Thursday, September 19, 2019

Rabbit King bantu komersialkan daging arnab


ARNAB daripada baka Rabbit King ditempatkan dalam reban.


Sebut sahaja mengenai arnab sudah pasti terlintas di kepala mengenai kecomelan dan kelincahan haiwan kecil ini berlari ke sana-sini memenuhi padang atau rumput yang menghijau.


Arnab merupakan haiwan yang sering dijadikan sebagai teman peliharaan, Namun kini ia juga diternak secara meluas menerusi penubuhan ladang arnab yang memasarkan dagingnya secara kormersial untuk dimakan.

Rasa daging arnab yang lebih empuk berbanding daging lain mendorong permintaan terhadap haiwan tersebut tinggi sehingga mencecah antara 150 dan 300 kilogram daging karkas dan daging tanpa tulang setiap bulan.

Namun, situasi industri penternakan di negara ini memperlihatkan bahawa masih tidak ramai yang berani menceburkan diri dalam industri penternakan arnab kerana kebanyakan mereka lebih gemar melibatkan diri dalam penternakan ayam, lembu dan kambing.

Justeru, situasi tersebut dilihat sebagai peluang kepada usahawan daging ini untuk mengkomersialkan haiwan ternakan tersebut untuk pasaran tempatan serta dieksport kepada pasaran antarabangsa.

Menurut Pengurus Operasi Rabbit King Malaysia, Muhammad Zulfadli Zahir, One Stop Rabbit Farm & Trading yang diasaskan oleh Mohd. Ismail Padzil pada 2009 kini mempunyai lebih 6,000 ekor arnab daripada 11 baka pedaging dan baka hiasan.

“Antara baka arnab yang terdapat di ladang ini adalah White, Californian, Holland lop, Netherland Dwaft, Angora dan Lion hop yang kebanyakannya diimport dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Belanda.

“Kami mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membangunkan industri ternakan arnab,” katanya.

Mengulas lanjut Muhammad Zulfadli memberitahu, meskipun modal untuk membangunkan perniagaan ini agak besar, namun industri ini dilihat mampu memberikan keuntungan maksimum sekali gus melahirkan usahawan.

“Ladang arnab yang mempunyai keluasan empat ekar ini merangkumi reban, rumah serta taman arnab dan burung dijadikan sebagai petting zoo yang dibuka kepada orang ramai setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan bayaran hanya RM5 seorang.

“Kini, kami berjaya membiakkan baka-baka arnab komersial tersebut disertakan dengan pemilihan induk bagi tujuan ladang sendiri,

“Selain itu, kami juga menjual kepada usahawan baru yang berminat memulakan projek sebagai pendapatan sampingan mahupun secara sepenuh masa,” katanya.

Tambahnya, daging arnab dipasarkan kepada Sate Kajang Haji Samuri dan beberapa hotel terkemuka serta restoran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kami kini dalam perancangan untuk menambah pengeluaran bagi menampung keperluan yang semakin meningkat di samping memberi peluang kepada individu di luar sana untuk menjual semula hasil ternakan arnab mengikut kriteria yang ditetapkan.

“Arnab yang kami terima daripada usahawan akan disembelih dan diproses di rumah sembelihan Halal One Stop Rabbit Farm & Traning dan seterusnya disimpan untuk produk sejuk beku,” katanya.

Menurut Muhammad Zulfadli, semasa mula menceburkan diri dalam industri penternakan arnab. sambutan yang diterima kurang memberangsangkan.

Ini kerana ramai yang menganggap arnab seperti kucing dan tidak sampai hati untuk makan haiwan cilik itu.

“Selain itu, cabaran harga yang agak mahal kerana daging arnab dikategorikan sebagai makanan eksotik juga menjadi penghalang kepada industri ini untuk berkembang pada peringkat permulaan.

“Namun, kini dengan perkembangan teknologi maklumat sudah ramai yang dapat menerima potensi dan kebaikan daging arnab. Malah, permintaan semakin hari semakin meningkat dan industri penternakan pedaging semakin berkembang,” katanya.

Daging arnab dipasarkan mengikut jenis bergantung kepada jenis baka, umur dan kualiti haiwan tersebut.

“Oleh itu, usahawan baru boleh membeli baka arnab untuk tujuan komersial daripada kami dengan harga yang jauh lebih murah,” katanya.

Muhammad Zulfadli berharap industri ternakan arnab menjadi salah satu bidang baharu yang berpotensi untuk dikomersialkan dan eksport seperti mana industri ternakan lain seperti ayam dan lembu.

“Saya juga berharap supaya kerajaan dapat menyediakan lebih banyak medium untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang penternakan sekali gus mampu membantu meningkatkan ekonomi.

“Ini kerana pasaran makanan masih terlalu luas untuk diteroka, malah iklim tropika di negara kita dilihat memberikan kelebihan untuk industri ternakan dengan menjalankan program pembiakan sepanjang tahun,” katanya.
 

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI