BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Tuesday, February 21, 2012

3-akhlak-menjual-cara-Rasulullah

Sabda Rasulullah bermaksud,


“Aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar, aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun bergurau, dan aku menjamin dengan sebuah istana yang tertinggi bagi orang yang membaguskan akhlaknya” [Hadis Riwayat Abu Dawud].


Itulah janji Rasulullah SAW ganjaran khas buat kita jika dapat menunaikan tiga perkara penting dalam kehidupan kita sehari-harian. Bukan sahaja setakat dalam kehidupan sahaja, tetapi juga dalam pekerjaan kita dalam melakukan aktiviti jualan.

Bagi memastikan kejayaan dalam melakukan jualan, perlu ada kejayaan terlebih dahulu dalam diri kita untuk diperbetulkan. Cabaran memang besar, tetapi kalau kita hadapinya dengan baik dan berkesan sudah pasti hasilnya juga baik untuk kita.

Kerana itu kita amat disarankan agar sentiasa bersabar, tenang dan tidak mudah mengeluh dalam menghadapi segala macam dan bentuk cabaran, rintangan, dugaan dan masalah yang timbul samada ianya kecil atau sukar yang amat sangat.

3 Akhlak Rasulullah Berkaitan Aktiviti Menjual

Tiga perkara yang disaran oleh Rasulullah SAW untuk kita sama-sama menjaganya, terutama ketika melakukan jualan lebih beretika dan profesional adalah:

#1 – Jangan Berdebat

Sama sekali ketika kita melakukan persembahan dan presentasi memberikan penerangan, ataupun ketika berlakunya bangkangan jualan, pastikan yang kita tidak sama sekali berdebat.


Apatah lagi hendak meninggikan suara kepada pelanggan kita. Sedangkan Rasulullah SAW tidak menggemarinya. Apatah pula pelanggan yang berada di hadapan kita.

Pasti ianya akan memberikan satu imej yang tidak baik kepada diri kita. Kita yang hendakkan pelanggan tersebut menerima tawaran kita, maka sepatutnya biarlah kita sahaja yang beralah dan bukannya pelanggan tersebut.

Jika ianya berlaku juga, ambil tindakan bijak dan pantas supaya pelanggan tidak menyedari yang kita juga sudah naik angin dibuatnya, hanya semata-mata perangai atau sikap buruk yang telah ditunjukkan oleh mereka.

Layanilah dengan kemesraan dan banyak bersabar dalam segala hal menghadapi dugaan yang mendatang. Lebih baik terus mendiamkan diri daripada terus bersuara mempertahankan apa yang diperkatakan.

Walaupun apa yang diperkatakan itu adalah betul dan benar, tetapi tetap juga salah hanya disebabkan kerana pelanggan melihat ia sebagai satu kesalahan.

#2 – Jangan Menipu

Elakkan daripada menipu sama sekali. Disebabkan hendak kejar sasaran dan komisen, tidak pasal-pasal dapat dosa. Perbaiki dan perkemaskan diri kita.

Fahami sepenuhnya tentang pengetahuan produk sebelum melakukan pertemuan dengan pelanggan.

Penerangan biar jelas dan mudah untuk mereka fahami supaya tiada satu pun yang akan diperkatakan di kemudian hari.

Biar ikhlas dan jujur apabila memberikan penerangan, menghadapi bangkangan, mendapatkan penutupan jualan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.

Niat perlu betul supaya kita perlukan pelanggan untuk kita beri bantuan sewajarnya dan bukannya untuk mendapatkan keuntungan begitu sahaja.

#3 – Pelihara Akhlak

Budi pekerti dan bersopan santun amalan kita semenjak dari dahulu lagi. Kekalkan mana yang baik tanda keperibadian sebenar kita.

Menjaga Akhlak Sebagai Penjual

Jangan cepat melatah, apatah lagi menyombong diri menunjukkan keegoan kita yang tidak bertempat. Bertemu dengan pelanggan jangan sama sekali bercakap besar dan meninggi diri.

Ditakuti selepas ini, tiada siapa pun pula akan teringin bertemu dan melakukan temu janji lagi dengan kita.

Tidak salah merendah diri dan tidak salahnya kita selalu beralah dengan kerenah dan perangai pelanggan yang kita temui. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Akhlak yang baik sentiasa dihormati orang walaupun ke mana juga kita pergi dan berada. Pelanggan pasti akan bergembira dan merasa selesa dengan kehadiran kita.

Apabila mereka sudah mula selesa, maka semakin mudah kita melakukan jualan.

Menjual Sambil Mengumpul Saham Akhirat

Apabila kita lakukan tiga perkara ini dengan baik dan sempurna seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah SAW, bermakna kita telah lalui dan lakukan satu sunah Rasulullah SAW.

Bukan sekadar ganjaran pahala sahaja yang kita peroleh. Tetapi janji Rasulullah SAW untuk menghadiahkan istana juga boleh didapati di akhirat kelak.

Satu kerja boleh perolehi pelbagai ganjaran yang boleh kita terima dengan sewenang-wenangnya di dunia, mahupun di akhirat tanpa merasa susah payah yang amat sangat.

Taat kepada Allah dan Rasulullah ternyata amat mudah untuk kita lakukan. Personaliti dan imej kita dibawa ke mana juga kita pergi, bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan untuk bertemu dan mendengar apa yang akan kita persembahkan nanti kepada mereka.

Sumber:majalahniaga.com

Wednesday, February 8, 2012

Berniaga dari Rumah

Ramai yang bercita-cita untuk menjadi orang yang berjaya. Wang ringgit selalunya menjadi ukuran sejauh mana seseorang itu berjaya dalam hidup atau kerjayanya. Ramai yang mendambakan kereta mewah, rumah tersergam indah, pembantu rumah tidak kurang dari 2 orang untuk memasak, mengemas rumah, peluang bercuti ke luar negara setiap tahun dan sebagainya.

Secara konvensional dan apa yang selalu orang percaya, cara untuk berjaya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sewaktu dibangku sekolah dan menimba ilmu hingga ke menara gading. Jika seseorang dapat merangkul segulung ijazah maka cerahlah masa depan. Secara normalnya, keadaan inilah yang kita lihat terjadi. Jika seseorang tidak mahu mengikuti jalan tersebut iaitu untuk mendapat kelayakan akademik, maka sangat sukar untuk berjaya di dalam kerjaya sekali gus sukar untuk hidup mewah.

Namun begitu tidak semua orang bernasib baik daripada awal kehidupan dan mendapat peluang untuk mengikuti kelas secara rasmi dan formal di sekolah. Masih ada sesetengah golongan yang tidak berpeluang untuk ke sekolah, apatah lagi melanjutkan pelajaran ke menara gading. Golongan ini tidak dapat mengecapi kemewahan hanya kerana mereka tidak mempunyai peluang!

Walau bagaimanapun, bak kata pepatah melayu di mana ada kemahuan, disitu ada jalan. Sekali hati nekad untuk berjaya, walau apa rintangan yang datang pasti semangat itu tidak luntur. Inilah yang dialami oleh Puan Suria yang selalu percaya bahawa dia akan berjaya dengan hanya berniaga dari rumah. Puan Suria baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke 40 tahun. Ramai yang hadir antaranya saudara mara serta rakan taulan. Pada majlis sambutan hari lahirnya juga, Puan Suria menghidangkan kek kukus hasil kerja tangannya sendiri. Puan Suria sangat gembira bukan kerana majlis itu adalah untuk meraikan hari lahirnya, tetapi beliau gembira kerana hasil titik peluh membuat kek kukus saban hari, saban malam hingga terpaksa bersekang mata telah membuktikan bahawa usaha itu tangga kejayaan.

Puan Suria tidak belajar daripada buku teks untuk merasai betapa usaha lah yang sebenarnya akan meletakkan seseorang itu di tangga kejayaan. Puan Suria merasai dan melaluinya secara praktikal. Puan Suria tidak hanya membaca ungkapan “Usaha itu tangga kejayaan” di dada buku tetapi perkataan itu sentiasa tersemat di hati dan mindanya terutamanya di saat beliau merasa putus asa apabila kek yang dikukusnya tidak menjadi. Ini berlaku pada awal penglibatannya dalam perniagaan kek kukus dari rumah.

Oleh kerana Puan Suria tidak mampu untuk menyertai mana-mana kelas membuat kek, beliau hanya mencuba memulakan perniagaan kek kukus secara perlahan-lahan. Suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain akan dipaksa oleh Puan Suria untuk merasa kek kukus beliau setiap kali mereka berkunjung ke rumahnya. Setiap orang yang mencuba kek kukus Puan Suria pasti akan ketawa apabila mengimbau kembali detik mereka diarahkan oleh Puan Suria untuk mencatat segala komen dan cadangan yang terlintas dikotak fikiran mereka selepas mencuba kek yang dikukus Puan Suria. Sudah 10 tahun usia perniagaan yang dijalankan Puan Suria dari rumahnya sahaja. Sudah banyak perubahan yang berlaku dalam hidup Puan Suria sekeluarga sejak beliau menjalankan perniagaan ini.

Pada awalnya, Puan Suria mencuba membakar dan mengukus pelbagai resepi kek buah dan juga kek jenis yang lain. Setiap kali proses membakar atau mengukus kek, Puan Suria akan membuat perubahan keatas resepi kek berdasarkan komen atau cadangan yang diberikan oleh sanak saudara, sahabat dan ahli keluarga. Kebetulan pula kebanyakan mereka yang memberi cadangan menyatakan kek buah kukus hasil resepi yang direka sendiri oleh Puan Suria enak sekali. Ia juga tahan lama kerana cara pembuatan kek kukus ini adalah melalui proses yang sistematik dan kebersihan amatlah dititik beratkan.

Kelainan pada resepi dan cara pembuatan adalah rahsia tersohornya kek kukus Puan Suria. Buah-buahan kering untuk membuat kek dibeli berasingan daripada kedai bahan-bahan kek yang terkenal di Lembah Kelang ini. Buah-buahan kering tersebut akan direndam dan diperap dengan campuran sos yang unik. Sos diperbuat daripada campuran gula perang, serbuk kulit kayu manis, serbuk herba campuran serta kulit oren yang diparut halus. Bahan-bahan ini direndam selama satu malam. Sudah tentu kita pun boleh bayangkan rasa sos yang meresap ke dalam buah-buahan kering tadi.

Puan Suria amat menitik beratkan tempat penyediaan yang bersih. Semasa penyediaan, beliau akan memastikan pakaian yang dipakai olehnya adalah lengkap dan mematuhi cara pengendalian membuat produk makanan. Puan Suria hanya mendapat pendedahan tentang maklumat pengendalian makanan yang betul sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ini juga adalah bermula dari inisiatif beliau sendiri untuk menghadiri kursus-kursus yang penting untuk membuktikan kepada pelanggan bahawa beliau juga tidak lokek untuk membuat pelaburan demi untuk menghasilkan produk makanan yang enak, bermutu serta bersih dari segi bahan-bahan yang digunakan. Bahan pengawet dan perasa tiruan tidak pernah dicampurkan sebagai bahan untuk membuat kek.

Sehingga waktu ini, beliau masih lagi belum selesa untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat kilang kerana pada pendapat beliau tujuan asal menghasilkan kek kukus dari rumah ialah kerana produk makanan ini jarang diceburi peniaga lain. Proses mengukus yang lama untuk memastikan kek masak dengan betul serta dapat mengekalkan rasa yang enak. Puan Suria masih mengenakan harga yang berpatutan walaupun harga bahan-bahan yang diguna sudah melambung naik. Bagi Puan Suria, jika beliau ikhlas untuk menolong pelanggannya menikmati kek kegemaran mereka, rezeki akan datang dengan mudah.

Sekitar lima tahun kebelakangan ini, Puan Suria sudah menambah alatan untuk mengukus kek kepada lebih 20 biji periuk pengukus. Suaminya yang juga mahir dalam kerja-kerja binaan telah menyediakan bahagian dapur yang sesuai untuk mengukus kek sehingga 20 biji dalam satu masa.

Pesanan untuk kek buah kukus Puan Suria akan datang pada bila-bila masa sahaja. Jika pada waktu awal penglibatan beliau di dalam perniagaan ini, pesanan hanya datang dari jiran tetangga, sahabat handai dan sanak saudara sahaja. Tetapi sejak lima tahun yang lepas, pesanan datang daripada segenap pelusuk negara. Ada yang memesan melalui telefon, rakan dan jiran dan ada juga yang memesan melalui laman blog Puan Suria.

Kisah menarik tentang laman blog Puan Suria sebenarnya dizahirkan secara kebetulan sahaja. Salah seorang pelanggan setia kek kukus Puan Suria yang bernama Cik Marini merupakan seorang yang mahir dalam penulisan laman blog. Oleh kerana sudah sekian lama Cik Marini menggemari kek kukus Puan Suria, satu hari dia bertekad untuk melawat Puan Suria di rumahnya dan melihat sendiri bagaimana proses membuat kek kukus. Bermula dari waktu itu, Cik Marini pada mulanya mempromosi kek kukus Puan Suria di laman blognya sahaja. Tetapi lama kelamaan, mereka berdua bersahabat dan Cik Marini telah memberi tunjuk ajar supaya Puan Suria juga boleh membangunkan laman blognya sendiri dan sekali gus dapat mempromosi kek kukusnya.

Puan Suria akui bahawa pada awalnya beliau amat kekok untuk membangun apatah lagi untuk meguruskan laman blognya itu. Akan tetapi dengan disiplin dan etika kerja yang teratur, Puan Suria menyediakan jadual harian dan mingguan untuk menguruskan pesanan melalui blog. Beliau juga akan memastikan maklumat dan gambar-gambar dikemaskini mengikut jadual.

Apabila seseorang menjalankan perniagaan dari rumah, penghantaran produk mestilah dibuat dengan cara yang teratur. Lebih-lebih lagi jika produk yang anda jual melibatkan produk makanan. Puan Suria memilih pelbagai cara penghantaran mengikut kesusaian lokasi pelanggan. Penghantaran kepada pelanggan akan dikenakan bayaran yang berpatutan mengikut kos yang dikenakan oleh ajen penghantaran seperti pejabat pos dan sebagainya. Ada juga pelanggan yang datang untuk mengambil kek mereka sendiri.

Kek kukus Puan Suria boleh tahan lama. Oleh itu, beliau juga pernah membuat penghantaran kek ke luar negara seperti ke Singapura, Indonesia, India dan beberapa tempat di negara Eropah. Kebanyakan pelanggan yang berada di luar negara adalah terdiri daripada orang Malaysia yang bekerja atau belajar di negara-negara tersebut. Mereka mengetahui akan kek kukus Puan Suria melalui laman blog. Setakat ini semua pelanggan dari luar memberi komen yang positif terhadap rasa dan cara pembungkusan kek kukusnya. Walaupun masa penghantaran yang agak lama dan jarak yang jauh, kek kukus Puan Maria masih tidak terusik seperti hanya datang dari rumah berdekatan!

Bohonglah jika seseorang yang menjalankan perniagaan tidak pernah melalui kesukaran dan cabaran. Puan Suria juga pernah mengalami pelbagai kerenah pelanggan dan kesulitan untuk berjaya sehingga ke tahap ini. Suatu kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh Puan Suria berlaku pada dua tahun yang lepas apabila beliau menerima pesanan yang agak banyak daripada seorang pelanggan melalui laman blognya. Akan tetapi, selepas pesanan dibuat dan kek sudah siap, pelanggan menghilangkan diri tanpa berita. Bayaran tidak dibuat. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Puan Suria mengambil langkah untuk membuka gerai sementara di kawasan pasar tani berdekatan bandar untuk menjual kek-kek yang tidak dituntut pelanggan. Pada waktu itu, nasib menyebelahi Puan Suria kerana bukan sahaja kek kukus beliau habis terjual tetapi kejadian itu telah melonjakkan lagi promosi terhadap kek kukusnya. Bertitik tolak dari saat itu, Puan Suria terus yakin bahawa apa jua kesulitan yang dialami untuk memajukan perniagaannya, pasti ada hikmah dan penyelesaian yang akan muncul. Yang penting tidak putus asa dan tidak boleh ada perasaan malu!

Walau bagaimanapun, setiap kesusahan dan cabaran yang dialami mestilah dijadikan pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak berulang. Puan Suria mengambil langkah untuk mengenakan bayaran sebanyak 50% daripada jumlah keseluruhan tempahan kepada pelanggan yang tidak dikenalinya.

Pada kesimpulannya, seseorang pastinya boleh berjaya dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi jika mempunyai wawasan dan objektif yang nyata. Disiplin serta sikap sabar yang tinggi haruslah disemat dalam diri. Inilah yang diamalkan Puan Suria yang kini sudah boleh berpuas hati dengan pendapatan perniagaan kek kukus dari rumah mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Sumber:usahawan.com

Strategi Daripada Peniaga Kecil Kepada Jutawan

Perniagaan merupakan satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh memberikan pulangan lumayan khsusus bagi mereka yang serius dalam menjalankan bisnes yang diceburi. Tidak kiralah berniaga apapun, yang penting prospek perniagaan sememangnya salah satu cabang untuk seseorang itu bergelar jutawan.

Fakta sendiri telah membuktikan bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada golongan para peniaga. Contohnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan antara jutawan Melayu terkemuka di Malaysia yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan.

Begitu juga dengan pelakon Ezany Nizariff yang memiliki kilang kicap dan belacan berkat usaha gigihnya dalam perniagaan lantas berjaya meraih pulangan yang lumayan. Menariknya, hanya dengan belacan sahaja sudah mampu untuk mengangkat seseorang itu menjadi jutawan!! Hatta peniaga kecil yang menjalankan perniagaan mengikut startegi yang betul juga sebenarnya mampu untuk bergelar jutawan pada masa akan datang.

Beberapa strategi dan panduan telah digariskan untuk memandu para peniaga kecil terus giat berusaha bagi memastikan perniagaan berkembang maju dan mampu untuk bergelar jutawan yang Berjaya satu masa nanti.

Mesti Pandai MENCURI!!

Haa!! Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam lapangan perniagaan, pihak tersebut mestilah pandai mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri yang dimaksudkan ini bukanlah bererti perlu melakukan jenayah, tetapi mencuri yang dimaksudkan adalah bijak mengambil peluang yang ada dalam dunia perniagaan yang mana peluang-peluang tersebut dapat membantu untuk meningkatkan lagi kejayaan perniagaan tersebut. Peniaga yang bijak akan memerhatikan keperluan semasa masyarakat sekeliling.

Contohnya, sekiranya di suatu kawasan penempatan tersebut tidak ada menyediakan perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan menggunakan peluang tersebut dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh bermula secara kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang dalam perniagaan. Melihat kelemahan sebagai satu peluang. Bijak mengambil dan menggunakan peluang yang ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk seseorang individu menempa kejayaan yang lebih besar. Ini kerana, tidak semua orang akan melihat peluang itu sebagai satu peluang. Mungkin ada yang melihat peluang itu sebagai satu kekurangan dan kelemahan berbeza dengan mereka yang berfikiran kreatif dan inovatif.

Berpandukan kepada situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia, masih banyak lagi ruang yang ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan sayap perniagaannya. Terutama pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka peluang kepada para usahawan kecil untuk memajukan lagi perniagaan dengan pihak kerajaan siap sedia menghulurkan bantuan perniagaan khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai juga dalam kalangan peniaga masa kini tidak mengetahui skim-skim bantuan kewangan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dapat membantu menaikkan lagi perniagaan mereka.

Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu para usahawan dan peniaga kecil adalah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dan banyak lagi. Kesemua ini merupakan peluang yang disediakan pihak kerajaan semata-mata untuk menarik minat masyarakat supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan iaitu bagi mereka yang telahpun memiliki perniagaan sendiri. Terpulanglah kepada kita sama ada untuk ‘mencuri’ peluang yang terhidang ini atau tidak.

Motivasi yang Tinggi

Kegagalan merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga. Tetapi tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak boleh mengecapi kejayaan selepas itu. Malah kegagalan dalam perniagaan sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan sebagai satu motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan semula perniagaan yang telah mengalami kegagalan.

Motivasi yang tinggi merupakan satu resepi bagi setiap jutawan. Anda tanyalah kepada mana-mana jutawan sekalipun, mereka pasti akan menjawab bahawa jika ingin berjaya, semangat dan daya usaha mestilah seiring dan jangan sekali-kali berputus asa. Peniaga kecil khususnya yang cepat tewas dengan ujian dan kegagalan yang melanda perniagaan mereka akan menyebabkan mereka terus gagal!! Berbeza dengan mereka yang mempunyai kecekalan dan mentaliti yang kuat, kegagalan yang menimpa diibaratkan sebagai satu cabaran untuk mereka terus berusaha dan berjaya.

Setiap peniaga harus mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk memperoleh kejayaan dan kekayaan. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam perniagaan, lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia tindakan tepat..”

Peniaga harus tekun, sabar dan gigih dalam menjalankan perniagaan. Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting. Berusahalah dengan sebaik-baiknya. Biarpun perniagaan yang dijalankan bermula dengan kecil-kecilan dan perlahan tetapi sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil yang mengagumkan.

Rasulullah S.A.W juga telah menunjukkan satu contoh yang cukup baik dalam berniaga. Baginda begitu menekankan faktor kejujuran dan kesabaran dalam berniaga. Hasilnya, kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap Baginda S.A.W bertambah. Begitu juga dengan kita pada hari ini, sekiranya kita amalkan nilai-nilai murni dalam perniagaan pastinya perusahaan yang kita jalankan akan mendapat perhatian dan menarik lebih ramai pelanggan. Impaknya, perniagaan menjadi bertambah maju dan berjaya. Ingat!! Sikap anda dalam menguruskan perniagaan akan memberi kesan kepada perniagaan anda sendiri.

Lain Daripada Yang Lain

Ya, lain daripada yang lain. Kadang-kadang apabila kita membuat sesuatu perkara yang pelik, kita akan mendapat perhatian yang lebih berbanding kita membuat perkara-perkara yang biasa. Contoh, apabila kita memakai baju secara terbalik dan kemudian kita berjalan di pasar raya, pasti kita akan menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Memanglah memalukan dan kelakar tetapi inilah yang dikatakan lain daripada yang lain.

Konsep ini sangat berkesan apabila diaplikasikan dalam perniagaan. Kita menjual minuman ABC sama seperti peniaga yang lain, akan tetapi ABC yang kita jual mengandungi aiskrim. Maka tidak mustahil sekiranya ABC yang kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan. Walaubagaimanapun, untuk menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu mestilah berfikiran kreatif dan kritis.

Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu cara yang boleh memberi kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan terhadap produk yang kita jual atau kelainan dari segi cara kita memasarkan produk yang sedia ada. Aspek kelainan ini merupakan satu langkah yang dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus membuatkan pernigaan menjadi lebih terkenal. Siapa sangka dari sekecil-kecil perniagaan boleh berkembang pesat sehingga melayakkan kita untuk bergelar jutawan melalui perusahaan yang dijalankan.

Contoh, kita boleh melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan adik beradik yang begitu terkenal dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu KRU. KRU adalah antara sutradara yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan. Kebanyakkannya mempunyai kelainan yang tersendiri.

Bermula dengan Cicakman iaitu merupakan filem tempatan terawal yang dihasilkan menggunakan sepenuhnya teknik Kesan Khas (CGI) sehingga berjaya meraih kutipan kasar sebanyak RM5.15 juta pada tahun 2006!! Terbukti, aspek lain daripada lain iaitu penggunaan teknik CGI oleh KRU untuk menghasilkan Cicakman membuahkan hasil yang begitu memukau. Oleh itu, setiap para peniaga kecil perlu menanamkan keazaman yang tinggi dan terus berfikiran kehadapan untuk menghasilkan sesuatu produk yang lebih menarik.

Persaingan Sihat

Dalam sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya selalu wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus untuk perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan buruk kepada perniagaan.

Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik terutama oleh para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk meneruskan perusahaan yang dijalankan. Berapa ramai dalam kalangan peniaga kecil pada hari ini yang gagal berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan? Ada dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku khianat kepada peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki oleh peniaga tersebut. Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada peniaga lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat. Pergaduhan juga boleh berlaku.

Oleh itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menanganinya. Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga lain sebagai sesuatu yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut berlumba-lumba dengan yang lain untuk meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan.

Sekali lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan sesekali membuat helah kerana tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan apa yang dikerjakan..”

Ini bermaksud dalam perniagaan, kita perlu berlumba dengan para peniaga yang lain melalui cara yang baik. Ingat, sebagai peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya carilah seramai mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita tidak akan selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam perniagaan.

Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan masalah dan kerugian kelak. Islam juga melarang sama sekali menipu dalam berniaga seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual barang-barang yang rosak, menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa bekalan barangan tersebut kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi serta bermacam lagi. Apa yang penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang tidak baik adalah rezeki yang tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam.

Banyak lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh peniaga-peniaga kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walaubagaimanapun, percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan sekiranya keempat-empat elemen diatas diamalkan dengan baik.

Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan, tetapi berkat ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan. Islam sendiri telah menegaskan bahawa perniagaan merupakan 9/10 daripada pintu rezeki.

Fakta ini ternyata relevan apabila begitu ramai jutawan yang lahir didunia hari ini dengan bersandarkan kepada bisnes yang dijalankan. Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan dalam kadar yang kecil, tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus berusaha meningkatkan mutu perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut berada dalam kelompok jutawan yang disegani pada satu hari nanti. Semoga berjaya!!

7 Tips Memajukan Perniagaan

Setiap perniagaan yang diusahakan mempunyai harapan yang tinggi, agar perniagaan itu terus maju dan berjaya serta dapat mengubah masa depan agar tidak ditindas pihak lain. Tiada sesiapa yang mengharap perniagaan yang dijalankan musnah dengan wang ringgit yang dikeluarkan. Namun, tidak semua perniagaan yang diusahakan mampu menetapkan jumlah pelanggan di dalam atau di luar negara. Tidak kira sebarang jenis perniagaan yang dijalankan samada melibatkan penjualan produk, servis, nasihat dan sebagainya.

Kecekalan dan semangat yang kental sangat diperlukan bagi memastikan cita-cita yang diimpikan tercapai
. Perniagaan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah. Kerana ia mengambil masa dan memakan tempoh yang agak panjang. Sambutan pelanggan dalam perniagaan yang dijalankan mempunyai beberapa cara untuk dicapai.

Beberapa tips ini perlu diamalkan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan menjanjikan pulangan yang lumayan dan memberangsangkan. Perkara pertama yang perlu kita amalkan adalah tips untuk mempelajari tentang keadaan kawasan yang menjadi tempat untuk memulakan perniagaan.

Jika kita memulakan perniagaan yang padat dengan penduduk dan menjadi pusat pentadbiran, hasilnya akan positif. Sebaliknya jika kita membuka perniagaan di kawasan kampung yang tiada kemudahan dan sambutan ramai maka, perniagaan kita tidak akan bertahan lama.

Mengkaji tentang suasana dan kedudukan

Kita perlu mengkaji tentang latar dan faktor kedudukan tempat baru itu. Jika ia merupakan kawasan yang didiami pelajar dan pekerja, membuka kedai dobi adalah cadangan yang baik. Kerana golongan seperti ini lebih cenderung untuk menghantar pakaian yang kotor kedai dobi dari dicuci sendiri.

Jangan pula di kawasan seperti itu kita mulakan dengan perniagaan besi buruk dan barang kitar semula. Selain itu, kawasan seperti ini juga sesuai dibuka perniagaan makanan dan minuman. Kerana pelajar dan pekerja sentiasa memerlukan tenaga untuk pergi belajar dan pergi bekerja. Katakan juga keinginan untuk memulakan kedai alat tulis dan perkhidmatan potostet di kawasan yang sama.

Pendek kata, sesuatu kawasan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Kerana perniagaan ini bukan untuk suka-suka dan main-main, sebaliknya sesuatu yang serius dan berat.

Mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai

Tips yang seterusnya adalah mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai. Bukan sekadar seorang yang mempunyai wang untuk dilaburkan sahaja. Setidak-tidaknya minat dan hobi pada benda yang sama akan menampakkan lagi usaha yang dijalankan. Kerana manusia tidak akan jemu dan bosan melakukan sesuatu yang menjadi kegemaran mereka. Katakan Yusri dan Lisa mempunyai minat yang sama dalam bidang penerbitan dan periklanan. Jadi, mereka telah bersetuju dan melaburkan sejumlah wang untuk memulakan perniagaan ini di sebuah kawasan yang menjadi tumpuan. Kerana minta dan pendapat dalam bidang yang sama sangat tinggi, perniagaan mereka semakin maju. Kerana masing-masing memberi komitmen yang baik dalam perniagaan ini. Bukan hanya seorang sahaja yang perlu bekerja, sebaliknya kedua-dua belah pihak rakan kongsi ini. Pendek kata, perniagaan mereka maju kerana minat dan hobi dalam bidang yang sama.

Bermula secara kecil-kecilan

Tidak semua perniagaan itu perlu diusahakan secara besar-besaran yang menelan belanja sehingga jutaan ringgit. Sekadar sebagai hobi dan minat untuk memenuhi masa dan boleh dijadikan sebagai pendatan sambilan sudah memadai.

Contohnya Pak Abas yang menjalankan perniagaan menjual kerepek di kampungnya. Perniagaan ini adalah perniagaan warisan daripada ayahnya dahulu. Jadi, Pak Abas membantu ayahnya yang telah tua kerana sudah tidak mampu melakukan pekerjaan berat lagi. Semakin lama, minatnya telah mendalam dalam dunia perniagaan dan dia menguruskan sepenuhnya perniagaan ini selepas kematian ayahnya. Pada awal penglibatan dalam dunia penjualan kerepek, arwah ayah Pak Abas berniaga dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas Pak Abas mengambil alih, dia telah membuat pinjaman dengan bank untuk mendirikan sebuah kilang pembuatan kerepak yang terletak di belakang rumahnya. Pendapatanya semakin maju tambahan pula semasa musim perayaan dan juga musim perkahwinan. Kerana Pak Abas telah mendapat pengalaman yang banyak semasa membantu arwah ayahnya dahulu. Kini, Pak Abas telah mendirikan lima buah kilang di daerah dalam negerinya.

Mengupah pekerja yang boleh dipercayai

Setelah mempunyai kedudukan yang baik dalam perniagaan yang diceburi, pasti kita ingin meluaskan perniagaan itu. Katakan perniagaan kedai pakaian lelaki dan wanita. membuka cawangan baru memerlukan lebih ramai perkerja untuk menguruskannya. Maka, kita perlu mengupah orang yang boleh dipercayai untuk memastikan perniagaan yang diusahakan selama ini tidak dirosakkan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kita. Mungkin kita boleh mengupah jiran yang telah lama kita kenali sebelum memulakan perniagaan itu atau juga mengupah kawan-kawan yang sudah kita maklum dengan hati budi mereka. Jika tidak, perniagaan kita akan musnah berikutan ada pihak yang iri hati dengan kesenangan dan kemewahan yang kita capai. Oleh sebab itu, kita perlu menjalin perhubungan yang baik dan tidak bermusuh dengan semua orang agar kita juga selamat dan perniagaan kita terus maju.

Mempunyai strategi yang berkesan

Selain itu, untuk memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya, kita juga perlu mempunyai strategi yang berkesan. Bukan sahaja perniagaan, setiap pekerjaan yang dilakukan juga memerlukan perancangan yang sempurna. Jika tidak impian itu akan musnah di pertengahan jalan.

Contohnya memulakan perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi. Dalam dunia yang serba canggih dan maju ini, kita sering dihantui dan dibayangi dengan pelbagai wabak penyakit yang disebabkan penyalahgunaan bahan kimia industri, wabak penyakit yang disebabkan bahan kimi berlebihan dalam bekalan makanan seperti sayur dan wabak penyakit berjangkit yang mudah disebarkan melalui migrasi manusia atau haiwan.

Wabak penyakit berbahaya memang sukar untuk diubati, tetapi kita masih mempunyai peluang untuk mencegahnya. Maka, perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi sentiasa mendapat sambutan yang baik kerana kita tidak mampu menjangka saat kita akan ditimpa penyakit. Perniagaan ini adalah perniagaan yang mampu memberi keuntungan kepada pengusaha. Masyarakat hari ini juga semakin bijak untuk menentukan ubat yang berkesan bagi penghalang penyakit merebak.

Mendengar dan mengikuti kemahuan pelanggan

Pihak yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan itu adalah pelanggan dan orang ramai. Maka, hasrat dan kemahuan mereka perlu diambil kira dan tidak boleh dipandang ringan. Jika tidak, pelanggan akan lari dan kita yang akan mengalami kerugian kerana gagal memenuhi kehendak mereka. Sekurang-kurangnya kehendak pelanggan memberikan kita sesuatu yang baru untuk dicuba dalam dunia perniagaan itu.

Contoh yang paling rapat dengan masyarakat adalah perniagaan francais iaitu McDonalds, yang berjaya meluaskan perniagaan ke serata dunia. McDonalds di India telah menyediakan menu khas bagi penduduk India dengan menyediakan burger ayam. Mereka telah tampil dengan Chicken Maharaja Mac, kerana meraka tidak boleh memakan daging.

Selain itu, di Itali pula, mereka telah menyediakan burger yang disajikan dengan daging khinzir. Di Norway pula, burger telah disajikan dengan kepingan daging ikan salmon yang menjadi kegemaran penduduknya. Manakala di Thailand, ia juga disajikan dengan memasukkan perisa tomyam yang disesuaikan dengan selera pelanggan. Tidak kurang hebat juga dengan McDonalds di Malaysia.

Bersedia untuk memulakan perniagaan yang besar

Perniagaan yang semakin maju menjadi idaman semua usahawan. Tetapi adakah kita sudah bersedia untuk memulakan perniagaan ke peringkat yang seterusnya? Kejayaan kita mampu diukur setelah kita melihat dan merasakan sambutan yang diterima ramai orang. Katakan dulu Iqbal hanya menjual laksa dengan menaiki motorsikal sahaja.

