BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Tuesday, April 28, 2009

800 IKS dijangka sertai seminar pemasaran internet'09

image Tanpa pemasaran di Internet, perniagaan kecil di Malaysia kehilangan pelanggan berumur 20-39 tahun

Peniaga kecil kehilangan 84% bakal pelanggan baru setiap hari jika tidak memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui internet hari ini.Trend ini semakin meningkat selepas kegawatan ekonomi seluruh dunia termasuk Malaysia berlaku. Berlaku peningkatan pengguna ke laman web peniaga dari 46 peratus sehingga 236 peratus.

Mencari barang dan perkhidmatan melalui internet menjadi cara pertama sebelum mereka membeli di kedai berhampiran. Pelanggan kini tidak akan ke kedai selagi tidak mencari maklumat produk dan perkhidmatan melalui internet terlebih dahulu.

Kaji selidik oleh kursusperniagaan.com ke atas Lelong.com.my mengesahkan penemuan ini. Laman web Lelong dilawati 100,000 pengunjung sehari. Didapati 84 peratus terdiri daripada mereka berusia 20 sehingga 39 tahun.

Berdasarkan statistik Lelong, peniaga kecil kehilangan 84% bakal pelanggan baru setiap hari jika tidak memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui internet hari ini.

Trend ini semakin meningkat selepas kegawatan ekonomi seluruh dunia termasuk Malaysia berlaku. Berlaku peningkatan pengguna ke laman web peniaga dari 46 peratus sehingga 236 peratus.

Pembeli di internet berkata pengalaman membeli produk dan perkhidmatan sama seperti membeli di luar. Kajian e-dagang Visa mendedahkan sebab-sebab utama orang ramai membeli di
internet.

83 peratus pembeli berkata mereka mendapat harga terbaik daripada peniaga dalam internet. 88 peratus pembeli berkata mereka boleh membeli padabila-bila masa melalui internet. Manakala 82 peratus pembeli berkata mereka dapat membeli dengan mudah.

Berikutan peningkatan penggunaan internet menjelang tahun 2009, satu Seminar Pemasaran Internet untuk Bisnes Kecil Malaysia bakal dianjurkan oleh kursusperniagaan.com pada 7 Febuari 2009 bermula jam 9.00 pagi-5.00 petang.

Seminar sehari ini dijangka menghimpunkan 800 usahawan seluruh negara di Auditorium Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Seminar Pemasaran Internet untuk Perniagaan Kecil 2009 menjadi Persediaan peniaga kecil 2009 berikutan trend penggunaan internet semakin meningkat selepas kegawatan ekonomi berlaku.

Para usahawan akan didedahkan lima topik penting iaitu Rahsia penulisan iklan untuk menjual di Internet oleh penulis 10 buah buku di Malaysia, Zamri Mohamad.

Zamri Mohamad juga penulis buku terlaris Rahsia Bisnes Mamak yang diulang cetak yang menjadi tumpuan media di Malaysia dan Singapura. Zamri juga telah menghasilkan sepuluh buku yang terjual di rangkaian kedai buku seluruh negara dan secara Internet.

Terdahulu, beliau juga bertanggungjawab membina laman web kursusfrancais.com yang menjadi laman web rasmi kursus francais usahasama kolej antarabangsa DMDI milik kerajaan negeri Melaka dan Sprint Marketing Concept, sebuah konsultan perunding berdaftar di bawah PNS dan MARA.

Ia Kemudian diikuti dengan tajuk Cara mudah pembinaan laman web mini dan optimasi carian di internet oleh pembangun sistem kreatif, Izwan Wahab a.k.a Robotys

Perkongsian pengalaman oleh tim Flarebiz, usahawan Internet sepenuh masa, Adly Mukhtar a.k.a Labanon.

Dua topik bonus akan didedahkan kepada peserta seminar iaitu Pengurusan Risiko untuk Bisnes Kecil.Ia akan disampaikan oleh pakar dan pengamal serta penganalisis insuran bisnes kecil di Malaysia.

Selain itu, tajuk Pembinaan Jenama Bisnes Kecil. akan disampaikan oleh seorang peserta yang mengikuti sebagai forum penjenamaan antarabangsa baru-baru ini melibatkan enam pakar antarabangsa.

Maklumat lanjut Seminar Pemasaran Internet untuk Bisnes Kecil di www.kursusperniagaan.com.

Seminar Pemasaran Internet untuk Bisnes Kecil juga dianjurkan bersama Majalah IM, majalah internet pertama di Malaysia dan Primaya Solution.

Cacat Bukan Halangan Kejayaan Si Tukang Jahit

image Gambar hiasan

Mohamad berkata minatnya timbul dalam bidang jahitan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada 1992 apabila motosikal yang ditunggangnya ke tempat kerja, iaitu sebuah Kilang Kelapa Sawit di Kluang bertembung dengan sebuah bas

KUALA TERENGGANU, 6 Feb (Bernama) -- Kecacatan bukanlah halangan untuk seseorang itu meraih kejayaan, asalkan mereka mempunyai kemahuan serta azam yang tinggi, pasti apa yang dicita-citakan semuanya mampu dicapai.

Inilah yang dibuktikan oleh Mohamad Ismail, 38, yang kudung kaki kanannya setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Namun kini beliau boleh berbangga kerana berjaya menjadi seorang tukang jahit yang popular dan terkenal di Kampung Kedai Buloh, Bukit Payong, Marang dekat sini.

Mohamad berkata minatnya timbul dalam bidang jahitan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada 1992 apabila motosikal yang ditunggangnya ke tempat kerja, iaitu sebuah Kilang Kelapa Sawit di Kluang bertembung dengan sebuah bas.

Akibat kemalangan itu, beliau mengalami kecederaan parah di bahagian kakinya dan terlantar selama 21 hari di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu.

Paling mengejutkan dirinya apabila doktor memberitahu kaki kanannya terpaksa dipotong.

"Masa itu, saya rasa hidup ini gelap dan tidak bererti lagi sehinggalah beberapa tahun kemudian, saya ambil keputusan untuk menyertai kursus jahitan di Baitulmal Cheras, Kuala Lumpur selama dua tahun," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Kedai Buloh dekat sini baru-baru ini.

KURSUS

Selepas tamat kursus, dia ditawarkan bekerja sebagai tukang jahit di Arked Medan Mara, Kuala Lumpur selama setahun.

Pada masa yang sama juga beliau turut beberapa kali turun naik mahkamah di Johor Baharu menuntut ganti rugi terhadap syarikat bas berkenaan, tetapi keputusan kes tidak berpihak kepadanya.

Namun begitu, syarikat bas berkenaan telah bermurah hati apabila memberikan sedikit wang saguhati sebanyak RM4,000 dan dengan wang itu, Mohamad membuka sebuah kedai jahit yang diberi nama "Mohis Tailor" di Kampung Kedai Buloh pada tahun 2000.

Bermula dengan tempahan secara kecil-kecilan daripada masyarakat setempat, kerjaya Mohamad kini semakin meningkat apabila diberi kepercayaan untuk menjahit pakaian secara kontrak kecil-kecilan oleh beberapa agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim (Perkaya).

"Pada bulan puasa tahun lepas, rezeki datang mencurah-curah dan banyak tempahan daripada pelanggan yang terpaksa saya tolak kerana bimbang tidak mampu untuk menyiapkan tempahan mengikut masa yang dijanjikan," katanya.

Menurut Mohamad, setiap kali musim Hari Raya, beliau mampu memperolehi pendapatan sehingga RM4,000 dan tiga orang pembantunya kadangkala tidak cukup tangan untuk menguruskan tempahan yang semakin meningkat.

RAHSIA KEJAYAAN

Ketika diminta berkongsi rahsia kejayaannya, Mohamad berkata: "Petuanya cukup mudah, kualiti jahitan, mestilah kemas dan sempurna.

"Pelanggan akan merasa selesa dengan pakaian yang dijahit kemas dan menarik dan sekiranya kualiti ini ada, sudah pasti kedai jahit itu mendapat sambutan," kata Mohamad yang berasal dari Kampung Gondang, Binjai Rendah di Marang.

Beliau juga turut bersyukur kerana walaupun cacat, masih ada gadis yang sudi menjadi teman hidupnya dan perkahwinannya dengan gadis sekampung Wan Kamariah Wan Nasir, 27, pada 1999 menguatkan lagi semangatnya untuk terus berjaya.

Hasil perkahwinannya itu, Mohamad dianugerahkan tiga orang cahaya mata berumur antara tiga bulan sehingga enam tahun.

"Walaupun keadaan fizikal saya tidak sempurna seperti orang-orang yang normal dan terpaksa menggunakan kaki palsu, namun hidup saya tetap bahagia ditambah lagi dengan sokongan isteri saya dan sekarang saya juga berbangga kerana mampu memiliki rumah sendiri hasil daripada menjahit," katanya.

Katanya lagi beliau melihat pekerjaan menjahit berpotensi memberikan pendapatan yang baik dan boleh menjamin kehidupan sekiranya dijalankan secara teliti, sempurna dan meyakinkan pelanggan.

BENGKEL

Di Kuala Terengganu ketika ini, menurutnya terdapat beberapa orang tukang jahit yang terdiri daripada orang-orang cacat anggota dan kesemua tukang jahit itu mendapat didikan dan latihan daripada bengkel orang-orang cacat di Pulau Kerengga, Marang.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana masih terdapat orang cacat anggota yang tidak membuat sebarang pekerjaan serta mengharapkan belas simpati daripada orang lain.

Katanya, fenomena ini sedikit sebanyak memberi tafsiran bahawa orang cacat malas berusaha sedangkan mereka sebenarnya mampu melakukan pekerjaan seperti menjadi tukang kayu, tukang rumah, berniaga, atau membuat ukiran kayu untuk menampung perbelanjaan keluarga.

-- BERNAMA

MANIES- Jenama Produk Makanan Tradisional Malaysia

image Pemilik MANIES, Norhaja Masno bersama produk keluaran syarikat

Resepi tradisional yang digunakan sejak 1950 ini, dijual pada harga runcit RM7.90 sekotak. Sebagai ahli persatuan PERDASAMA, MANIES kini berjaya mengembangkan kawasan pemasarannya dan membina rangkaian pembekal makanan Melayu Tradisional.

MANIES Usaha Enterprise merupakan syarikat pengeluar dan pembekal makanan tradisional Melayu yang beroperasi di Kampung Sinaran Baru Skudai, Johor.
Syarikat yang ditubuhkan sejak 2007 ini mengeluarkan 3 produk utama iaitu Dodol berperisa Lemak/Durian, Kuih Sepit dan kuih siput dibawah jenama MANIES.
Syarikat yang berkembang dibawah program Groom Big SIRIM ini berjaya menghasilkan dan manaiktaraf jenama kuih melayu Tradisonal melalui sentuhan resepi, pembungkusan dan pemasaran yang berkesan.

Pengusahanya Norhaja Masno berkata, produk MANIES merupakan makanan istimewa Melayu yang paling mendapat sambutan oleh masyarakat Malaysia dan sesuai untuk pelbagai majlis, cenderahati, koporat gift, dan musim perayaan. Disamping rasanya yang enak dan berkualiti, MANIES merupakan makanan alternatif kesihatan bagi menggantikan makanan segera. Produk yang ringkas, sedia dimakan, mudah untuk dihidangkan, Tanpa bahan pewarna dan pengawet, dan 100% keluaran produk Muslim Malaysia.


Dibawah jenama MANIES, nama makanan Tradisonal Melayu dipertingkan kepada Triangle Biscuit, Roll Biscuit, Sweet Malaysian Candy tanpa merubah keaslian makanan tradisonal Melayu ini.

Resepi tradisional yang digunakan sejak 1950 ini, dijual pada harga runcit RM7.90 sekotak. Sebagai ahli persatuan PERDASAMA, MANIES kini berjaya mengembangkan kawasan pemasarannya dan membina rangkaian pembekal makanan Melayu Tradisional.


Ketika ini, MANIES mudah didapati di ruang jualan di Amcorp MALL Petaling Jaya dan di bangunan MATRADE Kuala Lumpur. Bagi mereka yang berminat untuk menjadi rakan niaga MANIES, boleh menghubungi Norhaja Masno di talian 019.728.4436 atau melayari web blog MANIES di http://manies-anies.blogspot.com

Petikan dari niaganews.com

Alive Universal Pengeluar Botol Plastik

image Teknologi yang digunakan dalam menghasilkan botol

Di kilang Alive Universal, mereka membekalkan pelbagai bentuk plastik unutuk keperluan pengguna dan usahawan sebagai bekas pembungkusan produk. Antaranya, Preform Caps & Accessories, Pet Jars & Kaya, Pet Bottle Screw Head, Pet Sos, Ketchup & Garlic Bottles Plug Head.

Alive Universal Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 4 Jun 2003 dengan semangat, kemahiran dan pengetahuan tinggi yang diberikan oleh Pengarah Urusan Encik Md Rasid b Talib bersama-sama Encik Jasnizan Jamaluddin.


Ketika ini, syarikat ini beroperasi di Bukit Minyak Seberang Perai Tengah Pulau Pinang dengan mempunyai kapasiti penggunaan teknologi yang tinggi.

Kilang plastik Alive Universal Sdn Bhd, mempunyai 15 unit mesin bagi Injection Moulding yang menggunakan teknologi robotic dan kawalan secara digital. Kini, mesin Injection Moulding milik mereka mempunyai kapasiti tone antara 80 hingga 360 tone.

Selain, mesin Injection Moulding Alive Universal juga mempunyai 4 unit blowing machine yang khas bagi pengeluaran botol antibakteria.

Di kilang Alive Universal, mereka membekalkan pelbagai bentuk plastik unutuk keperluan pengguna dan usahawan sebagai bekas pembungkusan produk. Antaranya, Preform Caps & Accessories, Pet Jars & Kaya, Pet Bottle Screw Head, Pet Sos, Ketchup & Garlic Bottles Plug Head.


Bagi mereka yang berminat untuk melanggan produk keluaran Alive ini, boleh menghubungi En Mad Rasid Talib di talian 012-4746717 (Managing Director) atau 04-5086717

Thursday, April 23, 2009

Noor Aini Usahawan Roti

ANTARA roti dan kek beraneka jenis yang diusahakan oleh Noor Aini Abdullah di sekitar Pekan Sik Kedah.


SIK 23 April - Mungkin ramai tidak sanggup melepaskan jawatan bergaji tetap, apatah lagi ketika berada di kampung halaman sendiri semata-mata untuk menjalankan perniagaan khususnya pada zaman kemelesetan ekonomi.

Perkara ini bagaimanapun berbeza dengan seorang bekas lepasan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Noor Aini Abdullah, 28, dari Kampung Sungai Semiar, Jeneri, di sini, yang sanggup meninggalkan jawatan berstatus pengurus untuk menghadapi cabaran lebih besar iaitu membuka kedai roti dan kek.

Pemegang Ijazah Bio-Teknologi itu berkata, sebelum ini, dia pernah memegang jawatan pengurus akaun di sebuah koperasi di bandar ini sebelum menyertai sebuah yayasan sebagai pengurus projek tetapi kemudiannya beralih ke bidang perniagaan pada 2007.

Menurut Noor Aini, dia tidak menyesal meninggalkan jawatan berkedudukan tinggi itu kerana selain menyahut seruan kerajaan untuk menambah jumlah usahawan di kalangan bumiputera, bidang perniagaan diceburinya ternyata membuahkan hasil cukup memberangsangkan.

Menyewa sebuah kedai kecil di Stesen Bas Sik, Noor Aini menjalankan operasi kedai roti dan kek atas jenama Srikanis yang ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

''Saya memulakan perniagaan dengan modal RM15,000 termasuk membeli ketuhar, mesin pengadun dan sebagainya dengan mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).

''Saya belajar membuat roti dan kek daripada rakan-rakan sewaktu di Unimas dan mengikuti kursus di Kolej Komuniti di sini, ditambah dengan kreativiti sendiri untuk mencuba sesuatu resepi," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Dengan dibantu dua pekerja, Noor Aini memberitahu, dia bukan sekadar menjual produk keluarannya itu di gerai tersebut, malah menjadi pembekal tetap roti daging dan pizza di sekolah-sekolah sekitar daerah Sik, Baling dan Sungai Petani dan Yan.

''Syukur kerana setakat ini saya menerima tempahan roti daging dan pizza untuk sekolah-sekolah sebanyak 1,000 biji sehari.

''Produk keluaran saya khususnya roti daging cukup disukai tetapi bagi menjaga kualiti, saya mengeluarkannya mengikut tempahan kerana ia tidak boleh disimpan lama," tambahnya yang mendapat galakan daripada suami, Noor Azman Othman.

Selain itu, kata Noor Aini, dia menjual biskut dan kuih tradisional seperti baulu dan sebagainya.
''Sambutan baik, selain roti daging dan pizza, biskut, kuih tradisonal dan kek menarik minat ramai mengikut musim.

''Contohnya, pada musim cuti sekolah, saya menerima banyak tempahan kek untuk majlis-majlis perkahwinan yang diadakan pada ketika itu," katanya.

Noor Aini berkata, keluaran kedainya itu dijual pada harga berpatutan mengikut jenis iaitu dari serendah 80 sen hingga RM1.50 untuk roti dan RM15 hingga RM70 untuk kek.

''Cadangan saya tentulah untuk membesarkan perniagaan dan saya akan tingkatkan lagi usaha bagi mencapai matlamat tersebut," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan, boleh menghubungi Noor Aini menerusi talian 019-5932049.

Pengusaha perlu hasil produk untuk eksport


KUCHING: Pengusaha tempatan perlu bijak mengenal pasti produk yang mampu memberi pulangan pendapatan yang tinggi serta mampu menghasilkan pengeluaran produk berskala besar, sekali gus menerokai pasaran antarabangsa. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, berkata pelbagai produk atau barangan yang mempunyai identiti tempatan boleh diterokai oleh pengusaha di negeri ini. Justeru, mereka perlu berpandangan jauh dengan cuba mengeluarkan produk yang mempunyai potensi yang tinggi, bukan saja untuk keluaran tempatan malah boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh beras Bario, belacan serta kek lapis mempunyai nilai tersendiri serta berpotensi untuk dipasarkan ke seluruh negara. Pada masa sama kita boleh menjadikan ia produk tersohor bagi Sarawak. "Sekiranya mereka yang terbabit mampu menghasilkan barangan berkenaan dengan skala yang besar, maka ia mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa sekali gus mampu menjana pendapatan lebih lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Profesional di sini, semalam.
Bagaimanapun, Fatimah berkata, pengusaha produk terbabit perlu mengetahui langkah perlu terutama dalam menguasai penggunaan teknologi terkini dalam keluaran mereka dengan pada masa sama sentiasa menjaga kualiti barangan yang dihasilkan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, kumpulan penjawat pengurusan profesional yang cekap serta seimbang dalam setiap tindakan mampu menjadi tulang belakang kejayaan dan kelicinan pentadbiran sesebuah syarikat atau organisasi. Katanya, sebagai penjawat yang profesional, mereka perlu memberi layanan yang adil tanpa mengira status bagi menjamin kesetiaan kakitangan bawahan, sekali gus berupaya meningkatkan produktiviti serta integriti sesebuah organisasi.

Friday, April 17, 2009

Mida pelawa PKS sektor perkhidmatan mohon dana

LEMBAGA Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida), agensi kerajaan yang diamanah untuk mengagih dan menguruskan Dana Pembangunan Kapasiti Sektor Perkhidmatan (SSCDF) bernilai RM100 juta, mempelawa syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergiat dalam sektor perkhidmatan untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pembiayaan di bawah dana itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Jalilah Baba berkata, permohonan boleh dikemukakan terus kepada agensi itu atau menerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) serta semua dewan atau persatuan perniagaan seluruh negara.

"Dana ini hanya dibuka kepada syarikat, khususnya PKS yang terbabit dalam semua sektor perkhidmatan, kecuali kewangan, utiliti dan pembinaan.

"Mereka boleh mengemukakan permohonan mereka sekarang bagi memastikan ia dapat diproses lebih awal dan pembiayaan disalurkan dengan cepat.

"Matlamatnya adalah untuk menggalakkan syarikat terbabit untuk menggunakan wang ini bagi membuat persediaan meningkatkan daya saing mereka pada peringkat antarabangsa berikutan pembukaan pasaran bagi sektor perkhidmatan tidak lama lagi," katanya dalam taklimat media mengenai pengagihan dana SSCDF itu, di sini semalam.

Dana SSCDF adalah sebahagian daripada peruntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi pertama dan ia bertujuan memberi bantuan kewangan kepada syarikat tempatan bagi meningkatkan pembinaan kapasiti mereka untuk berdepan dengan persaingan daripada syarikat luar apabila pasaran dalam sektor perkhidmatan dibuka.

Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing syarikat tempatan pada peringkat global dan seterusnya mengambil bahagian dalam projek antarabangsa.

Jalilah menegaskan, keutamaan akan diberikan kepada syarikat tempatan yang terbabit sebagai penyedia perkhidmatan dalam sektor kesihatan, pelancongan dan logistik.

Beliau berkata, ada empat program yang layak mendapat pembiayaan menerusi dana SSCDF itu, iaitu program bagi menjalankan latihan (pembiayaan sehingga maksimum RM250,000); akreditasi (RM250,000); penggabungan dan pengambilalihan (RM250,000); dan peningkatan taraf dan pemodenan (RM500,000).

Katanya, dari jumlah RM100 itu, RM50 juta akan diperuntukkan bagi geran pemadanan dan baki RM50 juta lagi bagi skim pinjaman mudah yang akan diagihkan menerusi MIDF.

"Permohonan mendapatkan geran itu juga boleh dikemukakan menggunakan borang yang boleh dimuat turun daripada laman web www.mida.gov.my, manakala penyedia perkhidmatan yang ingin melaksanakan program peningkatan taraf dan pemodenan perlu memohon pinjaman mudah menerusi Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Kapasiti Perkhidmatan, menerusi MIDF," katanya.

Katanya, setakat ini, Mida telah menerima satu permohonan yang dikemukakan oleh persatuan perniagaan dan mensasar untuk mengagihkan sepenuhnya dana itu menjelang September ini.

Konsep homestay diubah suai

Sedia rumah berasingan bagi pelancong inginkan hak persendirian

PORT DICKSON: Konsep homestay, iaitu pelancong tinggal serumah bersama penduduk kampung perlu diubah suai kerana sesetengah pelancong walaupun menggemari suasana kampung tidak begitu selesa tinggal di rumah begitu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, berkata ada sesetengah pelancong mahu tinggal sendirian bersama rakan atau keluarga mereka di rumah yang berasingan daripada rumah penduduk kampung.

Katanya, pelancong begini mahu menikmati suasana dan kehidupan di kampung, tetapi mahukan hak bersendirian apabila pulang ke rumah penginapan.

"Walaupun kebanyakan pelancong mahu tinggal bersama penduduk kampung, ada yang mahu tinggal berasingan dan kita perlu mewujudkan rumah yang khusus untuk golongan begini di homestay sedia ada atau yang bakal dibuka," katanya merasmikan program Maulidur Rasul dan Aqiqah di Kampung Pacitan dekat sini, kelmarin.

Seramai 60 pelancong dari Singapura menyertai program itu untuk merasai sendiri menyambut program keagamaan itu dalam suasana kampung.

Mohammad Razi berkata, untuk itu rumah kosong sedia ada boleh dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan golongan berkenaan dan pada masa sama, mengurangkan rumah terbiar yang mencacatkan pemandangan kampung.

Beliau juga mengingatkan pengusaha homestay supaya mengutamakan kebersihan serta bersikap peramah kepada pelancong supaya kenangan manis akan mendorong mereka datang lagi dan menggalakkan orang lain datang ke homestay berkenaan.

Sementara itu, katanya homestay Pacitan mencatatkan kehadiran pengunjung kedua tertinggi di negeri ini, iaitu hampir 2,210 orang dan memberi pulangan sebanyak RM205,000 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pengusaha homestay lain di negeri ini supaya mempelajari kejayaan itu dengan matlamat bukan untuk meniru, tetapi mewujudkan keunikan tersendiri di homestay masing-masing.

Petikan dari Berita Harian online..

PKS: RM3.2b biayai 198 program


KUALA LUMPUR 14 April - Dalam tahun lepas sahaja kerajaan menyediakan biaya berjumlah RM3.2 bilion bagi 198 program dalam membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari pelbagai sektor, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC),Datuk Hafsah Hashim, hari ini.

Hafsah berkata, program-program itu disasarkan ke arah pembinaan keupayaan dan meningkatkan kebolehan syarikat bagi memastikan kelestarian perniagaan masing-masing.

Sebanyak 317,000 PKS disasarkan meraih manfaat daripada pelaksanaan kegiatan-kegiatan ini, katanya dalam ucaptamanya pada Persidangan PKS Kebangsaan 2009 selama dua hari bermula di sini hari ini. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SMIDEC, Borhan Sidik.

SMIDEC menggunakan pendekatan menyeluruh dalam menggalakkan dan menaikkan taraf PKS melalui pelbagai program pembangunan dan bantuan kewangan.

Setakat ini, sejumlah 21,208 projek bernilai RM587.3 juta di bawah skim geran sepadan diluluskan manakala bagi skim pinjaman mudah, sebanyak 1,488 permohonan melibatkan pembiayaan berjumlah RM864.9 juta telah diluluskan.

Hingga 2008, sebanyak 859 PKS dikaitkan kepada syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat-syarikat besar melalui kegiatan pemautan yang dilaksanakan oleh SMIDEC, dan ini menjana jualan terkumpul bernilai RM893.79 juta.

Kebanyakan kegiatan pemautan ini dilaksanakan semasa sesi pemadanan perniagaan pada SMIDEX tahunan.

Hafsah berkata, SMIDEC akan menganjurkan SMIDEX 2009, bertema "Inovasi dan Teknologi: Mengekalkan Kuasa bagi PKS" dari 3 hingga 5 Jun tahun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara ini akan diadakan serentak dengan Kongres Dewan Perniagaan Sedunia 2009.

Ladang ternakan dalam resort



Lembu Bali antara baka yang diternak di Ladang Syamille.


BELIAU merenung jauh ke kawasan kandang memerhatikan ternakan kambing Boer yang sedang rancak mengunyah. Tidak jauh dari situ, lembu Bali yang montel dan bersih sedang berkeliaran. Sungai yang memisahkan kompleks ladang dan penginapan serta pusat rekreasi sekali mengalir lesu tetapi dengan airnya yang sangat jernih.

Renungan itu diselangselikan dengan kerutan dahi, mungkin memikirkan mengenai apa yang telah dan sedang dilakukannya di ladang itu yang baru beberapa tahun beroperasi.

''Mulanya di kawasan ini , saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus memberitahu mengenai niat murninya itu.

Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.

Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.

Dengan dibantu adik beradiknya Badrul Hisham Mohd. Idrus dan Mohd. Zulkifli Mohd. Idrus serta Ketua Pegawai Operasi, Hiruddin Hashim, mereka membangunkan kawasan tersebut sejak hujung 2004 dengan kerja-kerja pembelian tanah daripada penduduk kampung.

Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.

Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.

Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.

Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.

Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.

Semua projek tersebut menurut Mohd. Zainuri menelan belanja antara RM5 dan RM6 juta sejak 2004 meskipun beliau juga menggunakan bahan buangan seperti kayu dari landasan keret api, membina landskap dan penginapan bertaraf hotel.

''Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan," katanya.

Pada mulanya, 50 ekor kambing dibawa masuk dari Australia dan hampir setiap hari, seekor akan mati.

Kali kedua, kejadian sama berulang dan mereka terpaksa bertungkus lumus untuk mencari petua dan belajar daripada pelbagai pihak.

''Saya pernah dihalau oleh penternak apabila cuba menawarkan diri mendapatkan bimbingan daripadanya dan seorang penternak Cina akhirnya membantu saya memberikan tip berguna," ujar beliau.

Beliau kemudiannya membangunkan kawasan tersebut sedikit demi sedikit bersesuaian dengan konsep pelancongan tani dan pada masa sama projek pembangunan kemudahan termasuk pejabat, gelanggang sukan masih diteruskan.

Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.

Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.

Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.

Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.

''Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik.

''Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus,'' katanya.

Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.

Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.

Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.

Sementara itu menurut Mohd. Zainuri, pihaknya akan meluaskan aktiviti kepada penjualan ternakan apa bila projek tersebut dilaksanakan di Perlis tidak lama lagi.

Tumpuan akan diberi kepada pengeluaran di kawasan tersebut manakala ladang sedia ada akan tertumpu kepada pembiakbakaan dan R&D.

Syarikat tersebut terus menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai ladang pengganda kambing Boer dan lembu pedaging serta penggalak bagi industri ternakan kambing dan lembu.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.

Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.

Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.

Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.

Syarikat tersebut akan menjadi pembimbing dan lokasi bagi bengkel ternakan anjuran bersama Agro Bank, MayConsult dan Mega Utusan Malaysia pada 24 hingga 27 April ini.

PKS: Lebih mudah dapat biaya


ZETI Akhtar Aziz melancarkan penubuhan SME Credit sambil diperhatikan oleh Azhar Wan Ahmad di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 April - Isu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sukar mendapat pembiayaan dijangka tidak akan timbul lagi berikutan penubuhan SME Credit Bureau (M) Sdn. Bhd. (SME Credit) hari ini.

Ini kerana SME Credit yang ditubuhkan di bawah Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC), akan memberikan penarafan kepada PKS manakala institusi kewangan pula akan menawarkan pembiayaan berdasarkan penilaian itu.

Sebelum ini, PKS tempatan seringkali mengadu sukar mendapat pembiayaan kerana tidak mempunyai rekod pencapaian dan kewangan seperti mana dikehendaki oleh institusi kewangan.

Keadaan ini merugikan kerana banyak PKS berpotensi untuk berkembang tetapi pengurusan kewangan tidak tersusun menyebabkan keupayaannya sering dipersoalkan.

Menurut Pengerusi CGC, Datuk Azhar Wan Ahmad, SME Credit akan menjadi jambatan penghubung antara PKS dan institusi-institusi kewangan tempatan dalam mengatasi masalah berkaitan rekod pencapaian operasi dalam mendapatkan pinjaman.

''SME Credit beroperasi untuk menyediakan institusi kewangan dan para peminjam (PKS) dengan kemudahan yang tepat dan maklumat kredit yang boleh dipercayai," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan SME Credit di sini hari ini. Pelancaran itu disempurnakan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Pada majlis itu, Dr. Zeti turut menyaksikan perjanjian memorandum antara Dyn & Bradstreet (M) Sdn. Bhd. yang diwakili Pengerusinya, Kevin Koo dan Persatuan Bank-Bank Malaysia oleh Pengarah Ekskeutifnya, Chuah Mei Lin untuk bekerjasama dengan SME Credit.

Azhar menjelaskan, PKS tempatan mengalami terlalu banyak isu mengenai rekod pencapaian kredit sehingga ia menjejaskan peluang pembiayaan dalam sektor tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kewujudan SME Credit, akan memudahkan kedua-dua pihak mendapatkan maklumat dan pembiayaan kredit.

''Tetapi kami bukan badan penilaian atau pemberi sokongan kepada PKS yang mahu membuat pinjaman sebaliknya hanya menawarkan keperluan nilai tambah dengan objektif membantu mereka membina rekod pencapaian yang baik dan keperluan kewangan," jelasnya.

Menurut beliau, sebagai data bank kredit, SME Credit akan menyeragamkan data daripada sumber yang boleh dipercayai dan menyediakan institusi kewangan serta penilai perdagangan dengan akses masa dan maklumat kredit PKS, sekali gus mempromosikan pinjaman secara bertanggungjawab.

Beliau percaya dengan peranan yang diberikan itu, SME Credit berupaya membantu meningkatkan tahap kepercayaan antara institusi kewangan dengan PKS dengan harapan menambah bilangan pembiayaan PKS.

''Kita berharap dengan cara ini membolehkan institusi kewangan menawarkan lebih banyak produk baru pada kadar faedah yang lebih kompetitif berdasarkan profil kredit PKS," ujarnya.

Petikan dari utusan online...


Related Posts with Thumbnails