Thursday, March 26, 2009

PKS: Pendekatan khusus perlu

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kerajaan perlu mempunyai pendekatan khusus untuk perniagaan kecil bagi memastikan faedah pakej rangsangan baru-baru ini sampai kepada mereka.

Pengerusi Pusat Kaji Selidik Dasar Awam Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, satu pendekatan khusus diperlukan bagi kumpulan ini kerana ia mewakili 60 peratus daripada guna tenaga.

Beliau berkata, perniagaan kecil akan menjadi sektor paling teruk terjejas akibat daripada iklim ekonomi ketika ini dan kumpulan itu juga memerlukan lebih tumpuan kerana mereka tidak berpengalaman dalam menangani situasi ini.

"Kita perlu menyelesai jurang komunikasi antara perniagaan kecil dengan institusi kewangan bagi membantu mereka menangani situasi sekarang," kata Ramon di satu seminar, di sini, hari ini.

"Saya harap dana diperuntukkan itu akan menyediakan kelegaan kepada sektor swasta, terutamanya perusahaan kecil sederhana atau PKS," katanya.

Seminar itu yang bertajuk 'Mengharungi Kegawatan Ekonomi dengan Keyakinan', dianjurkan oleh Asli.

Beliau berkata, kerajaan dan institusi kewangan harus menjalankan kaji selidik bagi menentukan masalah sebenar yang dihadapi oleh perniagaan kecil.

"Kita perlu pergi kepada mereka, dan bukan hanya menunggu mereka meminta bantuan," katanya.

Terdahulu, Ramon berkata, pada masa depan, sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dijangka meningkat sebanyak lima peratus lagi kepada 37 peratus menjelang 2010.

Justeru itu, kerajaan tidak seharusnya mengabaikan peranan penting PKS di negara ini, terutamanya dalam situasi ekonomi sekarang, katanya. - Bernama

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI