Wednesday, March 18, 2009

Tubuh syarikat syarat wajib mohon pinjaman

Usaha kementerian tambah perniagaan, ekuiti Bumiputera

KUALA LUMPUR: Peminjam yang mahu membuat pinjaman menerusi 11 agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan diwajibkan menubuhkan syarikat sekurang-kurangnya persendirian.

Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata dasar baru yang akan dilaksanakan secepat mungkin itu bertujuan menambah syarikat serta pemilikan ekuiti Bumiputera.Beliau berkata, usaha itu juga selaras Kempen Satu Keluarga Satu Syarikat/Perniagaan (1F1C) yang dilaksanakan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Saya akan bincang dasar ini pada mesyuarat Kabinet minggu depan dan ia dijangka dilaksana secepat mungkin.

"Matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera serta menjayakan kempen Satu Keluarga Satu Syarikat," katanya selepas melancarkan kempen itu di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Dianggarkan 837,000 syarikat sendirian berhad dan berhad berdaftar dengan SSM dan daripada jumlah itu hanya 21 peratus syarikat Bumiputera. Bagi syarikat persendirian pula, 3.7 juta syarikat yang berdaftar dengan SSM dan 30 peratus syarikat Bumiputera.

Noh berkata, pihaknya juga mewajibkan kursus dua hari kepada pemohon pinjaman kementeriannya termasuk Tekun atau Mara yang membabitkan kursus asas perniagaan dan agama mulai 1 April ini.

"Tujuannya bagi memberi maklumat tambahan mengenai perniagaan dan keinsafan untuk membayar balik pinjaman yang diberikan tanpa penjamin dan cagaran.

"Kita memberi kursus percuma kepada mereka yang diberhentikan kerja akibat kemelesetan ekonomi bagi membolehkan mereka menjadi usahawan berjaya," katanya.

Noh berkata, pembabitan usahawan Bumiputera dalam perniagaan tidak mencerminkan kedudukan Bumiputera sebagai masyarakat terbesar negara dengan populasi 65 peratus, Cina 24.9 peratus, India 7.5 peratus dan kaum lain 1.3 peratus.

Beliau berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu, malah menurun 18.7 peratus pada 2002, 18.9 peratus (2000) dan 19.3 peratus (1990).

"Walaupun pada 2007, pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat 19.4 peratus, angka ini terlalu kecil kerana pemilikan bukan Bumiputera mencapai 43 peratus.

"Jika dilihat aspek pemilikan bangunan usahawan Bumiputera pula, kumpulan ini hanya memiliki 20.3 peratus, manakala bukan Bumiputera 75.7 peratus," katanya.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI