BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Sunday, June 21, 2009

Teknologi mesin bantu usahawan IKS


Hasmin Hakim Hasbullah menunjukkan mesin kuih karas rekaannya yang telah dikomersialkan.


Pertumbuhan industri kecil dan kecil dan sederhana (IKS) terutama pemprosesan makanan amat bergantung kepada automasi atau mesin bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Bilangan IKS dijangka meningkat menjelang 2010 selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan 10,000 usahawan baru.

Industri pemprosesan makanan merupakan salah satu industri utama yang diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Industri pemprosesan makanan merupakan penyumbang ke lapan terbesar eksport negara yang mewakili 2.6 peratus daripada jumlah eksport negara bagi sektor pembuatan.

Banyak agensi kerajaan misalnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terlibat secara aktif dalam menghasilkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman, khususnya bagi produk tradisional yang memerlukan teknologi pembuatan yang unik dan proses mekanisasi yang rumit di mana kerja penyelidikan dan pembangunan perlu dijalankan secara bersepadu.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Samsudin Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional.

"Antaranya adalah mesin menghasilkan lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan.

"Kebanyakan mesin yang dihasilkan oleh MARDI telah dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan usahawan IKS," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Misalnya mesin menghasilkan lemang, kuih karas, ros, keropok lekor dan sate telah digunakan oleh usahawan IKS seluruh negara.

Terkini pihak MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak citrus dan mengasing biji benih cili.

Mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu hasil rekaan pegawai penyelidik Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Hasmin Hakim Hasbullah berupaya menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan.

"Mesin yang pada mulanya direka untuk kuih karas didapati sesuai bagi menghasilkan maruku, roti jala dan putu mayam.

"Ini secara tidak langsung boleh memberikan pilihan kepada usahawan kecil menghasilkan kuih tradisional mengikut permintaan tanpa menggunakan mesin yang banyak," katanya.

Mesin ini telah mula digunakan oleh sebuah IKS bagi menghasilkan kuih karas.

Pegawai penyelidik dari pusat yang sama dan mencipta mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasingkan biji benih cili, Masniza Sairi berkata, mesin berkenaan pada mulanya direka untuk menghasilkan jus dokong.

"Bagaimanapun dokong adalah buah-buahan bermusim jadi saya memikirkan untuk mempelbagaikan kegunaannya bagi mengekstrak jus limau dan mengasingkan biji benih cili," katanya.

Menurut Masniza, mesin berkenaan berupaya menghasilkan jus sitrus tanpa memecahkan biji yang menyebabkan jus berasa pahit.

Bagi mengasingkan biji benih cili, getah penggelek akan digantikan mengikut kesesuaian.

"Mesin ini dapat mengurangkan kos, menjimatkan masa dan tidak rumit jika dibandingkan proses secara manual.

"Jika sebelum ini ramai pekerja yang diperlukan, bau yang tidak menyenangkan, tugas yang rumit untuk proses mengasingkan biji benih cili," katanya.

Bagi memajukan dan mengenengahkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman kepada golongan sasar seperti IKS makanan, pengeluar dan pengedar mesin, pengeksport dan individu yang ingin menceburkan diri dalam industri makanan, MARDI dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan profesional akan menganjurkan persidangan mekanisasi pertanian dan makanan peringkat kebangsaan.

Persidangan berkenaan akan diadakan pada 22 hingga 25 Jun di Hotel Renaissance, Melaka.

Sepanjang persidangan pelbagai teknologi dan mesin bagi pemprosesan makanan dan pertanian akan dibincangkan menerusi pembentangan kertas kerja dan pameran bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk meninjau lebih dekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI di talian 03-8941 8070, faksimile 03-8941-3512 atau: ncafm@mardi.gov.my.

UPM perkenal mesin pasteur cekap dan murah


NURUL Faizah Jamaludin menunjukkan alat pempasteur kompak mudah alih.


PEMPASTEURAN merupakan salah satu proses penting dalam pembangunan industri makanan atau minuman bagi menjamin produk yang dihasilkan benar-benar bersih dan selamat.

Aktiviti itu sebenarnya telah mula diperkenalkan di Perancis sejak tahun 1917 bagi tujuan mempasteur produk makanan berasid rendah.

Bagaimanapun di Malaysia, usaha mengkomersialkan teknologi tersebut masih belum dilaksanakan secara meluas.

Namun sejak kebelakangan ini, penyertaan menggalakkan masyarakat dalam industri makanan telah menarik minat ramai pengusaha untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan.

Ini kerana berbanding pemanas konvensional seperti dandang atau stim, teknik pempasteuran adalah lebih cekap. Menerusinya, hampir kesemua tenaga dapat diserap ke dalam makanan secara seragam untuk mempercepatkan peningkatan suhu dan sekali gus menjimatkan kos.

Cara itu juga dapat mengurangkan aktiviti mikro organisma yang boleh merosakkan makanan agar ia dapat disimpan lebih lama dalam suhu yang rendah.

Melihat kepada kepelbagaian manfaat teknologi pempasteuran berkenaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan alat pempasteuran kompak mudah alih.

Dikenali sebagai Pempasteuran Haba Ohmik, mesin tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti sel pemanas ohmik, sistem pengurusan bendalir dan juga sistem kawalan pemanasan.

Menurut penyelidiknya, Prof. Ir. Dr. Norman Mariun, mesin itu sesuai digunakan untuk proses mempasteur produk makanan dalam bentuk cecair seperti jus minuman, sos, kicap, susu dan sebagainya.

menjimatkan

''Secara praktikalnya, mesin yang menggunakan tenaga elektrik termaju ini mempunyai dua tiub pengepam masuk dan keluar bagi tujuan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

''Bagi sel pemanasan pula, ia berfungsi untuk mengawal capaian suhu sama ada cepat atau lambat bergantung kepada produk yang ingin dipasteur,'' katanya selepas majlis pembentangan hasil penyelidikannya di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang baru-baru ini.

Beliau yang membangunkan teknologi tersebut bersama tiga orang lagi penyelidik memberitahu, proses rekaan produk itu telah mula dijalankan sejak tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 2004.

Antara kelebihan mesin tersebut adalah penggunaannya mengekalkan kualiti makanan, bersih, menjimatkan tenaga sehingga 50 peratus, tiada kebocoran tenaga dan selamat.

''Kapasiti penggunaan dan rekaan mesin ini boleh diselaraskan mengikut keperluan serta permintaan sesebuah industri,'' jelasnya yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Melihat kepada potensi mesin tersebut, ia sesuai digunakan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

Untuk menjalankan operasinya, pengguna hanya perlu menentukan kelajuan pam serta menetapkan suhu di bahagian sel pemanasan ohmik mengikut bahan yang hendak dipasteur.

Mesin tersebut kemudian akan menghasilkan haba dari rentasan elektrik dan seterusnya menyerap ke dalam makanan untuk menjadikannya panas dengan pantas dan sekata.

Kebiasaannya, makanan yang telah dipasteur perlu disejukkan dengan segera ke dalam alat pendingin selepas pendedahan kepada haba.

Menarik mengenai mesin itu, ia hanya akan menjana haba mengikut keperluan pempasteuran dan kelebihan itu pastinya akan dapat mengurangkan pembaziran tenaga.

Di samping itu, pengguna juga tidak perlu menunggu lama untuk memastikan mesin tersebut panas kerana suhunya boleh dikawal secara terus menerusi paparan skrin yang disediakan.

Dari segi kos analisis pula, penggunaan alat pempasteuran ohmik ini hanya melibatkan nilai 1.5 sen seliter berbanding sistem lain seperti suntikan stim (lima sen seliter), piring pemanas boleh laras (tiga sen seliter) dan suntikan stim dengan pemulihan haba (2.4 sen seliter).

Bukan itu sahaja, kekuatan peralatan yang digunakan juga mampu memberi ketahanan kepada mesin tersebut untuk berfungsi dalam jangka masa yang panjang.

Pihak UPM kini sedang giat menjalankan kerjasama dengan beberapa pihak konsultan dan syarikat teknologi tempatan bagi meluaskan pasaran produk berkenaan.

Produk teknologi yang sedang dalam proses mendapatkan hak paten itu sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah kecemerlangan seperti pingat emas di pertandingan Idea Penemuan Produk Baru (IENA) 2008 di Jerman dan juga Anugerah Produk Inovatif Malaysia 2008.

Untuk perancangan masa hadapan, UPM bercadang mempertingkatkan keupayaan mesin itu menerusi tawaran fungsi yang lebih baik seperti menggunakan tenaga elektrik berfrekuensi tinggi.

Sumber:Utusan Online

Tuesday, June 9, 2009

Pembentangan Projek Perniagaan Kursus Pembangunan IKS siri 1/09

Lawatan Kursus Pembangunan IKS Siri 2/09 di Kilang Frozen Zaimah Food Industries di Kalumpang, Selangor

Antara Produk Keluaran Zaimah Food Industries
Mendengar taklimat ringkas dari Zaimah Food Industries

Mendengar taklimat berkaitan sejarah penubuhan zaimah Food Industries, Cabaran serta pahit maung dalam pengwujudan Zaimah Food selama lebih dari 10 tahun dari Pengarah Urusan En. Idris



Lawatan Kursus Pembangunan IKS Siri 2/09 di Ladang Ternakan Rusa Hitech Deer Farm

Bergambar bersama Tauke Ladang En. Faathi
Rusa diternak dalam Bangunan

Mendengar penerangan tentang ternakan rusa oleh En. Faathi


Ternakan rusa yang dilepaskan di lot-lot yang telah disediakan.



Sebahagian ternakan rusa di Ladang Hitech Deer Farm





Wednesday, June 3, 2009

10 Kesilapan Utama Dalam Perniagaan Kecil Kesilapan-kesilapan berikut merupakan kesilapan umum yang dilakukan oleh kebanyakan usahawan dan pemilik pe

Kesilapan-kesilapan berikut merupakan kesilapan umum yang dilakukan oleh kebanyakan usahawan dan pemilik perniagaan kecil.

Berhati-hatilah dengan kesilapan yang amat merbahaya ini……..

1. Terlalu yakin dengan sesuatu idea dan taksub dengannya. Jangan terlalu yakin dengan satu idea sahaja. Ingat, idea adalah matawang kepada usahawan.Pelbagaikan idea dan lihat yang mana berupaya memberi ganjaran dan kejayaan kepada anda.

2. Tiada Pelan Pemasaran Pelan Pemasaran boleh memberikan perhatian yang anda perlukan kepada pihak sasaran. Ia menjadi daya tarik pelanggan terhadap anda! Terdapat lebih dari 25 cara untuk memasarkan perniagaan anda dengan kos yang rendah ataupun tanpa melibatkan sebarang kos. Perlaksanaan pelan pemasaran secara berkesan, cekap, konsisten dan penuh bergaya dapat menjimatkan kos panggilan.

3. Tidak mengenali pelanggan anda Perubahan pada citarasa pelanggan dan juga produk serta perkhidmatan persaing akan mempengaruhi perniagaan anda, kecuali jika anda kenal pelanggan secara dekat, tahu kehendak mereka pada masa kini dan masa hadapan, tahu corak pembelian mereka dan tahu bagaimana untuk membantu mereka walaupun anda tidak mempunyai produk atapun perkhidmatan tersebut.

4. Tidak peka dengan kedudukan aliran tunai syarikat Walaupun anda mempunyai produk yang paling terbaik, pelanggan mungkin tidak akan membelinya dalam tempoh waktu yang anda fikirkan. Oleh itu kedudukan aliran tunai yang mantap penting untuk menampung diri dan syarikat anda dalam tempoh tersebut.

5. Tidak peduli tentang kakitangan Salah satu cabaran yang paling sukar bagi seorang usahawan atau pemilik perniagaan ialah untuk memberi motivasi, bimbingan dan mengurus pekerja. Tanpa kesabaran, kesungguhan dan kemahiran, masalah tersebut akan menjadi lebih teruk. Moral dan produktiviti pekerja serta keuntungan syarikat boleh musnah dengan segera!

6. Keliru tentang kemungkinan dengan realiti Usahawan yang berjaya hidup di dalam dunia yang penuh dengan kemungkinan tetapi mereka berbelanja dalam dunia realiti.

7. Tiada pelan penjualan. Tanpa pelan penjualan, maka tidak ada cara untuk mengukur perkembangan kewangan dan kemajuan perniagaan anda. Anda memerlukan plan yang realistik untuk melihat dari mana, bagaimana, bila dan siapa yang membawa masuk jualan.

8. Penyendiri Anda mungkin tahu kesemunya tetapi anda tidak boleh melakukanya seorang diri dan berkembang pada masa yang sama. Anda perlukan kakitangan untuk mengagihkan tanggungjawab kepada mereka. 9. Tiada ‘Mastermind’ Anda perlukan satu lembaga penasihat ataupun seorang mentor!

Bagi mereka yang memopunyai pernigaan yang kecil , ini mungkin ini tidak masuk akal. Lembaga penasihat ini mungkin terdiri dari anggota keluarga atau sahabat yang anda percayai.

Jadikan mereka Ahli Lembaga Pengarah, kaji pelan dan keputusan perniagaan bersama mereka.

Adalah sangat kritikal untuk mempunyai seseorang yang boleh memberikan idea dan pandangan yang objektif. 10. Berputus Asa Kebanyakkan usahawan yang berjaya pernah mengalami kegagalan.

Oleh itu, sekiranya anda gagal, biarkan kegagalan itu. Bangun dan belajar dari kesilapan dan kegagalan lalu. Jangan berputus asa dan menderita.

7 Jangan dalam bidang perniagaan

Pertama sekali jangan memilih bidang perniagaan tertentu hanya kerana melihat orang lain berjaya mengusahakannya, tanpa mengetahui selok-belok perniagaan tersebut. Pemilihan secara membuta tuli amat merbahaya kerana tidak dibuat berasaskan penilaian yang wajar. Janganlah terikut-ikut dengan "sindrom goreng pisang," di mana bila ada orang berniaga goreng pisang, semua orang nak berniaga goreng pisang.

Nasihat saya yang kedua ialah jangan mencampur-aduk urusan wang syarikat dengan urusan wang sendiri. Ramai usahawan Bumiputera gagal mengawal disiplin diri dalam aspek ini, dimana mereka menggunakan wang perniagaan bagi tujuan sendiri. Ini menyebabkan perniagaan menghadapai masalah aliran tunai yang seterusnya menyebabkan perniagaan gagal. Usahawan perlu faham konsep 'entiti berasingan' antara dirinya dengan perniagaannya dan menghormati perniagaannya sebagai satu entiti lain.

Perkara ketiga ialah jangan mengamalkan penipuan dalam perniagaan. Ini adalah tuntutan agama kita, dimana peniaga dilarang menipu dalam timbangan, sukatan dan maklumat mengenai produk. Ada peniaga yang sanggup menipu bukan sahaja pelanggan, malah juga kerajaan dari segi pembayaran cukai dan sebagainya. Elakkan menipu dalam semua hal kerana lambat laun akan diketahui orang. Penipuan akan menghilangkan 'barakah' dalam urusan perniagaan kita.

Seterusnya usahawan yang ingin berjaya jangan tamak. Ramai usahawan menjadi tamak dan cuba membuat terlalu banyak perkara dalam masa yang sama. Ini menyebabkan mereka hilang fokus. Orang tua-tua sudah berpesan, orang tamak selalu rugi. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ingat juga kata orang putih, "Rome was not built in a day".

Perkara kelima pula ialah jangan pinjam wang jika tidak perlu. Apabila usahawan meminjam wang, tujuannya haruslah untuk membantu menyelesaikan masalah perniagaan, bukannya untuk menjadi masalah kepada dirinya. Oleh itu pinjam hanya apabila perlu dan yakin ia akan membantu perniagaan dan boleh dibayar balik. Tujuan pinjaman hendaklah dilaksanakan. Jangan jadi seperti sesetengah usahawan yang pinjam wang untuk perniagaan tetapi guna wang itu untuk beli kereta mewah dan sebagainya.

Nasihat saya yang keenam ialah jangan mudah percaya kepada semua maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi jika sumber maklumat itu kabur. Dalam perniagaan, maklumat yang betul sangat penting supaya keputusan yang tepat dapat dibuat. Oleh itu pastikan setiap maklumat disahkan secara teratur. Jika usahawan tidak mengesahkan maklumat yang diterima, dia terdedah kepada risiko membuat keputusan yang salah.

Nasihat ketujuh dan terakhir yang ingin saya cadangkan ialah jangan mempunyai perasaan dengki kepada usahawan lain. Ini satu kelemahan usahawan Bumiputera yang agak ketara. Sebaiknya, jadikan usahawan yang lebih berjaya sebagai penanda aras dan cabaran persaingan. Dalam perniagaan, jaringan amat penting untuk berjaya. Oleh itu kita seharusnya bekerjasama membantu satu sama lain dalam satu jaringan yang melahirkan sinergi, bukan menyimpan rasa dengki yang berhasrat memusnahkan. Kata orang puteh, kita perlu "live and let live".

Sumber: Treasury

Monday, June 1, 2009

Related Posts with Thumbnails