Thursday, October 15, 2009

SME perkasa sektor perkhidmatan PKS

SME Corp Malaysia merancang memperkasakan sektor perkhidmatan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memberikan lebih tumpuan terhadap sektor berkenaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ketua Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim, berkata langkah itu selaras usaha memastikan PKS tidak ketinggalan merebut peluang dan meningkatkan keupayaan daya saing selepas kerajaan meliberialisasikan 27 sektor perkhidmatan baru-baru ini.

Katanya, profil sektor perkhidmatan bagi PKS dilihat lebih luas meliputi 87.7 peratus daripada liberalisasi itu yang antara lain merangkumi peruncitan, pengangkutan, klinik serta hospital, berbanding dua profil lain iaitu perkilangan (tujuh peratus) dan pertanian (enam peratus).


Beliau berkata, menerusi tumpuan itu tidak bermakna PKS daripada sektor perkilangan dan pertanian akan dipinggirkan, namun lebih tumpuan akan diberikan bagi memperkasakan sektor perkhidmatan supaya PKS tidak ketinggalan.

“Mereka (pengusaha PKS) perlu melihat bagaimana merebut peluang daripada langkah liberalisasi 27 sektor perkhidmatan sama ada dengan menjadi pembekal kepada syarikat multinasional atau syarikat besar yang telah mendahului mereka,

“Di bawah RMK-10, kami merangka program Rantaian Perkhidmatan, satu program yang hampir sama dengan program yang pernah kami perkenalkan sebelum ini iaitu Rantaian Industri bagi sektor perkilangan untuk dirantai bersama syarikat multinasional,” katanya ketika ditemui selepas majlis promosi ‘SME Brand @ Tesco’ di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hafsah berkata, pihaknya sudah selesai merangka program berkenaan yang akan dilaksanakan di bawah RMK-10 menerusi peruntukan yang akan diperoleh nanti.

Katanya, menerusi Rantaian Perkhidmatan, pihaknya akan memfokuskan untuk melihat bagaimana merantaikan PKS daripada sektor perkhidmatan dengan pembekal di kalangan syarikat besar dan multinasional.

Beliau berkata, sebagai contoh antara sektor yang diliberialisasi adalah taman tema, PKS seharusnya perlu peka apabila kerajaan Johor merancang untuk memiliki taman tema dan mereka perlu lebih awal mendaftar sebagai pembekalnya.

“Contoh kedua, adalah penyediaan rumah orang tua, sekiranya ia diuruskan oleh syarikat besar luar negara, PKS perlu lihat potensi untuk menjadi pembekal barang harian seperti lampin atau plastik. Itu yang dikatakan tengok dan tangkap peluang yang ada,” katanya.

Hafsah berkata, SME Corp kini sedang merangka program yang berkesan bagi membangunkan PKS dan memastikan program antara 15 kementerian dan 60 agensi tidak bertindih, termasuk bagi sektor perkhidmatan.

Katanya, kajian dan perancangan program di bawah RMK-10 itu penting bagi mengoptimumkan dana kerajaan dan ia dijangka selesai pada November sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Disember ini.

“Selepas itu, kita mahu melihat dan mengukur sendiri keberkesanan program yang dilaksanakan bagi memberi gambaran yang lebih jelas kesan kepada PKS ini, khususnya dalam kemajuan yang dicapai," katanya.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI