Thursday, December 26, 2019

Projek Penanaman Nanas Untuk Pasaran Premium

    • KETERANGAN PROJEK
      Projek ini adalah merupakan salah satu pendekatan untuk mentransformasikan Industri Nanas Malaysia kepada nanas yang mempunyai nilai premium. Tumpuan akan diberikan  kepada penyusunan semula (restructuring) sektor pekebun kecil melalui koperasi / kelompok / pertubuhan atau  sebagai mini estet. LPNM akan mengambil peluang untuk menebusguna tanah terbiar khususnya di Semenanjung Malaysia yang merekodkan keluasan tanah terbiar untuk tahun 2014 iaitu 117,194 hekta dan mensasarkan tambahan keluasan tanam baru sebanyak 5,500 hektar menjelang tahun 2020.

    • OBJEKTIF
      Projek ini bertujuan untuk mempertingkatkan pendapatan pengusaha-pengusaha nanas kecil dan mikro yang berada dalam golongan B40, disamping mengekalkan kelestarian kawasan penanaman nanas yang sediaada dan memenuhi permintaan tempatan yang meliputi pasaran segar dan industri hiliran.

    • SKOP BANTUAN
      Skop projek yang telah digariskan dalam melaksanakan projek ini adaah seperti berikut;a. Pemberian Geran Bantuan Tanaman Nanas
      b. Geran bantuan berbentuk bahan tanaman (sulur) pada kadar 49,400 sulur per hektar @ 20,000 sulur per ekar dan had maksima keluasan adalah 4.05hektar per peserta / lot;
      c. Geran bantuan berbentuk input pertanian sepertimana yang ditetapkan dalam Peraturan Perindustrian Nanas Malaysia (Bantuan Kewangan Untuk Pekebun) (Pindaan 2011);
      d. Pembangunan Infrasstruktur bagi memenuhi keperluan Persijilan MyGap – jalan adang, stor input, pusat pengumpulan buah, bilik sejuk dsb. Had maksima bantuan infrastruktur adalah RM250,000 per kelompok / mini estet; dan
      e. Khidmat Pengembangan dan Kepakaran.

    • SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
      Kriteria & Kelayakan
      i. Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
      ii. Pemilikan persendirian atau individu atau syarikat;
      iii. Berdaftar dengan LPNM;
      iv. Taraf milik tanah yang sah;
      v. Melengkapkan borang permohonan;
      vi. Pengusaha tidak pernah mendapat benih MD2 di bawah mana-mana Projek MD2 LPNM;
      vii. Maksimum kelayakan untuk diberi bantuan sulur adalah 10 ekar;
      viii. Mempunyai modal pusingan yang mencukupi; dan
      ix. Tanaman secara tunggal sahaja.

    • KAEDAH PERMOHONAN
      Pemohon perlu mengisi : –
      i. Borang Permohonan Program Penanaman Nanas MD2 (Komersil / Pekebun Kecil)
      ii. Surat Akuan Berkanun
      iii. Surat Pelepasan Tanggungan
      iv. Borang IV (permohonan bagi pendaftaran sebagai pekebun)Pemohon perlu menyediakan salinan :-
      i. Kad Pengenalan
      ii. Salinan geran / *Pelan Lakar (untuk tanah yang tidak mempunyai geran seperti TOL)
      iii. Resit bayaran cukai tanah terkini

  • JENIS & KADAR BANTUANPROGRAM PEMBANGUNAN USAHAWAN INDIVIDU / KELOMPOK
    a. Pengusaha Kecil
Ciri-ciri Projek Kadar Bantuan
Melibatkan peserta perseorangan @ individu; Keluasan 0.4-1.2 ha (Keutamaan kepada 1.2 ha bagi menyokong pemadanan eksport);
Pemilikan tanah yang sah;
Berdaftar dengan MyGAP;
Tanaman Tunggal.
Benih MD2 Minimum : 37,000 sulur / ha
Maksimum : 42,000 sulur / ha
b. Pengusaha Komersil
Ciri-ciri projek Kadar bantuan
Melibatkan peserta perseorangan atau koperasi atau kelompok atau syarikat; Keluasan maksimum 4 hektar;
Pemilikan tanah yang sah;
Deposit RM 15,000; (jaminan pemulangan benih)dan menandatangani perjanjian;
Berdaftar dan mendapat persijilan MyGAP;
Tanaman Tunggal;
Jaminan bekalan untuk pemadanan eksport.
Benih MD2; Jumlah : 49,240 sulur / ha;
Konsep pemulangan dengan nisbah 1:1 iaitu setiap satu (1) beih yang dibekalkan, satu (1) benih akan dipulangkan kepada LPNM untuk tempoh yang telah ditetapkan.

SUMBER:http://www.mpib.gov.my/projek-pengukuhan/#

BANTUAN PENANAMAN NENAS 2019

SKOP BANTUAN
Bantuan ini akan disalurkan dalam bentuk geran input pertanian merangkumi :-
  1. Pemberian sulur benih nanas ; atau
  2. Baja (baja sebatian / baja semburan / baja buah); atau
  3. Penggalak bunga (hormon); atau
  4. Racun pracambah; atau
  5. Plastik sungkupan.
  6. Insentif ini disalurkan dalam bentuk one-off (sekali sahaja)
*Nota : Bagi tahun 2016, berdasarkan kepada keputusan mesyuarat yang dihadiri Pengarah-Pengarah Wilayah/Negeri pada 29 – 31 Disember 2015 di Hotel Uniten memutuskan hanya pemberian Sulur sahaja.
Jenis Dan Kadar Bantuan

JENIS INSENTIF KADAR
BANTUAN /EKAR
i) Bahan Tanaman Sulur nanas 10,000 sulur / Ekar
(Keluasan minimum 2.5 ekar dan keluasan maksimum 15 ekar)
RM 0.15/ Sulur
JUMLAH KADAR BANTUAN (RM 1,500.00)
*Lebihan harga sulur akan ditanggung oleh pengusaha

SYARAT PERMOHONAN
  1. Warganegara Malaysia
  2. Taraf milik tanah yang sah.
    1. Melengkapkan borang : –
      • Permohonan Untuk Geran Penanaman / Penanaman Semula (Integrasi)
      • Surat Akuan Berkanun
      • Surat Pelepasan Tanggungan
      • Permohonan Bagi Pendaftaran Sebagai Pekebun (Borang IV)
    2. Menyediakan dokumen–dokumen yang diperlukan :-
      • Salinan Kad Pengenalan
      • Salinan Geran / Surat Tol / Surat Kebenaran daripada Pentadbir Tanah (Beserta Pelan Tanah) surat / Notis Pembayaran Cukai Tanah yang terkini.
  3. Mendapat sokongan atau tiada halangan daripada agensi pelaksana (RISDA. FELCRA, FELDA,LGM,MPOB atau lain– lain).
  4. Permohonan yang mempunyai keluasan minima 2.5 ekar sehingga 15 ekar.
  5. Tanaman secara intergrasi (contoh: kelapa sawit, getah,kelapa dan lain– lain)
  6. Bantuan diberikan secara sekali sahaja (one off) .
CARA MEMOHON
  1. Pemohon perlu mengisi : –
    1. Borang permohonan untuk Projek Pengukuhan Tanaman Nanas.
    2. Surat Akuan Berkanun
    3. Borang IV (Permohonan Bagi Pendaftaran Sebagai Pekebun)
  2. Pemohon perlu menyediakan salinan :-
    1. Kad Pengenalan
    2. Salinan geran / *Pelan Lakar (untuk tanah yang tidak mempunyai geran seperti TOL )
    3. Resit bayaran cukai tanah terkini                                                                                                                                                                                                                         SUMBER : http://www.mpib.gov.my/projek-pengukuhan/#

Tuesday, November 12, 2019

Import ayam belanda halal AS dijangka meningkat



DARI kiri, Rowena Ngumbang (Pakar Pemasaran Pertanian, Perkhidmatan Pertanian Luar AS (FAS), Morgan J O' Brian (Atase Media Kedutaan Besar AS) dan Chef Wan (tengah) di Klang, hari ini. - Foto Ihsan Kedutaan AS



KLANG: Import ayam belanda halal dari Amerika Syarikat ke Malaysia dijangka terus meningkat tahun ini, serentak dengan permintaan yang semakin bertambah.

Atase Pertanian Serantau Kedutaan Besar AS ke Malaysia, William Verzani berkata, ayam belanda halal adalah satu-satunya produk berasaskan ayam yang diimport Malaysia serta berpotensi untuk dikembangkan secara lebih meluas.

Katanya, Malaysia mencatat nilai import berjumlah AS$400,000 (RM1.67 juta) bagi pasaran ayam belanda sepanjang 2018 dan ia dijangka terus bertambah.

“Produk berasaskan ayam halal amat minimum di Malaysia dan kami mahu pasaran yang lebih meluas untuk produk seumpama ini.

“Kami mahu meneroka pasaran produk pertanian lebih luas, membabitkan dari jenis lain, khususnya daging lembu halal,” katanya kepada BH ketika ditemui, di sini, hari ini.

William menyatakan demikian selepas melancarkan promosi ayam belanda halal AS bersama chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.

Ditanya mengenai kerjasama bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), beliau memberitahu ia khusus bagi memastikan status halal produk yang ingin menembusi pasaran Malaysia memenuhi kriteria ditetapkan.

“Terdapat dua institusi khas di AS yang bertanggungjawab memastikan kriteria halal produk memenuhi syarat digariskan JAKIM iaitu Majlis Makanan dan Nutrisi Islam AS (IFANCA) serta Perkhidmatan Islam AS (ISA).”

Kedua-dua institusi ini bertanggungjawab memantau proses penghasilan ayam belanda dari Iowa ini memenuhi kehendak dan syariat Islam, seperti ditetapkan JAKIM,” katanya.

Mengulas lanjut William berkata, proses mendapat pengiktirafan JAKIM bukan sesuatu yang mudah kerana ia membabitkan perincian menyeluruh segenap aspek.

“Dalam hal ini, IFANCA dan ISA bertanggungjawab memberi latihan kepada pembekal untuk memastikan semua aspek berkaitan seperti penyembelihan, makanan haiwan dan pembersihan menggunakan kaedah patuh syariah,” katanya.
 

Cari peluang jual kopi ke negara Asia Tenggara

Pengarah Urusannya, Faizul Rohban menunjukkan anugerah yang diterima iaitu The BrandLaureate World Halal Best Brand di Kuala Lumpur. - NSTP/Fathil Asri
 
 
 KOTA BHARU: Syarikat pengeluar kopi, FR Qaseh Sdn Bhd, mensasarkan kopi keluarannya ke peringkat lebih tinggi dengan menembusi pasaran di beberapa negara Asia Tenggara.

Pengarah Urusannya, Faizul Rohban, berkata perkara itu menjadi impiannya sejak syarikat yang diusahakannya mengeluarkan produk minuman berasaskan kopi pra campuran iaitu Arjuna Qaseh dan Manja Qaseh pada 2013.

Penerima anugerah The BrandLaureate World Halal Best Brand pada September lalu itu, berkata antara negara yang menjadi tumpuan untuk memasarkan kopi keluarannya itu seperti Filipina, Thailand, Indonesia dan Brunei.

“Bagi menghasilkan kopi yang berkualiti tinggi dan dijamin selamat, pihak kami menghantar sampel untuk kajian termasuk ke Australia Lab Services yang terdapat di 64 negara untuk membuktikan tiada bahan terlarang atau logam yang membahayakan.

“Alhamdulillah hasilnya kopi yang kami hasilkan bebas daripada bahan terbabit dan selamat untuk diminum. Malah kami menggunakan sumber akuatik iaitu kolagen ikan talapia yang halal dan selamat.

“Kebanyakan pelanggan kami adalah mereka berusia 30 tahun ke atas. Setakat ini kopi kami sudah sampai ke negara luar seperti Thailand dan Indonesia, namun yang dibeli sendiri oleh pelanggan yang datang ke Malaysia,” katanya ketika ditemui di pejabat FR Qaseh miliknya di Bandar Baru Pasir Pekan, di sini.

Faizul berkata, dua jenis minuman yang dihasilkan berbentuk serbuk iaitu kopi Arjuna Qaseh untuk lelaki dan Manja Qaseh untuk wanita, dijual pada harga RM69.90 untuk 500 gram.

Katanya, kopi itu bukan sekadar untuk diminum santai malah terdapat formulasi dengan ekstrak seperti tongkat ali untuk lelaki dan Apple Phenon untuk wanita yang mempunyai khasiat tersendiri.

“Kami berusaha sebaiknya menjadi antara pengeluar kopi yang terbaik di pasaran tempatan kerana saya percaya kami perlu menjadi jaguh di ‘kampung’ terlebih dahulu jika mahu mendapat tempat di negara orang.

“Namun kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak diperlukan bagi memastikan hasrat kami untuk meluaskan empayar ke negara Asia tercapai seterusnya menjadi pengeluar kopi tersohor,” katanya.
 
 
 

Monday, September 30, 2019

Sambal ikan kekek jana pendapatan

LABUAN: Seakan satu kerugian apabila melihat lambakan ikan kekek dibuang begitu sahaja di tepi pantai atau dibiarkan mati terapung di air, tanpa ada inisiatif untuk memprosesnya sebagai produk makanan.

Berikutan itu, timbul idea bagi ibu muda, Saiyidatul Syahirah Jasniey, 28, untuk menjadikannya sambal garing sebagai produk perniagaan bagi menambah pendapatan.

Katanya, rasa terkilan juga apabila melihat pengusaha ikan bilis membuang ikan kekek yang terperangkap pada jaring mereka tanpa ada usaha untuk memajukannya.

“Atas rasa tanggungjawab, saya meminta mereka nelayan ikan bilis menjualkannya terus kepada saya untuk diproses,” katanya kepada BH.

Menurut pemegang Diploma Pengurusan Hotel dan Katering, Politeknik Kota Kinabalu itu, bermodalkan wang tunai RM50 beliau memulakan perusahaan memproses sambal garing ikan kekek bersama suami sejak dua tahun lalu.

“Awalnya saya memasak 10 botol sambal berkenaan dan menjualnya secara dalam talian sebagai percubaan. Risau juga menanti tindak balas mereka, nyata selepas memakannya mereka amat menyukainya kerana rasanya unik.

“Mereka kemudian membuat tempahan dan mengedarkannya kepada ahli keluarga serta sahabat handai. Testimoni mereka turut saya paparkan dalam media sosial bagi melariskan sambal garing berkenaan,” katanya.




Saiyidatul Syahirah berkata, sambal garing ikan kekek menggunakan jenama Humey itu diberikan persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pernah menyertai Pertandingan Pitchborneo 2017 di Kota Kinabalu.

“Sambal garing Humey berjaya memenangi Geran Idea Perniagaan dan dianugerahkan wang tunai RM20,000. Hadiah kemenangan itu dijadikan modal untuk membeli peralatan baru bagi mengembangkan perniagaan.

“Kini, saya mampu mengeluarkan 300 hingga 1,000 botol sambal Humey sehari, berdasarkan permintaan. Selain pasaran tempatan, sambal itu turut dipasarkan ke Sabah, Johor, Selangor, Terengganu, Brunei dan Singapura.

“Saya juga agak terkejut kerana ramai orang Cina suka memakan sambal garing ini bersama sup. Rasanya yang manis asli daripada ikan itu sendiri berbanding ikan lain, menyebabkan ia kini mulai digemari penduduk Labuan,” katanya.


Saiyidatul Syahirah melakukan proses menimbang dan mengisi sambal garing ikan kekek.

Jiwa besar pemilik jenama sabun Do'Zee

KUALA LUMPUR: Bermula dengan perasaan ingin tahu bagaimana terhasilnya sabun pencuci pelbagai guna ketika bekerja di sebuah kantin kilang, membuatkan anak jati dari Kedah ini nekad untuk memiliki kilang sabun sendiri.

Ditambah pula membesar dalam keadaan serba kekurangan dan menjadi satu-satunya anak lelaki daripada 11 adik beradik, menjadikan pemilik pengeluar produk sabun cecair, SR Asia Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Syukri Ibhrim, terus fokus mengejar ilmu perniagaan untuk membantu meringankan beban dua orang tuanya.
Datuk Mohd Syukri Ibhrim (tengah) bersama pekerja melihat produk sabun Do’Zee di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.

Tamat sahaja Tingkatan Lima, berbekalkan wang RM20 hasil simpanannya, beliau meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur untuk menggali erti kehidupan dan mendapatkan pekerjaan.

Tanpa memilih kerja, tawaran menjadi pencuci pinggan di sebuah kantin kilang di Klang, Selangor diterima dengan hati gembira.

“Pada 1998, bermulalah kehidupan saya sebagai budak pencuci pinggan. Dari situ, saya mula belajar bagaimana menjaga kantin dan memasak.

“Ketika asyik membasuh pinggan, terdetik di hati, macam mana la buat sabun ni sebab saya lihat sabun ni permintaan sentiasa ada dan ia digunakan bukan sahaja di rumah tetapi untuk industri.

“Dari situ, hati saya terus tanam azam nak ada kilang sabun sendiri dan Alhamdulillah Allah SWT permudahkan jalannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.

Mohd Syukri berkata, dengan pengalaman bekerja di kantin selama 10 tahun, beliau mendapat peluang membuka kantin sendiri pada 2008.

Bermodalkan duit simpanan yang ada dan hasil operasi kantin itu, Mohd Syukri terus mengorak langkah menceburi bidang perniagaan sabun dengan membuat sabun secara kecil-kecilan dan diedarkan kepada keluarga dan kenalan terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif SR Asia Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Syukri Ibhrim peraga produk sabun Do’Zee.


“Masa itu, formula yang saya dapat dari seorang kawan masih perlu diubah supaya dapat dijual di pasaran dan ia mula dipasarkan pada bulan keempat selepas tiga bulan menjalani program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Namun, ketika itu masih tiada pembeli dan syarikat beroperasi dalam kerugian untuk tujuh bulan berturut-turut dan menanggung hutang hampir RM2 juta. Saya terpaksa ajak rakan baik turut serta dan bantu dari segi pemasaran dan Alhamdulillah pada 2015 jualan terus meningkat dan kami berpindah ke kilang yang lebih luas di Puncak Alam ini,” katanya.

Ketika ini, beliau mampu menghela nafas lega apabila keringat selama ini membuahkan hasil selepas syarikat yang beroperasi dengan 10 mesin utama dan 30 kakitangan itu berjaya merekodkan jualan sehingga 70 ribu botol sebulan.

Malah, jenama sabun milik Bumiputera sepenuhnya ini mendapat kepercayaan usahawan lain apabila meraih kontrak untuk menjadi pengeluar kepada produk sabun mereka.

“Dengan pemasaran yang agresif di samping kerjasama bersama pengusaha perniagaan lain dan pengiktirafan sebagai syarikat Bumiputera pertama menghasilkan sabun halal, saya optimis produk Do’Zee mampu terjual 1 juta unit sebulan menjelang 2020,” katanya.

Mengulas harapan jangka panjangnya, Mohd Syukri berkata, dengan tagline Bersih, Suci, Wangi, beliau berharap jenama Do’Zee dimiliki oleh setiap isi rumah di Malaysia.

Ketika ini, SR Asia Resources menawarkan tujuh kategori produk membabitkan 36 jenis antaranya sabun cecair pakaian; penjagaan kenderaan; pelembut; pencuci pinggan; pencuci lantai, pencuci tangan dan pencuci untuk kegunaan industri.

Dengan pelbagai pilihan produk bermutu, SR Asia Resources turut membuka peluang perniagaan kepada mana-mana individu yang berminat untuk menjadi stokis dan ejen.

Bermodalkan kira-kira RM10 ribu, stokis atau ejen akan dilatih sepenuhnya bermula dengan aktiviti pemasaran, jualan dan selepas jualan.

“Dengan sijil halal yang kita ada, saya yakin kita mampu rekrut sekurang-sekurangnya satu ejen untuk setiap daerah,” katanya.



Profil

Nama: Datuk Mohd Syukri Ibhrim

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif SR Asia Resources

Perniagaan: Produk sabun cecair

Alamat: Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor

Mardi lancar baka kambing baharu dikenali BK





KLUANG 28 Sept. - Baka kambing baharu, dikenali sebagai ‘BK’ dilancarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) hari ini, sekali gus bakal memenuhi kehendak pasaran selain memastikan bekalan makanan negara ini terus terjamin.



Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, BK merupakan kacukan antara baka kambing Boer betina dan baka kambing Katjang jantan, di mana hasilnya menjadi baka BK yang bersaiz sederhana besar dan sesuai untuk pasaran domestik pada umur dua tahun dengan berat antara 45 dan 55 kilogram.


“Syabas dan tahniah kepada Mardi atas inovasi ini. Hari ini kita dapat menyaksikan baka baharu ini yang dengan rasminya saya namakan ‘BK’ bersempena nama gabungan Boer dan Katjang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran baka baharu BK dan perasmian Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan Mardi, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Salahuddin berkata antara kelebihan BK adalah kadar pertumbuhan dan kebuntingan yang tinggi sehingga 93 peratus, daging yang akan dihasilkan kurang berbau hamis, serta umur sesuai dibiakkan lebih awal.


Menurutnya, BK juga lebih berdaya tahan terhadap penyakit dan jangkitan parasit, manakala binaan badan juga lebih berotot serta kurang lemak.

“Saya tidak ragu lagi dengan kemampuan yang dimiliki Mardi terutamanya dalam kejuruteraan genetik. Saya rasa ramai saintis kita setanding saintis dunia.

“Tetapi isunya adalah hasil penyelidikan ini dapat dikomersilkan pada akan datang. Bila dikomersilkan, barulah kita dapat tambah pendapatan isi rumah terutamanya golongan B40,” katanya dengan menambah ketika ini terdapat 80 ekor kambing BK di COE Ternakan Mardi.

Sementara itu, Mohamad Roff berkata COE Ternakan Mardi merupakan transformasi naik taraf Mardi Kluang dan merupakan COE ketiga dilancarkan selepas COE Buah-Buah Tropika di Mardi Sintok, Kedah, serta COE Padi di Mardi Seberang Prai, Pulau Pinang.

“Transformasi ini penting untuk memastikan penyelidikan dan pemindahan teknologi yang dijalankan lebih strategik, lebih holistik dan menepati kehendak industri masa kini, yang berbeza dari kehendak industri hampir 50 tahun lepas,” katanya.- BERNAMA

Lawatan Agro Tg karang Selangor : merungkai kejayaan mereka

Friday, September 27, 2019

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS DI PERHEBAT


MOTIVASI KEUSAHAWAN 
PENGURUSAN PERNIAGAAN
PERUNDANGAN PERNIAGAAN
PEMASARAN
PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
PENGURUSAN KEWANGAN
PERAKAUNAN
RANCANGAN PERNIAGAAN
KOMUNIKASI PERNIAGAAN
SIMULASI PERNIAGAAN

Thursday, September 19, 2019

Beranang pengeluar serai




Nor AZMAN menunjukkan tanaman serai jenis paha ayam yang diusahakannya.

Tatkala menjejakkan kaki ke Kampung Sasapan Batu Minangkabau di Beranang, Selangor, penulis terpegun melihat hamparan ladang serai yang menghijau, luas terbentang.

Boleh dikatakan setiap rumah penduduk kampung di situ mempunyai tanaman serai untuk kegunaan sendiri.

Selain terkenal sebagai ‘ubat’ penghalau nyamuk serta pelbagai serangga, serai juga banyak kegunaannya sama ada untuk tujuan kesihatan mahupun perubatan kerana khasiatnya yang tersendiri.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa Beranang yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Semenyih di daerah Hulu Langat adalah antara pengeluar serai terbesar di Malaysia.

Jadi, tidak hairanlah jika terdapat kira-kira 500 penduduk di Beranang mengusahakan ladang serai secara kecil-kecilan yang keseluruhannya merangkumi tanah seluas kira-kira antara 283 hingga 324 hektar, untuk tujuan komersial.

Penduduk kampung berkenaan, Nor Azman Md Said, 44, yang mengusahakan tanaman serai di tanah seluas 2.4 hektar berkata, sejak 30 tahun lalu, kebanyakan tanah di Beranang yang asalnya sawah padi mula ditanam dengan serai berikutan masalah sistem saliran yang menyebabkan para petani tidak mengusahakan tanaman padi lagi.

“Memandangkan keadaan geografi tanah di sini seperti tanah liat, penduduk mengambil keputusan untuk menanam serai kerana tanaman itu memerlukan tanah yang lembab sama seperti padi tetapi mudah dijaga.

“Serai di Beranang sentiasa mendapat permintaan tinggi sehingga lima tan sehari daripada beberapa buah pasar borong, restoran dan kilang yang terletak di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurut Nor Azman yang merupakan generasi kedua keluarganya mengusahakan tanaman itu, terdapat beberapa jenis serai yang ditanam iaitu serai paha ayam, serai gajah dan serai kampung.

Permintaan

“Permintaan terhadap serai gajah kebanyakannya diterima dari sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Serai jenis itu tidak berapa wangi, namun boleh mencapai sehingga setinggi satu setengah kaki (45.7 sentimeter) dan batang serai yang lebih besar,” jelas beliau sambil menambah bahawa serai gajah lebih sesuai untuk hidangan tradisional negeri berkenaan.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata serai paha ayam yang banyak ditanam di kampungnya, mengambil masa kira-kira enam bulan untuk matang sebelum boleh dituai. Serai jenis ini sangat wangi dan sesuai untuk masakan seperti tomyam.

“Kalau ditanya permintaan serai di pasar-pasar di Beranang, memang tak laku kerana setiap rumah di sini tanam serai sendiri,” katanya berseloroh.

Bagaimanapun, katanya, isu utama timbul apabila pengusaha di situ tidak dapat menampung permintaan serai yang melebihi bekalan sedia ada.

“Serai yang baru ditanam mengambil masa lima hingga lapan bulan untuk dituai, jadi kami perlu pastikan bekalan serai sentiasa ada dan jika tidak cukup, maka kuranglah pendapatan kami,” katanya.

Harga seikat serai yang seberat 4 kilogram ketika ini adalah RM11 dan pada kadar itu, sememangnya memberi keuntungan lumayan sehingga boleh mencecah RM7,000 hingga RM8,000 bagi setiap 0.4 hektar.

Rabbit King bantu komersialkan daging arnab


ARNAB daripada baka Rabbit King ditempatkan dalam reban.


Sebut sahaja mengenai arnab sudah pasti terlintas di kepala mengenai kecomelan dan kelincahan haiwan kecil ini berlari ke sana-sini memenuhi padang atau rumput yang menghijau.


Arnab merupakan haiwan yang sering dijadikan sebagai teman peliharaan, Namun kini ia juga diternak secara meluas menerusi penubuhan ladang arnab yang memasarkan dagingnya secara kormersial untuk dimakan.

Rasa daging arnab yang lebih empuk berbanding daging lain mendorong permintaan terhadap haiwan tersebut tinggi sehingga mencecah antara 150 dan 300 kilogram daging karkas dan daging tanpa tulang setiap bulan.

Namun, situasi industri penternakan di negara ini memperlihatkan bahawa masih tidak ramai yang berani menceburkan diri dalam industri penternakan arnab kerana kebanyakan mereka lebih gemar melibatkan diri dalam penternakan ayam, lembu dan kambing.

Justeru, situasi tersebut dilihat sebagai peluang kepada usahawan daging ini untuk mengkomersialkan haiwan ternakan tersebut untuk pasaran tempatan serta dieksport kepada pasaran antarabangsa.

Menurut Pengurus Operasi Rabbit King Malaysia, Muhammad Zulfadli Zahir, One Stop Rabbit Farm & Trading yang diasaskan oleh Mohd. Ismail Padzil pada 2009 kini mempunyai lebih 6,000 ekor arnab daripada 11 baka pedaging dan baka hiasan.

“Antara baka arnab yang terdapat di ladang ini adalah White, Californian, Holland lop, Netherland Dwaft, Angora dan Lion hop yang kebanyakannya diimport dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Belanda.

“Kami mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membangunkan industri ternakan arnab,” katanya.

Mengulas lanjut Muhammad Zulfadli memberitahu, meskipun modal untuk membangunkan perniagaan ini agak besar, namun industri ini dilihat mampu memberikan keuntungan maksimum sekali gus melahirkan usahawan.

“Ladang arnab yang mempunyai keluasan empat ekar ini merangkumi reban, rumah serta taman arnab dan burung dijadikan sebagai petting zoo yang dibuka kepada orang ramai setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan bayaran hanya RM5 seorang.

“Kini, kami berjaya membiakkan baka-baka arnab komersial tersebut disertakan dengan pemilihan induk bagi tujuan ladang sendiri,

“Selain itu, kami juga menjual kepada usahawan baru yang berminat memulakan projek sebagai pendapatan sampingan mahupun secara sepenuh masa,” katanya.

Tambahnya, daging arnab dipasarkan kepada Sate Kajang Haji Samuri dan beberapa hotel terkemuka serta restoran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kami kini dalam perancangan untuk menambah pengeluaran bagi menampung keperluan yang semakin meningkat di samping memberi peluang kepada individu di luar sana untuk menjual semula hasil ternakan arnab mengikut kriteria yang ditetapkan.

