BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Wednesday, September 22, 2010

Pendirian Usahawan

Penduduk Wenzhou salah satu wilayah di negara China mempunyai semangat yang unik apabila bercakap mengenai kerjaya sebagai usahawan. Ada pepatah yang selalu disebut oleh mereka yang berbunyi :

“Saya rela menjadi bos walaupun terpaksa tidur di atas lantai”

Sungguh menakjubkan. Mereka berpegang teguh dalam kerjaya keusahawanan. Malah mereka sanggup mempunyai pendapatan bernilai 1000 dengan kerjaya sebagai usahawan daripada menerima 5000 dengan bekerja untuk orang lain.

Hasil kajian imigran warga China yang berhijrah ke Amerika yang berjaya menyara hidup menjalankan perniagaan, 70% daripada mereka datang daripada wilayah Wenzhou. Semangat keusahawanan mereka sudah menjadi darah daging kehidupan mereka.

Walaupun kita belum berjaya lagi dalam perniagaan usah gentar dan cepat mengalah. Jadikan semangat yang ditunjukkan oleh orang lain sebagai pemangkin bahawa kajayaan dalam perniagaan boleh dicapai jika kita sanggup membayarnya dengan kegigihan untuk bekerja.

Golongan Yang Pasti Gagal

Terdapat 5 golongan yang disenaraikan oleh saudara Irfan Khairi. Berikut adalah petikan daripada tulisan beliau (majalah Maskulin Ogos 2010) berkaitan mengenali golongan ini.

1.Golongan pembuang masa

Orang yang membuang masa selalunya tidak sedar yang dirinya sedang membuang masa. Kita boleh katakan mereka leka dengan aktiviti mereka sendiri. Sebagai contoh berbual adalah perkara biasa yang kita selalu lakukan, tetapi akibat terleka dan seronok berbual, kita selalunya akan terlupa membuat kerja / tanggungjawab yang diamanahkan.

2.Golongan pemberi alasan

Agak melucukan jika melihat gelagat manusia dalam kategori kelompok ini. Jika berfikir dengan waras kita boleh lihat, orang dalam kumpulan ini akan menciptakan berbagai alasan kenapa dia gagal. Walhal dia belum lagi mencapai kegagalan. Ini seolah-olah dirinya hidup hanya untuk mengecapi kegagalan. Sebab itu dia akan sentiasa mencari sebab kenapa dia akan gagal tanpa memikirkan sebab kenapa dia perlu berjaya.

3.Golongan menyalahkan yang lain

Mereka yang tergolong dalam kelompok ini suka menamakan individu / pihak lain yang membantutkan kegagalan mereka. Tidak langsung terpikir bahawa kegagalan mereka adalah silap mereka sendiri.

4.Golongan berfikiran negatif

Pemikiran golongan keempat ini boleh dikatakan unik. Ini boleh diandaikan peluang perniagaan yang terbentang luas di hadapan mata, tetapi orang ini menafsirkan peluang itu adalah batu penghalang yang terbentang luas di hadapan mata. Kemana-mana dia pergi, kesemuanya adalah batu penghalang. Orang sebegini tidak sekalipun untuk berfikir bagaimana dia boleh menyelesaikan masalahnya.

5.Golongan tidak mencari ilmu

Golongan terakhir ini tidak kurang penting juga. Kehidupan adalah pembelajaran sekolah yang tiada penamat. Ada yang berjaya pada usia awal dan ada juga yang berjaya selepas menempuhi seribu kegagalan. Menjadi panduan dalam pembelajaran ini ialah ilmu pengetahuan.

Hindari daripada berkawan dengan golongan ini. Pengaruh golongan ini akan membahayakan pemikiran kita jika diri kita sendiri mendekati atau berada dalam kelompok ini. Mulai hari ini hampiri golongan yang sentiasa positif dan mampu memBina Kejayaan kepada diri kita. Tiada Yang Mustahil.

Rosly Darahman terajui usaha kitar semula


ROSLY Darahman berdiri bersebelahan kertas surat khabar yang telah dimampatkan ketika ditemui di pusat pengumpulan kertas dan plastiknya di Pulau Musang, semalam.


KUALA TERENGGANU 22 Sept. - Dia tidak mempedulikan apa yang mungkin dikatakan orang tentang dirinya apabila memilih untuk bergelumang dengan sampah-sarap bagi membina kehidupannya sekeluarga ketika itu.

Rosly Darahman,46, sedar bahan terbuang seperti kertas dan botol-botol plastik yang selalunya melimpahi tong-tong sampah dan berakhir di pusat pelupusan untuk dibakar mempunyai nilai.

Namun ia suatu kerja yang mudah, perlu memerah keringat selain tidak dipandang tinggi ketika dia memulakan usahanya secara kecil-kecilan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketika rakan sebaya mencari ruang untuk makan gaji atau menyambung pelajaran, dia nekad untuk membantu mencari rezeki buat keluarga.

''Saya didorong oleh seorang sepupu yang juga bekerja sebagai pemungut sampah untuk dikitar semula di sebuah syarikat membolehkan pengalamannya itu dikongsi bersama untuk menapakkan diri dalam perniagaan ini," ujarnya.

Beliau yang berasal dari Setiu menceritakan, ketika itu ayahnya dilanda kemurungan kerana kehilangan beberapa ahli keluarga.

Bermula dengan menyewa sebuah rumah kedai berharga RM200 sebulan di Wakaf Mempelam di sini, dia dan dua lagi rakannya memulakan perniagaan dengan melakukan kesemua kerja bermula dari mengutip sampah dari kedai ke kedai.

''Kemudian kami mengumpul, mengasing, menggred dan mengikat bahan-bahan kitar semula yang dilakukan secara manual selain turut menjadi pemandu untuk membawa bahan-bahan itu ke Thailand untuk dijual.

''Kami juga mendapatkan bekalan daripada penarik-penarik beca dan pengumpul-pengumpul sampah di jalanan. Sekurang-kurangnya saya dapat juga memberikan pendapatan untuk mereka," ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setelah semakin yakin dengan apa yang dilakukan, dia meminta bapanya menjual tanah sekangkang kera kepunyaan keluarga bagi membantunya untuk melonjakkan perniagaan tersebut.

Dia membeli sebuah lori usang berharga RM7,000 dan sekitar bulan September 1989 dia memulakan perniagaan secara serius dan kini mencecah lebih 20 tan bahan kitar sehari berbanding 20 tan sebulan pada awalnya.

Menyorot masa lalu, Rosly menceritakan dia terpaksa bergolok-gadai untuk menambah modal kerana kesukaran mendapatkan pinjaman melalui institusi kewangan.

Namun ujar Rosly, dia sedikit pun tidak putus semangat dan bersyukur akhirnya memperoleh pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM5,000 untuk membeli sebuah mesin pemampat bahan kitar semula bagi mempercepat dan menambahkan produktiviti.

"Ada ketikanya saya tidur tiga jam sahaja sehari kerana sepanjang masa terpaksa bekerja.

"Pernah satu ketika saya terpaksa memandu ke Thailand, namun kerana tidak tahan mengantuk dan perlu sampai mengikut masa yang ditetapkan saya memberhentikan lori lalu berlari sejauh 100 meter dan berpatah semula ke lori semata-mata untuk menyegarkan mata.

"Setelah penat bekerja seharian, bayangkan bahan kitar semula itu hanya dibeli dengan harga 14 sen sahaja sekilogram pada awalnya," jelasnya.

Rosly yang merupakan Pengarah Urusan RD Papers Sdn. Bhd., sebuah syarikat kitar semula milik bumiputera yang terkemuka dan paling berjaya di Pantai Timur.

RD Paper kini memiliki 40 buah lori serta 160 orang pekerja bagi mengendalikan urusan pengumpulan dan penjualan bahan-bahan kitar semula itu.

Selain ibu pejabat di Pulau Musang di sini, sebanyak dua lagi cawangan dibuka di Jertih dan Kota Bharu sebagai pusat pengumpulan.

Pihaknya merancang untuk membuka kilang di Cerating, Pahang dan Gong Badak dekat sini lagi bagi penghasilan produk hiliran bagi pengeluaran bahan plastik.

Rosly berharap, jika apa yang diusahakan dianggap sebagai satu kejayaan, sekurang-kurangnya dapat memotivasikan generasi akan datang agar lebih berani berusaha dalam mengusahakan perniagaan baru.

"Jangan takut untuk mencuba kerana peluang dan ruang pasti ada namun apa yang penting kesungguhan dan semangat yang kuat perlu ada bagi mengatasi pelbagai cabaran yang bakal dilalui," ujarnya.

Jika anda pernah melihat premis RD Paper di sini atau di Kota Bharu, dari luaran pastinya tidak akan menyangka ia sebagai pusat pengumpulan barangan terbuang.

Landskap yang terjaga dan dekorasi kuntuman bunga daripada botol plastik pelbagai warna menambahkan hiasannya di pintu masuk.

Sumber:utusan malaysia

Modal RM70 jadi usahawan


SEORANG pengunjung tertarik melihat gamat yang sedang dikeringkan.


MERSING 22 Sept. – Hanya bermodalkan RM70, Taib Husin, 39, memberanikan diri menceburi bidang perniagaan sirip yu dan gamat yang jarang diceburi para usahawan dan peniaga bumiputera.

Taib mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan tersebut setelah berpengalaman kerja dengan seorang ahli perniagaan Cina yang berjaya dalam perniagaan itu.

Sepanjang bekerja dengan majikannya, dia banyak mendalami ilmu, kepakaran dan teknik serta cara mengusahakan perniagaan sirip yu dan gamat sebelum nekad membuka perniagaannya sendiri secara kecil-kecilan.

Setelah mendirikan rumah tangga dengan Sarimah Embong, 33, Taib mula mengorak langkah untuk membesarkan perniagaannya dengan menubuhkan syarikat Alisya Agency And Enterprise yang beroperasi di Kampung Semanyir, Endau, dekat sini.

Perniagaannya mula berkembang selepas lima tahun berusaha meluaskan pasaran sirip yu dan gamat ke seluruh negara.

Kini dia mampu tersenyum lebar kerana penat lelah dan kesabarannya membuahkan hasil, malah produknya telah menembusi pasaran Singapura.

“Saya berpendapat, jika orang Cina boleh berjaya menjalankan perniagaan sirip yu dan gamat, bumiputera juga boleh melakukannya sekiranya ada kemahuan dan kesabaran,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sejak mula menjalankan perniagaan tersebut hingga kini, dia tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana agensi.

“Pernah sekali pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) datang melawat dan memberi cadangan kepada saya supaya memohon bantuan.

“Saya memohon untuk mendapatkan sebuah peti sejuk besar tetapi hingga kini masih belum diketahui status permohonan tersebut.

“Saya benar-benar memerlukan peti sejuk itu untuk menyimpan bekalan sirip dan gamat kerana peti sejuk sedia ada tidak mampu menampung simpanan bekalan yang banyak,” katanya.

Sementara itu, Sarimah yang merupakan rakan kongsi perniagaan tersebut berkata, mereka mengeluarkan modal sehingga RM150,000 sebulan untuk mengendalikan perniagaan termasuk gaji pekerjanya.

Katanya, bekalan sirip yu dan gamat dibeli daripada nelayan pukat tunda di sekitar Endau serta pembekal dari Sabah dan Filipina dengan harga kira-kira RM900 sekilogram bagi sirip yu kering dan RM42 bagi gamat.

“Sekarang kami tidak mampu untuk memenuhi semua permintaan untuk kedua-dua produk itu, manakala bekalan pada tahun ini agak berkurangan,” katanya.

Lebih membanggakan mereka, perniagaan itu turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung dan kini mempunyai 10 pekerja tetap dan pada musim cuti sekolah pelajar juga mengambil upah sampingan di syarikat tersebut.

Orang ramai yang ingin berurusan dengan Alisya Egency And Enterprise boleh menghubunginya di talian 07-7942902 atau 012-7888684.

PUM terbit direktori perkenal produk usahawan

MELAKA 22 Sept. - Dalam usaha memperkenalkan lagi produk usahawan negeri ini, Persatuan Usahawan Melayu Melaka (PUM) dengan kerjasama kerajaan negeri akan menerbitkan Direktori Usahawan Melayu Melaka 2010.

Yang Dipertua PUM, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, buku bersaiz A4 setebal 200 halaman itu akan diedarkan secara percuma sebanyak 10,000 naskhah pada hari perisytiharan Melaka Maju 2010, 20 Oktober ini.

Katanya, penerbitan Direktori Usahawan Melayu Melaka 2010 tepat pada masanya memandangkan ketika ini belum ada satu direktori pun yang dikhususkan kepada para usahawan terutamanya bumiputera untuk mempromosikan perniagaan mereka.

"Dengan adanya buku ini, ia boleh dibaca oleh para pelancong sekali gus menjadi rujukan kepada pelabur-pelabur asing yang berminat untuk berurus niaga di sini.

"Buat permulaan, 10,000 naskhah akan diedarkan secara percuma di jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pasar raya dan orang ramai yang berminat," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelindung Pengguna negeri berkata demikian kepada pemberita di pejabatnya, Taman Tasik Utama di sini hari ini.

Mengulas kandungan buku dalam bahasa Melayu itu, katanya, semua maklumat peniaga bermula secara kecil-kecilan sehingga berskala besar terkandung di dalamnya.

"Segala maklumat mengenai pengusaha hotel, calet, homestay, resort, restoran, gerai makan dan sebagainya ada di dalam buku ini.

"Turut tersenarai ialah syarikat perbankan, katering, institusi pendidikan, rawatan kesihatan dan juga nombor telefon, alamat serta kadar tambang pengangkutan awam di negeri ini," katanya.

Turut terkandung dalam buku tersebut, katanya, ialah mengenai sejarah negeri Melaka, senarai Exco kerajaan negeri dan juga alamat serta pejabat dan agensi kerajaan negeri.

Sumber:Utusan Malaysia
Related Posts with Thumbnails