Di sepanjang laluan sibuk itu, pengguna jalan raya dari seluruh pelusuk negara terutama dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan biasanya singgah di deretan gerai yang menjual buah-buahan dan makanan yang dibuka di bahu jalan.
Antara makanan yang menarik perhatian mereka adalah sate yang dijual di gerai Sate Zila terletak bersebelahan pejabat Lembaga Tabung Haji Bota.

Gerai jualan sate milik Normazila dan suaminya, Wan Razual Shah Rizal Ahmad, 38, diuruskan dengan bantuan seorang pekerja, Shila Amin, 30. Gerai itu mampu mencatatkan jualan memberangsangkan iaitu sekitar 1,500 cucuk sate sehari jika cuaca cerah dan baik.
Normazila berkata, dia mula mengusahakan jualan sate di gerai itu pada 2014. 

Dia memilih menu itu kerana jualan sate tidak mempunyai risiko tinggi dan makanan itu pula digemari pelbagai kaum di negara ini.

Selain itu katanya, dia membuka gerai di lokasi tersebut kerana kebanyakan pelancong yang dalam perjalanan menuju ke Lumut dan Pulau Pangkor gemar singgah membeli-belah di deretan kedai di situ sekali gus memberi idea kepadanya untuk membuka gerai sate di situ.

“Pada cuti hujung minggu dan cuti umum, kawasan ini menjadi tumpuan ramai,” katanya kepada Mega Rona.
Gerai Sate Zila menawarkan sate ayam, daging, paru dan perut serta air kelapa pada hari biasa.
Pada hari Sabtu dan Ahad pula, Normazila menambah jenis minuman iaitu air lemon, laici dan milo serta burger.
Normazila berkata, harga bagi setiap cucuk sate adalah 60 sen bagi sate daging dan perut manakala sate paru berharga 90 sen secucuk. 

Menurutnya, selain pelancong dan pengguna jalan raya, penduduk sekitar Bota, Seri Iskandar dan Kampung Gajah juga selalu singgah di gerainya.
“Saya dapat bekalan bahan mentah daripada PCK Fresh Mart Sdn. Bhd. yang terletak di Seri Iskandar,” tambahnya.

Normazila membuka gerainya pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat, mulai pukul 3 petang hingga 7 malam manakala pada Sabtu dan Ahad dia memulakan perniagaan dari pukul 12 tengah hari hingga 7 malam.

Antara keistimewaan sate mereka adalah saiz yang lebih besar dan cukup rempah ratusnya di samping hanya daging segar digunakan untuk menghasilkan sate. 

Mengulas cabaran yang dihadapi, katanya, sate tidak habis dijual berikutan cuaca hujan beserta angin kuat sehingga mematahkan payung gerai yang dipasang merupakan antara cabaran yang pernah ditempuhnya.

 Rujukan: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/normazila-gigih-jual-sate-1.839592