BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Thursday, September 24, 2009

Miliki kilang sendiri

MENYEDARI tumbuhan herba mempunyai manfaat untuk kesihatan sejak turun temurun, sebuah syarikat berpangkalan di Telok Mas, Melaka, Fadhilat Herbs mengambil inisiatif mengkomersialkan minuman campuran Kemunting Cina dan Melada Pahit.

Usaha dilakukan Pengurus syarikat itu, Suhaimi Ghazali, 40, sejak setahun setengah lalu tidak sia-sia apabila beliau kini mampu mempunyai kilang sendiri selepas mengusahakan minuman kesihatan itu secara kecil-kecilan.

Pada awalnya, syarikatnya hanya mampu mengeluarkan 30 botol minuman berkenaan dalam tempoh sebulan, namun sejak beberapa bulan lalu ia dipertingkatkan kepada 60,000 botol bagi tempoh sama dengan kilang yang dilengkapi mesin canggih.

Walaupun usia Fadhilat Herbs baru setahun jagung, syarikat itu kini mampu membuat pemasaran dengan kekuatan 605 stokis serta ejen.

Suhaimi berkata, adunan minuman herba yang dinamakan Air Fadhilat itu amalan keluarganya sejak turun temurun.

Katanya, melihat kebaikan campuran minuman herba untuk kesihatan serta merwat beberapa jenis penyakit, beliau mula mendapat idea untuk mengkomersialkan minuman berkenaan.

“Niat saya hanya mahu membantu. Melihat harga minuman kesihatan herba bagi jenama lain agak tinggi di pasaran, saya mengambil usaha ini untuk mengeluarkannya pada harga mampu dibeli semua orang.

“Pada mulanya sukar untuk meyakinkan orang ramai mengenai produk kami apabila hanya 30 botol dapat dihasilkan dalam sebulan, namun berkat kesabaran yang tinggi akhirnya produk ini mula menjadi buah mulut.

“Sebelum ini perusahaan kami dijalankan di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) menggunakan kaedah tradisional saja. Tetapi, selepas lebih setahun kini kami mengeluarkan produk di kawasan lebih luas di Kompleks Kilang SME Bank di Telok Mas dengan jumlah pengeluaran 60,000 botol sebulan,” katanya.

Katanya, dengan mengamalkan sekali atau dua kali sehari, ia mampu membantu merawat dan mencegah penyakit kencing manis, darah tinggi, gout, migrain, resdung, asma selain mengeratkan hubungan suami isteri.

“Minuman ini diperbuat daripada campuran air mineral, Kemunting Cina dan Melada Pahit. Semua tumbuhan herba ini diperoleh menerusi tanaman yang diusahakan sendiri syarikat kami.

“Air Fadhilat diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dijamin kesuciannya dan disahkan halal,” katanya

Untuk keterangan lanjut, layari laman web, www.fadhilat.com atau e-mel kepada suhaimi@fadhilat.com.

FR sasar laba RM4j

FORTUNE Resources (FR), pengeluar produk minuman jenama Smart Coco A+ dan Jus Al-Khaira milik penuh Bumiputera, menyasarkan keuntungan RM2 juta hingga RM4 juta sebulan hasil jualan 100,000 produk minuman itu.

Sehubungan itu, Pengarah Urusannya, Aida Murni Ismail, berkata peluang kini terbuka kepada 300 pengedar baru yang ingin menceburi bidang perniagaan dan memperoleh keuntungan lumayan bersama syarikat berkenaan.

Beliau berkata, FR memberi khidmat nasihat kepada bakal pengedar untuk menjadi usahawan berjaya.

“Kami menyasarkan penjualan 100,000 kotak produk Smart Coco A+ dan Jus Al-Khaira sebulan dalam tempoh dua tahun, sekali gus syarikat berkenaan FR mampu catatkan purata keuntungan RM2 juta hingga RM4 juta dalam sebulan.

“Untuk berjaya dalam tempoh yang singkat bukannya mudah tanpa usaha gigih, tetapi platform yang diberikan FR mampu merealisasikan impian usahawan yang ingin bersama-sama kami.

“FR juga memberikan tawaran sehingga 50 peratus komisen kepada stokis manakala pengedar pula 25 peratus,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Aida berkata, sehingga kini FR mempunyai 50 pengedar dan sasaran antara 100 hingga 300 pengedar baru dalam tempoh dua tahun.

Menurutnya, FR turut mempunyai 15 stokis pada masa ini.

Beliau berkata, FR juga menyasarkan mengembangkan perniagaan ke luar negara dengan sasaran Singapura, Vietnam dan Jordan.

Katanya, selain itu FR turut merancang menembusi pasaran Brunei, Indonesia, Bangladesh, Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi dan China menjelang 2010.

Jambu Pak Cu ke pasar raya

JAMBU Pak Cu 916 Sdn Bhd, perintis perniagaan jambu potong secara komersial yang kini sudah mempunyai 468 cawangan di seluruh negara melangkah setapak lagi apabila akan memasuki pasar raya di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Pengarah Urusannya, Ishak Abdul (Pak Cu), berkata sejak 1982 lagi dia sudah mula berniaga jambu potong dan walaupun bermula secara kecil-kecilan kini dia mampu memberi peluang kepada orang lain untuk memperoleh pendapatan sampingan.

Katanya, berikutan sambutan menggalakkan terhadap produk makanan berasaskan jambu berkenaan dia menyasarkan lebih banyak cawangan yang akan dibuka akhir tahun ini.

“Peluang perniagaan kios jambu batu potong terbuka kepada sesiapa saja yang berminat lebih-lebih lagi mereka yang menganggur kerana selain dapat menjana pendapatan lumayan sekali gus memperoleh ilmu perniagaan.

“Potensi untuk berjaya dalam perniagaan ini sangat besar jika tahu caranya dan diusahakan dengan jujur, malah ada yang mampu mencatatkan jualan RM300 sehingga RM1,500 sehari,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, selain cuba menembusi pasaran pasar raya, syarikat Jambu Pak Cu 916 turut mengajar mereka menguruskan perniagaan tepi jalan supaya berjaya dan mampu memperoleh pendapatan tetap mencecah ribuan ringgit.

Fokus pasaran Jambu Pak Cu 916 ini bukan saja di Semenanjung Malaysia tetapi menurut Pak Cu, pihaknya akan memasuki pasaran di Sabah dan Sarawak jika ada permintaan di sana.

Jambu Pak Cu 916 mengalu-alukan orang ramai atau pengusaha yang ingin mengembangkan perniagaan dengan membuka jualan jambu jenama berkenaan kerana ia mampu menjana pendapatan keluarga.

Pakej perniagaan yang ditawarkan oleh Jambu Pak Cu 916 berharga RM2,200 merangkumi kios, set payung dan pelbagai kelengkapan lain selain diberi bimbingan dan latihan usahawan.

Adli usahawan muda berjaya


"SAYA berpegang kepada prinsip kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya kita perlu berusaha mencapainya," kata Mohd Adli Abd Hadi, 24, dari Seremban.

Dia memilih keusahawanan sebagai karier selepas menamat pengajian ijazah di Management & Science University (MSU) dalam bidang Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti.

Pencapaian yang diraih bersama Nelayan Seafood & Catering Sdn Bhd ini amat dikagumi dan boleh dijadikan inspirasi kepada pelajar lain.

Usahawan muda ini adalah pengarah syarikatnya sendiri, mengakui pendedahan sejak kecil kepada dunia perniagaan memberikan dorongan untuk terus maju dalam dunia perniagaan.

"Ayah banyak memberikan motivasi dan inspirasi kepada saya," katanya.

Dia tamat pengajian di MSU tahun lalu selepas mengikuti pengajian dalam diploma Pengurusan di Kolej PTPL Seremban pada 2002 hingga 2005.

"Semasa di PTPL Seremban, saya didedahkan dengan kemahiran keusahawanan, pengurusan personal dan organisasi.

"Di MSU pula, saya belajar mengenai perhubungan antara perniagaan, pemasaran dan pelancongan. Ia nyata berkesan dan lebih praktikal apabila saya mengikuti latihan industri di Malaysia Tourism Centre (MTC) di Kuala Lumpur," katanya.

Nelayan Seafood & Catering Sdn Bhd adalah restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan daging eksotik Negeri Sembilan.

Syarikat itu mula dikenali ramai apabila bekerjasama dengan MTC untuk mempromosikan makanan tradisional Melayu ini dalam kempen pelancongan seperti Zoom Malaysia Disember tahun lalu.

Terbaru, MTC mempelawa syarikat itu membuka restoran di luar negara sebagai usaha mempromosi makanan Malaysia.

Selain bidang restoran dan katering, dia turut terbabit dengan perniagaan lain iaitu Nelayan Agrobiotek Sdn Bhd, Permata Nelayan Adventure & Tourism serta Agensi Pekerjaan Zefal.

Mengenai kegawatan ekonomi dunia kini, dia mengakui sebagai ahli perniagaan kesannya tetap ada tetapi perlu lebih produktif dalam mempelbagaikan aktiviti perniagaan dengan mencari peluang perniagaan baru.

"Kejujuran dan kualiti perkhidmatan perlu menjadi agenda utama dalam perniagaan.

"Saya bersyukur dengan kejayaan hari ini dan lebih bersemangat untuk terus cemerlang membina empayar perniagaan franchise," katanya.

Wednesday, September 23, 2009

Produk halal di Jerman buka peluang pembekal Malaysia

FRANKFURT 22 Sept. - Berdasarkan bilangan penduduk Islam yang semakin meningkat di Jerman, permintaan produk halal turut meningkat.

Situasi itu membuka peluang untuk para pembekal produk halal Malaysia dan sekali gus industri makanan halal Malaysia yang merintis segmen makanan, mempunyai peluang cerah, bukan sahaja menembusi malah mengukuhkan diri dalam pasaran khusus yang belum ada saingannya setakat ini berbanding segmen lain.

Oleh itu, pembekal Malaysia yang mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), yang mempunyai pejabat di Frankfurt, boleh membuka pasaran yang mampu menjana perniagaan dalam jangka panjang.

Kelebihan tambahan ialah saiz pasaran yang dijangka meningkat memandangkan semakin ramai pengguna Jerman kini terdedah kepada produk halal, yang pada masa lepas, terhad kepada penduduk Islam di negara itu.

Kini, para pembekal Jerman dan Eropah menambah produk halal dalam pasaran, sebagai contoh dengan menambah saham dalam produk halal yang biasa ditemui di rak-rak di pasar raya Jerman.

"Beberapa tahun lepas, jarang terdapat produk halal di pasar raya Jerman.

Wujud tanggapan salah mengenai istilah halal yang kerap dikaitkan dengan agama.

Bagaimanapun, tanggapan itu secara beransur-ansur terhakis hasil peningkatan penghayatan terhadap tahap kebersihan, dan semakin banyak pasar raya cuba memikat penduduk Islam dengan menawarkan produk halal," kata Armin Bollig, seorang penyelidik mengenai tabiat pengguna, yang menetap di Frankfurt.

Menerusi lebih tiga juta umat Islam - dan trend yang menunjukkan pertumbuhan dalam demografi - pengilang makanan Jerman mendapati pasaran yang lebih menarik jika menawarkan produk yang memenuhi kehendak minoriti yang paling pesat berkembang di Jerman itu.

"Bahagian kecil di pasar raya utama ini menunjukkan kepada anda peluang yang wujud dalam corak berbelanja pengguna Jerman yang hari ini bersedia menerima amalan makanan yang asing sebelum ini," kata Bollig semasa berjalan di Frankfiurt yang ramai didiami masyarakat Turki dan penduduk Islam lain.

Tiga juta pengguna Islam di Jerman mungkin masih merupakan pasaran yang kecil, namun berpotensi berkembang pesat memandangkan semakin ramai pengguna tempatan yang membeli produk halal.

Pengguna Jerman yang kurang terdedah kepada budaya makanan masyarakat lain, kini menikmati hidangan roti pita bersama daging dan sayur serta sos cili atau sos bawang putih, dan beransur-ansur mengetepikan sosej dan sauerkraut, makanan harian Jerman yang banyak lemak.

Namun banyak pembekal Jerman dan Eropah bukan sekadar membekalkan produk halal kepada pengguna di Jerman dan negara Eropah berjiran lain, malah ke pasaran eksport lain di negara Islam.

Antara produk halal yang dihasilkan ialah coklat, sup serta biskut.

Syarikat makanan, sebagai contoh, Nestle, mewujudkan 75 unit halal dalam rangkaian syarikat globalnya. Syarikat Swiss itu memperoleh lebih banyak keuntungan menerusi produk halal berbanding produk organik lain, dan mendapat sambutan baik di kalangan pengguna Barat.

Rangkaian peruncitan Jerman, Casino memperkenalkan laman Internet tahun lepas yang dikenali sebagai Wassila, eksklusif untuk produk halal.

Boots Britain juga melancarkan makanan bayi halal di 30 kedai runcitnya.

Beberapa pembekal halal Jerman berkata, Malaysia mempunyai burger halal yang dihidangkan oleh McDonald yang berjaya meningkatkan jualannya sebanyak 30 peratus dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun, banyak pembekal Jerman menghadapi dilema mengenai pematuhan yang perlu diikuti dalam menyediakan makanan halal seperti penyembelihan haiwan serta ayam itik.

Mereka bagaimanapun menangani masalah itu dengan mengimport daging halal dari pembekal luar.

Masalah lain ialah pensijilan halal memandangkan tiada badan rasmi yang diperakui di Jerman yang berhak mengeluarkan sijil halal.

Akibatnya, terdapat peningkatan bilangan unit halal yang tidak terkawal, yang kini hanya disahkan oleh para imam, yang berbuat demikian dalam kapasiti tidak rasmi kerana tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian (mengeluarkan sijil halal).

Sebelum ini terdapat kes pemalsuan pengeluaran sijil halal.

Bagaimanapun, dagangan halal akan kekal di sini. Malah ada yang sanggup membeli produk halal kerana ia merupakan 'trend mega' dengan banyak kedai dan pasar raya mengaut untung, terutama ketika keyakinan pengguna kurang bermaya akibat kelembapan ekonomi dan meningkatnya pengangguran.

Forum Halal Dunia mengunjurkan jualan dunia bagi produk halal dalam tahun semasa mencecah 634 bilion euro (RM3.3 trilion), meningkat daripada 580 bilion euro (RM3.0 trilion) pada 2005.

Pameran makanan terbesar dunia, ANUGA, yang berlangsung di Cologne dari 10 hingga 14 Oktober ini juga akan memberi tumpuan terhadap produk halal, dengan satu pertiga daripada 6,000 pempamer, mengetengahkan pelbagai jenis makanan halal.

Malaysia diwakili oleh satu kontinjen syarikat pengilangan makanan, kebanyakannya membekalkan produk halal. - BERNAMA

Friday, September 11, 2009

Teladani 10 akhir Ramadan Nabi


Kita disuruh melipat gandakan ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan.


RAMADAN menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.

Pertama; jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Kedua; yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kupasan ringkas hadis

Para ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)

Mengikat kainnya

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah 'mengikat kainnya'.

Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah 'mengikat kainnya'.

Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)

Menghidupkan malam harinya

Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.

Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)

Membangunkan Ahli Keluarganya

Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.

Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta' menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: "Solat! solat!"

Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan

lMandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai harumanIbn Abi 'Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: "Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak". (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi'en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi'en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

lMencari lailatul qadr Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu". (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu. Melewatkan sahur Daripada Sahl ibn Sa'd berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: "Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

lMelakukan iktikafIktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari". (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

lMembanyakkan doaUlama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa' fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak". (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

Kerisik Ucu dikomersialkan


AFIDAH Kamaruddin menggoreng kelapa parut di rumahnya di Bandar Putra Kulai, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 9 Sept. - Sejak zaman dahulu, kerisik merupakan makanan popular yang sering digunakan sebagai perencah tambahan dalam masakan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Cuba bayangkan masakan rendang atau laksa Johor tidak dimasukkan sedikit kerisik. Aduhai, memang kurang 'rasa' dan boleh menghilangkan selera seseorang untuk menikmati masakan itu dengan sepuas-puasnya.

Hakikatnya, kerisik cukup terkenal untuk menambah rasa sedap masakan, memekatkan masakan selain menambah aroma yang menyelerakan.

Secara tradisinya, kerisik yang dihasilkan daripada kelapa parut tua dilakukan oleh golongan wanita dan remaja perempuan.

Maka tidak hairan jika ramai yang pernah mendengar gurauan orang tua mengatakan lelaki yang ingin mencari calon isteri perlu memilih wanita yang pandai membuat kerisik.

Kata gurauan itu menggambarkan calon isteri pasti rajin di dapur kerana proses membuat kerisik bukan kerja yang mudah.

Ia mengambil masa yang lama apabila kelapa perlu diparut terlebih dahulu sebelum digoreng tanpa minyak di dalam kuali.

Kini, cara membuat kerisik dihasilkan mengikut peredaran zaman apabila mengikut cara moden yang menggunakan alat pengisar dan bukan lagi lesung batu.

Afidah Kamaruddin, 41, kini mengkomersialkan kerisik dengan memasarkan secara sambilan di rumahnya di Bandar Putra Kulai di sini.

Ibu kepada empat orang anak itu menjalankan perusahaan yang jarang-jarang dilakukan golongan wanita lain di negara ini dalam usaha memelihara kesinambungan makanan tradisional itu agar tidak pupus ditelan zaman.

Dikenali dengan nama Kerisik Ucu, suri rumah sepenuh masa itu memasarkan produk tersebut menerusi rantaian pemasaran yang dilakukan adik-beradik dan rakan-rakan sejak 1997.

"Kerisik boleh diumpamakan makanan yang tidak pupus zaman kerana kepentingannya dalam menambah kesedapan sesuatu masakan.

"Justeru, saya berharap Kerisik Ucu mampu menjadi pewaris bahan perencah utama makanan pada masa akan datang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Afidah memberitahu, mampu bertahan lama hingga tempoh satu tahun apabila disimpan dalam peti sejuk merupakan keistimewaan Kerisik Ucu.

Selain itu, ia mempunyai bau yang lebih wangi kerana menggunakan kelapa laut dari Batu Pahat yang memiliki santan pekat.

Katanya, proses penghasilan kerisik pula menggunakan bahan yang bermutu dan tiada bahan pengawet tiruan.

"Proses membuat kerisik bermula apabila kelapa yang diparut digoreng di dalam kuali selama satu jam setengah.

"Selepas kelapa parut itu garing dan menghasilkan aroma yang sedap, ia dibiarkan sejuk seketika sebelum dikisarkan hingga mengeluarkan minyak dan akhirnya menjadi kerisik," katanya.

Pada kebiasaannya, proses melakukan kerisik dijalankan pada waktu malam dan menggunakan 10 biji kelapa untuk menghasilkan tiga bekas besar kerisik," katanya yang dibantu suami tersayang, Roslin Mustaffa.

Afidah berkata, satu bekas besar kerisik dijual dengan harga RM8, manakala bekas kecil RM4.50

Katanya, permintaan terhadap Kerisik Ucu meningkat ketika menjelang musim perayaan seperti Aidilfitri, manakala pada hari biasa bergantung kepada permintaan pelanggan.

Ibu yang memiliki sepasang anak kembar lelaki itu memberitahu, para pelanggan utamanya terdiri daripada peniaga restoran dan golongan wanita yang bekerja.

Ditanya mengapa memilih kerisik sebagai sumber pendapatan tambahan, Afidah berkata, kesukaran mendapatkan makanan itu di pasaran mendorongnya tampil menyediakan perkhidmatan itu.

Afidah menyimpan cita-cita besar agar suatu hari nanti dia dapat membuka sebuah bengkel memproses kerisik sendiri untuk meningkatkan kuantiti pengeluarannya.

Selain Kerisik Ucu, dia turut memasarkan produk makanan sejuk beku seperti karipap dan cucur badak.

Afidah boleh dihubungi di talian 013-7698934 atau 07-5990810.

Pasar raya besar hapus caj tambahan produk IKS

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Empat pasar raya besar bersetuju untuk menghapuskan caj tambahan kepada pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang memasarkan produk mereka di premis berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, pasar raya besar terbabit juga telah bersetuju untuk meningkatkan jumlah produk IKS yang dijual di premis masing-masing kepada 20 peratus menjelang 2012 berbanding sembilan peratus sekarang.

''Empat pasar raya besar tersebut iaitu Tesco, Giant, Carrefour dan Jaya Jusco juga telah bersetuju untuk meningkatkan produk IKS yang dijual di premis masing-masing dan mengurangkan tempoh bayaran kepada pengusaha dari 90 hari kepada 30 hari.

''Mereka juga bersetuju untuk membantu kementerian mencapai sasaran 30 peratus produk IKS dipasarkan di premis masing- masing pada masa akan datang,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Produk 1Malaysia (Promas 2010) yang dijadualkan dari 17 hingga 20 Disember tahun depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kehormat Persatuan Pemprosesan Makanan dan Pembungkusan Malaysia (Mafpa), Kamalbahrin Khamsan dan Pengarah Urusan Es Event Management Sdn. Bhd., Datuk Chong Chong Ting.

Promas 2010 anjuran bersama Mafpa dan Es Event akan menyediakan 600 buah ruang pameran merupakan landasan bagi pemasaran serta jualan produk buatan Malaysia bagi memperkasa penjenamaan serta menjana aliran tunai bagi pengusaha-pengusaha produk IKS .

Ismail Sabri memberitahu, kementerian juga akan mengadakan Ekspo Penjodohan IKS dan Pasar Raya Besar pada November ini bagi membolehkan pasar raya besar memilih produk-produk IKS untuk dijual di premis masing-masing.

Katanya, pada ekspo tersebut pengurusan pasar raya besar boleh memilih secara terus produk-produk yang dikeluarkan oleh IKS untuk dipasarkan.

Sementara itu mengenai keperluan barang-barang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dua minggu lagi oleh umat Islam, beliau memberitahu, pihaknya telah mendapat jaminan daripada pengeluar dan pengedar bahawa barang-barang itu mencukupi.

Katanya, kementerian juga akan memastikan bekalan yang diperlukan oleh umat Islam mencukupi dengan memantau bekalan di pasaran setiap hari.

''Pemantauan kementerian bukan sahaja melibatkan pematuhan harga oleh penjual di bawah Akta Kawalan Harga tetapi juga memastikan bekalan mencukupi di pasaran,'' katanya.

Thursday, September 3, 2009

‘Checklist’ sebelum mula menjadi usahawan

‘Checklist’ sebelum mula menjadi usahawan
ADAKAH ANDA TELAH BERSEDIA UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN INI? UNTUK MENJAWAB SOALAN INI ANDA PERLU MENGENALI SIAPA DIRI ANDA YANG SEBENAR. Soalan di bawah bolehlah dijadikan kayu pengukur untuk anda menilai tahap persediaan anda untuk menjadi seorang usahawan.
rujuk kat sini http://stormreaders.com

Sifat Peribadi Usahawan




1) Bersemangat dan berkeinginan tinggi

  • Bersemangat dan berkeinginan tinggi untuk berjaya dalam mencapai matlamat. Semangat ialah daya penggerak kepada perniagaan.

2) Memandang masa hadapan dengan jelas

  • Pandangan seorang usahawan selalunya disokong oleh himpunan idea yang belum ada dalam pasaran. Idea ini amat jelas untuk direalisasikan walaupun detailnya mungkin belum lengkap dan boleh diubah suai. Idea ini sering dipromosikan dengan penuh keyakinan dan kecintaan.

3) Berkeupayaan untuk bekerja keras

  • Seorang usahawan sering mempunyai sikap mabuk kerja atau “workaholic”. Dia bekerja keras untuk merealisasikan impiannya.

4) Berfikiran positif

  • Usahawan berfikiran positif seperti sikap hero dalam filem box office Barat yang sentiasa berfikir bahawa tindakannya tetap akan berjaya walaupun nampak seperti mustahil untuk dicapai.

5) Berani membuat keputusan

  • Keputusan memang sentiasa perlu dibuat dan perlu dibuat dengan kadar segera. Lambat membuat keputusan bermakna setengah daripada jalan kegagalan sudah ditempah.

6) Bersikap optimistik

  • Yakin dengan kebolehan diri sendiri serta mengambil falsafah “Masa kini ialah masa yang terbaik” dan “Semua perkara boleh dilakukan.”

7) Pandai mengatur strategi

  • Pandai mengatur strategi untuk menukar impian menjadi realiti.

8) Berani mengambil risiko secara berhemah

  • Risiko tetap wujud dalam semua situasi, cuma kadarnya berbeza-beza. Jika kita mengambil perkiraan yang teliti (calculated risks), namun masih menemui kegagalan, itu bukan dikira kesilapan diri kita lagi.

9) Melahirkan daya usaha niaga

  • Melahirkan daya usaha niaga yang berterusan untuk mengatasi masalah.

10) Bekerja sendiri

  • Usahawan sering mahu bekerja sendiri daripada bekerja di bawah sesuatu organisasi atau bekerja di bawah orang lain. Dia mungkin bekerja dengan seseorang untuk mendapat pengetahuan atau pengalaman untuk menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan buat suatu jangka masa yang pendek dan kemudian akan menjalankan perusahaan sendiri.

11) Mempunyai daya kepemimpinan dengan mengutamakan kepemimpinan dengan mengutamakan sifat mengasuh dan mendidik

  • Kesanggupan mengetuai dan mengawasi sesuatu usaha sehingga pekerja di bawah organisasinya boleh bekerja tanpa dipantau.

12) Bersikap sedia menerima tanggungjawab

  • Kesanggupan memikul tanggungjawab kepada sebarang usaha dari segi moral, mental dan undang-undang. Dia lebih berorientasikan kemanusiaan daripada kepentingan diri. Dia bersedia memenuhi permintaan pelanggannya.

13) Berorientasikan ganjaran atau habuan

  • Keinginan mendapat ganjaran hasil daripada usaha dan ikhtiar. Ganjaran paling utama ialah dalam bentuk wang. Tetapi boleh juga diambil dalam bentuk pengiktirafan, pangkat, nama, anugerah dan rasa hormat.

14) Berorientasikan kecemerlangan

  • Meletakkan sasaran pencapaian sesuatu yang luar biasa yang dapat memberi kebanggaan.

15) Bersemangat organisasi

  • Seorang usahawan mampu membawa semua komponen perniagaan termasuk sumber tenaga manusia (personel atau kakitangan) ke arah kejayaan. Dia juga mampu mempengaruhi orang lain untuk menyokong dan membantu usahanya.