Selepas 5 tahun bersusah-payah, dia telah mengumpul wang yang banyak dan membuka sebuah kedai laksa bersama adik lelakinya. Memang cita-cita Iqbal untuk membuka sebuah kedai laksa daripada resipi arwah ibunya. Dia telah bersedia dengan sepenuhnya. Dengan pembukaan kedai baru itu, Iqbal menjadi semakin bersemangat untuk bekerja dan juga untuk merubah masa depannya. Semakin hari, perniagaannya semakin maju. Kerana Iqbal sudah mempunyai pelanggan tetap selama 5 tahun sepanjang dia berniaga menaiki motorsikal roda tiga.

Secara kesimpulannya, tips ini perlu diamalkan agar perniagaan yang kita ceburi itu menampakkan hasil dengan titik peluh yang dikorbankan. Kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat. Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam erti kata yang mudah, setiap usaha yang kita lakukan pasti akan membuahkan hasil apabila tiba masanya nanti. Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkan-Nya.

Rahsia Idea, Inovasi dan Kejayaan Walt Disney

Sebagai inspirasi kepada para pembaca dan diri penulis sendiri, artikel kali ini akan menyentuh mengenai kisah kehidupan Walt Disney iaitu pengasas siri kartun dan taman tema Disneyland yang kini terkenal di seluruh di dunia.

Kejayaan Walt Disney tidak bermula dengan kisah gembira dengan serta merta. Pada tahun 1928, ketika beliau berusia hanya 26 tahun dan bekerja sebagai pakar animasi kartun, beliau telah berjaya menghasilkan karakter kartun yang menjadi popular pada waktu itu, Oswald the Lucky Rabbit.

Urutan dari kejayaan karakter kartun tersebut, beliau mengambil keputusan untuk pergi ke bandar New York bagi membawa siri kartun tersebut pergi lebih jauh dengan bekerjasama dengan Universal Studio.

Namun beliau mendapati dirinya terperdaya apabila Universal Studio secara licik memperoleh hakcipta kartun tersebut daripada beliau.

Apa yang lebih mengejutkan beliau, para pekerja studio beliau yang bekerja bersamanya untuk menghasilkan siri kartun tersebut turut diambil alih oleh Universal Studio.

Mortimer atau Mickey Mouse?

Dengan perasaan kecewa, beliau pulang ke California dengan menaiki keretapi. Namun, jauh di dalam jiwanya, beliau tidak mengalah dan patah semangat.

Mortimer Mouse atau Mickey Mouse

Dalam perjalanan pulang tersebut, sambil duduk Walt Disney melakar di atas sekeping kertas tanpa sebarang idea yang jelas. Ketika asyik membuat lakaran-lakaran tersebut, tiba-tiba beliau terperasan lakaran tersebut menyerupai bentuk seekor tikus.

Beliau terus memperbaiki lakaran tersebut dan apabila tiba rumah beliau menunjukkan lakaran tersebut isterinya Lilly, dan bertanya;

“Bagaimana jika ia dinamakan dengan nama Mortimer Mouse?”. Isterinya mengerutkan dahi dan menjawab, “Mortimer? Bagaimana dengan nama Mickey?”

Bermula dari situ, Walt Disney tidak menoleh ke belakang dan berusaha keras membangunkan kartun Mickey Mouse yang sehingga kini dikenali oleh setiap kanak-kanak.

Di dalam buku The Man Behind the Magic: The Story of Walt Disney, isterinya mengatakan Walt Disney tidak pernah sesekali membenarkan pemikirannya dikuasai dengan perasaan yang beliau telah diatasi oleh orang lain.

Ketabahan yang beliau miliki membolehkan beliau menghasilkan pencapaian yang terhebat dalam industri animasi kartun. Sepanjang kareernya selama lebih 4 dekad, studio miliknya bukan sahaja telah berjaya menetapkan standard atau piawai yang menjadi ikutan pemain-pemain lain dalam industri animasi kartun, malah memenangi 48 Academy Awards.

Galakan Dari Awal

Karakter Walt Disney banyak dipengaruhi oleh ibunya yang penyayang dan ayahnya yang kuat bekerja. Sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau akan mengambil setiap kesempatan yang ada untuk melukis walaupun di atas tisu tandas dan ibu bapanya menggalakkannya.


Di sekolah, apabila diberi peluang oleh gurunya, beliau akan melukis di papan hitam sambil bercerita.

Semasa Perang Dunia Pertama, Walt Disney bekerja untuk salah satu unit di bawah Red Cross Ambulance Corps di Perancis dan beliau menajamkan lagi kemahiran melukisnya, dengan menghias jaket rakan-rakannya dengan lukisan pingat-pingat anugerah yang palsu dan juga mewarnakan helmet perang mereka.

Salah seorang ahli unitnya, Ray Kroc (pengasas McDonald’s Corp) mengatakan Walt Disney merupakan seorang yang pelik. Ini kerana ketika rakan-rakannya yang lain pergi berhibur di kelab-kelab malam pada waktu rehat, beliau akan tinggal di kem dan melukis.

Kerajinannya berlatih melukis tanpa mengira masa dan tempat membuahkan hasil apabila pada usia 18 tahun, beliau telah mempunyai keyakinan diri untuk menubuhkan studio penerbitannya yang pertama pada tahun 1919 di bandar Kansas.

Walaupun studionya hanya mampu bertahan selama setahun, akibat kekurangan ilmu dan pengalaman, namun ianya telah menetapkan hala tuju Walt Disney yang seterusnya.

Berterusan Melakukan Inovasi

Pada tahun 1920, beliau bekerja sebagai animator untuk sebuah studio penerbitan kartun. Sambil bekerja, beliau akan memikirkan jalan untuk menambahbaik teknik penghasilan kartun.

Rahsia Kejayaan Walt Disney

Untuk menguji idea-ideanya, Walt Disney akan memujuk ketuanya untuk membenarkannya meminjam kamera rakaman filem milik studio. Beliau akan membawa pulang kamera tersebut dan mengunakannya untuk menguji idea-idea baru beliau dalam teknik rakaman kartun di garaj rumah ayahnya.

Tiga tahun selepas itu iaitu pada tahun 1923, sekali lagi beliau memulakan studionya sendiri yang diberi nama Disney Bros. Studio. Kali ini Walt Disney menguruskan studionya bersama abangnya, Roy.

Walt Disney mempunyai pendekatan yang berlainan dalam menerbitkan siri-siri kartunnya. Beliau akan menggunakan setiap sumber yang ada untuk menghasilkan siri kartun yang benar-benar berkualiti, dan sempurna hingga adakalanya ia menyebabkan studionya berada di ambang penutupan kerana kekurangan modal.

Malah keuntungan yang dikumpul dari penerbitan siri-siri kartunnya akan dilaburkan kembali dalam studio untuk meningkatkan kualiti kartunnya, dengan memasukkan suara dan tidak lama kemudian menghasilkan kartun yang berwarna.

Yakin Dengan Idea Sendiri

Setelah menyaksikan siri-siri kartunnya mendapat sambutan yang hangat dari kalangan penonton, Walt Disney mula merancang untuk pergi lebih jauh dengan menghasilkan siri animasi kartun penuh, yang mempunyai jalan cerita yang lebih panjang.

Siri Animasi Snow White - Walt Disney

Namun ideanya tidak dipersetujui oleh pengedar siri-siri kartunnya dan ahli keluarganya. Pengedar tersebut berpendapat Walt Disney perlu terus menghasilkan siri kartunnya dengan formula yang sedia ada, kerana ia terbukti berjaya dan menguntungkan.

Ahli keluarganya pula bimbang jika keuntungan yang diraih selama ini akan bertukar menjadi kerugian jika ideanya gagal.

Namun Walt Disney langsung tidak menghiraukan pandangan-pandangan negatif tersebut malah dengan tegas beliau mengatakan kepada mereka;

Jika studio ini ingin meneruskan penerbitannya maka kita perlu memastikan ia pergi lebih jauh dari pencapaiannya sekarang.”

Dan pada tahun 1937, terhasillah siri animasi Snow White and the Seven Dwarfts yang terus mendapat sambutan yang hangat sebaik ianya ditayangkan.

Menurut penulis buku bibliografi Walt Disney: A Bio-Bibliography, animasi kartun tersebut menjadi amat berjaya sehinggakan majoriti penonton termasuk artis-artis terkenal pada masa itu, yang menghadiri tayangan perdana animasi tersebut mengalirkan air mata sewaktu menontonnya.

Malah siri animasi Snow White tersebut terus bertahan dan popular di seluruh dunia sehingga tahun 2007.

Kejayaan yang dicapai ini menyerlahkan satu lagi kualiti diri Walt Disney iaitu menganggap setiap kritikan sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan diri serta ideanya.

Dalam tahun 1934, terdapat kritikan yang mengatakan para penonton tidak akan dapat bertahan lama menonton siri animasi kartun yang mempunyai jalan cerita yang panjang.

Bagi menjawab kritikan tersebut, beliau mengumpulkan para pengkritik untuk menerangkan plot siri animasi Snow White. Dengan bantuan beberapa orang pelakon, Walt Disney melakonkan sendiri setiap watak di dalam siri animasi tersebut dengan penuh penghayatan sehinggakan para pengkritik tersebut yakin pada idea penerbitannya itu.

Rahsia Sebenar Walt Disney

Mereka yang mengenali Walt Disney mengatakan rahsia sebenar kejayaan beliau terletak pada prinsipnya yang tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama dalam penghasilan siri-siri kartunnya.

Walt Disney - Inovator

Walt Disney percaya apabila kita menghasilkan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin, pelanggan akan menyukainya dan akhirnya keuntungan pasti akan terhasil dengan sendirinya. Salah seorang pekerjanya mengatakan;

Beliau hanya mempunyai satu peraturan iaitu apa sahaja yang kita lakukan, ianya perlu lebih bagus daripada apa yang dihasilkan oleh orang lain.”

Memandangkan Walt Disney tidak pernah membenarkan dirinya berpuas hati dengan kejayaan yang telah dicapai, beliau seterusnya meletakkan visi untuk membuka sebuah taman hiburan yang akan ‘menghidupkan’ setiap watak dalam siri-siri kartunnya sebelum ini.

Taman hiburan tersebut diberi nama Disneyland.

Walaupun digelar gila oleh pemilik taman-taman hiburan yang lain pada masa itu, Walt Disney tetap berpegang teguh pada kepada kepercayaan bahawa idea taman hiburannya itu akan berjaya mendapat sambutan dari pengunjung.

Pada sekitar tahun 1950-an, untuk merealisasikan visinya itu beliau mengumpul modal dengan membuat pinjaman sebanyak USD100,000.00 dengan mencagarkan simpanan polisi insuran nyawanya, menjual rumah percutiannya di Palm Spring, California dan mengumpul hasil bayaran penerbitan siri televisyen Disneyland di rangkaian televisyen ABC.

Hasil kesungguhannya dan kepercayaannya itu meyaksikan taman hiburan Disneyland bukan sahaja dapat bertahan hingga sekarang malah dibuka di Hong Kong, Paris dan Jepun.

Walaupun Walt Disney tidak hidup lama untuk menyaksikan kejayaan studio dan taman hiburannya, namun idea, inovasi dan ketabahannya membolehkan sehingga kini berjuta-juta orang menikmati kegembiraan menerusi siri-siri kartun dan taman hiburannya.

Tetapi bagi mereka yang mengenalinya, apa yang membuat Walt Disney lebih diingati adalah kerana komen beliau mengenai seorang pekerjanya;

“Sekiranya beliau merasa tidak gembira dengan keadaannya sekarang, maka beliau tidak boleh bekerja di sini kerana kita menjual kegembiraan.”

Kredit gambar: (MemphisToursEgypt, Cesar Angle, Kiwi 555, Free Holiday Wallpapers, IndieWire, Wallpapers 99). Sumber: Majalahniaga.com

Related Posts with Thumbnails