Tuesday, July 29, 2008

Cari peluang di Afrika - Najib

Daripada Muhd. Nizam Abd. Hamid

LUSAKA 29 Julai - Usahawan Malaysia disaran mencari peluang baru di Zambia dan negara-negara di selatan Afrika yang kini sedang pesat membangun ekonominya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia boleh menjadi antara pemain utama dalam pembangunan ekonomi di negara terlibat dan perlu mencontohi China yang begitu agresif membuat pelaburan di Afrika.

Menurutnya, China membuat pelaburan secara besar-besaran di Afrika kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai bahan mentah yang kemudiannya digunakan bagi membangunkan negara itu.

''Mereka sanggup menawarkan pelbagai bentuk bantuan dan geran kepada Afrika. Kalau benua ini tidak penting, sudah pasti ia tidak akan menjadi tumpuan negara tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis resepsi anjuran Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Zimbabwe, Cheah Choong Kit di Hotel Intercontinental di sini petang semalam.

Timbalan Perdana Menteri yang berada di sini untuk menghadiri Dialog Antarabangsa Selatan Afrika (SAID) 2008 berkata, Malaysia bernasib baik kerana kaya dengan pelbagai sumber asli yang dapat digunakan bagi membangunkan negara.

Najib memberitahu, penganjuran Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) dan disambung dengan SAID yang melibatkan perkongsian pintar antara negara-negara Selatan telah meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia mendekati benua Afrika.

Niat baik Malaysia yang mahu melihat kemakmuran ekonomi di kalangan negara terlibat, katanya, diterima oleh rakyat Afrika dan ia menjadi satu kelebihan kepada usahawan Malaysia untuk membuat pelaburan.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang membuat pelaburan di Afrika supaya melaksanakannya dengan betul dan tidak mengambil kesempatan yang boleh menindas rakyat tempatan.

''Kita berada di sini bukan untuk mengeksploitasi tetapi untuk bekerja dan mencari peluang yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara," ujarnya.

Katanya, beliau percaya usahawan Malaysia mampu mencapai kejayaan kerana sudah ada syarikat Malaysia yang telah bertapak dalam perniagaan barang kemas, hospital swasta dan membangunkan projek perumahan.

(di petik dari Utusan Online)

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI