Wednesday, April 16, 2014

Penjenamaan kreatif buahkan hasil


Maisarah bersama produk yang dihasilkan syarikatnya.

HANYA menerima tempahan kek secara kecil-kecilan pada awal perniagaan, Maisarah A Sani kini boleh berbangga kerana mempunyai syarikat dan kilang memproses kek buatannya sendiri.

Ternyata langkah menjenamakan produknya sebagai D’Gateaux dan Dejavuu yang dikeluarkan syarikatnya, Deligateaux (M) Sdn Bhd (Deligateaux) kini membuahkan hasil.

Lebih manis apabila kilang yang dibuka menggunakan modal sendiri siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 2004 dan banyak membantu dari segi pengeluaran yang produktif.

Menurut Maisarah, selain menerima tempahan pelanggan pada awal perniagaan, beliau juga membekalkan kek buatannya ke kafeteria dan hotel terpilih.

“Semasa mula berniaga saya siapkan katalog bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan kek yang diingini.

“Waktu itu saya tiada jenama sendiri lagi dan belum berani untuk buat penjenamaan produk, jadi jalan terbaik saya ambil tempahan sahaja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Subang, baru-baru ini.


Dua jenama produk penuhi cita rasa berbeza

Ditanya mengenai variasi produk yang dihasilkannya, Maisarah menerangkan terdapat dua jenama bagi produknya iaitu D’Gateaux dan Dejavuu.

“Jenama D’Gateaux wujud sejak 2004 dan alhamdulillah sehingga kini ia masih bertahan di pasaran, dan jenama Dejavuu pula dihasilkan pada 2011.

“Konsep produk kami adalah makanan sejuk beku yang sedia dimakan bagi kanak-kanak sehingga dewasa,” katanya.

Maisarah berkata, produk di bawah jenama Dejavuu mengutamakan pelanggan remaja dan kanak-kanak dengan pembungkusan menarik.

“Antara produk Dejavuu yang mendapat sambutan adalah kek di dalam bekas kecil dengan pelbagai perisa seperti kek keju blueberry, durian dan tiramisu.

“Sementara itu bagi jenama D’Gateaux pula, ia lebih kepada cita rasa orang dewasa seperti kek buah-buahan, pai, dan brownie,” katanya.


Kek dijual di pasar raya terkemuka

Mengenai pasaran produk Deligateaux, Maisarah berkata, buat masa ini terdapat beberapa pasar raya terkemuka yang menjual produk mereka.

“Bagi pasaran dalam negara produk kami boleh didapati di pasar raya Giant, Mydin, Sogo dan Cold Storage pada harga serendah RM5 hingga RM30,” katanya.

Maisarah turut menambah sebelum ini beberapa produk buatannya dieksport ke negara seperti Dubai, Macau, Indonesia dan Singapura.

“Kami ada menyertai program mempromosikan produk keluaran Malaysia ke luar negara anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk memperluaskan lagi pasaran,” katanya.


Cabaran bahan mentah mahal

Setiap perniagaan pasti ada waktu senang dan susah, sama juga seperti yang dihadapi Maisarah ketika menjalankan perniagaannya hampir 10 tahun.

Menurut Maisarah, cabaran utama dalam bidang perniagaan membabitkan makanan adalah dari segi menjaga penjenamaan produk yang dihasilkan.

“Setiap masa akan ada pelbagai produk baru muncul dalam industri ini, jadi kita perlu inovatif bukan hanya menumpukan untuk mengeluarkan satu produk sahaja sepanjang masa.

“Jadi setiap tahun pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami bekerja keras melakukan pembaharuan bagi produk kami supaya jenama D’Gateaux dan Dejavuu dapat terus kekal di pasaran,” katanya.

Maisarah juga menambah harga bahan mentah yang sedikit mahal di Malaysia juga dilihat memberi cabaran dalam menyediakan produk dengan harga berpatutan kepada pelanggan.

“Apabila harga bahan mentah mahal, susah untuk kami mengeksport produk ke negara luar dengan harga kompetitif kerana sudah pasti produk keluaran negara itu mampu dijual lebih murah.

“Jadi amat penting bagi peniaga mencari jalan alternatif serta menginovasikan produk keluaran mereka supaya mempunyai kelainan daripada produk sedia ada di pasaran,” katanya.


Pengiklanan komponen penting

Maisarah turut bersetuju syarikat perusahaan kecil sederhana perlu menyediakan kos tahunan bagi melakukan pengiklanan dan pemasaran produk.

“Pengiklanan akan membantu kita mengukuhkan lagi produk di pasaran terutamanya bagi produk makanan supaya orang ramai mempunyai keyakinan kepada produk tersebut.

“Tanpa iklan mungkin orang ramai akan mudah melupakan sesuatu produk itu. Jika tidak mampu melakukan pengiklanan yang menelan belanja besar, kita boleh iklankan di laman sosial ataupun memberi orang ramai merasai contoh makanan di pasar raya,” katanya berkongsi pengalaman.

Selain itu Maisarah berkata, Deligateaux juga mempunyai kedai sendiri yang dipanggil sebagai Stesen Dejavuu di eCurve, Petaling Jaya.

“Sambutan orang ramai di sana amat menggalakkan, terutama jika kami melakukan promosi jualan dan menyediakan contoh produk makanan kami untuk dicuba pengunjung,” katanya.


Rancang eksport dan tambah stesen Dejavuu

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan Deligateaux, Maisarah berkata buat masa ini tumpuan adalah untuk cuba mendapatkan kembali pasaran eksport produknya ke negara luar.

“Kerana itu sekarang kami sibuk memberi tumpuan menyertai ekspo produk Malaysia di luar negara kerana produk kami sedia untuk dieksport.

“Misalnya bulan ini kami akan ke China untuk menyertai ekspo dagangan halal anjuran negara tersebut dan insya-ALLAH pada Ogos juga kami akan ke Makkah untuk menembusi pasaran ke Timur Tengah,” katanya.

Selain memberi tumpuan kepada pasaran eksport, Maisarah juga berkata Deligateaux kini dalam perancangan menambah stesen Dejavuu di seluruh negara dengan menggunakan kaedah francais berdasarkan sambutan baik yang diterima di stesen Dejavuu di eCurve.


Orang muda harus teliti berniaga

Maisarah turut berkongsi nasihat kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan terutamanya orang muda supaya merancang sejauh mana perniagaan mereka akan pergi.

“Apa-apa permulaan perniagaan adalah sesuatu yang bagus cuma kita memerlukan perancangan yang teliti terutamanya mengenai perjalanan perniagaan yang kita usahakan.

“Kita boleh fikir untuk kekal dengan satu sahaja produk perniagaan yang ingin kita hasilkan tetapi kita harus tahu perniagaan memerlukan inovasi supaya ia dapat menembusi pasaran dalam negara mahupun luar negara,” katanya.

Menurut Maisarah, pada masa ini tiada masalah untuk memulakan perniagaan kerana banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Jika ingin menceburi bidang makanan, usahawan perlu memberi tumpuan sepenuhnya kerana makanan halal dari Malaysia amat dikenali seluruh dunia.

“Apa yang penting, dalam industri makanan kita perlu ada kelainan dari produk sedia ada, terutamanya jika memasukkan unsur-unsur tempatan seperti penghasilan produk karipap dan kek keju durian,” katanya.

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI