Tuesday, February 24, 2009

PRODUK IKS PERDA TEMBUSI PASARAN ASIA BARAT

IBONG TEBAL 24 Feb. - Usahawan bumiputera yang mendapat bantuan dan bimbingan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mensasarkan produk yang dihasilkan menembusi pasaran Asia Barat dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Pengerusinya, Datuk Azhar Ibrahim berkata, Perda yakin produk keluaran syarikat bumiputera yang beroperasi di taman industri kecil dan sederhana (IKS) milik Perda mampu menembusi pasaran luar negara.

Azhar berkata, sehingga kini sudah ada beberapa syarikat bimbingan Perda dan beberapa agensi lain yang telah mengeksport produk mereka ke Fiji, Bangladesh dan Indonesia.

Katanya, walaupun usaha untuk memasarkan produk-produk ke ketiga-tiga negara tersebut adalah inisiatif syarikat bumiputera itu sendiri namun ia membuktikan bahawa syarikat bumiputera di sekitar IKS di sini mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi termasuk Perda, usahawan bumiputera kini sudah mampu menghasilkan produk bermutu tinggi untuk bersaing dengan produk keluaran syarikat gergasi yang sudah lama bertapak.

"Kita amat bangga dengan kemajuan yang dicapai dan ditunjukkan oleh pengusaha dan kita akan terus memberi mereka bimbingan dan galakan supaya dapat terus bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa syarikat milik usahawan bumiputera di Taman IKS Perda di Tasek dan Simpang Ampat serta Taman IKS Perda Bukit Minyak, Bukit Mertajam, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Perda, Azmi Lateh serta pegawai Perda.

Setakat ini terdapat lebih dari 200 syarikat usahawan bumiputera yang sedang beroperasi di lima kawasan IKS iaitu Taman IKS Tasek, IKS Simpang Ampat, IKS Bukit Minyak, IKS Kubang Menerong dan Taman Industri Asas Tani Kubang Menerong di Tasek Gelugor.

Azhar berkata, pihaknya mensasarkan untuk menaik taraf sekurang-kurangnya 10 syarikat usahawan bumiputera daripada berskala mikro kepada makro setiap tahun.

Katanya lagi, hasrat itu sejajar dengan apa yang Perda ingin lahirkan iaitu lebih banyak usahawan bumiputera yang mampu berdaya saing di peringkat nasional sekali gus menguatkan ekonomi tempatan.

Beliau menambah, dengan kewujudan lebih banyak usahawan bumiputera, secara tidak langsung ia akan menambahkan jumlah produk halal di pasaran tempatan dan antarabangsa

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI