Monday, January 18, 2010

Dana: Potensi eksport diutamakan

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Peserta industri yang berpotensi mengeksport kandungan multimedia berteknologi tinggi, diutamakan dalam memohon pembiayaan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan Kredit & Sokongan Perniagaan) Bank Simpanan Nasional (BSN), Winston Emmanuel berkata, dana itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2010 yang bertujuan merangsang aktiviti komersial dalam industri kreatif.

"BSN diberi mandat oleh kerajaan untuk mengurus dana itu yang dikhususkan untuk peserta industri kreatif.

"Ia merupakan kali pertama BSN diberikan peranan terbabit dan kami menghargainya," katanya kepada Bernama di sini. BSN melancarkan dana itu pada 31 Disember lepas..

Beliau berkata, BSN sudah menerima permohonan rasmi dan sedang memprosesnya.

"Dalam menilai permohonan itu, bank akan melibatkan kedua-dua peserta industri untuk memberi maklumat balas serta agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan," katanya.

"Dalam menerima permohonan daripada industri kreatif, tumpuan utama adalah terhadap mereka yang mahu mengeksport kandungan pengeluaran masing-masing," katanya.

"Kami ingin menegaskan bahawa hasrat kami adalah mahu melihat kandungan kreatif Malaysia dieksport dan ditayangkan di pawagam, televisyen dan pasaran media asing," katanya.

Beliau juga berkata, dana yang menawarkan kemudahan kredit daripada RM50,000 hingga RM5 juta, terbuka kepada syarikat milik perseorangan, serta usaha sama dan syarikat persendirian.

Syarikat mestilah sekurang-kurangnya memiliki 51 peratus ekuiti Malaysia, dalam pembikinan filem, produksi muzikal, animasi dan aktiviti berkaitan.

Bagi memastikan pembiayaan disaluran dengan baik, Winston berkata, BSN menjalin usaha sama rapat dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, MDeC, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan mereka yang dianggap pakar dalam bidang berkenaan.

Winston juga berkata, BSN membahagikan industri kreatif kepada empat kumpulan.

Kumpulan pertama melibatkan kumpulan audio visual dan media baharu, yang membabitkan mereka dalam industri filem, animasi, interaktif dan perkhidmatan mudah alih. Ia turut melibatkan produksi televisyen dan muzik.

Mereka yang terlibat dalam perniagaan animasi, sebagai kandungan digital, mempunyai lebih banyak minat di seluruh dunia termasuk di kalangan peserta industri tempatan. Mereka ini akan diberikan keutamaan, jelas beliau.

"Kumpulan kedua adalah yang digelar sebagai "rekaan" dan antaranya adalah produk inovasi, fesyen dan aksesori."

"Ketiga pula membabitkan kraf dan kebudayaan. Kumpulan ini melibatkan persembahan kebudayaan, pertunjukan, galeri seni dan kraftangan."

"Kumpulan terakhir pula meliputi bahagian yang bercetak untuk kesusasteraan, penulisan dan industri produksi," katanya. - Bernama

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI