BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Thursday, May 9, 2013

Panduan Permohonan Nama Perniagaan

sijil pendaftaran perniagaan syarikat ssm suruhanjaya syarikat malaysia
Contoh Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM

1. Nama perniagaan merupakan gaya atau tajuk yang digunakan bagi pengenalan sesuatu perniagaan yang dijalankan.
2. Nama perniagaan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu:
a) Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan.
b) Nama Tred ialah nama perniagaan yang diilham dan dicadangkan oleh peniaga. Contoh: Kedai Dobi Shaj Global, Ahmad Catering, Persada Resources
3. Nama perniagaan hendaklah tidak terlalu panjang iaitu tidak melebihi lima puluh (50) huruf termasuk ruang di antara perkataan.
4. Penggunaan angka, tanda dan simbol tidak dibenarkan sebagai sebahagian daripada nama perniagaan.
5. Penggunaan perkataan yang diwartakan di bawah Warta Kerajaan Bil 716 bertarikh 30 Januari 1997, Warta Pindaan 2001 dan nama-nama yang dikawal secara pentadbiran di bawah Akta Syarikat 1965 juga akan dikawal penggunaannya sebagai nama perniagaan.
6. Penggunaan perkataan Taska, Pusat Jagaan, Tadika, Pusat Tuisyen, Kolej dan Sekolah Pendidikan mestilah mendapat kelulusan nama perniagaan terlebih dahulu dan dirujuk kepada agensi yang berkenaan untuk mendapatkan surat kebenaran/sokongan sebelum perniagaan didaftarkan.
7. Nama perniagaan didaftarkan bersesuaian dengan jenis perniagaan yang dijalankan.
8. Nama perniagaan yang telah didaftarkan tidak boleh diubah atau ditukar.
9. Nama-nama yang tidak boleh didaftar ialah nama-nama yang telah di diperuntukkan di bawah seksyen 22(1) dan 341 Akta Syarikat 1965 seperti contoh dibawah :-
(a) nama-nama yang membayangkan kaitan dengan ahli Keluarga Diraja atau naungan Diraja termasuk nama-nama yang mengandungi
perkataan seperti ”Diraja”, “Raja”, “Permaisuri”, “Putera”, “Puteri”, “Mahkota”, “Raja Muda” atau “Yang/Maha Mulia”;
(b) nama-nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu Jabatan Kerajaan Negeri atau Persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa atau agensi kerajaan atau mana-mana majlis perbandaran ataupun pihak berkuasa tempatan yang lain termasuk nama-nama yang
mengandungi perkataan-perkataan seperti “Persekutuan”, “Negeri” atau “Nasional”;
(c) nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu Kerajaan Negara Asean, Komanwel atau kerajaan asing atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau mana-mana pertubuhan antarabangsa atau kartel termasuk nama yang mengandungi perkataan seperti “ASEAN”, “UNESCO”, “NATO”, “EEC” atau “OPEC”;
(d) nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu parti politik, pertubuhan, kesatuan sekerja, koperasi atau persatuan pembinaan;
(e) nama yang termasuk perkataan yang berikut atau apa-apa perkataan yang sama maksud dengannya:
“Amanah”, “Amanah Saham”, “Bank”, “Bursa”, “Bumiputra”, “Biro”, “Buatan Malaysia”, “Dewan Perniagaan dan Perindustrian”, “Dewan Pengeluaran”, “Eksekutor”, “Harga Patut”, “Institut”, “Insurans”, “Jaminan”, “Jurubank”, “Kewangan”, “Khazanah”, “Kredit”, “Kolej”,
“Majlis”, “Pengguna”, “Pelaburan”, “Pejabat Pendaftaran”, “Pajakan”, “Perdana”, “Tauliah”, “Tabung”, “Universiti”, “Urusan Bank” atau “Yayasan”;
(f) nama yang mengelirukan dari segi identiti, jenis, objek atau tujuan sesebuah syarikat atau yang mengelirukan dengan apa jua
cara lain;
(g) nama yang mencerca atau yang mungkin dianggap menghina oleh orang-orang awam; dan
(h) nama yang –
(i) diterjemahkan daripada nama syarikat atau syarikat asing yang didaftarkan di bawah Akta; atau
(ii) mungkin menyerupai ataupun dikelirukan dengan nama mana-mana syarikat tempatan atau syarikat asing lain yang
didaftarkan di bawah Akta; atau
(iii) mungkin menyerupai ataupun dikelirukan dengan nama yang telah disimpan bagi tujuan penubuhan suatu syarikat baru atau pendaftaran suatu syarikat asing ataupun bagi tujuan penukaran nama suatu syarikat tempatan atau syarikat asing yang didaftarkan di bawah Akta.

Panduan Pendaftaran Lesen Kementerian Kewangan

sijil kementerian kewangan malaysia
Contoh Sijil Lesen Kementerian Kewangan yang telah diluluskan.
Syarikat anda perlu memiliki Sijil Pendaftaran Kementerian Kewangan sekiranya ingin berurusniaga dengan kerajaan seperti menyertai sebutharga atau tender bagi setiap pembekalan dan perkhidmatan yang anda tawarkan.
Dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan bagi setiap permohonan adalah seperti berikut:-
BilJenis PerniagaanDokumen diperlukanHarga (RM)
1)Enterprise atau perniagaan yang menggunakan nama tred1)Salinan I/C pemilik2) Salinan pendaftaran perniagaan (SSM)
a) Borang D
b) Borang Maklumat perniagaan
c) Borang maklumat pemilik3) Salinan Penyata Akaun Bank Syarikat yang terkini4) Salinan Perjanjian Sewa (atau dokumen hak milik bagi bangunan sendiri) pejabat yang telah disetem5) Resit sewa pejabat (3 bulan terakhir) atau dokumen Hak Milik pejabat
1,350.00 950.00(sehingga 31/06/2013)
2)Sendirian Berhad1)Salinan Kad Pengenalan semua ahli lembaga pengarah syarikat2)Salinan Borang 24 dan 49 yang di sahkan oleh Setiausaha Syarikat atau Suruhanjaya Syarikat (SSM)3) Borang pindah milik saham (borang 32A) yang dimatikan setem dan di sahkan oleh setiausaha syarikat atau SSM (jika berkenaan)4) Memorandum And Articles Of Association (MAA) atau Borang 135) Salinan Borang 44
6) Form of Annual Return untuk syarikat yang beroperasi lebih dari setahun
7) Resolusi Lembaga Pengarah mengenai kuasa menandatangani cek oleh pihak bank
8)Salinan Penyata Akaun Bank Syarikat terkini
9)Penyata pembayaran KWSP (EPF) terkini & Resit Pembayaran KWSP
10)Salinan Perjanjian Sewa (atau dokumen hak milik bagi bangunan sendiri) pejabat yang telah disetem
11)Resit sewa pejabat (3 bulan terakhir) atau dokumen Hak Milik pejabat
1800.001,500.00 (sehingga 31/06/2013)
BilJenis PerniagaanDokumen diperlukanHarga (RM)
3)R.O.S Persatuan/ Koperasi / Pertubuhan1- Salinan kad pengenalan semua ahli lembaga pengarah2- Borang pendaftaran Koperasi/ Persatuan/ Pertubuhan3- Undang-undang kecil Koperasi/ Persatuan/ Pertubuhan4- Minit Mesyuarat Agong terbaru koperasi/ Persatuan/ Pertubuhan5- Salinan Penyata akaun bank terkini
6- Resolusi lembaga pengarah mengenai kuasa tandatangan cek bagi akaun yang di sahkan oleh pihak bank
7- Salinan Lesen-lesen yang berkaitan.
8-Salinan Perjanjian Sewa (atau dokumen hak milik bagi bangunan sendiri) pejabat yang telah disetem
9-Resit sewa pejabat (3 bulan terakhir) atau dokumen Hak Milik pejabat
1800.001,500.00 (sehingga 31/06/2013)
Sila klik untuk borang Pendaftaran Lesen Kewangan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

Nota: Ini adalah beberapa contoh harga dari syarikat perunding berkenaan permohonan lesen kewangan sebagai rujukan para pembaca.

Sumber :http://www.daftarsyarikat.biz/perkhidmatan-dan-konsultasi/pendaftaran-lesen-kementerian-kewangan/panduan-pendaftaran-pembekal-kementerian-kewangan/

Wednesday, May 8, 2013

Daripada pendidikan ke dunia perniagaan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Meskipun tidak ramai yang mahu membabitkan diri dalam dunia perniagaan kerana kurang keberanian untuk menanggung risiko, tidak pula bagi wanita ini.
Tamat saja pengajian, Yusniha Hasan, 37, mengambil keputusan untuk menjadi pensyarah dalam bidang seni bina bagi meneruskan minatnya dalam dunia binaan.
Namun setelah 10 tahun dalam dunia pendidikan, akhirnya Yusniha mencari jalan untuk bekerja di bidang lain.

Bukan mudah baginya untuk berhenti, namun disebabkan kekangan masa akhirnya dia mengambil keputusan untuk membabit­kan diri dalam dunia perniagaan.

Kini setelah empat tahun berusaha, dia akhirnya mampu tersenyum kerana segala hasil dan penat lelahnya dapat dilihat menerusi Butik Allurelady di Taman TTDI Jaya, Shah Alam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan hidupnya selepas terbabit dalam dunia perniagaan, ikuti temu bual penulis bersama Yusniha.


Soalan (S) : Sejak bila berminat dalam dunia perniagaan?

Jawapan (J):
Bidang perniagaan memang menjadi minat saya, namun saya ha­nya dapat merealisasikan impian itu empat tahun lalu dengan membuka butik tudung.

Ketika itu, saya masih bekerja di bidang pendidikan sebagai pensyarah seni bina. Walaupun mula-mula memasang cita-cita untuk menjadi arkitek, hasrat berkenaan terpaksa dipadamkan kerana memikirkan masa depan dengan keluarga.

Setelah 10 tahun mengajar, akhirnya saya terfikir untuk membuka perniagaan bagi membolehkan saya meluangkan masa bersama enam anak yang masih kecil.

Akhirnya, setelah membuat kajian me­ngenai produk perniagaan yang mampu kekal lama dan sentiasa diperlukan, lantas terfikir mengenai tudung.

Sebelum membuka perniagaan, saya tidak pernah belajar atau mengambil kursus menjahit tudung kerana memang tahu teknik asas menjahit.


S: Apakah pengajaran yang diperoleh setelah terbabit dalam dunia perniagaan?

J:
Banyak pengajaran yang diperoleh terutama apabila menyentuh aspek sikap diri sendiri.

Kini, saya lebih positif untuk bekerja dengan lebih rajin bagi mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan, apatah lagi segala hasil usaha dan penat lelah akan menjadi milik sendiri.

Disebabkan itu, sebelum membuka perniagaan kita perlu tahu bidang berkenaan dan memastikan mental sentiasa kuat, mempunyai keyakinan tinggi serta usaha berterusan.


S: Apakah perbezaan antara dunia pendidikan dan perniagaan?

J:
Perbezaan memang ketara. Dulu ketika mengajar, saya perlu keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dan tiba di rumah jam 7 petang.

Namun, kini masa lebih fleksibel kerana menjalankan perniagaan sendiri dan saya dapat habiskan banyak masa dengan anak-anak.

Cabaran mengajar juga tidak sehebat berniaga. Ini kerana cabaran hanya dirasai apabila berhadapan dengan pelajar ketika menjadi pengajar.

Rutin harian yang dilakukan juga sama. Berbeza dengan perniagaan yang ada pasang surutnya serta persaingan yang perlu difikirkan setiap masa.

Selain itu, saya juga harus bekerja kuat untuk mendapatkan pulangan yang diinginkan kerana semua hasil adalah untuk diri sendiri.

Apabila berniaga, saya juga lebih kenal diri sendiri terutama dari segi kekuatan dalaman untuk menjadi berani dan positif.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, kadangkala saya mengajar separuh masa kerana saya tidak boleh terus meninggalkan bidang berkenaan begitu saja.


S: Apakah misi yang ingin dicapai dalam perniagaan?

J:
Pastinya, saya ingin kembangkan lagi perniagaan dan mahu jenama saya lebih dikenali.

Justeru, saya lebih gemar menjadi pengedar berbanding mengambil barangan atau koleksi tudung dari butik lain.


S: Bagaimanakah cara anda bersaing dan mengekalkan identiti jenama anda untuk terus dikenali?

J:
Saya menggunakan cara sendiri untuk mengekalkan identiti jenama ini dan kebiasaannya pelanggan memang sudah tahu mengenai rekaan yang dihasilkan.

Disebabkan itu, saya lebih gemar membuat rekaan dan memiliki tukang jahit sendiri bagi memastikan koleksi dihasilkan lebih eksklusif.

Malah, setiap dua bulan sekali saya berkunjung ke negara Asia seperti Korea, Jakarta dan Vietnam semata-mata untuk mencari fabrik yang unik, menarik serta sesuai untuk menghasil­kan tudung.

Saya tidak pernah me­ngeluh bahkan rasa sangat berbaloi dengan usaha yang dilakukan bagi memenuhi cita rasa dan kepuasan pelanggan.


S: Bagaimana dengan pembahagian masa antara perniagaan dan keluarga?

J:
Masa bersama keluarga kini lebih banyak dan biasanya saya beriadah dengan anak-anak secara kerap berbanding dulu.

Malah, jika saya ke luar negara bagi mencari fabrik untuk menghasilkan rekaan tudung, keenam-enam anak saya akan dibawa bersama.


S: Apakah hobi ketika masa lapang?

J:
Saya lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga dan hobi saya beriadah dengan mereka.
Sumber:harian metro


Udang pun boleh dipos!

Oleh Siti Zarinah Sahib
Pulang dari kerja, perkara pertama dilakukannya adalah membelek udang hiasan yang ditempatkan di dalam 10 akuarium berukuran dua kaki yang diletakkan di dalam sebuah bilik.
Sama ada memberi makan atau membersihkan bahagian dalam akuarium, semuanya dilakukan Mohd Fazuli Ismail, 31, dengan penuh gembira dan ceria.
Malah isteri, Noor Asmawati Ismail, 31, sangat memahami hobi suaminya yang begitu mencintai pemeliharaan udang hiasan. Sekali-sekala dia memberikan sokongan dengan membantu memberi makanan udang sekiranya suaminya pulang lewat ke rumah atau bersama-sama membersihkan bahagian dalam akuarium.

Menurut Fazuli, hobi memelihara udang hiasan bermula sejak dua tahun lalu ketika melayari Internet. Sambil mendapatkan maklumat berkenaan ikan hiasan, dia terbaca mengenai pemeliharaan udang hiasan yang begitu popular di Taiwan, China dan India namun kurang dikenali di Malaysia.

Dia yang membela ikan di rumah lantas membeli hidupan ini menerusi pembekal di Singapura dengan harga RM50 untuk 20 ekor. Dari situ, udang peliharaannya bertambah sehingga dia boleh menjadikannya sebagai satu perniagaan yang menguntung­kan.

Semua udang hiasan yang hanya memiliki ukuran 5 sentimeter ditempatkan dalam akuarium khas berasingan dengan ikan hiasan. Ini bagi mengelak udang mati atau dimakan ikan lain. Namun begitu sekiranya saiz ikan sama dengan udang, tidak menjadi masalah diletakkan di tempat yang sama.

Fazuli yang mempunyai pengalaman membela ikan sejak lima tahun lalu menjelaskan, penjagaan udang hiasan sangat mudah. Malah ia sama seperti memelihara ikan iaitu perlu menetapkan jumlah air dalam akuarium, suhu yang tidak melebihi 30 darjah Celsius serta menyediakan makanan khas udang. Malah peralatan hiasan akuarium juga sama dengan ikan hiasan.

“Untuk udang hiasan, suhu diperlukan tidak melebihi 30 darjah Celsius bagi mengelak udang mati kerana terlalu panas. Makanannya pula berasaskan sayur-sayuran rebus seperti lobak merah, bayam dan timun yang diberi sekali sehari,” katanya yang menetap di Subang, Selangor.

Menyedari terdapat kepelbagaian jenis dan warna, Fazuli tidak hanya memelihara satu jenis udang hiasan sebaliknya dia mula mencari udang daripada warna berbeza seperti kuning, hijau, coklat, hitam, kristal dan biru.

Dari situ, dia mula mencari pembekal yang menjual pelbagai jenis udang hiasan untuk dijadikan koleksi.

“Ketika itu saya hanya memiliki udang berwarna merah. Tetapi selepas mendapati terdapat pelbagai jenis warna dijual, saya terus mendapatkannya. Sehingga kini saya mempunyai ratusan jenis udang daripada pelbagai warna,” katanya.

Setiap udang mempunyai nama masing-masing mengikut warna. Udang berwarna merah dipanggil red fire, udang kuning pula yellow fire, kristal fire, black fire serta udang hiasan Malaya yang sangat sukar ditemui.

Ada jenis udang yang boleh dikacukkan sehingga menghasilkan gabungan dua warna pada bahagian badan. Udang jenis ini sukar diperoleh dan harga ditawarkan boleh mencapai sehingga puluhan ribu ring­git.

Menariknya, seekor udang hiasan juga boleh berubah menjadi tiga warna me­ngikut suhu air serta cuaca.

Dia yang berkongsi kegemaran ini de­ngan peminat di laman sosial Facebook tidak sangka minat yang bermula sebagai hobi akhirnya memberikan pendapatan lumayan.

Sejak itu, dia menerima banyak tempahan untuk udang hiasan pelbagai warna. Katanya, harga ditawarkan mengikut gred, bergantung kepada warna serta kilatan pada badan.

“Untuk membezakan kualiti seekor udang, ia dapat dilihat dari segi kepekatan warna dan kilatan. Jika warnanya lebih terang dan berkilat, harganya lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Setakat ini saya pernah menjual udang hiasan berharga RM180 seekor dan paling mahal mencecah RM4,000 seekor,” kata­nya.

Oleh kerana menggunakan media sosial sebagai medium promosi, proses jual beli menjadi lebih mudah. Ini kerana, pelanggan sama ada dari dalam atau luar negara ha–nya perlu memilih udang pilihan mereka menerusi Facebook.

Selepas menjelaskan bayaran, barulah dia menghantar pesanan menerusi pos.

Bagi jaminan udang dihantar masih hidup dan dalam keadaan baik, dia menggunakan plastik khas berisi air yang tahan selama tiga hari.

“Semua maklumat mengenai penjagaan udang hiasan dan cara penghantaran saya peroleh menerusi Internet. Setakat ini, saya pernah menghantar ke Sabah dan Sarawak menerusi kiriman pos. Ia tidak mendatangkan masalah dan udang diterima dalam keadaan baik.

“Pernah juga ada pelanggan menerima udang yang sudah mati dan saya menggantikannya dengan udang yang lain,” ujarnya.

Fazuli yang bertugas dengan Tentera Udara Diraja Malaysia pada mulanya tidak pernah terlintas menjadikan hobinya itu sebagai sumber pendapatan.

Namun selepas menerima banyak permintaan daripada rakan yang meminta dia mencarikan udang untuk mereka serta rakan yang ingin membeli udang hiasan miliknya, akhirnya Fazuli menjualnya.

“Hampir setiap hari saya menerima pertanyaan mengenai harga udang hiasan yang kebanyakannya daripada kaum Cina. Ini kerana mereka lebih banyak memelihara udang berbanding kaum Melayu dan India.

“Setiap bulan saya menerima 10 pelanggan dari seluruh Malaysia yang ingin membeli udang daripada saya. Ini menyebabkan saya semakin seronok memelihara berikutan ada sambutan orang ramai,” ujarnya.

Melihat saiznya yang sangat kecil, udang hiasan antara hidupan laut yang tidak akan berubah ukuran dan kekal di antara tiga hing­ga lima sentimeter. Oleh kerana saiznya kecil, jangka hayat udang hiasan hanya bertahan selama dua tahun. Sebab itu udang jenis ini senang dibiakkan dan dijaga.

Pada masa akan datang, Fazuli bercadang mahu membuka kedai menjual udang hiasan supaya menjadi lebih teratur dan memudahkan pelanggan mendapatkannya.

“Ketika ini saya hanya menempatkan 10 akuarium dalam sebuah bilik di rumah. Jika udang semakin bertambah, bermakna saya perlu menambah akuarium di rumah yang mungkin akan diletakkan di ruang tamu pula.

“Dengan adanya kedai, urusan jual beli menjadi lebih lancar dan memudahkan pelanggan memilih sendiri udang hiasan yang mereka mahukan,” katanya yang berharap mampu merealisasikan impian ini dalam masa terdekat.
Sumber:Harian Metro

Anak tauke basuh fabrik

Oleh Hamizah Badiran
Tatkala kebanyakan rakan sekolahnya pergi berkelah di hujung minggu atau melancong ke luar negara pada musim cuti sekolah, Randy Yeap pula menuju ke kilang kepunyaan ayahnya di Pulau Pinang untuk bekerja.
Lebih memeranjatkan, usianya pada ketika itu cuma 12 tahun. Pada usia semuda itu, apa pula pekerjaan yang boleh dilakukannya?
Jejaka yang kini sudah berusia 31 tahun itu sebenarnya harus membasuh fabrik dan seluar denim yang dihasilkan di kilang berkenaan. Tidak cukup dengan itu, dia juga mengambil dan membungkus tempahan daripada pelanggan.

Sekitar umurnya 13 hingga 15 tahun, dia berganjak ke fasa lebih serius apabila mengikut jurujual di syarikat ayahnya menguruskan perihal pemasaran dan mencari pelanggan sehingga ke Sabah dan Sarawak.
FotoSEJAK kecil Randy belajar selok-belok dunia perniagaan.

Mungkin ramai beranggapan, mengapa anak tauke kilang melakukan pekerjaan sebegitu tetapi bagi Randy, semua memori itu ternyata menyeronokkan.

Anak sulung daripada empat beradik ini menegaskan, semua tugasan yang dilakukan itu mengajar erti berdikari dan kesusahan sebelum menjadi senang.

"Tidak timbul soal terpaksa membuat segala kerja itu hanya kerana takutkan ayah, sebaliknya pekerjaan ini benar-benar mengajar saya bagaimana mahu menjadi usahawan yang berjaya.

"Memang ayah saya pemilik syarikat menjual fabrik denim malah pelopor industri tekstil berkenaan sejak 35 tahun lalu. Orang ramai mungkin menyangka saya hanya duduk senang-lenang di rumah tanpa perlu berusaha atau memikirkan apa-apa.

"Semua itu silap. Sebagai anak sulung dalam keluarga, kesedaran itu timbul sendiri dan secara perlahan-lahan perasaan suka serta semangat mendalami bidang ini semakin bertambah.

"Semua syarikat tidak boleh berdiri sendiri tanpa tenaga kerja yang menjadi tiang untuk mengukuhkan struktur binaannya. Setiap pekerja pula mempunyai tugas masing-masing yang kadang-kadang senang dan kadang-kadang pula sukar untuk diselesaikan.

"Justeru, apabila kita merasai sendiri setiap butir tugasan mereka dari awal hingga akhir, baru kita tahu kesenangan dan kepayahan yang dilalui agar semua urusan berjalan lancar.

"Menerusi urusan ini juga, saya boleh kenal ramai kawan baru dan peniaga yang jauh lebih berpengalaman," katanya.

Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif N-2 Jeansmaker Sdn Bhd (N-2 Jeansmaker), pengedar pakaian denim jenama Lois, Randy menganggap ayah dan peniaga lain adalah penyokong kuat di belakangnya.

Tanpa mereka yang mengenalinya sejak kecil, Randy tidak mungkin boleh berada dalam situasi sekarang di mana dia dapat berinteraksi dan menjalankan perniagaan dengan lebih mudah.

Malah, dengan bantuan adik lelakinya, Kenny, mereka berusaha bersama-sama bagi meneruskan warisan ayahnya yang kini sudah pun berkembang sehingga ke pasaran China.

Sibuk dengan urusan perniagaan bukan bermakna dia tidak mempunyai kehidupan peribadi seperti orang lain yang boleh melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Sudah biasa menjadi individu aktif dengan membabitkan diri dalam sukan badminton sejak zaman persekolahan, Randy masih meneruskannya hingga ke hari ini.

"Saya suka bermain badminton bersama ahli keluarga atau rakan. Kebiasaannya, kami bermain pada waktu malam selepas bekerja mahupun hujung minggu.

"Sukan ini mudah sebab kita boleh bermain di dalam gelanggang bertutup selain mengajar pemain bersikap fokus menentukan strategi permainan. Konsepnya sama seperti di dalam bidang perniagaan.

"Selain badminton, saya seorang pengumpul jam tangan berjenama seperti Patek Phillippe dan Luminor Panerai.

"Malah pada tahun lalu, saya menubuhkan kelab pengumpul Luminor Panerai Malaysia yang kini mempunyai kira-kira 100 ahli.

"Reka bentuknya yang cantik dan unsur antik yang dimiliki oleh dua jenama ini amat menarik minat saya. Diakui, ia memang sukar didapati di Malaysia dan ramai juga yang kerap bertanya di dalam forum (Internet) kami untuk mendapatkannya.

"Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menubuhkan kelab ini supaya kami boleh bertukar pandangan dan berkongsi maklumat mengenai jam.

"Maklum saja, sekiranya seseorang itu sudah minat sesuatu benda, mereka akan berusaha mencari dan mendapatkannya dengan apa cara sekalipun," jelasnya.

Tambah Randy, untuk berjaya di dalam bidang perniagaan terutama kepada anak muda, mereka harus mengetahui asas bidang itu sejak di peringkat awal lagi. Jangan malu untuk bertanya agar tidak sesat jalan, ingat supaya sentiasa melayan orang lain dengan baik, jangan mudah putus asa dan tidak lupa untuk belajar daripada setiap kegagalan.
Sumber:Harian Metro
Related Posts with Thumbnails