BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Tuesday, July 29, 2008

Cari peluang di Afrika - Najib

Daripada Muhd. Nizam Abd. Hamid

LUSAKA 29 Julai - Usahawan Malaysia disaran mencari peluang baru di Zambia dan negara-negara di selatan Afrika yang kini sedang pesat membangun ekonominya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia boleh menjadi antara pemain utama dalam pembangunan ekonomi di negara terlibat dan perlu mencontohi China yang begitu agresif membuat pelaburan di Afrika.

Menurutnya, China membuat pelaburan secara besar-besaran di Afrika kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai bahan mentah yang kemudiannya digunakan bagi membangunkan negara itu.

''Mereka sanggup menawarkan pelbagai bentuk bantuan dan geran kepada Afrika. Kalau benua ini tidak penting, sudah pasti ia tidak akan menjadi tumpuan negara tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis resepsi anjuran Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Zimbabwe, Cheah Choong Kit di Hotel Intercontinental di sini petang semalam.

Timbalan Perdana Menteri yang berada di sini untuk menghadiri Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) 2008 berkata, Malaysia bernasib baik kerana kaya dengan pelbagai sumber asli yang dapat digunakan bagi membangunkan negara.

Najib memberitahu, penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan disambung dengan SAID yang melibatkan perkongsian pintar antara negara-negara Selatan telah meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia mendekati benua Afrika.

Niat baik Malaysia yang mahu melihat kemakmuran ekonomi di kalangan negara terlibat, katanya, diterima oleh rakyat Afrika dan ia menjadi satu kelebihan kepada usahawan Malaysia untuk membuat pelaburan.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang membuat pelaburan di Afrika supaya melaksanakannya dengan betul dan tidak mengambil kesempatan yang boleh menindas rakyat tempatan.

''Kita berada di sini bukan untuk mengeksploitasi tetapi untuk bekerja dan mencari peluang yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara," ujarnya.

Katanya, beliau percaya usahawan Malaysia mampu mencapai kejayaan kerana sudah ada syarikat Malaysia yang telah bertapak dalam perniagaan barang kemas, hospital swasta dan membangunkan projek perumahan.

(di petik dari Utusan Online)

Usahawan hanya perlu sijil Insken

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my

BAKAT MASAK: Noh memasak Burger Otai sambil diperhatikan Pengerusi MPUP Selayang, Datuk Ahmad Bahari ketika melawat tapak pameran selepas merasmikan Gerak Usahawan 2008 di Bandar Baru Selayang, semalam.

Semua kursus diselaras supaya tepati kriteria agensi pinjaman

KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, semua usahawan yang memohon pembiayaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hanya memerlukan satu sijil kursus keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata kementerian kini sedang menyelaras semula program Insken bagi memastikan sijil yang dikeluarkan menepati kriteria yang disyaratkan untuk agensi pinjaman seperti Mara dan Bank Rakyat.


Katanya, melalui penyelarasan semula itu semua kursus keusahawanan di bawah kementerian akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Insken mengikut tahap yang ditentukan seperti jenis perniagaan dan jumlah pinjaman yang diperlukan.

Beliau berkata, bermula tahun depan kementerian akan mewajibkan semua permohonan pembiayaan mempunyai sijil kursus asas keusahawanan Inskem dan ia sekali gus menyelesaikan masalah kesukaran memohon pembiayaan kementerian.

"Kita selaraskan kursus keusahawanan ini kerana sekarang selain Insken kita dapati Mara dan Bank Rakyat juga mewajibkan pemohon pinjaman mengikuti kursus yang ditawarkan sehingga usahawan menghadiri terlalu banyak kursus sedangkan pinjaman belum tentu diluluskan.

"Kita mahu usahawan yang memohon pinjaman kita mempunyai asas pengurusan perniagaan yang cekap supaya mereka boleh membayarnya semula. Kita merancang kemungkinan kursus itu mempunyai beberapa tahap sesuai dengan perkembangan perniagaan mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Gerak Usahawan Majlis Pembangunan Usahawan Parlimen Selayang, dekat sini, semalam.

Noh berkata, pihaknya juga memberikan kelonggaran meluluskan permohonan pinjaman kepada usahawan yang disenarai hitam kerana gagal membayar hutang dengan syarat kegagalan itu disebabkan faktor luar dan bukan kesalahan mereka atau salah tadbir perniagaan.

Katanya, peluang kedua juga diberikan kepada usahawan yang ingin meneroka bidang perniagaan baru walaupun belum habis membayar 'hutang lama' dan usahawan siswazah yang disenarai hitam disebabkan pinjaman pelajaran.

Menternak rusa tidak sesukar disangka

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN (utusan online)

kos pemeliharaan rusa juga amat rendah kerana haiwan ini makan sisa soya, sawit dan buah-buahan yang boleh didapati dari pasar.

TENTU ramai yang menyangka penternakan rusa merupakan industri ‘mewah’ apatah lagi biasanya rusa dipelihara oleh golongan bangsawan dan tokoh korporat serta di kawasan taman.

Malah, ramai menganggap rusa sebagai ternakan eksklusif yang tidak ramai mampu mengusahakannya manakala pasarannya pula tidak meluas sebagai mana ternakan lain.

Justeru apabila mendapat tahu terdapat sebuah ladang ternakan rusa dengan kira-kira 800 ekor, penulis begitu teruja untuk meninjau dari dekat.

Ladang yang terletak berhampiran kawasan perumahan di Jalan Bunga Raya, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor seluas lapan hektar di dua buah tapak berlainan bukan saja dihuni oleh rusa tetapi juga 25 ekor burung unta, ayam serama, keldai dan kuda padi.

Pemiliknya yang juga Pengarah Urusan Hitech Livestock Exotic Farm, Mohamed Akbar yang memulakan industri penternakan lebih 15 tahun lalu dengan kambing dan lembu mula mengalih pandangan kepada rusa sejak tujuh tahun lepas.

Ditanya, faktor pendorong beliau beralih arah, Mohamed berkata, menternak rusa menguntungkan kerana kos operasinya amat kecil berbanding ternakan ruminan lain.

“Rusa tidak memerlukan kandang yang besar seperti kambing atau lembu tetapi cukup dengan kawasan lapang dan beberapa batang pokok besar sebagai tempat mereka berteduh.

“Malah kos makanannya juga kecil kerana saya menggunakan campuran hampas soya, sawit dan pelbagai jenis buah-buahan yang diambil dari pasar berdekatan,” katanya kepada Mega semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Malah rusa juga tidak memerlukan padang ragut yang rata tetapi cukup dengan sedikit kawasan hijau berbukit-bukit dan berbatu-batu kerana sebagai haiwan liar, rusa gemarkan tempat mencabar.

Mohamed menambah kos perubatan bagi rusa amat minimum berbanding ternakan ruminan lain.

“Sejak memelihara rusa secara komersial saya hanya mengeluarkan hanya beberapa ratus Ringgit sebulan saja untuk ubat cacing dan vitamin,” katanya yang memelihara rusa jenis Timorensis dan Axis yang berbintik-bintik.

Mohamed menambah, rusa senang dipelihara kerana tidak mudah terkena penyakit berjangkit malah sebagai haiwan liar, rusa boleh mengubati dirinya sendiri.

Rusa matang seawal usia 18 bulan dan betina bunting selama lapan bulan sebelum beranak sebanyak seekor.

Rusa betina boleh beranak sebanyak 15 hingga 16 kali dengan jangka hayat boleh mencapai 20 hingga 25 tahun.

Biasanya induk rusa akan menyorokkan anaknya di bawah batu atau rumput sehingga anaknya bercerai susu.

Menggunakan khidmat empat orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Mohamed berkata, kawasan yang tidak luas membolehkan ibu menjaga dan menyusukan anaknya.

“Jika penternakan diusahakan di kawasan yang terlalu luas, mungkin penternak terlepas pandang anak rusa yang disorokkan.

“Ini dapat mengelakkan anak rusa daripada mati kelaparan jika tidak dijagai ibu mereka,” katanya yang telah memahami kelakuan haiwan berkenaan.

Menternak rusa lebih menguntungkan walaupun bukan untuk daging kerana rusa betina akan beranak setiap tahun manakala tanduk rusa jantan pula akan luruh setiap tahun.

“Harga tanduk jantan basah boleh mencecah sehingga RM500 dan yang kering pula menjangkau RM3,000,” katanya yang boleh dikatakan antara penternak yang memelihara paling banyak rusa di negara ini.

Kawasan yang kecil juga membolehkan penternak mencari tanduk setiap kali gugur di padang ragut.

“Biasanya pekerja saya menemui tanduk yang gugur dan tentu saja sukar jika rusa diletakkan di ladang ternakan yang luas,” katanya.

Permintaan

Menyentuh mengenai daging rusa, Mohamed Akbar berkata, harga daging rusa pula boleh mencecah sehingga RM50 sekilogram jika dijual sendiri.

Permintaan daging rusa amat tinggi terutamanya di hotel-hotel lima bintang kerana ia dikatakan makanan mewah.

Selain rusa, beliau juga memelihara lima ekor nilgai - haiwan dari Amerika Syarikat (AS) - kepalanya seperti rusa tetapi badan besar seperti lembu dan belakangnya seperti kuda.

“Dagingnya sama seperti rusa dan saya lihat haiwan berkenaan berpotensi untuk dipelihara di sini,” katanya yang mendapat galakan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sesiapa yang berminat memelihara rusa, Mohamed menyediakan pakej penternakan yang sesuai dan berpatutan.

Mereka yang berminat boleh membeli satu petak kandang seluas 30 kaki x 50 kaki pada harga RM2,000 yang boleh menempatkan sehingga 50 ekor rusa pada satu satu masa.

Bagi mengisi petak berkenaan, Mohamed menawarkan rusa betina bunting pertama yang bakal beranak dengan harga berpatutan seekor.

“Mereka boleh berkongsi satu petak dengan rakan dan membeli beberapa ekor rusa untuk diletakkan di dalamnya.

“Kami hanya akan mengenakan kos penyelenggaraan yang minimum bagi satu petak serta kos makanan rusa,” katanya.

Apabila rusa tadi beranak, pemilik boleh memilih sama ada untuk menjual anak tadi kepada Mohamed atau terus memeliharanya di sana.

“Setiap minggu pemilik boleh membawa makanan sendiri untuk diberikan kepada rusa mereka malah mereka juga boleh membawa balik beberapa hari,” katanya.

Mohamed berkata, ini merupakan satu cara untuk mencetuskan minat mereka yang berada di bandar ke arah penternakan.

Penduduk bandar yang tidak mempunyai masa dan kawasan masih boleh melibatkan diri dalam penternakan dengan cara ini.

“Saya juga boleh memantau ternakan yang dibeli dapat penjagaan yang betul dan pada masa yang sama pemilik boleh mempelajari cara penternakan yang betul,” katanya.

Dengan cara ini kata Mohamed, ternakan rusa boleh dimajukan dengan lebih sistematik. Beliau juga akan memulakan kursus menternak rusa secara komersial kepada mereka yang berminat dalam masa terdekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mohamed di 017-3458849 atau layari laman web www.hitechdeerfarm.com

POTENSI SERAI DIKOMERSILKAN.....

BACHOK - Serai, tanaman yang kebiasaannya ditanam di pinggir rumah dan sering digunakan sebagai bahan perencah bagi menambahkan aroma dan keenakan masakan.

Namun, tidak semua yang mengetahui serai juga berpotensi dikomersialkan secara besar-besaran dan boleh meraih pendapatan lumayan daripada hasil hilirannya.

Tumbuhan yang dikatakan paling mudah penjagaannya, paling murah kos penanamannya serta paling kurang musuh perosak ini mula mendapat pasaran meluas dan kepelbagaian kegunaan industri di dalam dan luar negara.

Dengan nilai semakin tinggi dan permintaan kian melonjak, ia terus berkembang dengan kaedah penanaman secara perladangan termasuk di Kelantan.

Ia lebih terarah kepada pasaran eksport terutamanya bagi bekalan industri aroma terapi kerana ekstraknya dianggap setaraf dengan gaharu.

Bio Daun Plantation Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera tempatan menyedari potensi besar ini dengan mengorak langkah ke arah pengeluaran secara komersial.

Malah, dalam waktu yang singkat, ia mula menyasarkan untuk menerajui perusahaan itu di Pantai Timur.

Syarikat itu memanfaatkan peluang melalui penyelidikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk belajar menguasai teknik penanaman, pemerosesan dan penerokaan pasaran di luar negara.

Kalangan usahawan bumiputera difahamkan begitu kurang memberi perhatian terhadap hasil penyelidikan MARDI dalam sektor pertanian selama ini.

Pengarah Urusannya, Ahmad Zuhawi Awang, 35, berkata, Jabatan Pertanian dan MARDI telah membuka banyak jalan bagi pihaknya untuk meneroka bidang ini pada tahun lalu di samping kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan.

''Dengan perkembangan awal yang positif, ia semakin menyakinkan pihak syarikat untuk menjadi peneraju dalam sektor perladangan serai kelak dengan turut bersama menyumbangkan peluang ekonomi kepada masyarakat petani.

''Di samping itu, kami sudah merancang menggerakkan industri hiliran berasaskan bahan mentah itu yang boleh turut digunakan untuk menghasilkan biodesel," ujarnya.

Syarikat yang digerakkan oleh dua usahawan muda ini tanpa ragu-ragu menceburi bidang itu dengan memulakan penanaman serai paha ayam atau serai hijau pada penghujung tahun lalu di tapak seluas lapan hektar yang disewa di Kuala Lipis.

''Berbeza dengan serai makan atau sering dipanggil serai galah yang banyak dieksport ke Thailand, kami tumpukan kepada serai paha ayam ini yang lebih bersaiz besar batangnya dan berbau seperti limau.

'Kita masukkan hormon dari Pakistan dalam tanaman untuk mendapatkan lebih banyak ekstrak dan aroma yang lebih tinggi mutunya," ujarnya.

Ahmad Zuhawi memberitahu, pihaknya memulakan operasi dengan modal sebanyak RM10,000 dan kini secara keseluruhan mengusahakan 121 hektar tanah di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

''Di Kelantan, kami menyewa tanah daripada penanam tembakau yang tidak lagi mengusahakan tanaman itu termasuk 40 hektar di Beris Lalang, Bachok," ujarnya.

Katanya bagi setiap hektar, hasil yang diperoleh dianggarkan RM35,000 hingga RM42,500 setahun melalui tuaian dua kali setahun di mana hasil tuaian diproses dalam bentuk minyak dan serbuk melalui sebuah kilang di Negeri Sembilan.

''Serai keluaran kami juga sudah mula dipasarkan ke Eropah, India dan China bagi industri wangian dan kosmetik, manakala ke Rusia pula bagi produk anti kanser,'' katanya.

Bagi menggerakkan perusahaan ini, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman, pihaknya memperkenalkan konsep usahasama melibatkan hampir 100 orang penduduk.

''Mereka hanya perlu mengeluarkan modal RM5,000 bagi satu hektar tanaman yang kami usahakan sepenuhnya dan keuntungan akan dibahagikan sama rata sepanjang tiga kali jualan hasil tuaian," ujarnya.

Katanya lagi, buat permulaan, sebanyak lima tan serai dalam bentuk minyak dan serbuk di eksport dan syarikatnya memerlukan tuaian tanaman 100 hektar serentak setiap bulan untuk menampung permintaan pasaran luar negara yang dianggarkan 200 tan sebulan.

''Ekoran itu, syarikat kami perlu mengusahakan tanaman lebih luas agar bekalan terus berkekalan, justeru, kita telah memohon 2,000 hektar tanah daripada kerajaan negeri Kelantan dan Pahang,'' katanya.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk mendirikan kilang memproses serai di Beris Lalang untuk mengurangkan kos penghantaran di samping menampung bekalan yang dijangka melonjak.

(di petik dari Portal Usahawan TAni)

Potensi Industri Belangkas




Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit.

Belangkas adalah dari famili Limulidae. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda.

Haiwan ini merupakan artropod laut yang bentuk badannya mirip kepada 'ketopong besi' tentera dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam. Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.

Peribahasa dalam masyarakat Melayu iaitu 'macam belangkas' bermaksud lelaki dan perempuan yang bergerak bersama-sama ke mana-mana sahaja. Kita akan temui belangkas di laut cetek dalam keadaan berdua-dua iaitu seekor jantan dan seekor betina.

POTENSI DARAH BELANGKAS

Darah berwarna biru dari belangkas berharga RM17,500 (USD5,000) seliter di Amerika Syarikat. Untuk mendapat satu liter darah biru, nelayan perlu menangkap 115 ekor belangkas bersaiz kecil di Semenanjung Malaysia. Tapi hanya 45 ekor jika belangkas di perairan Sabah kerana saiz lebih besar. Darah biru belangkas disedut keluar tanpa perlu membunuh belangkas tersebut.

Bahan dalam badan belangkas boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin. Kit anti-toksin menggunakan belangkas telah berkembang di Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan Asia Barat sejak 1988.

Daging dan telur belangkas boleh dimakan oleh orang Islam. Masyarakat Melayu di Kota Tinggi, Johor menyediakan maasakan asam pedas dan sambal tumis belangkas. Ianya juga boleh dimakan dengan hanya memanggang / membakar sahaja. Namun begitu untuk ianya bukan sesuatu yang mudah kerana belangkas terdapat sejenis toksin yang boleh memberikan ketidakselesaan kepada deria (pening) atau biasanya dikenali sebagai MABUK. Hanya bahagian tertentu sahaja boleh dimakan dan hanya seseorang yang benar-benar tahu sahaja tahu cara menyediakan makanan laut dari belangkas ini.

Sarjana Sains (Akuakultur), Institut Akuakultur Tropika (IAT) Universiti Malaysia Terengganu telah lama menyelidik nilai perubatan belangkas ini. Universiti Malaysia Terengganu sedang memohon geran sebanyak RM3 juta untuk tujuan penyelidikan dan merancang untuk membina sebuah makmal bernilai RM10 juta untuk menghasilkan kit anti-toksin untuk dipasarkan.

500 nelayan di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan dibantu bagi menternak belangkas. Nelayan terbabit dijangka mendapat pendapatan RM 1200 sebulan apabila projek ternakan ini berjaya.

(Ihsan dari http://jutawanbelangkas.blogspot.com)

RUMPUT TERNAKAN BAWA PULANGAN LUMAYAN...



KUALA KANGSAR 2 Julai - Keberanian seorang bekas ketua kampung, Mustafa Ahmad, 41, memajukan tanah terbiar seluas 4.5 hektar dengan tanaman rumput jenis Napier Taiwan kini mula berbaloi dan membuahkan hasil lumayan.
Walaupun tanah yang terletak di 'pulau jadian' di Sungai Perak di Kampung Senawar itu mengandungi 80 peratus pasir, tetapi ia tidak menghalang hasrat menebal usahawan ini untuk menjadikannya sebagai sebuah ladang yang subur.
Berbekalkan keyakinan tinggi terutama sekali selepas melupakan dunia kontraktor kelas F, beliau mengikuti pelbagai kursus pertanian dan haiwan termasuk tanaman rumput ini.
Menurut Mustafa, rumput Napier Taiwan yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu menunjukkan hasil memberangsangkan kerana tumbuhan itu cepat membesar dan boleh dituai dalam masa 30 hingga 40 hari sahaja.
Kata beliau, tanaman kontan berkenaan telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Kangsar bagi tujuan penghasilan makanan binatang ternakan.
''Dengan menggunakan teknologi Thailand serta baja berprotein tinggi, saya berjaya menghasilkan rumput Napier yang mempunyai daun selebar 2.5 sentimeter walaupun saiz biasa cuma 1.5 sentimeter.
''Melihat hasil tanaman yang begitu subur ini saya rasa cukup puas kerana pengorbanan menumpukan usaha ini sudah mula membawa pulangan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Mustafa memberitahu, tanaman berkenaan kini sudah mula dijual di pasaran yang semakin meluas dengan batangnya dijual pada harga RM1.60 sekilogram dan daun hijaunya berharga 10 sen sekilogram.
Menurutnya, dengan harga tersebut beliau kini boleh tersenyum lebar apabila sudah mampu memperoleh pendapatan sekitar RM12,000 sebulan.
Kata beliau, rumput Napier yang ditanamnya itu mempunyai protein antara 13 hingga 14 peratus berbanding dengan rumput tempatan yang cuma mengandungi antara 9 hingga 10 peratus protein.
Jelas beliau, ia menjadikannya sebagai tanaman yang cukup sesuai untuk makanan binatang ternakan seperti kerbau, lembu, kambing, rusa, ayam belanda dan burung unta.
Katanya, benih dan daun Napier yang ditanamnya bukan sahaja mendapat pasaran di sekitar negeri Perak malahan juga mendapat tempahan dari Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Kelantan.
''Pada peringkat awal memang agak sukar bagi saya mengusahakan tanaman ini kerana keadaan tanah berpasir dan penuh dengan tumbuhan liar.
''Saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan agak besar iaitu sekitar RM20,000 untuk modal keseluruhan termasuk membersihkan tanah ini tetapi berbaloi kerana sekarang ia sudah jadi ladang rumput yang begitu menghijau," katanya.
Mustafa berkata, oleh kerana projek tanamannya itu telah mula menunjukkan kejayaan maka beliau sedang berusaha memperkembangkan usaha penanaman rumput itu di satu lagi kawasan seluas 4.5 hektar di Kampong Jerlun tidak jauh dari projek pertamanya.
Katanya, ia bagi membolehkan beliau mencapai hasrat sebenarnya iaitu untuk menghasilkan palet makanan ternakan daripada rumput Napier.
''Saya guna bahan campuran terdiri daripada Napier Taiwan, sagu rumbia, hampas kacang soya, gula merah, garam galian, 20 jenis rumput tempatan, starbio, protein ikan dan beberapa campuran lain.
''Daripada kajian yang saya lakukan palet ini mampu mencegah penyakit kerana mempunyai daya tahan berprotein asli," ujarnya yang mendapat bantuan kewangan sebanyak RM131,000 daripada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana bagi membina kilang tersebut di Talang.
Katanya, dengan menggunakan mesin yang diimport dari China, kilangnya itu nanti mampu menghasilkan palet bermutu tinggi dengan harga 35 sen sekilogram berbanding dengan palet lain berharga 55 sen.
Jelasnya, palet tersebut lebih istimewa kerana boleh juga digunakan untuk makanan ternakan ikan dan sesiapa yang berminat bagi mendapatkan bekalan palet itu rumput Napier boleh menghubunginya di talian 012-5049000.
(Ihsan dari Portal Usahawan Tani)
Related Posts with Thumbnails