“Arnab yang kami terima daripada usahawan akan disembelih dan diproses di rumah sembelihan Halal One Stop Rabbit Farm & Traning dan seterusnya disimpan untuk produk sejuk beku,” katanya.

Menurut Muhammad Zulfadli, semasa mula menceburkan diri dalam industri penternakan arnab. sambutan yang diterima kurang memberangsangkan.

Ini kerana ramai yang menganggap arnab seperti kucing dan tidak sampai hati untuk makan haiwan cilik itu.

“Selain itu, cabaran harga yang agak mahal kerana daging arnab dikategorikan sebagai makanan eksotik juga menjadi penghalang kepada industri ini untuk berkembang pada peringkat permulaan.

“Namun, kini dengan perkembangan teknologi maklumat sudah ramai yang dapat menerima potensi dan kebaikan daging arnab. Malah, permintaan semakin hari semakin meningkat dan industri penternakan pedaging semakin berkembang,” katanya.

Daging arnab dipasarkan mengikut jenis bergantung kepada jenis baka, umur dan kualiti haiwan tersebut.

“Oleh itu, usahawan baru boleh membeli baka arnab untuk tujuan komersial daripada kami dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya.

Muhammad Zulfadli berharap industri ternakan arnab menjadi salah satu bidang baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan dan eksport seperti mana industri ternakan lain seperti ayam dan lembu.

“Saya juga berharap supaya kerajaan dapat menyediakan lebih banyak medium untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang penternakan sekali gus mampu membantu meningkatkan ekonomi.

“Ini kerana pasaran makanan masih terlalu luas untuk diteroka, malah iklim tropika di negara kita dilihat memberikan kelebihan untuk industri ternakan dengan menjalankan program pembiakan sepanjang tahun,” katanya.
 

Jessie Ambukan, usahawan telur masin berjaya di Sabah




TUARAN 4 Ogos - Bermula dengan hanya 10 ekor itik, kini Farm Bay Enterprise yang beroperasi di Kampung PogunLawid, di sini, mempunyai 4,000 itik boleh bertelur bagi menghasilkan telur itik masin untuk dipasarkan di seluruh Sabah.


Keupayaan menghasilkan lebih 1,800 biji telur itik masin sehari, menjadikan perusahaan milik usahawan wanita tempatan itu muncul pengeluar telur masin, antara terbesar di daerah ini sejak penubuhannya Ogos 2015.

Usahawan terbabit, Jessie Ambukon, 47, menjadikan telur itik masin produk utama keluaran perusahaannya, apabila 1,800 itik ternakannya bertelur hampir setiap hari.

Selain itu, ladang ternakan utama Farm Bay Enterprise di kawasan seluas 1.2 hektar turut menempatkan 4,000 burung puyuh, sebagai produk tambahan perusahaan berkenaan.

“Farm Bay Enterprise juga menghasilkan daging burung puyuh segar, daging burung puyuh beku dan daging burung puyuh berempah beku.

“Sebagai produk tambahan, saya turut memasarkan 900 biji telur burung puyuh sehari menerusi dan sambutan pengguna menggalakkan.

“Semua produk keluaran perusahaan ini yang dilabelkan Farmbay dipasarkan menerusi 53 premis di seluruh Sabah, untuk memenuhi permintaan pengguna semakin bertambah,” katanya kepada Bernama, di sini.

Bagaimanapun, katanya, telur itik masin adalah produk utama keluaran Farm Bay Enterprise yang antara prosesnya melalui pemerapan selama 15 hari menghasilkan telur masin berkualiti.

Jessie berkata perusahaannya wujud kerana minat mendalam dalam perniagaan sejak zaman kanak-kanak, terutama berasaskan ternakan dan pengeluaran produk.

Beliau berkata Fram Bay Enterprise dengan lapan pekerja itu tertubuh tanpa sebarang pembiayaan daripada mana-mana pihak, bermula secara kecil-kecilan sehingga berkembang menjadi besar.

Jessie mengakui perusahaan dilaksanakan itu turut berdepan risiko tersendiri, terutama kesan buruk terhadap haiwan ternakan apabila berlaku pertukaran cuaca panas berpanjangan, kekurangan air dan ribut menyebabkan haiwan tertekan.

Katanya ada waktunya produk keluaran terutama telur itik masin perusahaan itu tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran, apabila jumlah permintaan bertambah 100 peratus menjelang musim perayaan.

Sehubungan itu, Jessie dalam proses meningkatkan produk keluaran telur itik masin perusahaannya sehingga 3,000 biji sehari, apabila semua 4,000 itik ternakannya bertelur serentak. - BERNAMA
 
Sumber:  https://www.utusan.com.my/berita/2.686/jessie-ambukan-usahawan-telur-masin-berjaya-di-sabah-1.949444

KADA cari dua bakteria 'maniskan' ubi keledek tempatan


PENGERUSI KADA, Datuk Husam Musa (tiga kanan) mendengar penjelasan daripada Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor (dua kanan) selepas majlis perasmian Seminar Teknikal MARDI - KADA di Auditorium KADA di Lundang di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU 4 Ogos - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mahu menggunakan 'bantuan' dua jenis bakteria iaitu 'rhizosfera' dan 'endophyte' untuk memastikan ubi keledek yang ditanam di negeri ini setara dengan kualiti ubi keledek keluaran Jepun dan Indonesia.


Bakteria ‘rhizosfera’ dan ‘endophyte’ adalah sebahagian kandungan penting dalam tanah di daerah Cilembu, Jawa Barat yang iaitu tempat penanaman ubi keledek paling manis di Indonesia.

Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya meminta khidmat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengenalpasti kedua-dua jenis bakteria tersebut yang dipercayai menjadi faktor ubi keledek lebih manis dan berkualiti sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani.

“Kita bercadang bawa dua jenis bakteria ini untuk hasilkan ubi keledek atau ‘ubi stelo’ dalam dialek Kelantan yang manis dan berkualiti.

“Setakat ini tidak ramai petani yang menanam ubi, kita mahu tingkatkan pendapatan petani kita khususnya di kawasan Bachok yang terlibat dengan penanaman ubi keledek dan Mardi boleh bantu kita,” katanya selepas merasmikan Seminar Teknikal MARDI - KADA di Auditorium KADA di Lundang hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris.

Seminar sehari julung kali itu bagi berkongsi teknologi pertanian di bawah MARDI kepada pegawai dan ejen pengembangan KADA untuk disampaikan kepada petani dan usahawan.

Sementara itu, Mohamad Roff berkata, pihaknya akan bekerjasama Institut Teknologi Bandung (ITB) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bakteria ‘rhizosfera’ dan ‘endophyte’ dan percaya ia juga wujud dalam persekitaran negara ini.

“Kita cuma perlu tahu spesies dia dengan tepat, kita boleh cari dalam persekitaran di Malaysia ini, memang ada, yang pertama sekali kita perlu berkomunikasi dengan Indonesia dan dapatkan nama spesies itu dalam persekitaran kita, bila kita dapat senang kita boleh biakkan dia,”katanya.

Terdahulu, Husam dalam ucapannya berkata, tempat asal ubi keledek paling manis di dunia adalah di Indonesia walaupun ubi keledek manis Jepun lebih popular di pasaran.

“Semasa Perang Dunia Kedua,askar Jepun di Bandung, Indonesia bawa pulang ubi keledek Indonesia ke Jepun dan tanam dengan baik sehingga sekarang orang anggap ubi keledek manis negara itu sebagai yang paling manis di dunia dan dijual dengan mahal di pasaran padahal ubi keledek yang paling manis adalah di tempat asalnya di Cilembu, Bandung, Indonesia.

“Tetapi ubi ini manis bukan kerana bakanya semata-mata tetapi kerana ada dua bakteria ‘baik’ iaitu rhizosfera’ dan ‘endophyte’ yang begitu banyak dalam kandungan tanah di Cilembu menyebabkan ubi yang ditanam di sana tanpa mengira jenis menjadi manis dan semacam ada lapisan madu,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Sumber:https://www.utusan.com.my/berita/nasional/kada-cari-dua-bakteria-maniskan-ubi-keledek-tempatan-1.949422 

Friday, September 6, 2019

Cara Nak Buat Facebook Page





  • Tutorial Cara Mudah untuk Nak Buat Facebook Page
Mungkin pada hari ini untuk membuat bisnes anda ‘presence’ di Facebook
adalah satu “idea yang baik” kerana dengan 829,000,000 orang pengguna aktif 
Facebook berada didalam setiap hari, ia menjadi kepada komponen strategi 
pemasaran setiap perniagaan yang wujud pada hari ini.
Masalahnya, Facebook sentiasa mengubah feature penggunaannya dengan kerap
 menyebabkan cara nak buat facebook page dan set up-nya menjadi susah bagi 
mereka yang newbie. Dibawah adalah langkah demi langkah untuk setting 
Facebook fan page:

 CARA NAK BUAT SETTING FACEBOOK PAGE UNTUK PERNIAGAAN ANDA


Langkah 1: Pilih Klasifikasi/Classification


Pergi ke bahagian https://www.facebook.com/pages/create.php. Laman ini akan 
mempamerkan enam klasifikasi yang berbeza untuk dipilih:
  • Perniagaan Tempatan atau Tempat
  • Syarikat, Pertubuhan, atau Institusi
  • jenama atau produk
  • Artist, band, atau Tokoh Masyarakat
  • hiburan
  • Punca atau Komuniti
  • Setiap kategori tersebut menyediakan medan yang lebih relevan untuk Page  
  • yang anda inginkan.
Untuk tutorial cara nak buat facebook page ini, kita akan memilih pilihan yang kedua: 
syarikat, organisasi, atau institusi. Selepas memilih klasifikasi, anda dikehendaki 
untuk memilih nama rasmi untuk Perniagaan Utama anda. Adalah dicadangkan
 untuk berhati-hati memilih nama anda. Walaupun Facebook membolehkan anda
 untuk menukar nama dan URL anda sekali, ia adalah satu proses yang sukar dan
 membosankan.

Langkah 2: Maklumat Asas Lengkap.

Dalam cara nak buat facebook page anda akan lalui empat bahagian/langkah asas 
untuk lengkapkan segala aspek asas Page anda.
Langkah ini akan dibantu secara otomatik dalam laman facebook.
Lengkapkan bahagian “Perihal”/”About”

Seksyen “Perihal”/ “About” adalah bahagian penerangan 2-3 syarat utama untuk
 perniagaan anda. Ia berada di laman utama anda, anda juga perlu buat ia 
deskriptif yang ringkas. Pastikan anda memasukkan pautan ke laman web
 syarikat anda dan juga pastikan bahawa maklumat ini dapat membezakan 
jenama anda berbandingkan jenama lain, pastikan halaman anda lebih menarik
 kepada pelanggan ‘potential’ anda.


Disinilah juga anda boleh pilih nama domain yang unik anda (iaitu, seperti yang 
dinyatakan di atas, hanya boleh ditukar sekali). Sebagai contoh, Nike Malaysia
 https://www.facebook.com/Nike-Malaysia/

Memuatnaik Gambar Profil
Seterusnya anda akan diminta untuk memuat naik gambar profil dimana ini akan
 menjadi ikon visual utama halaman anda, yang terdapat dalam hasil carian dan
 di samping sebarang komen yang anda terbitkan. Walaupun apa-apa imej 
sempurna persegi yang baik ialah bersaiz 180 x 180 pixel.
Tambah kegemaran/Add to Favorites
Setiap pengguna Facebook mempunyai bar navigasi menegak di sebelah kiri 
News Feed mereka. Anda boleh menambah Page Perniagaan anda sebagai
 item yang “digemar”/”add to favorites” di sini – sama dengan menandakan 
halaman web dalam pelayar web anda – untuk akses mudah.
Tambah target audience/ pelawat page anda
Target pelawat/ audience anda dengan lebih terperinci
Capai lebih ramai orang/ Reach More People
Facebook akan meminta anda untuk membuat iklan untuk menarik perhatian ke 
Page anda. Saya cadangkan untuk tidak adakan sebarang iklan pada peringkat 
awal ini – ini adalah kerana tidak ada kandungan/ content yang menarik di Page 
lagi yang akan meyakinkan mereka untuk meng”Like” halaman anda.

Langkah 3: Memahami Panel Admin.

Rangka asas cara nak buat facebook page facebook page Perniagaan anda kini 
sudah hidup(live). Facebook akan meminta anda membuat iklan jika anda ingin
 pengguna facebook lain unuk “like” Page anda. Sekali lagi, saya cadangkan 
supaya mengelakkan berbuat demikian pada masa ini. Aktiviti ini akan muncul dalam 
Suapan Berita “newsfeed” untuk mereka, yang dihubungkan secara peribadi untuk
 di Facebook mereka. Tanpa apa-apa kandungan pada Page, kita mahu menyimpan
 bahawa cerita Timeline organik untuk apabila anda benar-benar bersedia menerima 
orang ramai untuk melihat Page anda.
Dalam navigasi atas, anda akan melihat pilihan untuk “Tetapan”/ “settings”. Klik itu. 
Bersama-sama sebelah kiri, akan muncul pula bar navigasi menegak dengan
 bahagian yang berbeza akan muncul. Kami akan memberi tumpuan kepada tiga
 bahagian penting itu:
Info Page/ Page Info: Ini adalah di mana anda boleh menambah butiran tambahan
 mengenai perniagaan anda. Seksyen ini juga akan mendedahkan pelbagai bidang
 berdasarkan klasifikasi yang anda pilih dalam Langkah 1.

Pemberitahuan/Notifications: Seksyen ini membolehkan anda untuk menyesuaikan 
bila dan bagaimana anda ingin menerima Page Alert. Tetapkan kekerapan 
yang sesuai dengan jadual pemasaran media sosial anda.

Page Role: Sama ada atau tidak anda akan menjadi pengurus utama halaman ini,
 mungkin ada orang lain di organisasi anda yang memerlukan akses kepada
 halaman Facebook anda. Di sini, anda boleh menjemput rakan-rakan lain 
untuk membuat perubahan kepada Laman anda. Beberapa kes penggunaan
 biasa di sini termasuk:
Seorang pengurus perhubungan awam yang perlu untuk bertindak balas 
kepada mana-mana soalan pada page anda.

Seorang wakil sokongan yang boleh membantu mereka yang meminta soalan teknikal.

pereka A ditugaskan untuk memuat naik foto baru kreatif untuk Page.

Langkah 4: Naiktaraf ranking Page Anda Dengan Kandungan Yang Menarik.

Langkah disini adalah anda perlu terbitkan kandungan untuk Page anda dan
 kemudian menjemput pengguna untuk menjadi sebahagian daripada komuniti anda.
 Mari kita mulakan dengan kandungan asas yang diperlukan untuk menggerakkan
 Page anda.
  • status teks biasa/ Plain text status
  • Foto dengan kapsyen/Photo with caption
  • Link dengan kapsyen/Link with caption
  • Video dengan kapsyen/Video with caption
  • acara halaman/Event page
  • Lokasi daftar masuk/Location check-in
Apabila terbitkan posting pada halaman anda, hanya pastikan anda menggunakan 
pelbagai kandungan. Apa imej akan penonton anda mahu lihat? Apa status yang
 mereka suka baca? Pautan apakah yang mereka akan klik? Anda juga boleh
 menekan anak panah kelabu kecil di sudut atas kanan setiap post dan 
kemudian klik “Pin to Top” untuk menggerakkan satu siaran anda ke puncak
 Timeline Page anda untuk tujuh hari. Menggunakan ciri ini untuk 
pengumuman produk, ulang tahun perniagaan, dan acara-acara utama lain
 berkaitan dengan jenama anda.
Cover Photo
Ini adalah, imej yang besar mendatar yang di sepanjang bahagian atas Page 
Facebook anda. Biasanya, ini adalah imej yang berjenama untuk membantu 
menarik orang ramai untuk melawat Page anda. Dimensi foto rasmi adalah 851 x 315 pixel.
Apabila kandungan pada Page sudah mantap, kita boleh mula susun strategi 
menjemput pengguna untuk ‘Like’.

Langkah 5: Mengukur Pertumbuhan Page Anda.

Kita perlu mengukur usaha kita untuk memastikan apa yang kita buat dalam
 kaedah pemasaran di Facebook kita adalah betul dan membawa hasil dan
 mencapai objektif kita. Di dalam Facebook ada beberapa metrik yang
 berguna bagi kita. Hanya klik pada pautan “Insights” dalam navigasi atas 
untuk lihat yang berikut:

Gambaran Keseluruhan: Tab ini menunjukkan gambar 7 hari metrik 
anda seperti Suka Halaman, pos jangkauan, dan penglibatan keseluruhan.

Like: Tab ini menunjukkan pertumbuhan peminat atau ‘fan’ anda secara keseluruhan.
 Jika anda menggunakan iklan berbayar, anda akan dapat melihat pecahan
 yang dibayar berbanding pertumbuhan organik.

Jangkauan/reach: Tab ini memaparkan bilangan kasar orang yang singgah atau
 ‘like’ Page anda setiap hari. Jika anda perasan pancang pada hari tertentu, 
cuba merentas memeriksa apa yang anda siarkan hari itu untuk melihat jika anda
 boleh meniru jangkauan itu.

Lawatan’ visits: Tab ini menunjukkan dari mana penonton facebook anda 
datang. Anda boleh melihat perbezaan dalam lawatan di Facebook Garis masa/ time line,
 tab maklumat anda, ulasan, dan lain-lain.
Langkah seterusnya ialah untuk post kandungan yang menarik dan mengumpul
 pangkalan setia peminat! Saya harap keterangan cara-cara nak buat facebook 
page boleh membantu anda kick-start bisnes anda di facebook.

Kredit to:https://kursus-perniagaan-online.com/cara-nak-buat-facebook-page/

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI