Wednesday, April 30, 2014

Magic bantu usahawan muda ke antarabangsa

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (Magic) yang akan dilancarkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Cyberjaya, esok, bakal memberikan kelebihan kepada belia dan usahawan muda untuk melonjakkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa. 
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program '1Malaysia Entrepreneurs' (1MET) bagi menggalakkan belia menyertai program keusahawanan berkenaan.

"Pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) digalakkan untuk mencuba kursus yang ditawarkan oleh Magic melalui pelan 1MET selaras dengan pelancaran MaGIC nanti. Saya nampak dengan jelas hala tuju Kementerian Kewangan dalam menguruskan pusat berkenaan.

"Saya percaya ini merupakan satu inisiatif yang baik daripada Kementerian Kewangan dalam mempromosikan Magic kepada usahawan muda," katanya kepada Bernama selepas melawat Bengkel Proskill anjuran Biro Profesional Muda, Pergerakan Umno di Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Bengkel yang dihadiri 100 peserta belia profesional itu bertujuan mengasah kemahiran pengucapan awam dan pembentangan dalam kerjaya mereka.

Obama akan ditemani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancaran Magic berkenaan.

Presiden Amerika Syarikat itu kini berada di Malaysia untuk lawatan tiga hari, bermula Sabtu, sebagai sebahagian lawatan ke empat negara Asia iaitu Korea Selatan, Jepun dan Filipina.

Khairy berkata Magic akan menjadi satu pusat inkubator dan keusahawanan kepada usahawan muda, terutamanya mereka yang mahu melonjakkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, kita akan bekerjasama dengan University Stanford, Amerika Syarikat bagi memudahkan usahawan muda mendapat satu jalinan perniagaan yang luas," katanya.

Penubuhan Magic diumumkan Najib pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) di sini pada tahun lepas. MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.

Pusat itu juga akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menyediakan kemudahan untuk latihan, bimbingan dan mentor. - Bernama

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI