Thursday, October 15, 2009

Miti harap dana program bantu usahawan ditambah

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berharap kerajaan akan menambah jumlah dana bagi program pembangunan keusahawanan, termasuk untuk usahawan wanita dalam Bajet 2010 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober ini.


Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Miti sudah membuat permohonan supaya peruntukan bagi tujuan itu ditambah bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan kemahiran dan keupayaan menguruskan perniagaan.

“Bagaimanapun, keputusan mengenainya bergantung kepada kemampuan kerajaan. Tunggulah pengumuman bajet pada Jumaat minggu depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Wanita Kebangsaan (NMC) 2009 di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Joseph Salang Gandum serta Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim.

Persidangan bertemakan ‘Inovasi Keusahawanan Wanita: Masa Depan Untuk Negara’ itu anjuran bersama SME Corp dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mustapa berkata, sehingga bulan lalu, kerajaan telah membelanjakan RM23.3 juta untuk melatih 23,444 pekerja menerusi Program Peningkatan Kemahiran oleh SME Corp, dengan 36 peratus daripadanya membabitkan pekerja wanita.

Beliau berkata, kerajaan sedang menggandakan usaha untuk membantu usahawan wanita meningkatkan kemahiran dan keupayaan kerana menyedari sumbangan mereka terhadap pertumbuhan ekonomi negara semakin meningkat.

“Menerusi Program Pembangunan Untuk Pengeksport Wanita oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), peruntukkan sebanyak RM1.6 juta disediakan sejak 2005 kepada 48 syarikat milik wanita untuk memasarkan produk mereka.

“Dalam tempoh sama, Institut Keusahawanan Negara (Insken) telah melatih 5,709 wanita menerusi pelbagai program keusahawanan yang dianjurkannya,” katanya.

Mustapa menjelaskan, setakat ini ada 82,911 syarikat yang dimiliki oleh wanita, mewakili 16 peratus daripada keseluruhan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI