Wednesday, May 8, 2013

Anak tauke basuh fabrik

Oleh Hamizah Badiran
Tatkala kebanyakan rakan sekolahnya pergi berkelah di hujung minggu atau melancong ke luar negara pada musim cuti sekolah, Randy Yeap pula menuju ke kilang kepunyaan ayahnya di Pulau Pinang untuk bekerja.
Lebih memeranjatkan, usianya pada ketika itu cuma 12 tahun. Pada usia semuda itu, apa pula pekerjaan yang boleh dilakukannya?
Jejaka yang kini sudah berusia 31 tahun itu sebenarnya harus membasuh fabrik dan seluar denim yang dihasilkan di kilang berkenaan. Tidak cukup dengan itu, dia juga mengambil dan membungkus tempahan daripada pelanggan.

Sekitar umurnya 13 hingga 15 tahun, dia berganjak ke fasa lebih serius apabila mengikut jurujual di syarikat ayahnya menguruskan perihal pemasaran dan mencari pelanggan sehingga ke Sabah dan Sarawak.
FotoSEJAK kecil Randy belajar selok-belok dunia perniagaan.

Mungkin ramai beranggapan, mengapa anak tauke kilang melakukan pekerjaan sebegitu tetapi bagi Randy, semua memori itu ternyata menyeronokkan.

Anak sulung daripada empat beradik ini menegaskan, semua tugasan yang dilakukan itu mengajar erti berdikari dan kesusahan sebelum menjadi senang.

"Tidak timbul soal terpaksa membuat segala kerja itu hanya kerana takutkan ayah, sebaliknya pekerjaan ini benar-benar mengajar saya bagaimana mahu menjadi usahawan yang berjaya.

"Memang ayah saya pemilik syarikat menjual fabrik denim malah pelopor industri tekstil berkenaan sejak 35 tahun lalu. Orang ramai mungkin menyangka saya hanya duduk senang-lenang di rumah tanpa perlu berusaha atau memikirkan apa-apa.

"Semua itu silap. Sebagai anak sulung dalam keluarga, kesedaran itu timbul sendiri dan secara perlahan-lahan perasaan suka serta semangat mendalami bidang ini semakin bertambah.

"Semua syarikat tidak boleh berdiri sendiri tanpa tenaga kerja yang menjadi tiang untuk mengukuhkan struktur binaannya. Setiap pekerja pula mempunyai tugas masing-masing yang kadang-kadang senang dan kadang-kadang pula sukar untuk diselesaikan.

"Justeru, apabila kita merasai sendiri setiap butir tugasan mereka dari awal hingga akhir, baru kita tahu kesenangan dan kepayahan yang dilalui agar semua urusan berjalan lancar.

"Menerusi urusan ini juga, saya boleh kenal ramai kawan baru dan peniaga yang jauh lebih berpengalaman," katanya.

Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif N-2 Jeansmaker Sdn Bhd (N-2 Jeansmaker), pengedar pakaian denim jenama Lois, Randy menganggap ayah dan peniaga lain adalah penyokong kuat di belakangnya.

Tanpa mereka yang mengenalinya sejak kecil, Randy tidak mungkin boleh berada dalam situasi sekarang di mana dia dapat berinteraksi dan menjalankan perniagaan dengan lebih mudah.

Malah, dengan bantuan adik lelakinya, Kenny, mereka berusaha bersama-sama bagi meneruskan warisan ayahnya yang kini sudah pun berkembang sehingga ke pasaran China.

Sibuk dengan urusan perniagaan bukan bermakna dia tidak mempunyai kehidupan peribadi seperti orang lain yang boleh melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Sudah biasa menjadi individu aktif dengan membabitkan diri dalam sukan badminton sejak zaman persekolahan, Randy masih meneruskannya hingga ke hari ini.

"Saya suka bermain badminton bersama ahli keluarga atau rakan. Kebiasaannya, kami bermain pada waktu malam selepas bekerja mahupun hujung minggu.

"Sukan ini mudah sebab kita boleh bermain di dalam gelanggang bertutup selain mengajar pemain bersikap fokus menentukan strategi permainan. Konsepnya sama seperti di dalam bidang perniagaan.

"Selain badminton, saya seorang pengumpul jam tangan berjenama seperti Patek Phillippe dan Luminor Panerai.

"Malah pada tahun lalu, saya menubuhkan kelab pengumpul Luminor Panerai Malaysia yang kini mempunyai kira-kira 100 ahli.

"Reka bentuknya yang cantik dan unsur antik yang dimiliki oleh dua jenama ini amat menarik minat saya. Diakui, ia memang sukar didapati di Malaysia dan ramai juga yang kerap bertanya di dalam forum (Internet) kami untuk mendapatkannya.

"Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menubuhkan kelab ini supaya kami boleh bertukar pandangan dan berkongsi maklumat mengenai jam.

"Maklum saja, sekiranya seseorang itu sudah minat sesuatu benda, mereka akan berusaha mencari dan mendapatkannya dengan apa cara sekalipun," jelasnya.

Tambah Randy, untuk berjaya di dalam bidang perniagaan terutama kepada anak muda, mereka harus mengetahui asas bidang itu sejak di peringkat awal lagi. Jangan malu untuk bertanya agar tidak sesat jalan, ingat supaya sentiasa melayan orang lain dengan baik, jangan mudah putus asa dan tidak lupa untuk belajar daripada setiap kegagalan.
Sumber:Harian Metro

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI