Tuesday, May 31, 2011

Usahawan jahitan pakaian


ZAMZARINA Sarip dan suami, Mohd. Mazlan Abd. Manaf di butik pakaian miliknya, Butik MZ Fashion di Seri Manjung, Perak. - UTUSAN/NORSHARUDDIN SAPIAN


MANJUNG 24 Mei - Daripada sekadar suka-suka menjahit pakaian untuk mengisi masa lapang, kini suri rumah, Zamzarina Sarip, 34, melatih pula orang lain menjadi usahawan jahitan pakaian.

Kira-kira empat tahun lalu, isteri kepada pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd. Mazlan Abd. Manaf itu mula menerima tempahan menjahit pakaian dan langsir tingkap daripada jiran dan rakan terdekat.

Berikutan tempahan yang diterima semakin bertambah, Zamzarina mula terfikir untuk berniaga dan nekad membuka sebuah kedai jahit dengan berkongsi ruang bersama sebuah kedai gunting rambut pada kadar sewa sebanyak RM300 sebulan.

''Dengan bermodalkan kira-kira RM2,500 hasil upah jahitan yang dikumpul, saya akhirnya dapat membeli dua buah mesin jahit. Suami pula sentiasa memberi dorongan kuat hingga saya menceburkan diri sepenuhnya dalam perniagaan jahitan pakaian.

''Alhamdullillah, perniagaan kini semakin maju dan pada 2006 saya sudah buka butik pakaian hingga mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menawarkan beberapa siri kursus kepada saya.

''Setahun selepas itu, barulah saya tubuhkan syarikat MZ Training Centre (MTC) dan menawarkan kursus jahitan yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia kepada orang ramai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Zamzarina berkata, syarikatnya terus mendapat kepercayaan apabila ditawarkan pinjaman sebanyak RM50,000 menerusi Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB) bagi memperbesarkan lagi operasi syarikat.

Katanya, menerusi pengurusan yang berhati-hati, syarikat miliknya itu mampu membeli sebuah kedai bernilai RM100,000 di Seksyen 3, Pusat Perniagaan Seri Manjung.

Menurutnya, apa yang lebih membanggakan, hasil pinjaman berkenaan juga membolehkan syarikatnya itu menaik taraf kelengkapan pusat latihan dengan membeli sebanyak 20 lagi mesin jahit bernilai RM40,000.

''Memang saya tidak sangka syarikat ini sudah melatih seramai 150 orang sejak 2007 yang ditaja oleh KBS selain bakal pesara tentera," kata wanita cekal itu.

Kata Zamzarina, pihak KBS menaja mana-mana belia berumur antara 18 hingga 25 tahun sama ada lelaki atau wanita mengikuti Kursus Pembuatan Pakaian Wanita Tahap 1 dan 2 selama setahun di sini.

''Pelatih akan diberi elaun latihan sebanyak RM210 sebulan dan permohonan bagi kemasukan mulai bulan ini boleh dibuat dengan menghubungi Jabatan Belia dan Sukan daerah atau negeri masing-masing," katanya.

Syarikat turut menawarkan Kursus Pembuatan Pakaian Wanita Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 selama 24 bulan menerusi Program Perantisan Sistem Latihan Dual Nasional.

Selain itu, Kursus Latihan Asas Jahitan, Kursus Khusus Model Pakaian dan Kursus Pelbagai Jahitan turut disediakan kepada orang ramai tanpa mengira peringkat umur.

Mereka juga boleh berhubung terus dengan MZ Training Center Sdn. Bhd., No. 2407 Tingkat Atas Taman Samudera, 32040 Seri Manjung atau menelefon 05-6882650 (pejabat), 017-5433117 (Zamzarina) dan 016-5384758 (Mazlan).

Sumber:utusan malaysia

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI