BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Monday, February 10, 2014

Strategi Meniru Untuk Berjaya





Orang Jepun bukanlah bangsa pertama yang mencipta kereta, sebaliknya orang Amerika yang dirintis oleh Henry Ford yang melakukannya.

Tetapi hari ini dalam pasaran kereta dunia adakah kereta-kereta dari Amerika mendominasi jualan kereta dunia? Tidak. Jarang orang apabila hendak membeli kereta akan bercerita tentang kereta-kereta keluaran Amerika seperti Ford dan Chevrolet.

Apatah lagi dalam segmen kereta mewah, orang akan berfikir tentang kereta-kereta keluaran Jerman seperti BMW, Mercedes dan Audi.

Golongan yang berpendapatan sederhana akan menyasarkan kereta-kereta Jepun seperti Toyota, Honda dan Nissan apabila ingin membeli kereta.

Sebagai negara yang mula-mula mencipta kereta, Amerika Syarikat tewas di ‘padang’ mereka sendiri apabila kereta Toyota (atas jenama Lexus) lebih banyak dijual di seluruh Amerika berbanding kereta jenama mereka sendiri.

Apakah formula rahsia yang menjadi tunjang kejayaan sektor automotif negara Jepun? Jawapannya, meniru ciptaan Amerika dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Mengapa apabila kita mendengar seseorang yang sudah berjaya, kita akan tertarik untuk mendekati dan mengorek rahsia serta resipi kejayaan beliau? Jawapannya sangat mudah. Kerana cara, teknik dan strategi yang digunakan beliau sudah berhasil.

Dalam sebuah program kemahiran belajar yang saya ikuti semasa zaman persekolahan dahulu, ada satu slot yang mendedahkan strategi belajar pelajar-pelajar terbaik SPM negara ini.

Apa yang dikatakan sebagai rahsia kejayaan bukanlah rahsia mana pun kerana teknik yang diamalkan mereka adalah ringkas sahaja.

Cara utama yang diamalkan mereka ialah malam sebelum masuk ke kelas keesokan hari, mereka akan mengulang kaji terlebih dahulu apa yang akan diajar oleh guru pada keesokan hari.


Selepas kelas selesai, pada malam hari pula mereka akan mengulang kaji apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Kelebihannya apabila tiba musim peperiksaan, mereka tidak perlu lagi terlalu bertungkus lumus untuk mengulang kaji seperti kebanyakan pelajar lain.

Seorang usahawan berjaya memberitahu bahawa hidup ini terlalu singkat untuk kita melakukan eksperimen terhadap setiap perkara untuk mengetahui apakah ia berhasil atau tidak.

Kita tidak mempunyai cukup wang, tenaga dan masa untuk mencuba setiap perkara. Orang yang telah berjaya pastinya telah melakukan kesilapan-kesilapan dalam perjalanan mereka menuju kejayaan.

Jarang sekali kita dengar tentang kejayaan yang dicipta hanya dengan sekali percubaan sahaja. Jika proses untuk mencapai sesuatu perkara itu adalah mudah dan ramai yang mampu melakukannya, ia tidak dikatakan sebagai kejayaan.

Sebagai contoh, adakah ibu bapa anda membanggakan anda ke mana sahaja mereka pergi kerana anda mampu memiliki kereta? Adakah mereka memberitahu rakan-rakan “Anak aku seorang yang berjaya sebab boleh pandu kereta”?

Tentu sekali tidak kerana memandu kereta merupakan perkara yang terlalu ramai orang boleh lakukan dan justeru ia tidak dianggap sebagai kejayaan.

Tanpa kita sedari meniru merupakan perkara yang perlu dan sentiasa kita lakukan semenjak kecil hingga akhir hayat.

Sebagai contoh, seseorang yang mampu untuk bermain sejenis sukan dengan baik. Sesetengah mereka dengan selamba mengatakan “Aku tengok macam mana orang lain main, lepas tu aku buat perkara yang sama.”

Apabila mereka ingin menjadi lebih hebat dalam sukan tersebut, mereka mula mencari jurulatih, sekali lagi proses meniru dan duplikasi berlaku. Jurulatih berpengalaman telah melatih ramai anak murid. Mereka tahu teknik dan strategi yang berhasil kerana telah memerhati ramai atlet di bawah didikan mereka.

Dalam sebuah filem yang terkenal berdasarkan kisah benar, ‘Pursuit of Happyness’, Chris Gardner, satu hari ternampak seorang lelaki kaya memandu kereta Ferrari.

Beliau menghampiri lelaki tersebut dan bertanya “Saya hanya ada dua soalan. Apakah yang anda lakukan? Dan bagaimana anda melakukannya?”.

Lelaki tersebut menjawab “Saya adalah seorang “stock-broker”. Anda perlu bagus dalam pengiraan dan perhubungan manusia. “

Dengan dua jawapan tersebut, Chris memulakan langkah bekerja di sebuah firma saham. Enam tahun kemudian, beliau merupakan seorang jutawan.

Kesimpulannya, proses meniru adalah perlu untuk memendekkan masa kita menuju kejayaan.

Kredit foto: only-success, success, Tony-Robbins, rih314



Hilmi Isa

Hilmi Isa merupakan seorang penulis buku Rahsia Kalimah Berkuasa Dalam Bisnes. Beliau adalah ahli psikologi bahasa (psiko-linguistik). Hilmi juga merupakan marketing strategist yang pernah mendapat bimbingan protégé marketer ternama dunia seperti Jay Abraham dan Dan Kennedy. Pensyarah bahasa ini mengintegrasikan NLP dan Hipnosis ke dalam aktiviti marketing. Beliau telah memulakan beberapa bisnes fizikal dengan modal yang minimum dan tanpa meminjam. Marketing strategist ini juga berpengalaman menolong menyelesaikan masalah marketing syarikat-syarikat IKS.​

sumber:majalahniaga.com

Thursday, February 6, 2014

Artikel ini mungkin buat anda berubah jadi usahawan.

Artikel ini mungkin buat anda berubah jadi usahawan. Jika anda sering baca blog Hidupringkas.com ini, anda tentu sedar saya sering menghasut agar para pembaca berubah jadi usahawan. Kalau dah sedar saya harap anda tak marah.

Saya tak pasti dah berapa ramai sudah yang berjaya saya hasut untuk berubah menjadi usahawan. Tak ada maklumat pula setakat ini.

Menarik jika ada yang sudi mengaku di ruang komen di bawah dengan berikan sebab kenapa anda berubah jadi usahawan. Nyatakan juga rasa lega anda kerana berjaya berubah jadi usahawan.

Setakat yang saya tahu secara pasti dah ada seorang yang berjaya saya hasut untuk berubah jadi usahawan. Kawan tersebut memberitahu saya bahawa dia nekad berubah jadi usahawan setelah sering membaca artikel tulisan saya. Alhamdulillah saya puji keberaniannya.

Kenapa saya sering hasut orang berubah jadi usahawan

Ada banyak faktor kenapa saya tak segan silu menghasut rakan-rakan diluar sana agar berubah jadi usahawan. Antaranya adalah:

Menjadi usahawan merupakan satu kerja yang mulia. Ramai yang tahu tentang maklumat 9 dari sumber rezki adalah dari berniaga. Bila berubah jadi usahawan anda perlu banyak bergantung pada Tuhan secara sedar. hanya itu tempat terbaik paling tinggi sebagai tempat pergantungan.

Ramai usahawan membuatkan bangsa kita kuat. Dunia sekarang bergantung bnayak pada kekuatan ekonomi sebagai penentu kekuatan. Negara yang maju dan kuat biasanya punyai ramai usahawan. Ekonomi negara juga akan kuat bila ramai orang jadi usahawan.

Menjadi usahawan banyak membantu jika mahu hidup ringkas. Berubah jadi usahawan banyak berkait rapat dengan keinginan mencari kebebasan. Masa, sumber dan fleksibiliti boleh digunakan sebaik mungkin jika anda jadi usahawan.

Menjadi usahawan membuatkan anda menyediakan peluang pekerjaan. Jika anda makan gaji, anda banyak menyumbang hanya pada majikan. Jika jadi usahawan anda banyak menyumbang pada ramai pekerja.

Lagi ramai usahawan, lebih banyak peluang untuk saya berbakti. Bila dah masuk umur lanjut sebegini, saya lebih banyak impikan untuk meninggalkan sumbangan. Nak jadi uslaz atau ulama saya dah jauh ketinggalan. Oleh kerana saya sendiri seorang usahawan, maka lebih bijak sumbangan itu disalurkan pada para usahawan.

Kenapa anda masih tak berubah jadi usahawan

Jika kita tanya orang ramai yang bukan usahawan, apa bayangan mereka terhadap rupa seorang usahawan tentu ramai yang akan berikan rupa begini:

Pakai pakaian kemas, bertali leher, beg James Bond penuh duit. Atau pakaian berjenama mahal, jam tangan mewah, dan kasut hebat.

Seorang yang memandu kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Audi, Ferrari dan lain-lain seumpamanya.

Seorang yang cakap banyak dengan penuh yakin dan boleh menundukkan orang yang mendengar arahannya.

Bersifat kejam, cekal dan pentingkan keuntungan melebihi segala-galanya.Seorang yang tak ada masa. Sering ke sana sini sibuk menguruskan perniagaan besar.Seorang yang berpengaruh dengan kenalan ramai orang hebat terutamanya ahli politik atau kerajaan. Dan lain-lain lagi seumpamanya yang bila anda semak dan bandingkan dengan diri anda, ternyata anda bukan begitu. Lalu dengan penuh insaf, anda tertunduk sambil berkata aku bukan macam itu. Manakan layak aku jadi usahawan.

Jika itu pandangan anda, memang anda silap besar. Patutlah tak ada impian dan nekad untuk berubah jadi usahawan. Bayangan rupa seorang usahawan yang ada dalam kepala anda tidak lebih daripada imej palsu cereka filem Hindustan dan drama Melayu.

Berita baik untuk yang nak berubah jadi usahawan

Tahukah anda bahawa nak jadi usahawan tak ada syarat kelayakan samada dari segi:

Pendidikan. Siapa saja boleh jadi usahawan. Samada tak penah bersekolah, buta huruf, ada diploma, ijazah atau Phd…semua layak jadi usahawan. Pandai atau bodoh kedua-duanya layak jadi usahawan.

Rupa paras. Samada anda kacak, huduh, sederhana, pendek, tinggi, gempal, kurus, cacat, atau apa saja, anda layak jadi usahawan

Keturunan. Samada anda keturunan Raja, penghulu, miskin, kaya anda layak jadi usahawan. Begitu juga jika anda Melayu, Mat Saleh Jerman, Jawa Totok, Rawa, Banjar, India, Cina atau apa saja bangsa, anda layak jadi usahawan.

Umur. Tak kira tua atau muda, lanjut atau setahun jagung, bawah umur atau atas umur…anda semua layak jadi usahawan.

Nampaknya, siapa saja anda, yang sedang membaca artikel ini, memang layak jadi usahawan. Tak ada satupun syarat yang saya kemukakan di atas yang menghalang anda untuk berubah jadi usahawan.

Habis kenapa tak tanam nekad, kenapa tak ada usaha untuk berubah jadi usahawan lagi?

Hampir semua yang berubah jadi usahawan bermula dengan kesempitan

Ramai kawan-kawan saya yang naik BMW, Mercedes atau Ferrari sekarang ini bermula satu ketika dulu dengan naik bas.

Malah ada juga yang terpaksa jalan kaki kerana nak bayar tambang bas pun tak cukup. Duit yang ada hanya ngam-ngam untuk beli karipap dan air sirap sebagai makanan tengahari. Cuba tanya Shahabudeen Jalil jika anda kenal dia.

Ada seorang kawan saya yang sekarang ada Ferrari, kapal dan bisnes ratusan juta, satu ketika dulu pergi buat sales naik bas awam. Sampai destinasi masuk tandas tukar pakaian kemas dan mula masuk pejabat orang menagih jualan.

Ramai lagi kalau nak diceritakan bermula dari keadaan yang mungkin jauh lebih terusk daripada keadaan anda sekarang. Semua itu kawan-kawan saya yang saya kenal secara peribadi. Tak masuk lagi usahawan berjaya lain yang saya tak kenal…terlalu ramai.

Nah! itulah rupa sebenar usahawan. Mereka berubah jadi usahawan kerana mahu lari dari ketidak selesaan menuju keselesaan yang mereka impikan.

Berubah jadi usahawan dengan kenal pasti ketidak selesaan anda sekarang

Oleh itu jika anda nak berubah jadi usahawan mula senaraikan semua rasa tidak selesa anda satu persatu. Apakh ketidak selesaan anda sekarang sebagai seorang yang makan gaji?. Lihat senarai itu dan ulang baca sampai jelas.

Cuba bayangkan bagaimana dapat anda lari dari rasa tidak selesa itu dengan berubah jadi usahawan. Hanya itu saja cara terbaik untuk berubah jadi usahawan.

Lupakan semua perkara lain, selain dari nekad untuk keluar dari rasa tidak selesa anda sekarang enuju kepada keselesaan yang menanti di masa hadapan. Insyaallah jika panjang umur, diizinkan Tuhan, anda akan sampai.

Sumber artikel : hidupringkas.com

Keusahawanan berani berubah berubah jadi usahawan menjadi usahawan
Author: Mohd Shubhi Abdul   
Mohd Shubhi Abdul merupakan seorang usahawan yang suka hidup ringkas. Pernah berniaga di pasar malam, jual petai, jual kain, jual kerepek. Pernah juga jual baja dan telah bertemu dengan bermacam ragam usahawan lain. Kini memiliki beberapa syarikat perniagaan yang autopilot mula berkecimpung dalam dunia Biz Coaching.

8 Faktor Pemilik Bisnes Di Malaysia Tewas Awal Di Dalam Perniagaan

Satu perkembangan menarik di Malaysia apabila setiap tahun, lahir ramai usahawan berpendapatan tinggi tanpa mengira usia. Kisah kejayaan mereka banyak dipaparkan di media-media tempatan.

Contohnya….
“Menjadi jutawan Internet pada usia 25 tahun.”
“Usahawan kosmetik mencapai status jutawan pada usia 21 tahun.”
“Pengusaha butik fesyen wanita catat jualan RM 430,000 sebulan.”
Banyak lagi kisah kejayaan seperti di atas menjadi topik bualan di kalangan pemilik bisnes.
Di sebalik kisah tersebut, ramai juga yang gagal. Lambakan testimoni kejayaan yang dipaparkan media menyebabkan ramai membuat kesimpulan menceburi perniagaan ialah satu jalan pintas untuk mencapai kekayaan.
Hakikatnya, di sebalik kejayaan seorang usahawan, terdapat 100 lagi kisah kegagalan ‘disembunyikan.’
Kali ini, kami senaraikan 8 faktor utama pemilik bisnes di Malaysia tewas awal di dalam perniagaan. Faktor-faktor ini bukan mahu menakut-nakutkan pemilik bisnes, tetapi ia sesuai dijadikan panduan supaya risiko kegagalan awal dapat diminimakan.

#1 – Semangat palsu

Banyak pemain baru menceburi bidang perniagaan atas semangat untuk memiliki simbol mewah semata-mata. Motivasi mereka terletak pada kejayaan memiliki simbol-simbol tersebut. Apabila mereka berusaha bertahun-tahun dan masih gagal memiliki simbol tersebut, mereka cepat putus asa.
Pemilik bisnes seperti ini meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan bisnes mereka. Salah satu contoh tingkah laku mereka ialah, mereka menghabiskan sebahagian besar duit keuntungan syarikat untuk membeli simbol-simbol mewah supaya kelihatan kaya dari sudut luaran. Pada masa yang sama, kantung syarikat mereka miskin.

#2 – Tidak cukup ilmu bisnes

Ilmu bisnes yang betul bakal mempengaruhi cara membuat keputusan dan mengurus sesuatu bisnes. Terjun tanpa ilmu ibarat memperjudikan nasib. Banyak pemain baru lebih ghairah melaburkan modal puluhan ribu untuk memulakan bisnes daripada menghabiskan RM 100 untuk membeli buku-buku bisnes yang ditulis oleh pakar industri.
Dengan ilmu, risiko untuk duit hangus dapat diminimakan. Banyak kisah tragis yang berlaku akibat jahil bisnes seperti….
“Seorang guru kerugian duit pinjaman peribadi sebanyak RM 70,000 apabila butik pengantin yang dibuka tidak mendapat sambutan.”
“Seramai 50 peniaga mendakwa kerugian RM1.5 juta selepas ditipu sebuah syarikat yang menawarkan skim francais kedai serbaneka sejak setahun lalu.”
Di dalam dunia bisnes, ada golongan tertentu suka mengambil kesempatan terhadap golongan yang baru berjinak-jinak di dalam bisnes. Semakin kurang ilmu orang tersebut, semakin mudah untuk diperdayakan mereka.

#3 – Gelojoh membuat keputusan

Gelojoh di dalam membuat keputusan menyebabkan banyak tindakan awal yang tidak mengikut logik bisnes dilakukan. Pemilik bisnes seperti ini lazimnya membuat keputusan atas dasar ‘sangkaan yang baik-baik sahaja’. Lazimnya, keputusan ini di bawah pengaruh emosi‘over-excited’.
Sebagai contoh, Puan Kasidah (bukan nama sebenar) yang tidak pernah ada pengalaman berniaga menghabiskan RM 30,000 untuk membeli stok sebanyak 3000 helai tudung. Jika dilihat daripada pengalaman, Puan Kasidah tidak pernah menjual hatta 100 helai sekalipun. Jangkaan Puan Kasidah, semua 3000 helai tudung itu akan laku keras.
Tindakan ini lazimnya didorong apabila melihat ada pemilik bisnes lain berjaya menjual jumlah yang sama dengan mudah. Kesilapan di sini ialah, Puan Kasidah hanya lihat hasil akhir. Beliau tidak melihat proses awal yang dilalui oleh pemilik bisnes tersebut. Perlu juga lihat faktor-faktor lain seperti pengalaman, lokasi, jumlah bajet pemasaran, tenaga kerja dan lain-lain. Proses meniru orang berjaya tidak hanya berdasarkan hasil akhir mereka, sebaliknya bermula dari proses awal.

#4 – Memulakan bisnes dengan duit pinjaman

Menggunakan kemudahan pinjaman bank untuk memulakan bisnes akan meletakkan pemilik di dalam situasi tertekan. Fokus mereka bukan lagi untuk mengembangkan bisnes, sebaliknya membayar hutang.
Ini menyebabkan wujud satu lagi ‘cabang tekanan’ yang tidak perlu pemilik bisnes tanggung pada peringkat awal. Duit pinjaman lazimnya digunakan untuk mengembangkan bisnes yang sudah stabil, bukan untuk memulakan bisnes.

#5 – Menyamakan wang bisnes dengan wang peribadi

Tidak tahu membezakan wang bisnes dan wang peribadi menyebabkan bisnes lebih mudah pancit awal.  Tindakan ini ibarat ‘mencuri’ wang syarikat sendiri.
Apabila tiba saat jualan merudum dan syarikat memerlukan bajet tambahan untuk pemasaran, duit syarikat tidak cukup. Wang yang ‘dicuri’ itu pula sudah habis dibelanjakan atas keperluan dan kehendak peribadi.
Teringat pesanan Pengasas Empayar Syed Bistro, Tuan Syed Kadir apabila ditemubual oleh Tim Majalah Niaga tempoh hari, “Jika untung RM 1000, guna RM 100 sahaja. Bakinya simpan dan sampai masa laburkan balik untuk kembangkan bisnes. Ini cara jika mahu berniaga lama berpuluh-puluh tahun sampai jadi legasi.”

#6 – Jangkaan palsu

Peringkat awal memulakan bisnes, sebahagian pemilik mengalami situasi ‘beginner’s luck’ iaitu jualan produk laku di luar jangkaan. Contohnya, sasaran awal jualan sebanyak RM 4000 meningkat drastik kepada RM 10,000 sebulan.
Ini adalah situasi biasa berlaku apabila menjual sesuatu produk yang menjadi ‘trend’. Walaupun dengan menggunakan satu saluran pemasaran dengan bajet yang minima, ia mampu menghasilkan jualan yang jauh melebihi sasaran awal.
Banyak pemilik bisnes yang mengalami situasi ini menjangkakan fenomena ‘jualan lebat’ ini akan berterusan hingga ke bulan-bulan seterusnya sehingga banyak duit dihabiskan kepada produk semata-mata.
Apabila graf ‘trend’ produk itu mula menurun, dan tiba masanya syarikat perlu menambah produk baru atau mengembangkan saluran pemasaran, duit di dalam kantung syarikat tidak mencukupi. Produk lama pula masih banyak yang belum dijual. Permintaan semakin lama semakin menurun. Lama kelamaan bisnes terpaksa ditutup.

#7 – Tidak berani mengambil staf

Sebahagian bisnes kecil dan sederhana tidak berani mengambil staf atas 2 sebab:
i. Isu kepercayaan.
Apabila bisnes sudah berjalan lancar, mereka tidak berani menyerahkan sebahagian tugas mereka kepada staf kerana takut berlaku kes pecah amanah dan ‘rahsia-rahsia keuntungan mereka terdedah’.
Tindakan ini tiada kaitan dengan kepentingan bisnes. Jika diperhatikan, bisnes yang berkembang baik pada hari ini mempunyai ratusan malah ribuan staf yang bekerja membangunkan syarikat. Syarikat seperti ini juga tidak merahsiakan perolehan syarikat kepada semua warga kerja. Tidak mungkin bisnes itu boleh bertukar menjadi empayar gergasi jika di dalam pejabatnya itu hanya ada pemilik bisnes dan tukang sapu sahaja bertugas.
Pemilik bisnes yang berjaya pada hari ini mereka tidak takut menghadapi isu-isu pengkhianatan di dalam bisnes. Mereka faham sistem delegasi kerja yang mantap amat penting untuk bisnes berkembang. Oleh itu, mereka belajar bagaimana  mahu mengurus kepercayaan sesama rakan kongsi dan staf supaya kes-kes negatif dapat diurus dengan baik.
ii. Isu kos.
Tidak dinafikan mengambil staf melibatkan kos yang tinggi. Bayaran KWSP dan Socso juga perlu diambil kira. Tidak hairan sebahagian pemilik bisnes yang sudah berjaya pada hari ini sanggup memperuntukkan gaji bulanan lebih kecil daripada gaji staf pada peringkat awal memulakan bisnes. Mereka sanggup mengikat perut supaya mereka dapat membayar tenaga mahir.
Dengan ini, mereka dapat fokus untuk mengembangkan bisnes daripada masih membuat kerja-kerja teknikal. Banyak bisnes bungkus awal disebabkan terlalu berkira untuk mengambil tenaga pakar yang terbaik di pasaran. Pada masa yang sama, tidak pula mereka berkira jika duit itu digunakan untuk memenuhi kehendak peribadi seperti membayar wang pendahuluan kereta mewah, membeli gajet-gajet terkini dan lain-lain yang tiada kaitan dengan kepentingan dan survival bisnes.

#8 – Tidak membuat perancangan spesifik

Bisnes tanpa perancangan ibarat sampan tanpa pendayung. Sebagai contoh, Encik Sirul (bukan nama sebenar) mula berjinak-jinak dengan menjadi pemborong baju kanak-kanak. Encik Sirul mensasarkan jualan tahun pertama sebanyak 200,000 helai. Namun, tiada perancangan spesifik yang dibuat oleh ahli pasukan En Sirul. Angka 200,000 itu tidak akan datang dengan keajaiban.
Salah satu contoh perancangan yang tidak dibuat ialah, En Sirul tidak membuat saringan awal seperti pecahan jualan setiap wakil negeri atau daerah yang perlu dicapai dalam masa setahun. Pecahan-pecahan jualan lebih kecil juga tidak dilakukan seperti sasaran jualan setiap bulan, setiap hari atau setiap jam. Malah, berapa wakil jualan yang perlu dilantik untuk mencapai sasaran jualan juga tidak dianalisa.
Ini salah satu sebab sebahagian pemilik bisnes tempatan masih terkial-kial walaupun sudah lama berniaga. Semua analisa kekuatan tenaga kerja dan angka-angka sasaran hanya bermain-main di dalam kepala. Ia tidak dikaji, ditapis dan direalisasikan terlebih dahulu di atas kertas.

Ilmu Bisnes – Senjata Ampuh Elak Gagal

Salah satu cara ampuh untuk meminimakan risiko kegagalan di kalangan pemilik bisnes ialah dengan berguru. Ilmu bisnes yang betul akan memandu setiap pemilik bisnes supaya tidak membuat kesilapan-kesilapan besar.
Ini adalah maklumat yang kami perolehi daripada blog HidupRingkas.com.
“Data daripada kajian yang dijalankan terhadap para usahawan kecil dan sederhana di Australia menunjukkan 70% daripada usahawan yang mempunyai mentor berjaya mengharungi perniagaan mereka melepasi tempoh 5 tahun.”
Data ini menunjukkan betapa pentingnya ilmu dan mentor bagi memastikan sesuatu bisnes itu bertahan lama. Secara asasnya, terdapat 3 cara menuntut ilmu bisnes.
i. Bekerja di dalam industri.
Bekerja untuk belajar, bukan sekadar mahu menerima gaji. Sebagai contoh, jika anda mempunyai keinginan untuk membuka pusat penjagaan kanak-kanak, cara mudah untuk anda memahami permainan bisnes ini ialah dengan cara bekerja dengan pemilik pusat penjagaan kanak-kanak yang sudah berjaya dan mampu bertahan lama di dalam industri.

Bekerja bertahun-tahun tidak mengapa, asalkan anda dapat belajar, faham dan kuasai apa ‘resepi’ sebuah perniagaan pusat penjagaan kanak-kanak yang berjaya.
ii. Buku.
Baca buku-buku bisnes yang ditulis oleh pakar industri. Buku-buku ini boleh didapati di kedai buku MPH, Popular, Kinokuniya dan lain-lain. Buku-buku ini sesuai dibaca kerana ia ditulis oleh pakar yang bergelumang sendiri di dalam bisnes, bukan ditulis berdasarkan kajian tanpa praktis atau teori semata-mata.
iii. Memilih guru bisnes.
Walaupun tidak berpeluang bekerja dengan mereka, anda boleh hadir mana-mana majlis ilmu yang mengumpulkan pemain-pemain di dalam industri. Di sini anda boleh menawarkan diri untuk menjadi anak murid kepada pengusaha bisnes yang sudah berjaya. Pilih guru yang sudah menempa kejayaan bisnes di pasaran terbuka. Banyak ilmu bisnes tulen yang anda boleh kutip dan hadam daripada mereka.
Ketiga-tiga cara ini mampu mengubah anda daripada seorang yang jahil kepada celik bisnes. Mudah mudahan dengan ilmu yang ada, kes-kes pilu di dalam dunia bisnes semakin berkurang.
Sumber:majalahniaga.com

8 Resepi Rahsia Kejayaan Secret Recipe

Chocolate Indulgence, Tiramisu, Black Forest dan Chocolate Banana (kegemaran penulis). Pasti nama-nama ini biasa didengari pembaca. Kerana ia adalah jenis-jenis kek yang dijual di kafe Secret Recipe hingga menjadi kemestian, bagi mereka untuk menikmatinya setiap kali mendapat gaji.Secret Recipe merupakan satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Seperti mana AirAsia, Secret Recipe merupakan satu lagi jenama tempatan bertaraf global yang boleh dibanggakan. Diasaskan oleh Steven Sim (Datuk), ia bermula dengan hanya satu kafe di SS2, Petaling Jaya pada tahun 1997.


Kini terdapat 270 kafe Secret Recipe di lapan buah negara termasuk di Australia dengan lebih 3,500 pekerja. Secara puratanya, kesemua kafe Secret Recipe mencatat jualan sebanyak RM400 juta setahun. Daripada jumlah ini, RM150 juta dijana oleh 50 cawangan yang dimiliki sendiri oleh Secret Recipe, dengan catatan untung bersih sebanyak RM20 juta.

Apakah resipi rahsia Steven Sim, seorang usahawan yang ‘low profile’, dalam membangunkan jenama Secret Recipe hingga mencapai tahapnya sekarang?

8 Secret Recipe Usahawan Steven Sim

#1 - Pilih produk yang tepat untuk pasaran

Steven Sim memilih kek sebagai produk utamanya kerana walau pun ia berasal dari Barat, ia merupakan makanan universal dan terdapat dalam setiap kebudayaan, bangsa dan negara.

Ia merupakan produk yang mudah dan juga tergolong dalam kategori produk yang menyeronokkan, serta diminati setiap orang tidak kira kanak-kanak, remaja, orang muda mahupun orang tua.

#2 – Perkenalkan konsep yang unik dan baru

Steven Sim mengambil keputusan untuk menceburi bisnes ini apabila mendapati terdapat kekurangan yang ketara, dalam konsep kafe yang menawarkan suasana menikmati hidangan yang kasual dan santai pada ketika itu.

rahsia-kejayaan-secret-recipe-3

Pada waktu itu, konsep kedai makan adalah lebih kepada restoran, warung atau restoran makanan segera bagi pasaran pelanggan berpendapatan sederhana, dan hotel atau restoran mewah bagi pasaran pelanggan berpendapatan tinggi.

Steven Sim mengenalpasti kekosongan ini sebagai peluang, dan mengambil risiko memperkenalkan konsep menikmati hidangan dalam suasana kasual, santai namun elegan.

#3 – Bina pasukan kerja yang berkemahiran

Pada peringkat awal, Steven Sim bekerjasama dengan tiga orang anak saudaranya untuk memulakan bisnes. Ketiga-tiga anak saudaranya mempunyai kemahiran dalam bidang pembuatan kek, dan membangunkan produk-produk baru yang mampu menarik perhatian dan selera pelanggan.

Manakala Steven pula mempunyai kemahiran dalam bidang pemasaran, penjenamaan dan khidmat pelanggan.

#4 – Hasilkan perancangan yang jelas

Pada peringkat awal, Steven Sim memfokuskan pada strategi membina jenamanya untuk membezakan Secret Recipe dengan pesaing. Ini termasuklah mencipta logo, memilih warna korporat bisnes, memperincikan strategi pemasaran, menghasilkan uniform pekerja, merekabentuk paparan menu hidangan, menetapkan hiasan dalaman (interior design) kafe, dan mewujudkan standard bagi khidmat pelanggan.

Menurut Steven Sim, membina jenama yang berjaya dan bertahan lama memerlukan usahawan mengenalpasti kekuatan yang ada pada jenamanya, memfokuskan strategi pada kekuatan tersebut, dan membinanya secara konsisten.

Sejajar dengan kemajuan bisnes yang mempunyai 15 cawangan pada tahun 2000, Steven Sim menawarkan pula francais kepada usahawan yang berminat kerana beliau yakin, itu merupakan strategi terbaik untuk mengembangkan bisnesnya.

#5 – Sesuaikan produk dengan ‘selera’ tempatan

Sebelum memasuki sesuatu pasaran di negara baru, Steven Sim akan melakukan kajian pasaran berkaitan gaya hidup, pembezaan budaya, jenis makanan utama dan budaya pemakanan masyarakat di negara tersebut. Ini bagi memastikan produk Secret Recipe mudah diterima oleh masyarakat tempatan tersebut.

Contohnya, produk Secret Recipe bagi pasaran Thailand dan Indonesia lebih pedas, berbanding di Malaysia. Manakala bagi pasaran China, Secret Recipe memperbanyakkan menu berasaskan mee seperti char kuey teow, mee Hokkien dan mee Kantonis.

#6 – Jaga kualiti produk

Sebagai sebuah jenama yang mempunyai kehadiran di pelbagai negara, cabaran paling besar yang dihadapi oleh Steven Sim adalah memastikan kualiti produk yang konsisten, di setiap cawangan terutamanya rasa bagi setiap menu (kecuali menu yang perlu diubahsuai berdasarkan citarasa tempatan).

rahsia-kejayaan-secret-recipe-1

Untuk tujuan ini, Steven Sim mewujudkan sistem pengurusan seperti mewujudkan pasukan pengurus-pengurus francais, yang bertanggungjawab memeriksa tahap kualiti produk secara kerap, di setiap cawangan dan menjalankan latihan pekerja.

Pasukan pengurusan ini hanya dipertanggungjawabkan untuk fokus dalam membantu setiap cawangan francais, untuk memastikan setiap darinya mencapai tahap kualiti yang ditetapkan.

#7 – Berfikiran besar

Walaupun telah mempunyai 15 cawangan pada tahun 2000, termasuk satu di Singapura, Steven Sim tidak berpuas hati dengan hanya mencapai tahap itu. Pada tahun yang sama beliau mengorak langkah untuk membina Secret Recipe menjadi jenama global, dengan meneroka pasaran Thailand.

Seperti yang dinyatakan di awal artikel, kini terdapat 270 cawangan Secret Recipe di mana 80 darinya terletak di luar negara.

Dan untuk dua tahun yang akan datang, Steven Sim telah merancang untuk meluaskan jenama Secret Recipe ke Kemboja, Vietnam dan Timur Tengah.

#8 – Percaya pada diri sendiri

Sebelum menjadi usahawan, Steven Sim pernah memegang beberapa jawatan tinggi seperti pengarah urusan Modern Mum Sdn Bhd, pengarah Tony & Guy Hairdressing dan pengarah pemasaran Tigi Asia Pty Ltd dengan gaji mencecah lima angka.

Walaupun telah selesa dengan kedudukannya ketika itu, beliau percaya dengan kemampuan dirinya untuk menjadi usahawan yang berjaya, dengan menjadi kreatif dan mencipta sesuatu yang disukai orang ramai.

Steven Sim percaya antara kriteria penting untuk menjadi usahawan adalah mempercayai rasa hatinya, dan perlu mengelakkan diri dipengaruhi oleh pendapat orang sekeliling. Bagi beliau, apabila kita telah yakin dengan apa yang kita mahu lakukan, terus lakukannya tanpa bertangguh.

Steven Sim menekankan beliau bukan dilahirkan di dalam keluarga yang berada, dan beliau telah mempelajari kemahiran serta mendapat pengalaman dengan cara yang tidak mudah. Namun bagi beliau, bekerja kuat sahaja tidak mencukupi, seseorang usahawan itu perlu bekerja dengan bijak (work smart), pandai mengurus masa, tahu mengenai pengurusan kewangan, memenuhi setiap janji dan mempunyai nyalarasa (passion) pada bisnesnya.

Sumber:majalahniaga.com

Adaptasi Konsep dan Sikap Berniaga Warga Asing

konsep atau sikap warga asing ketika berniaga sangat berbeza dengan cara peniaga-peniaga tempatan berniaga. Banyak aspek perniagaan yang boleh diguna pakai dan diadaptasi daripada cara warga asing menjalankan perniagaan.
08 MAC 2012 SINAR HARIAN BANTAH WARGA ASING
Menurut Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), sebagaimana yang dilaporkan TV3, 80% penjaja dan peniaga kecil di sekitar kawasan-kawasan tumpuan utama terdiri daripada warga asing.
Sementara itu di pusat beli belah barangan borong terkenal, Nilai 3, Seremban, Free Malaysia Today melaporkan 99 peratus peniaga di Pusat Borong Nilai 3 terdiri daripada warga asing terutama warganegara Pakistan dan Bangladesh.
Bagaimanakah warga asing boleh memonopoli perniagaan-perniagaan kecil di kebanyakan tempat di Malaysia? Apakah beza corak perniagaan mereka dengan rakyat tempatan? Kebanjiran peniaga warganegara asing sepatutnya membimbangkan rakyat tempatan kerana tidak mustahil sedikit masa lagi warganegara asing bakal menguasai pasaran perniagaan kecil-kecilan mahupun perniagaan runcit.
Beza Sikap Orang Tempatan dan Warga Asing Terhadap Perniagaan
Warganegara asing terutamanya Bangladesh, Myanmar dan Indonesia memiliki satu sikap yang disebut sebagai ‘survival skill’ atau kemandirian yang tinggi. Sebagai contoh peniaga-peniaga Bangladesh dan Myanmar yang banyak terdapat di sekitar pasar-pasar borong. Mengejutkan apabila bekalan barang-barang yang di jual mereka hanyalah barang-barang atau bahan makanan yang dikitar semula!
Penulis sempat bersembang kosong dengan beberapa warga asing yang agak lancar berbahasa Melayu. Kata mereka, banyak imigran yang datang ke Malaysia seperti bertemu ‘syurga dunia’. Di mana-mana sahaja di sini, mereka boleh hidup.
Menurut Abdulehi, salah seorang warganegara Bangladesh yang di temui, sampah sarap di Malaysia dan di negaranya juga ada perbezaan ketara. Di sana, sampah adalah benar-benar sampah. Tidak ada yang boleh dikitar semula. Kesempitan hidup menyebabkan rakyatnya memanfaatkan setiap bahan makanan, keperluan harian dan lain-lain sebaik-baiknya dan sehabis boleh.
Tiba di Malaysia, Abdulehi terkejut apabila menemui tepung yang masih belum dibuka (kerana telah tamat tarikh luput), pakaian, kerusi makan, set pinggan mangkuk dan banyak lagi barangan berguna di tempat pembuangan sampah sama ada di kawasan perumahan atau tempat pembuangan sampah awam.
Penulis merasa sedikit tersentak apabila warga asing sendiri mengatakan “sini rakyat senang banyak, malas lagi banyak” atau dalam bahasa yang mudah difahami, rakyat Malaysia hidup senang dan mahu senang tetapi malas.
Perhatikan bagaimana warga asing mencari dan merebut peluang rezeki dengan rakus! Hampir semua jenis perniagaan kecil-kecilan di Malaysia seperti menjual sayur, kuih-muih, barang-barang kitar semula, kad prabayar isian semula (reload) dan banyak lagi mula dikuasai mereka.

Strategi Perniagaan Warga Asing

1. Premis Perniagaan

Strategi mereka ialah menjual di kawasan terbuka dan tumpuan ramai. Tidak perlu premis perniagaan. Bentangkan sahaja kanvas atau karpet yang sudah usang, kotak polistirena, kotak kayu, papan plywood atau sekadar zink terbuang yang sudah berkarat tetapi di cat semula.

2. Bahan atau Barang-barang Jualan

Apa sahaja barang boleh diniagakan termasuklah ikan-ikan yang diasingkan oleh pembekal sebagai ikan ‘busuk’. Tetapi di tangan warga asing, ikan-ikan busuk ini di ubah nama kepada ‘ikan laksa’–ikan yang digunakan untuk membuat kuah laksa.
Ikan-ikan ini diperoleh daripada tempat pengasingan ikan segar dan rosak yang akan diletakkan di satu sudut di pasar borong. Ada juga yang memperoleh ikan-ikan ini dengan mengutip jatuhan ikan di sekitar tapak perniagaan di dalam pasar-pasar basah atau pasar borong.
Peniaga Warga Asing
Sayur dan buah-buahan antara bahan niaga yang paling popular di kalangan warga asing. Bekalan sayur dan buah-buahan merupakan sumber makanan yang paling tinggi permintaan terutamanya daripada peniaga-peniaga mahupun pengusaha restoran.

3. Pembekal

Fakta dan maklumat tentang bekalan bahan jualan yang diperoleh mereka amat mengejutkan. Serta menjijikkan. Tetapi, soal kebersihan ini bukan keutamaan. Kita mahu lihat usaha mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup tanpa meminta-minta mahupun hanya duduk diam.
Di fahamkan kebanyakan bahan jualan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan diperoleh dari tempat pembuangan sampah. Mereka akan memilih, mengasing dan membersihkan sayur-sayur mahupun buah-buahan yang masih elok. Kemudian, sayur-sayur tersebut akan diikat kemas dan ia sedia untuk dijual!
SayurKitarSemula
Manakala buah-buahan yang menjadi pilihan pula seperti tembikai, oren, pisang yang di jenamakan semula sebagai pisang cekodok dan buah-buahan berkulit tebal seperti delima, bali dan lain-lain. Strategi memilih bahan-bahan terbuang ialah dengan memilih sayuran atau buah-buahan yang lambat rosak dan tidak mudah busuk seperti buah-buahan berkulit tebal yang disebutkan tadi.
Ada juga yang memperoleh bahan-bahan tersebut melalui orang tengah iaitu peniaga-peniaga tetap di pasar-pasar basah dan borong. Kebanyakan peniaga-peniaga tetap ini maklum bahawa peniaga-peniaga warganegara asing menjual barang-barang dengan harga yang jauh lebih murah dan pelanggan suka datang kepada mereka. Kesempatan ini diambil mereka dengan menawarkan bekalan dan keuntungan yang dibahagi mengikut persetujuan dan budi bicara kedua-dua pihak.

4. Sikap Terhadap Perniagaan

Sikap warganegara asing yang ‘tidak tahu malu’, degil dan keras hati ketika berniaga boleh di adaptasi kepada sikap berniaga yang positif. Perhatikan peniaga-peniaga kecil warganegara asing di bahu-bahu jalan. Saban hari dihalau, dijerkah dan diberi peringatan oleh badan penguat kuasa Majlis Per/Bandaran untuk tidak menjalankan sebarang bentuk perniagaan di kawasan larangan.
Bukan setakat itu, barang-barang jualan mereka turut di rampas dan disodok kenderaan pembersihan Majlis Bandaran. Dijamin mereka akan kembali semula esok hari. Malah lebih awal daripada jangkaan, petang hari yang sama mereka kembali berniaga!
Mengapakah perkara ini berlaku? Dalam situasi ini, peniaga warganegara asing tidak rugi apa-apa, kerana bahan-bahan jualan yang dirampas diperoleh secara percuma. Bila-bila masa mereka boleh mendapatkannya semula dan teruskan berniaga.
Sebahagian besar warganegara asing yang tinggal di pekan-pekan atau kawasan pinggir bandar menjadikan berniaga bahan-bahan basah sebagai punca utama rezeki mereka. Oleh itu, mereka tidak boleh putus asa dan bersifat lemah apabila punca rezeki mereka diganggu dan dihalang, walaupun hakikatnya mereka melakukan kesalahan.
Mereka terus mencari peluang dan ruang. Jika tidak boleh menjual bahan-bahan makanan, mereka beralih mencari bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti barangan plastik, kayu, kaca dan kadang-kala pakaian dan barang-barang mainan.
Selain itu, warga asing juga saling menyokong perniagaan yang diusahakan oleh rakan senegara mereka. Jika mempunyai pilihan, segala keperluan asas akan dibeli daripada gerai atau kedai yang diusahakan oleh warga asing senegara juga. Antara faktor yang merancakkan sumber ekonomi warga asing dalam bidang perniagaan.

5. Kemahiran Hubungan Sosial atau Skil PR

Peniaga-peniaga warganegara asing ‘mengikat’ pelanggan atau pembeli melalui layanan kelas pertama. Jika barang yang diminta pelanggan tidak dijual mereka, mereka akan bergegas mencari dan mendapatkan barang tersebut daripada peniaga-peniaga lain dan menawarkan harga yang istimewa.
Sungguhpun mereka tidak fasih berbahasa Melayu, bahasa tubuh dan beberapa patah perkataan sudah cukup untuk menjadi medium komunikasi antara mereka dan pembeli. Senyuman juga tidak lekang daripada wajah mereka walaupun berniaga di bawah terik matahari.
Ada yang menawarkan menghantar barang-barang yang dibeli pelanggan sehingga ke kereta. Tidak kira sama ada kenderaan tersebut jauh atau dekat, mereka sedia berkhidmat.

Pilihan Untuk Berjaya

Tanpa perlu menulis perenggan perbandingan sikap mereka dengan peniaga-peniaga tempatan pun anda sudah pasti nampak perbezaannya. Daripada satu sudut, kita tidak menyokong apa-apa perbuatan mereka yang menyalahi undang-undang seperti berniaga di kawasan-kawasan larangan.
Namun, elemen yang ditekankan ialah sikap mereka dalam mencari rezeki terutamanya melalui bidang perniagaan. Dalam pada orang-orang tempatan terutamanya anak-anak muda sibuk membicarakan soal status sosioekonomi, personaliti, maruah dan kaitannya dengan kerjaya atau perniagaan yang dipilih, bangsa asing semakin giat mengumpul aset dan simpanan.
Sebahagian orang tempatan yang sedang sibuk bicara tentang air muka dan lain-lain, masih di takuk lama, masih menganggur dan meminta-minta bantuan menyara hidup daripada ibu bapa, pinjaman MARA, PTPTN dan lain-lain sedang warganegara asing bahagia dan senang hati di tanah air ini.
Satu-satunya perkara yang dirunsingkan mereka ialah pasport atau kad pemastautin. Selain daripada itu, tidak ada yang menyesakkan fikiran mereka. Hidup bebas hutang, simpanan makin bertambah dan semakin banyak peluang perniagaan dikaut mereka.
Pilihan untuk hidup senang tidak ada pada tangan orang lain, tidak pada kerjaya yang bagus, tidak di atas sijil pendidikan mahupun harta yang di warisi. Selain rezeki dan takdir dari Allah, kita sendirilah yang memilih dan menentukan masa depan kita. Bagaimana kita menilai hidup dan menghargai setiap peluang yang ada, itulah cara kita melihat masa depan kita.
Semoga artikel ini memberi impak dan semangat positif dalam diri pembaca semua. Teruskan menyokong ....
Kredit foto: farouqelynikhlasjason_weemin, wazari)
Sumber: majalahniaga.com

Strategi Bisnes Tony Fernandes Membangunkan Air Asia

Sebagai pembuka tirai 2011, saya memilih untuk menulis mengenai jenama bisnes dari negara kita sendiri yang telah menjadi jenama bertaraf global dalam tempoh kurang dari 9 tahun iaitu syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia.

strategi-air-asia-1
Pada tahun 2001, syarikat ini bernilai hanya RM1.00, dibebani hutang sebanyak RM40 juta, mempunyai hanya dua kapal terbang terpakai Boeing 737-300, terbang hanya ke satu destinasi, membawa 250,000 penumpang setahun dan mempunyai hanya 250 pekerja.
Namun selepas 9 tahun, AirAsia bernilai hampir RM 4 billion, mencatat keuntungan sebanyak RM549 juta, memiliki lebih 85 pesawat Airbus A320 dan A330, terbang terus melalui lebih 130 laluan perjalanan ke 70 destinasi seluruh dunia, menerbangkan lebih 20 juta orang penumpang setahun dan kini mempunyai lebih dari 8,000 orang pekerja di Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Dan apa yang lebih menarik kini ia menjadi saingan syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa utama lain yang telah lama beroperasi seperti Malaysia Airlines Sistem (MAS), Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific.

Apakah Resipi Kejayaan Tony Fernandes?

Ketika pengasasnya, Dato’ Seri Tony Fernandes, mengumumkan impiannya untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan tambang rendah yang pertama di rantau ini, ramai yang memandang sinis dan tidak yakin dengan impiannya itu.
air-asia
Tetapi selepas 9 tahun, beliau membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil di dunia ini dan apa yang lebih menarik, modul perniagaan perkhidmatan tambang rendah AirAsia menjadi ikutan pesaing-pesaingnya seperti MAS yang menubuhkan Fireflyz, SIA yang menubuhkan Tiger Airways dan Qantas Airways yang menubuhkan Jetstar Airways.
Apakah rahsia kejayaan yang digunapakai oleh Dato’ Seri Tony Fernandes hingga berjaya meletakkan AirAsia di tahapnya sekarang? Adakah semata-mata hanya kerana tambangnya yang murah? Ataupun kerana daya penarik pramugari-pramugarinya yang beruniform merah?
Jawapannnya, tiada rahsia, yang ada hanyalah strategi bisnes yang tepat yang digunakan oleh AirAsia. Strategi bisnes AirAsia bukan sahaja terbatas pada strategi pemasaran dan poduk semata-mata tetapi ia mencakupi dari semua aspek termasuk pengurusan bisnes.

Para Pekerja Adalah Aset Syarikat

Antaranya pengurusan pasukan kerja yang berkesan. AirAsia menggelarkan pekerja-pekerjanya AllStars kerana bagi AirAsia faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya adalah peranan yang dimainkan oleh pekerja-pekerjanya.
Walau secanggih mana pun pesawat atau sistem pengkomputeran operasi yang digunakan oleh AirAsia ianya tidak akan bermakna apa-apa jika tiada pekerja yang menggerakkannya. Kerana itu AirAsia dengan bangganya menyatakan di dalam laman webnya seperti berikut :
“Our people are our GREATEST ASSET. They MAKE all the DIFFERENCES in the world. Our DRIVING FORCE has always been our people. From our humble beginnings to the present family size of 8,000 people, we stand UNITED and SHARE one common culture.”
Bagi melahirkan pasukan kerja yang berkesan, AirAsia bukan sahaja memberikan latihan yang sewajarnya kepada para pekerjanya malah AirAsia mengambil inisiatif menubuhkan Unit Budaya Korporat yang yang bertanggungjawab dalam menerapkan nilai dan amalan syarikat kepada semua pekerja.

Kos Bagi Setiap Tempat Duduk Hanya RM0.82!

Antara strategi yang lain adalah AirAsia memastikan pengurusan kos efektif. Ini kerana hanya dengan melalui pengurusan kos yang efektif sahaja yang akan membolehkan AirAsia terus menawarkan harga tambang penerbangan yang rendah pada pelanggan-pelanggannya.
Kecekapan pengurusan AirAsia dalam mengawal kos terbukti dengan pengiktirafannya sebagai penerbangan tambang murah yang mempunyai kos terendah di dunia iaitu USD0.24 (RM0.82) untuk setiap tempat duduk.

Membina Hubungan Dengan Rakyat Malaysia

Salah satu strategi bisnes AirAsia yang unik ialah membina hubungan dengan rakyat Malaysia. Setiap kejayaannya, kecil atau besar, bukan sahaja diraikan tetapi diwar-warkan sama ada di laman web mereka atau dihebahkan melalui media dan dipaparkan sebagai kejayaan rakyat Malaysia bersama bukannya hanya kejayaan AirAsia atau Dato’ Seri Tony Fernandes semata-mata.
Malah di dalam blognya, Dato’ Seri Tony sendiri menyatakan :
‘Sebagai sebuah negara, kita perlu percaya bahawa kita mampu melakukan apa sahaja. Kita mampu menjadi yang terbaik. Anak-anak kita perlu berhenti memandang tinggi kepada ikon dan individu dari negara luar seperti Manchester United, Ferrari dan Steve Jobs. Berhenti menganggap bahawa yang terbaik hanya datang dari luar negara. Kita perlu mula percaya bahawa sebagai rakyat Malaysia kita boleh. Kita boleh bersaing dan menjadi yang terbaik di dunia.’
Bagi mereka, kejayaan ini bukanlah kejayaan peribadi semata tetapi kejayaan yang mesti dikongsi bersama rakyat Malaysia kerana jenama AirAsia merupakan jenama Malaysia.

Impian Yang Dipandang Rendah Kini Terbang Tinggi

Apa yang menarik mengenai strategi-strategi bisnes AirAsia ini ialah ianya bersifat universal. Strategi-strategi tersebut bukan sahaja boleh digunakan oleh bisnes yang bersaiz besar malah juga yang bersaiz kecil dan baru hendak mula bertapak.
Dan dengan membuat rujukan kepada strategi bisnes yang telah terbukti berkesan seperti di atas, ia dapat membantu para pemilik bisnes meminimumkan risiko serta mengelakkan mereka mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh mereka yang terdahulu terlibat dalam bisnes.
*Kredit gambar yang diambil daripada Flickr: (eGuide Travel,  2011 Team Lotus photo archive,  jetalone)
Sumber:majalahniaga.com
Related Posts with Thumbnails