Thursday, September 24, 2009

Adli usahawan muda berjaya


"SAYA berpegang kepada prinsip kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya kita perlu berusaha mencapainya," kata Mohd Adli Abd Hadi, 24, dari Seremban.

Dia memilih keusahawanan sebagai karier selepas menamat pengajian ijazah di Management & Science University (MSU) dalam bidang Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti.

Pencapaian yang diraih bersama Nelayan Seafood & Catering Sdn Bhd ini amat dikagumi dan boleh dijadikan inspirasi kepada pelajar lain.

Usahawan muda ini adalah pengarah syarikatnya sendiri, mengakui pendedahan sejak kecil kepada dunia perniagaan memberikan dorongan untuk terus maju dalam dunia perniagaan.

"Ayah banyak memberikan motivasi dan inspirasi kepada saya," katanya.

Dia tamat pengajian di MSU tahun lalu selepas mengikuti pengajian dalam diploma Pengurusan di Kolej PTPL Seremban pada 2002 hingga 2005.

"Semasa di PTPL Seremban, saya didedahkan dengan kemahiran keusahawanan, pengurusan personal dan organisasi.

"Di MSU pula, saya belajar mengenai perhubungan antara perniagaan, pemasaran dan pelancongan. Ia nyata berkesan dan lebih praktikal apabila saya mengikuti latihan industri di Malaysia Tourism Centre (MTC) di Kuala Lumpur," katanya.

Nelayan Seafood & Catering Sdn Bhd adalah restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan daging eksotik Negeri Sembilan.

Syarikat itu mula dikenali ramai apabila bekerjasama dengan MTC untuk mempromosikan makanan tradisional Melayu ini dalam kempen pelancongan seperti Zoom Malaysia Disember tahun lalu.

Terbaru, MTC mempelawa syarikat itu membuka restoran di luar negara sebagai usaha mempromosi makanan Malaysia.

Selain bidang restoran dan katering, dia turut terbabit dengan perniagaan lain iaitu Nelayan Agrobiotek Sdn Bhd, Permata Nelayan Adventure & Tourism serta Agensi Pekerjaan Zefal.

Mengenai kegawatan ekonomi dunia kini, dia mengakui sebagai ahli perniagaan kesannya tetap ada tetapi perlu lebih produktif dalam mempelbagaikan aktiviti perniagaan dengan mencari peluang perniagaan baru.

"Kejujuran dan kualiti perkhidmatan perlu menjadi agenda utama dalam perniagaan.

"Saya bersyukur dengan kejayaan hari ini dan lebih bersemangat untuk terus cemerlang membina empayar perniagaan franchise," katanya.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI