternyata menyebelahi saya.

“Alhamdulillah, pendapatan diperoleh juga lumayan. Namun, saya tetap akan meneruskan kehidupan harian seperti biasa dan sedia untuk berkongsi pengalaman,” katanya yang mula terlibat dalam bidang penternakan madu lebah sebaik sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, dia memilih untuk menternak lebah daripada spesies Apis Mellifera yang berasal dari Australia kerana sifatnya yang jinak.

“Spesies lebah ini mudah dijaga dan tidak banyak kerenah. Malah, kita hanya memerlukan masa kira-kira tiga jam sehari untuk menjaga kesemua populasi haiwan ini.

“Selain itu, berdasarkan kajian, spesies lebah ini juga mengeluarkan madu yang berkualiti tinggi setanding dengan populasi lebah yang hidup liar di hutan,” katanya yang menyanggah persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap lebah sebagai haiwan yang ganas dan gemar menyengat.

Menceritakan bagaimana dia mula berminat dengan prospek perniagaan berasaskan madu lebah, Iqbal menjelaskan, dia mula tertarik selepas mengikuti kursus penternakan lebah dengan seorang kenalan bapanya di Terengganu.

“Dari situ, saya mula menternak lebah secara kecil-kecilan dengan menggunakan modal yang dipinjam daripada keluarga sebelum menubuhkan syarikat pada 2011 iaitu Bee Park Sdn. Bhd.

“Sebaik sahaja tertubuhnya syarikat itu, perniagaan ini semakin berkembang maju sehingga Bee Park berjaya mengeluarkan produk madu jenama sendiri iaitu Madu Akasia Bee Park Pahang,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang ahli Majlis Agropreneur Muda MOA.

Ujarnya, sebagai seorang usahawan, untuk memperoleh kejayaan pasti ada cabarannya. Cabaran hebat itu hadir apabila pusat ternakannya ditenggalami banjir besar pada penghujung tahun lalu.

“Dalam kejadian banjir itu, kira-kira 100 kotak sarang lebah musnah dan kesemua lebah lari ke tempat lain sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM200,000. Namun, bagi saya, ia adalah cabaran yang perlu dilalui semua usahawan sebelum beroleh kejayaan sebenar,” katanya yang kini sedang mengusahakan penternakan lebah di tempat baharu iaitu di Taman Pertanian Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan sementara membangunkan semula pusat penternakannya di Pekan.

Jelasnya, anak muda yang berminat untuk menyertai bidang pertanian baharu disaran berdaftar dengan Jabatan Pertanian untuk menjadi ahli Agropreneur Muda.–DHIYA’ZULHILMI DAUD

KHASIAT MADU LEBAH 
YANG JARANG DIKETAHUI

> Digunakan sebagai ubat sakit perut

> Menghilangkan ketagihan dadah

> Menghilangkan kahak

> Memutih dan menguatkan gigi

> Menghilangkan kesan terbakar pada kulit

> Menguatkan badan bagi yang berumur

Nama penuh: Muhammad Iqbal Taufik Mat Nawi

Umur: 22 tahun

Nama syarikat: Bee Park Sdn. Bhd

Ditubuhkan: 2011

Produk: Madu Akasia Bee Park Pahang

Pusat Penternakan: Taman Pertanian Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Emel: beeparkpahang@yahoo.com

Bunga kantan untung besar



Oleh Mohd Rafi Mamat



Berbudi pada tanah, pasti dapat hasilnya dan jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pepatah itu dibuktikan seorang petani, Ahmad Mustafa Yunus, 57, yang terbabit dengan projek tanaman pokok bunga kantan atau nama saintifiknya Phaeomeria speciosa Koord secara komersial.


AHMAD Mustafa memilih bunga kantan

Projek berkenaan diusahakannya di kawasan seluas dua hektar di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang. 
Kini terdapat 1,000 rumpun pokok berkenaan yang tumbuh subur hingga mencapai ketinggian dua meter membabitkan tiga jenis iaitu bunga berwarna merah, putih dan merah jambu. 

Ahmad Mustafa berkata, dia mula terbabit dengan projek tanaman pokok bunga kantan 20 tahun lalu.

.


Katanya, usaha itu hasil sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyediakan modal permulaan, selain benih.


Menurutnya, aktiviti memungut bunga kantan pramatang dilakukan setiap tiga hari dan purata hasil antara 400 hingga 700 kuntum seminggu. 

Sebelum dipasarkan bunga kantan digred dan diikat setiap sepuluh kuntum. 
Katanya, selain menanam, dia pernah menjadi pemborong dan menjual hasil pertanian itu kepada beberapa pembeli. 

Namun, sejak beberapa tahun lalu dia hanya menumpukan kepada aktiviti pengeluaran bunga kantan saja. 

“Setiap minggu saya, isteri dan anak ke kebun untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti membersih kawasan, melakukan penjarangan pokok, menanam semula, meracun, memungut hasil dan menjual kepada pemborong. 

“Mengusahakan tanaman pokok bunga kantan sangat mudah. Saya hanya perlu membeli racun rumpai terpilih yang digunakan setiap dua hingga tiga bulan sekali,” katanya. 

Pokok berkenaan hidup subur di kawasan berair dan lembap sementara musuh seperti serangga tidak berminat menyerang kerana aroma yang terdapat padanya. 

Ahmad Mustafa berkata, setiap rumpun pokok bunga kantan mampu menghasilkan antara tiga hingga tujuh kuntum bunga bergantung kepada kesuburan dan saiz perdu pokok. 

Hanya bunga yang belum berkembang saja diambil bagi memastikan ia tidak mudah rosak dan busuk apabila terdedah cuaca panas. 

Harga bunga kantan katanya bergantung kepada saiz dan jenisnya iaitu antara 40 hingga 70 sen sekuntum. 

Sebelum ini, dia menjual terus kepada beberapa pembeli pasar Selayang, Selangor dan pasar besar Kuantan setiap minggu, namun kini pemborong datang ke rumahnya untuk mendapatkan bekalan. 

“Sudah 15 tahun saya berulang-alik ke pasar Selayang dan pasar besar Kuantan untuk menjual bunga kantan termasuk pelbagai sayur kampung seperti pucuk paku hijau, ulaman, rebung dan ubi. 

“Permintaan terhadap produk kampung begitu menggalakkan,” katanya. 

Ahmad Mustafa berkata, setiap kali musim buah-buahan dia turut menjual durian, rambutan, dokong, duku dan manggis. 

Aktiviti berkenaan dapat membantu menambah pendapatan penduduk setempat selain mengelak berlakunya lambakan. 

Ahmad pernah menerima Anugerah Peladang Jaya peringkat negeri pada 2002 dan Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan (2004). 

Katanya, bunga kantan jenis merah dianggap terbaik dan mendapat permintaan lebih tinggi dalam kalangan suri rumah dan tukang masak profesional berbanding jenis putih dan merah jambu. 

“Bagi menjaga kualiti dan mutu bunga kantan ia perlu segera dipasarkan sebaik saja proses membersih dan menggred dilakukan. 

“Aspek pembungkusan perlu diberikan perhatian bagi memastikan bunga kantan sentiasa dalam keadaan kering dan tidak mudah patah,” katanya. 

Pokok bunga kantan yang tergolong dalam keluarga halia digunakan sebagai penambah perasa dan aroma makanan selain menjadi penawar pelbagai jenis penyakit termasuk turut digunakan untuk awet muda dalam kalangan wanita Melayu. 

Pokok bunga kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, namun pada waktu tertentu pengeluaran bunga berkurangan dalam tempoh beberapa bulan. 

Ketika bunga kantan berkurangan, katanya dia beralih kepada aktiviti lain bagi menampung pendapatan keluarga. 

“Untuk menambah pengeluaran bunga kantan, saya kini berusaha memulihkan pokok sedia ada. 

“Dengan usia pokok lebih 20 tahun, aktiviti sampingan seperti membaja perlu dilakukan secara berjadual,” katanya yang turut mengusahakan kebun sayur dan buah-buahan tempatan. 

Menurutnya, bagi menambah pendapatan penduduk kampung, dia sedia berkongsi pengalaman mengusahakan kebun tanaman bunga kantan dan mereka yang berminat boleh mencuba projek berkenaan kerana tidak memerlukan modal besar selain penjagaannya mudah. 

Katanya, projek tanaman pokok bunga kantan mampu memberi pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara besar-besaran. 

Harga produk berkenaan di pasaran katanya mencecah RM4 sekuntum terutama pada musim perayaan. 

“Saya sedia bertukar pengalaman dan membekalkan benih kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan. 

“Pokok bunga kantan yang ditanam berbeza terutama dari segi saiznya berbanding yang banyak terdapat di kampung. 

“Mereka yang berminat boleh datang melihat projek yang saya usahakan dan dari situ mungkin akan datang minat,” katanya. 

Tanaman berkenaan katanya, sesuai dilakukan secara sambilan kerana tidak memerlukan modal besar, sebaliknya mampu memberi keuntungan besar.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bungakantanuntungbesar/Article/index_html
Related Posts with Thumbnails