16) Berorientasi keuntungan

  • Seorang usahawan bijak mentaksir harga. Dia mempunyai keinginan untuk mendapat apa jua bentuk ganjaran. Bagaimanapun, keuntungan cuma merupakan kayu pengukur tahap kejayaan dan pencapaian. Ketika melantik Malik bin al-Haris menjadi gabenor di Mesir, Sayidina Ali k .w.h. berkata, “Menjadi hak kepada pedagang untuk memperolehi keuntungan atas usaha mereka menyediakan barangan yang berguna kepada masyarakat.”

17) Bertakwa kepada Allah s.w.t.

  • Bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan mengangkat-Nya menjadi Petunjuk, Pembimbing dan Pemerhati kepada aktiviti perniagaan kita.

Otai Burger tarik nafas lega


Otai Franchise Sdn Bhd kini boleh menarik nafas lega apabila Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyalurkan pembiayaan tertangguh kepada 19 francaisi di bawah seliaan pengendali francais Otai Burger itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Suhaimi Abas berkata, masalah kelewatan saluran pembiayaan sudah pun diselesaikan menerusi perbincangan bersama PNS pada minggu lalu.

Menurutnya, jumlah francaisi yang sepatutnya menerima pembiayaan adalah 21 orang, namun dua daripadanya sudah pun menarik diri lebih awal.

“Sekarang hanya tinggal 19 orang, empat pembiayaan sudah pun dikeluarkan pada 26 Ogos dan satu lagi pada 27 Ogos lalu.

“Selebihnya, 14 francaisi akan menerima saluran pembiayaan dari PNS dalam waktu terdekat,” katanya.

Sinar Harian siaran pada 24 Ogos lalu menyiarkan laporan mengenai masalah Otai Burger mengenai kelewatan PNS menyalurkan pembiayaan kepada francaisi.

Tempoh menunggu terlalu lama menyebabkan terdapat bakal francaisi akhirnya menarik diri dari meneruskan perjuangan untuk menjadi usahawan.

Ia sedikit-sebanyak menjejaskan kredibiliti Otai Burger yang selama ini berperanan untuk melahirkan usahawan Bumiputera dengan modal terendah.

Kelewatan yang berlaku turut menyebabkan kerugian tanpa pulangan berpatutan berikutan sebelum ini modal sejumlah besar sudah dilaburkan bagi tujuan itu.

Perbincangan antara Otai Burger dan PNS minggu lalu membuahkan hasil, sekali gus menjadikan jumlah francaisi Otai Burger meningkat kepada 51 orang.

Bagaimanapun, Suhaimi berkata, Otai Burger akan menutup permohonan baru untuk francaisi buat sementara waktu untuk tujuan penilaian bersama PNS.

“Sepanjang tempoh ini, kami mahu menambahbaik kualiti sistem francais supaya perniagaan francaisi sedia ada dan francaisi baru kelak lebih kukuh.

“Bagaimanapun, ia mungkin akan dipendekkan sekiranya PNS melihat perubahan dan perkembangan positif Otai Burger,” katanya.

Pembangunan usahawan tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat, ia sebenarnya mengambil masa jika mahu usahawan yang benar-benar berkualiti.

Pun begitu, masih terdapat segelintir usahawan mengambil sikap remeh-temeh dengan melihat perniagaan Otai Burger sukar untuk berkembang.

“Mereka mempertikaikan jualan ketika baru mula berniaga atau bulan puasa (Ramadan), jadi sudah tentu prestasinya masih rendah dan menyusut,” katanya.

Dalam tempoh enam bulan, Otai Burger mensasarkan jualan harian sekurang-kurangnya 100 biji burger bagi setiap kiosk, sehingga mencecah RM300.

Suhaimi berkata, bagi meningkatkan jualan per kiosk, terdapat rancangan untuk memperkenalkan menu baru iaitu burger dengan sos lada hitam.

“Pengenalan menu baru secara komersial bermula minggu ini diharapkan dapat meningkatkan jualan harian semasa hanya antara 60 dan 80 biji,” katanya.

Antara inisiatif lain, Otai Burger turut memperhebatkan jualan sepanjang Ramadan dengan memperkenalkan promosi dua burger biasa pada harga RM5.

Pelanggan akan mendapat penjimatan sebanyak 60 sen berikutan harga jualan bagi sebiji burger biasa adalah RM2.80.

Ketika ditanya mengenai rundingan lain, Suhaimi berkata, PNS menasihatkan supaya Otai Burger sebagai francaisor memberi lebih khidmat kepada francaisi.

Selepas ini, pihak pengurusan akan sentiasa turun padang bagi melihat perkembangan perniagaan francaisi dan memantau dari masa ke semasa.

“Kami akan mencari penyelesaian bagi membantu masalah yang dihadapi mereka sekiranya mengalami kejatuhan jualan.

“Ini termasuk permohonan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jumlah gerai yang sepatutnya sudah mula menjalankan operasi,” katanya.

Sebanyak 62 kiosk akan dikendalikan oleh 19 francaisi baru yang menerima pembiayaan dari PNS, menjadikan jumlah operasi francaisi kini 194 kiosk.

Walaupun tiada kemasukan francaisi baru, Otai Burger dapat menampung perbelanjaan dan kos operasi apabila menjangkakan pulangan kira-kira RM500,000 setiap bulan.

Menurut Suhaimi, perniagaan francais amat berat kerana tidak ramai usahawan Bumiputera berjaya dalam industri ini tanpa sistem dan kewangan yang kukuh.

“Namun, dengan jaminan sistem francais dan kemudahan pembiayaan yang disalurkan sebagai modal, ia menyokong untuk mencapai kejayaan,” katanya.

PNS bukan sahaja berperanan menyediakan kemudahan pembiayaan, tetapi apa yang lebih penting memastikan infrastruktur francaisor lebih lengkap.

Ini merangkumi pelan pembangunan, pusat latihan, sistem dalaman dan kelengkapan pejabat sebagai kemudahanan untuk perniagaan francais.

Suhaimi berkata, pihaknya akan terus berhubung dan berbincang dengan PNS, manakala agensi itu perlu memahami keperluan francaisor dan francaisi.

“Jika terdapat kerjasama semua secara telus dan lebih adil, saya pasti hasrat kerajaan untuk melahirkan 50 francaisor dan 1,000 francaisi di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dapat dicapai,” katanya.

Menurutnya, sasaran untuk melahirkan seramai 240 usahawan francais masih kekal, tempohnya dilanjutkan, mungkin dari tiga tahun kepada lima tahun.

“Kami akan berusaha untuk berkembang lebih baik dan membantu melahirkan usahawan francais Bumiputera sekiranya terus diberikan kepercayaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PNS, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki pula berkata, dengan niat untuk membantu industri francais, pihaknya bersetuju untuk mengeluarkan baki pembiayaan kepada Otai Burger.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan itu dikenakan syarat di mana tindakan akan diambil untuk memperbaiki sistem sedia ada.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam perkembangan francais, adalah mustahak sekiranya sistem francais itu diperkukuhkan.

“Jika tidak, francaisor bukan sahaja akan berhadapan dengan masalah, tetapi juga francaisi. Kegagalan mereka menunjukkan PNS juga gagal,” katanya.

Menurut Syed Kamarulzaman, PNS berperanan untuk membantu dan bersedia menerima teguran untuk memperbaiki perniagaan kepada lebih baik.

Pun begitu, francaisor seharusnya faham bukan hanya jumlah francais yang dikeluarkan dijadikan pengukur, tetapi bilangan yang berjaya juga diambil kira.

“Oleh itu, francaisor perlu meningkatkan aktiviti pemantauan bagi memastikan peniaga di bawah seliaan mereka berjaya.

“Mereka menjadi francaisor disebabkan oleh ilmu dan pengalaman yang dilalui ketika bergelar usahawan dan ini merupakan tanggungjawab besar.

“Kejayaan francaisi sebenarnya adalah kejayaan mereka juga. Paling mustahak apabila kejayaan seluruh sistem dapat dinikmati bersama,” katanya.

Apabila seseorang francaisi itu berjaya, maka akan lebih ramai calon mendapatkannya bagi memastikan mereka mendapat perniagaaan itu.

Sebagai francaisor, pembangunan perniagaan berdasarkan kemampuan mereka, menjadikan nilai kekuatan dalaman kukuh jangka panjang.

“Perniagaan francais sepatutnya boleh mengharungi ribut taufan dan francaisor umpama nakhoda memastikan segalanya dalam keadaan selamat,” katanya.

PNS bersedia membantu mereka yang berkelayakan, namun komunikasi secara terbuka amat penting supaya perjalanan perniagaan francaisor lebih difahami.

“Antara masalah yang berlaku apabila tiada komunikasi secara terbuka kerana masing-masing mempunyai agenda sendiri dan ini perlu dielakkan,” katanya.

PNS mengharapkan agar semua yang dibantu dapat berdiri atas kemampuan sendiri pada suatu hari nanti dan tahap kebergantungan dapat dikurangkan.

“Kekuatan dalaman adalah penting untuk memasti kejayaan berterusan kerana bukan mudah untuk memperoleh kesenangan,” kata Syed Kamarulzaman.
Related Posts with Thumbnails