Tuesday, July 19, 2022

Bank Rakyat diminta sedia dana khas bantu rantaian agromakanan

 

Tan Sri Noh Omar berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto FB

Tan Sri Noh Omar berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto FB

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar meminta Bank Rakyat menyediakan dana khas bagi membantu koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian.

Beliau berkata, koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian penting serta harus diberi keutamaan bagi membantu melancarkan rantaian agromakanan.

Katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempunyai banyak koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian, contohnya ternakan ayam.

"Ada 15 koperasi menghasilkan 42 juta ayam. Jadi kita mahu bantu, daripada 42 juta ayam ini, kita mahu hasilkan 52 juta ekor serta melakukan perladangan kontrak.

"Ia sejajar dengan dasar yang dibuat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang mempunyai gabungan badan-badan yang akan memainkan peranan mengikut sektor masing-masing. Antara sektor mereka adalah agromakanan," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat, di sini hari ini, Noh berkata, KUSKOP komited melaksanakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha mengatasi isu berkaitan sektor pertanian.

Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta di bawah 'Skim Agro Food Facilities' bagi menggalakkan pengeluaran bahan makanan yang diuruskan koperasi berasaskan agromakanan.

"Gerakan koperasi negara kini telah mencapai usia 100 tahun dan dalam tempoh seabad ini, koperasi telah menunjukkan satu evolusi yang membanggakan dengan pelbagai penglibatan dalam sektor ekonomi yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

"Perjuangan gerakan koperasi seperti Bank Rakyat terus relevan dengan kejayaan meningkatkan kesejahteraan anggota melalui penglibatan aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

"Pada masa sama, gerakan koperasi amat penting bagi menggerakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekali gus dapat melahirkan 'Keluarga Usahawan'," katanya.

Noh berkata, koperasi juga salah satu enjin pertumbuhan ekonomi yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dapat memperkasakan ekonomi masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar, berkata Bank Rakyat akan memasuki tahun ke-68 penubuhannya dan untuk memastikan ia kekal relevan bagi tahun mendatang, pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) telah dirancang.

Katanya, pelan berkenana kini berada dalam fasa pelaksanaan yang mana pada 2021, kesemua 46 program yang direncanakan telah berjaya direalisasikan mengikut perancangan.

"Bank Rakyat akan terus menyokong pertumbuhan mampan 'Keluarga Koperasi' dan memperkasakan peranan gabungan koperasi khususnya dalam sektor kewangan dan keusahawanan.

"Ia bertepatan dengan aspirasi KUSKOP untuk memasyarakatkan gerakan koperasi dalam negara sebagai pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi negara bangsa yang seimbang dan progresif.

"Menjadi hasrat Bank Rakyat juga untuk terus berinovatif dalam merancang pelbagai produk dan perkhidmatan yang holistik, bersepadu serta dapat memanfaatkan anggota dan pelanggan untuk mencapai visinya sebagai Bank Koperasi Islam Progresif Nombor 1 di Malaysia," katanya.

Bank Rakyat antara penyumbang terbesar kepada perolehan sektor perkhidmatan kewangan koperasi. iaitu sebanyak RM26.8 bilion atau lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan sektor koperasi. - BERNAMA

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI