BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Thursday, January 27, 2011

NASIHAT UNTUK USAHAWAN YANG SEDANG MENINGKAT

Untuk berjaya dalam perniagaan , usahawan perlu mempunyai minat yang mendalam dan jati diri yang tinggi” – Dato’ Mohd Nadzmi


Falsafah inilah yang dipegang oleh Y Bhg Dato’ Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Pengerusi Eksekutif, Nadicorp Holdings Sdn Bhd. Beliau berkata demikian semasa memberi ceramah tengahari PUNB bertajuk ” Revitalising Companies – The Way Forward” pada 27 Julai 2004


Bermula dari dunia korporat, Dato’ Nadzmi telah diberi peluang untuk mengendalikan syarikat-syarikat Kerajaan yang bermasalah dan berjaya membawa syarikat-syarikat ini keluar dari kemelut dan masalah perniagaan. Nama-nama seperti PROTON, MARA, Park May Sdn Bhd, BAM dan sebagainya banyak dikaitkan dengan ketegasan dan komitmen tinggi beliau mengurus secara lurus dan mantap. Bentuk pengurusan ini sinonim dengan nama beliau.


Sebagai seorang yang berjaya dan berpengalaman, beliau sering memberi tip sebagai panduan kepada usahawan PUNB untuk berjaya dalam dunia perrniagaan :-
Ini adalah nasihat beliau:
• Anda mesti mempunyai sikap rajin.

• Seseorang yang ingin menjadi usahawan perlu mempunyai minat, keinginan dan kesungguhan yang tinggi dan tidak berbelah bahagi. Tanpa elemen ini , mungkin kejayaan yang diharapkan tidak akan tercapai. Menurut Dato’ Mohd Nadzmi, sikap untuk berusaha secara bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu kerja adalah satu sikap yang baik.
Mengikut Dato’ Mohd Nadzmi, kita tidak dapat meramal masa depan kita. Contohnya jika seseorang yang mendapat pangkat ‘A’ dalam peperiksaan bukan bermakna dia akan mendapat ‘A’ dalam semua perkara. Jika kita lihat usahawan yang berjaya, mungkin mereka bukan dari golongan yang mendapat pangkat ‘A’ dalam peperiksaan. Tetapi mereka terdiri dari golongan yang gemar mengambil risiko dan akan berbuat apa sahaja untuk bertahan. Mereka belajar dari pengalaman dan berani mengambil risiko. Tanpa minat yang tinggi, kesungguhan, kesabaran dan takwa, usahawan tidak akan beroleh kejayaan cemerlang.
• Anda mesti mempunyai keyakinan diri.

• Disamping minat dan kesungguhan, kreativiti juga perlu ada dalam diri seseorang. Ini perlu dipupuk dengan sikap bertanggungjawab, semangat yang tekad , keimanan yang kukuh dan berfikiran terbuka dan positif. Bagi Dato’ Mohd Nadzmi, usahawan adalah insan yang istimewa. Mereka merupakan golongan yang berani dan sanggup mengharungi pahit getir dunia perniagaan yang mencabar. Oleh itu, menurut Dato’ Mohd Nadzmi, seorang usahawan tidak perlu teragak-agak untuk membuat sesuatu keputusan semasa mengurus perniagaan. Apa yang penting, perlu ada ketegasan dalam membuat keputusan untuk menjamin keutuhan perniagaan tersebut. Setiap keputusan yang dibuat mempunyai risiko yang bakal dihadapi, tetapi jangan terlalu difikirkanya. Usahawan perlu menghadapinya dan terpulanglah kepada diri bagaimana untuk menyelesaikannya
• Mengurus organisasi dan operasi syarikat adalah penting.

• Mengurus organisasi dan operasi syarikat merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian khusus. Contohnya pengurusan aliran wang tunai (cash flow) amat penting kerana ia diibaratkan seperti nadi dalam tubuh manusia. Jika aliran wang tunai tidak diurus secara mantap, syarikat tersebut akan menjadi kelam kabut dan akhirnya akan runtuh. Oleh yang demikian, setiap usahawan perlu memastikan aliran wang tunai syarikat mereka berada dalam keaadan yang kukuh.
• Penghormatan mesti diberi dan bukan diminta.

• Seseorang usahawan perlu mengetahui secara terperinci mengenai hal ehwal perjalanan operasi perniagaan mereka. Ini dapat tercapai jika mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman kerana kedua-dua ini penting untuk meletakkan seseorang usahawan itu di tahap yang lebih tinggi dari para pekerjanya dan pesaingnya. Menurut beliau, penghormatan mesti diberi dan bukan diminta dan usahawan hanya akan mendapatkannya melalui ilmu pengetahuan. Sekiranya ilmu tersebut tidak terdapat di sini maka usahawan perlulah berusaha mencarinya di tempat yang lain atau mendapatkannya dari orang yang lebih berpengalaman.
• Belajar apa yang perlu mengenai cara menguruskan operasi peniagaan.

• Fokus kepada bagaimana sesuatu perniagaan itu harus dijalankan. Usahawan perlu menentukan misi dan visi diri dan syarikat. Lebihkan tumpuan kepada bagaimana cara untuk menangani sesuatu permasalahan perniagaan yang timbul. Jangan optimis kepada sesuatu yang anda suka sahaja tetapi belajarlah tentang semua perkara untuk mengurus perniagaan dengan cemerlang .
• Belajar dari kesilapan.

• Menurut Dato’ Mohd Nadzmi, tiada manusia di dunia ini sempurna. Kesilapan yang timbul mengajar manusia untuk memperbaiki kelemahan diri agar dapat mengembangkan minda kita menjadi lebih kreatif menyelesai masalah. Buatlah ‘post mortem’, kaji kesilapan yang telah berlaku dan jangan ulangi kesilapan itu. Di samping itu, sikap ego perlu diketepikan dan akuilah kesilapan yang telah berlaku. Jika kesilapan yang lalu tidak diperbaiki dan diulangi, pasti kejayaan tidak dapat akan tercapai.
• Ambil tindakan berasakan keutamaan.

• Usahawan perlu bijak bertindak mengikut kepentingan sesuatu perkara. Menurut Dato’ Mohd Nazmi, beliau akan menulis dalam buku nota tentang perkara yang memerlukan tindakan beliau apabila perkara tersebut terlintas di kotak fikirannya. Beliau kemudian menyenaraikan perkara-perkara tersebut mengikut kepentingan dan bertindak mengikut senarai yang tertulis. Menurut beliau lagi, sekiranya seseorang berada di dalam kemelut perniagaan, tulislah apa yang difikirkan. Tetapi apa yang penting, janganlah takut dengan masalah tersebut dan bertindaklah untuk menyelesaikanya secara bijak.
• Jadilah pemimpin yang bertanggungjawab.

• Menurut Dato’ Mohd Nadzmi, beliau menjadikan YAB Tun Dr Mahathir Mohamed, bekas Perdana Menteri Malaysia sebagai mentor. Minat beliau untuk menjadi usahawan timbul setelah diberi tanggungjawab mengendali syarikat-syarikat Kerajaan yang bermasaalah. Beliau tidak diberi pilihan tetapi perlu memastikan syarikat-syarikat di bawah kendaliannya berjaya.
Dato’ Mohd Nadzmi juga menasihati para usahawan bahawa sekiranya diberi tugasan penting seseorang itu perlulah:-
- melakukan tugasan yang diamanahkan dengan cara yang terbaik.
- mempunyai keupayaan untuk menganalisa dan menyelesaikan masalah.
- kreatif dalam membuat keputusan.
- jadikan masaalah yang timbul sebagai satu peluang untuk berjaya.
Seorang pemimpin mesti mempunyai imej yang baik supaya dihormati oleh orang-orang pimpinannya dan pesaingnya. Seorang peminpin juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas tentang pengurusan dan operasi syarikatnya dan juga syarikat pesaing. Semua ini perlu untuk seseorang mencapai kejayaan cemerlang dalam perniagaan, Insyallah.

10 KESILAPAN UTAMA DALAM PENIAGAAN KECIL

KESILAPAN-KESILAPAN BERIKUT MERUPAKAN KESILAPAN UMUM YANG DILAKUKAN OLEH KEBANYAKAN USAHAWAN DAN PEMILIK PERNIAGAAN KECIL. BERHATI-HATILAH DENGAN KESILAPAN YANG AMAT MERBAHAYA INI……..

1. Terlalu yakin dengan sesuatu idea dan taksub dengannya.
Jangan terlalu yakin dengan satu idea sahaja. Ingat, idea adalah matawang kepada usahawan.Pelbagaikan idea dan lihat yang mana berupaya memberi ganjaran dan kejayaan kepada anda.

2. Tiada Pelan Pemasaran.
Pelan Pemasaran boleh memberikan perhatian yang anda perlukan kepada pihak sasaran. Ia menjadi daya tarik pelanggan terhadap anda! Terdapat lebih dari 25 cara untuk memasarkan perniagaan anda dengan kos yang rendah ataupun tanpa melibatkan sebarang kos. Perlaksanaan pelan pemasaran secara berkesan, cekap, konsisten dan penuh bergaya dapat menjimatkan kos panggilan.

3. Tidak mengenali pelanggan anda.
Perubahan pada citarasa pelanggan dan juga produk serta perkhidmatan persaing akan mempengaruhi perniagaan anda, kecuali jika anda kenal pelanggan secara dekat, tahu kehendak mereka pada masa kini dan masa hadapan, tahu corak pembelian mereka dan tahu bagaimana untuk membantu mereka walaupun anda tidak mempunyai produk atapun perkhidmatan tersebut.

4. Tidak peka dengan kedudukan aliran tunai syarikat.
Walaupun anda mempunyai produk yang paling terbaik, pelanggan mungkin tidak akan membelinya dalam tempoh waktu yang anda fikirkan. Oleh itu kedudukan aliran tunai yang mantap penting untuk menampung diri dan syarikat anda dalam tempoh tersebut.

5. Tidak peduli tentang kakitangan.
Salah satu cabaran yang paling sukar bagi seorang usahawan atau pemilik perniagaan ialah untuk memberi motivasi, bimbingan dan mengurus pekerja. Tanpa kesabaran, kesungguhan dan kemahiran, masalah tersebut akan menjadi lebih teruk. Moral dan produktiviti pekerja serta keuntungan syarikat boleh musnah dengan segera!

6. Keliru tentang kemungkinan dengan reality.
Usahawan yang berjaya hidup di dalam dunia yang penuh dengan kemungkinan tetapi mereka berbelanja dalam dunia realiti.

7. Tiada pelan penjualan.
Tanpa pelan penjualan, maka tidak ada cara untuk mengukur perkembangan kewangan dan kemajuan perniagaan anda. Anda memerlukan plan yang realistik untuk melihat dari mana, bagaimana, bila dan siapa yang membawa masuk jualan.

8. Penyendiri.
Anda mungkin tahu kesemunya tetapi anda tidak boleh melakukanya seorang diri dan berkembang pada masa yang sama. Anda perlukan kakitangan untuk mengagihkan tanggungjawab kepada mereka.

9. Tiada ’Mastermind’.
Anda perlukan satu lembaga penasihat ataupun seorang mentor! Bagi mereka yang memopunyai pernigaan yang kecil , ini mungkin ini tidak masuk akal. Lembaga penasihat ini mungkin terdiri dari anggota keluarga atau sahabat yang anda percayai.Jadikan mereka Ahli Lembaga Pengarah, kaji pelan dan keputusan perniagaan bersama mereka. Adalah sangat kritikal untuk mempunyai seseorang yang boleh memberikan idea dan pandangan yang objektif.
10. Berputus Asa.
Kebanyakkan usahawan yang berjaya pernah mengalami kegagalan. Oleh itu, sekiranya anda gagal, biarkan kegagalan itu. Bangun dan belajar dari kesilapan dan kegagalan lalu. Jangan berputus asa dan menderita.

Sunday, January 2, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2011


Semoga di Tahun Baru 2011, kita semua akan memperolehi lebih kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan kita yang mendatang.

Selamat Tahun Baru 2011
Related Posts with Thumbnails