Ketika awal penglibatan, tanaman cili dilakukan secara bersepah di tepi rumah. Tanpa ilmu mengenai tanaman cili, banyak pokok diserang penyakit. Namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berbudi pada tanah. Kursus anjuran pelbagai pihak mula disertai bagi menambah pengetahuan.
“Minat tanam cili timbul selepas saya melihat penghuni Pusat Serenti Tampin diajar berkebun yang merupakan sebahagian daripada program pemulihan. Sebagai staf di pusat itu, saya tidak melepaskan peluang untuk belajar bersama.
“Ilmu bertani diturunkan kepada mereka daripada pegawai pertanian yang bertugas,” kata Mohd Hafis kepada S2.
Berbekalkan sedikit pengetahuan yang ditimba di pusat serenti tersebut, Mohd Hafis membeli anak pokok dari rumah semai untuk ditanam di keliling rumah ibu mertuanya.
Mempertaruhkan 100 pokok, beliau menjadikan kesemua pokok itu sebagai ‘makmal’ bagi mengkaji pokok, jenis penyakit dan serangga perosak, baja yang sesuai, kaedah meracun dan lain-lain perkara berkaitan.
“Dari situ, saya dapat tahu banyak perkara mengenai penyakit seperti masalah kulat, hama, afid, lalat buah, ulat pengorek buah, kutu trip dan lain-lain. Setiap jenis serangga perosak itu perlu dihapuskan menggunakan racun dalam kuantiti tertentu.
“Bagi memudahkan kerja, saya merujuk pada prosedur operasi standard (SOP) penggunaan racun supaya racun dan baja yang disiram pada pokok tidak terlebih atau terkurang,” tambahnya.
Melihat hasil yang memuaskan hati dan dapat pula banyak permintaan sama ada dari orang kampung mahupun pekedai berdekatan, Mohd Hafis mula berfikir secara serius untuk menghasilkan cili secara komersial.
Memandangkan kawasan belakang rumah milik ibunya di Kampung Tanjong Dahan, Kuala Sungai Baru, Melaka lebih luas dan boleh dijadikan tapak tanaman fertigasi, beliau terus ‘berpindah’ ke sana.
“Kawasan belakang rumah mak lebih luas. Berbekalkan ilmu yang saya kutip melalui kursus anjuran pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian, Forme Niaga dan Mardi, saya tekad mengusahakan tanah dengan bukaan lebar 15.2 meter dan panjang 29 meter.
“Keluasan itu cukup memuatkan 1,000 pokok cili padi daripada varieti Centil,” katanya yang pernah mengikuti kursus fertigasi anjuran Forme Niaga dengan yuran dikenakan RM150. Kursus akan datang yang bakal diikutinya adalah anjuran Mardi pada September ini.
Menurutnya, beliau mengeluarkan modal sebanyak RM7,000 untuk membina sistem fertigasi yang lengkap iaitu mengandungi antaranya tangki air baja, pam air, pengukur masa, penapis, injab dan paip poli. Kos itu tidak termasuk pagar dan kerja-kerja membersihkan tapak. Jika dihitung, kos keseluruhan mencecah RM11,000,” ujarnya yang menggunakan weedmat untuk dihamparkan pada tanah bagi mengelak rumpai tumbuh.
Memilih waktu malam untuk kerja-kerja meracun, katanya waktu itu paling sesuai kerana serangga perosak aktif pada waktu tersebut.
Dalam pada itu, Zamirah memberitahu, apabila suaminya ke kebun untuk kerja-kerja meracun dan memeriksa pokok, beliau akan sentiasa berada di sisinya.
“Kalau saya tengok suami ‘hilang’ di rumah pada waktu malam, saya tahu ke mana dia pergi. Kalau tak ada kerja-kerja di kebun, suami sekadar melepak sambil memerhatikan tanaman. Sebagai isteri, saya akan sentiasa menemaninya, melayannya berbual sambil minum kopi,” tambahnya.
Hasil pertama yang diraih agak lumayan yang mana dianggarkan sebanyak 80 kilogram cili dituai daripada 1,000 pokok.
“Saya upah tiga pekerja sementara sebagai pemetik buah. Ini antara masalah yang dihadapi kerana tidak ramai berminat bekerja memetik buah,” katanya sambil memberitahu harga semasa cili padi varieti Centil adalah antara RM11 hingga RM12 sekilogram yang dipasarkan terus ke Pasar Borong Melaka.
“Jika saya jual terus ke kedai runcit, harga jual adalah RM16 sekilogram,” ujarnya.
Mengulas perancangan masa hadapan, Mohd Hafis berkata, beliau akan meluaskan tapak tanamannya dengan membuka tapak baru di sebelah tapak sedia ada. Keluasan yang hampir sama membolehkannya menanam 2,000 pokok, sekali gus melipatgandakan hasil tuaian.
Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Penolong Pegawai Pertanian Kawasan Kuala Sungai Baru, Mohd Salizam Mohamad Saleh yang banyak memberi tunjuk ajar dan bantuan kepadanya.