MDV tawar insentif bantu PKS kembang perniagaan.<br><i>- Gambar hiasan</i> 
MDV tawar insentif bantu PKS kembang perniagaan.
- Gambar hiasan
Inisiatif kerajaan bantu rancak pertumbuhan syarikat PKS

Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi, teknologi hijau dan sektor pertumbuhan tinggi lain berpeluang menikmati insentif di bawah Dasar Lorong Hijau bagi pinjaman yang ditawarkan Malaysian Debt Ventures Bhd (MDV).

Antara insentif itu ialah pinjaman dengan subsidi kadar faedah dua peratus setahun, pengecualian cukai, urusan lebih mudah dalam kontrak pembekalan kerajaan serta syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MDV, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya berkata, Dasar Lorong Hijau yang bertujuan untuk mempercepatkan dan memudahkan urusan perniagaan itu satu inisiatif kerajaan untuk terus merancakkan pertumbuhan PKS di negara ini.


Kemudahan kewangan

Beliau berkata, pelaksanaan insentif di bawah dasar itu akan mengukuhkan lagi sokongan MDV terhadap PKS yang terbabit dalam sektor ICT, bioteknologi, teknologi hijau dan sektor pertumbuhan tinggi lain dengan menyediakan kemudahan kewangan inovatif kepada mereka.

Katanya, dengan subsidi kadar faedah dua peratus setahun, insentif cukai, pengecualian duti setem dan keutamaan dalam mendapatkan kontrak pembekalan kerajaan dan syarikat di bawah MoF Inc, MDV yakin dasar itu akan mewujudkan peluang yang lebih baik kepada PKS inovatif untuk melancarkan perniagaan mereka.

“Kita selalu mendengar kesukaran PKS, terutama yang terbabit dalam sektor teknologi mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
“Dengan Dasar Lorong Hijau ini, MDV sebagai satu daripada pembiaya utama di negara ini yakin dapat membantu lebih banyak PKS mendapatkan kelebihan, dan seterusnya meningkatkan daya saing mereka dalam sektor teknologi,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Tinjau peluang

Ia kini sedang meninjau lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dalam beberapa program baru, bagi menggalakkan pembabitan lebih banyak syarikat yang diperbadankan tempatan dalam tiga sektor yang dimandatkan iaitu ICT, bioteknologi dan teknologi hijau.