Tuesday, July 29, 2008

Usahawan hanya perlu sijil Insken

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my

BAKAT MASAK: Noh memasak Burger Otai sambil diperhatikan Pengerusi MPUP Selayang, Datuk Ahmad Bahari ketika melawat tapak pameran selepas merasmikan Gerak Usahawan 2008 di Bandar Baru Selayang, semalam.

Semua kursus diselaras supaya tepati kriteria agensi pinjaman

KUALA LUMPUR: Bermula tahun depan, semua usahawan yang memohon pembiayaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hanya memerlukan satu sijil kursus keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata kementerian kini sedang menyelaras semula program Insken bagi memastikan sijil yang dikeluarkan menepati kriteria yang disyaratkan untuk agensi pinjaman seperti Mara dan Bank Rakyat.


Katanya, melalui penyelarasan semula itu semua kursus keusahawanan di bawah kementerian akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Insken mengikut tahap yang ditentukan seperti jenis perniagaan dan jumlah pinjaman yang diperlukan.

Beliau berkata, bermula tahun depan kementerian akan mewajibkan semua permohonan pembiayaan mempunyai sijil kursus asas keusahawanan Inskem dan ia sekali gus menyelesaikan masalah kesukaran memohon pembiayaan kementerian.

"Kita selaraskan kursus keusahawanan ini kerana sekarang selain Insken kita dapati Mara dan Bank Rakyat juga mewajibkan pemohon pinjaman mengikuti kursus yang ditawarkan sehingga usahawan menghadiri terlalu banyak kursus sedangkan pinjaman belum tentu diluluskan.

"Kita mahu usahawan yang memohon pinjaman kita mempunyai asas pengurusan perniagaan yang cekap supaya mereka boleh membayarnya semula. Kita merancang kemungkinan kursus itu mempunyai beberapa tahap sesuai dengan perkembangan perniagaan mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Gerak Usahawan Majlis Pembangunan Usahawan Parlimen Selayang, dekat sini, semalam.

Noh berkata, pihaknya juga memberikan kelonggaran meluluskan permohonan pinjaman kepada usahawan yang disenarai hitam kerana gagal membayar hutang dengan syarat kegagalan itu disebabkan faktor luar dan bukan kesalahan mereka atau salah tadbir perniagaan.

Katanya, peluang kedua juga diberikan kepada usahawan yang ingin meneroka bidang perniagaan baru walaupun belum habis membayar 'hutang lama' dan usahawan siswazah yang disenarai hitam disebabkan pinjaman pelajaran.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI