Sunday, November 7, 2010

Pasaran Global Nanti Usahawan Bumiputera

Rebut pasaran China, India di samping tidak abaikan peluang di negara ASEAN

DI MANA syarikat Melayu, Bumiputera dan syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dalam era kebangkitan pasaran Asia serta era baru ekonomi global?

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapha Mohamed, dalam menjawab persoalan itu berkata pasaran kini semakin liberal dan landskap baru itu menyebabkan syarikat Bumiputera tidak boleh lagi bergantung pada permintaan dalam negeri.Sebaliknya, pasaran lebih besar di Asia serta global menyediakan peluang baru dan peluang eksport lebih besar bagi usahawan serta syarikat Bumiputera yang berkebolehan.

Justeru, mereka digalakkan berintegrasi dengan GLC mengambil kesempatan daripada trend penggunaan perkhidmatan syarikat penyumberan luar (outsourcing) di kalangan syarikat besar khususnya dalam aktiviti nilai ditambah tinggi untuk meningkatkan kelebihan persaingan mereka.

“Usahawan Melayu dan syarikat Bumiputera perlu bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai melalui rasionalisasi dan pengkhususan dengan memberi tumpuan terhadap pembinaan dan peningkatan kecekapan utama mereka, untuk bersaing pada peringkat serantau dan global,” katanya.

Mustapha berkata, kerajaan amat yakin syarikat Bumiputera sudah memainkan peranan dalam merebut peluang di mana saja.
Usahawan Bumiputera sekarang sudah berani mencari peluang pasaran di luar negara untuk memasarkan produk mereka melalui kerjasama persatuan, Dewan Perniagaan Melayu serta agensi kerajaan bertanggungjawab. Ia dilakukan melalui misi perdagangan serta pameran yang diadakan. Malah mereka sudah menjalinkan kerjasama (business to business) masing-masing.

Bagi GLC, memang ada yang sudah mengembangkan perniagaan di luar negara dengan mengadakan rakan kongsi strategik. Antaranya PETRONAS, FELDA, Telekom Malaysia, UEM dan PROTON. Pasaran dalam negara yang terhad menyebabkan GLC mahupun usahawan Bumiputera ketika ini terpaksa mencari ruang pasaran luar negara.

Dalam usaha menolong usahawan Bumiputera menembusi pasaran global, Program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan (Program Groom Big) cuba membantu mereka mengeluarkan produk yang mematuhi kehendak dan piawaian antarabangsa dengan harga lebih kompetitif.

Program Groom Big adalah inisiatif dan kesungguhan kerajaan untuk menggalak, memupuk dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia bertujuan supaya usahawan Bumiputera berwawasan tinggi untuk menjadi entiti besar, berdaya saing, maju dan tahan pada peringkat domestik mahupun global. Program itu adalah bagi tempoh Januari 2006 hingga Oktober lalu, sejumlah 1,336 syarikat Bumiputera sudah dibangunkan membabitkan 1,628 produk.

Oleh itu, dalam menghadapi persaingan pada peringkat global, pihak persatuan industri dan perdagangan Bumiputera perlu memainkan peranan lebih proaktif serta inovatif untuk membantu memasarkan produk dan perkhidmatan di luar negara.

Pasaran China dan India sedang berkembang pesat. Justeru, usahawan Bumiputera seharusnya perlu mendominasi peluang yang ada di kedua-dua negara itu selain tidak mengabaikan peluang lebih dekat yang wujud dalam kalangan negara ASEAN.

Mustapha berkata, MITI melalui Bahagian Pembangunan Keusahawanan juga menyediakan platform kepada usahawan dengan menganjur serta menyertai pameran perdagangan di luar negara melalui penajaan penyertaan usahawan yang sudah bersedia untuk mengeksport.

“Antara aktiviti yang dijalankan di bawah program ini ialah pameran, pemadanan perniagaan, rundingan perniagaan, demonstrasi produk dan lawatan ke industri serta pihak berkuasa perdagangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, satu lagi program bagi memberi peluang usahawan memasarkan produk mereka ke pasaran tempatan dan juga antarabangsa ialah Pusat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan (4PU).

Program dikenali sebagai trading house itu berperanan mengumpul produk usahawan seterusnya memasarkan produk berkenaan. Pusat itu mempunyai elemen pengumpulan, pemasaran dan perkhidmatan tambah nilai. Ia dilaksanakan dengan kerjasama syarikat pengedaran yang mempunyai kepakaran dalam menjalankan aktiviti pemasaran.

“Melalui program ini juga, usahawan Malaysia dapat memasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa dengan kos lebih murah menerusi operator 4PU/Trading House. Dalam hal ini, MITI menyediakan insentif dan bantuan untuk pembangunan 4PU/Trading House seperti tajaan penghantaran sampel produk dan penyertaan dalam pameran perdagangan di luar negara,” katanya.

Antara peranan operator 4PU/Trading House ialah mengumpul dan memasarkan produk serta perkhidmatan usahawan ke luar negara. Ia juga menemukan usahawan Malaysia dengan pembeli berpotensi, pengedar dan pelabur luar negara menerusi sesi pemadanan perniagaan.

“Mereka turut menjalankan risikan pasaran bagi mengenal pasti produk dan trend untuk keperluan pasaran serta mencadang dan melaksanakan aktiviti promosi produk usahawan. Ia juga bertindak sebagai penasihat teknikal terhadap spesifikasi produk, polisi untuk eksport ke sesebuah negara, syarat atau standard yang perlu ada terhadap sesebuah produk yang hendak dipasarkan.

“MITI juga membangunkan portal perdagangan interaktif yang memberikan maklumat komprehensif risikan pasaran luar negara yang boleh dimanfaatkan usahawan Bumiputera,” katanya.

From: http://www.bharian.com.my/usahawanBumiputera/Article

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI