Tuesday, June 24, 2014

Pensyarah jadi ahli perniagaan


ntara produk yang dikeluarkan di bawah jenama Yes Halal Rempah Ustazah.


MENDAPAT pendedahan dalam bidang perniagaan dan masakan sejak dari kecil membuatkan ibu kepada tujuh cahaya mata, Wan Habsah Wan Ahmad, 40, tidak menyangka akan serius dalam bidang ini selepas melalui pelbagai pengalaman kerja.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Dan Pengajian Islam dari Universiti Mu’tah Jordan dan sarjana dalam bidang sama di Universiti Malaya memberi peluang kepadanya berkhidmat dengan badan bukan kerajaan (NGO) Muslim selama empat tahun sebagai penganalisis.

Selain berkhidmat dalam bidang NGO, Ustazah Wan Habsah turut menjadi pensyarah dalam bidang Syariah dan Pengajian Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Sepanjang bergelar pensyarah, beliau telah mula menjalankan perniagaan rempah tradisional hasil air tangannya secara sambilan dari rumah dengan menubuhkan Fatha Marketing pada tahun 2008 seperti rempah kerutuk, kuzi, sup, sambal tumis dan sebagainya.

Pelanggan tetapnya ketika itu adalah rakan sekerja. Tempahan dari individu secara persendirian dan di pejabat kerajaan turut membuatkan perniagaan rempahnya semakin berkembang maju. Malah setiap kali adanya karnival beliau akan membuka tapak jualan dan menjual produk tersebut.

Sejak orang ramai mula mengenali rempah segera di bawah jenama Yes Halal Rempah Ustazah, Wan Habsah mula mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pensyarah bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan yang dijalankan selepas setahun beroperasi di rumah.

Memang pada awalnya rasa berat hati melepaskan jawatan itu tetapi memandangkan perniagaan rempah mendapat permintaan menggalakkan, saya terpaksa membuat keputusan terbaik. Saya percaya kepada rezeki dalam perniagaan. Lagipun suami turut memberi galakan dan menyokong keputusan dibuat.


Dapat gelaran chef ustazah

Wan Habsah berkata, setelah menumpukan sepenuhnya dalam bidang perniagaan rempah, bermulalah episod baharu dalam hidup. Selain menjual rempah saya turut mengadakan kelas masakan.

Tak disangka-sangka tawaran dari Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat sebagai jurulatih untuk mengendalikan Bengkel Usahawan Katering kepada ibu tunggal dan suri rumah berpendapatan rendah memberi peluang lebih cerah.

"Bukan setakat itu sahaja, malah saya juga diberi tanggungjawab mengendalikan kursus masakan kepada seluruh lapisan masyarakat dalam Program Masakan 1 Malaysia dengan kerjasama Kolej Komuniti dan Jabatan Pembangunan Wanita.

"Selain menjadi tenaga pengajar, tawaran dari pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM1) untuk mengendalikan segmen masakan ibarat satu bonus kepada diri.

"Bukan mudah untuk mendapat kepercayaan dari pihak luar. Jadi melalui cara ini saya boleh berkongsi resipi dengan semua masyarakat," katanya.

Menurutnya, perkongsian resipi bukan hanya terhad kepada masakan Melayu sahaja malah masakan barat, Itali, Thai, dan Arab turut diajar.

“Semua jenis masakan ini dipelajari semasa menuntut di luar negara selain menimba pengalaman daripada beberapa tukang masak tersohor di Kelantan serta pengusaha makanan yang berjaya.

“Walaupun sibuk menguruskan perniagaan dan menjadi tenaga pengajar untuk kelas masakan, saya juga turut memanfaatkan ilmu yang ada dengan menjadi pendakwah dan penceramah. Biasanya kelas yang saya kendalikan seperti kelas agama dan Fardu Ain, kelas bahasa Arab dan hafazan al-Quran.

“Jemputan untuk memberi ceramah juga sentiasa ada daripada pihak sekolah, universiti, masjid, persatuan dan agensi swasta serta kerajaan dari seluruh Malaysia. Malah saya juga pernah mengendalikan slot Rancangan Ceramah Pilihan di Radio Kelantan fm selama empat tahun.

“Oleh kerana aktif dalam kedua-dua bidang saya kini lebih dikenali dengan gelaran Chef Ustazah dalam kalangan rakan-rakan dan anak didik,” katanya.


Buka kilang rempah sendiri

Menurut anak keenam dari tujuh beradik ini, dalam tempoh dua tahun beroperasi perniagaan rempah yang diusahakan menunjukkan perkembangan positif. Apa yang menggembirakan kini saya mampu berbangga apabila berjaya membuka sebuah kilang rempah di Pengkalan Chepa, Kelantan.

"Di kilang ini operasi pengeluaran lebih sistematik dan 13 jenis rempah dikeluarkan di samping enam jenis tepung segera. Antaranya adalah tepung ayam goreng, tempura, oat dan maruku.

Pengguna juga tidak perlu ragu-ragu untuk menggunakan produk yang dikeluarkan kerana semuanya dijamin halal dan bersih.

"Kebersihan sepanjang proses menghasilkan rempah amat dititikberatkan kerana kebanyakan pengguna di Malaysia begitu sensitif.

"Bukan setakat mengejar keuntungan semata-mata tetapi saya mahukan perniagaan yang dijalankan mendapat keberkatan. Dalam hal makanan ini ia tidak boleh dipandang remeh kerana akan menjadi darah daging kepada seseorang individu itu.

"Apa yang diharapkan pilihan saya untuk terlibat dalam bidang perniagaan ini akan membantu merancakkan lagi ekonomi orang Islam berasaskan produk halal toyyiban," ujarnya.
Sumber:Sinar Harian

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI