Saturday, July 18, 2009

RM670 juta setahun bantu usahawan

BANGI 17 Julai - Kerajaan membelanjakan kira-kira RM670 juta setahun untuk memberi bantuan kepada usahawan khususnya bumiputera bagi mengukuhkan peranan mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bantuan itu juga bertujuan memberi peluang kepada usahawan untuk menjayakan perancangan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sahaja, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan untuk projek pembangunan usahawan.

"Kerajaan di bawah kementerian, kali ini akan memastikan peruntukan digunakan bagi melahirkan usahawan berkualiti dan berdaya saing di peringkat global.

"Kuantiti bukan menentukan kejayaan dalam pembangunan ekonomi negara tetapi kualiti merupakan penanda aras untuk melahirkan usahawan yang kompetitif," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan KKLW bersama usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shafie berkata, untuk melahirkan usahawan berkualiti, kementerian melalui Mara akan memberi fokus kepada dua aspek utama iaitu pendidikan dan pembangunan usahawan.

Menurutnya, dua aspek itu akan dimulakan di peringkat akar umbi bagi melatih dan menyediakan usahawan yang bukan sahaja berkualiti malahan menaikkan pembangunan ekonomi untuk bersaing secara aktif di peringkat global.

"Usahawan adalah kelompok yang menjana kekuatan ekonomi, mencetuskan inovasi dan ciptaan baru.

"Usahawan adalah kelompok istimewa yang bakal menentukan kejayaan negara untuk membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)," jelas beliau.

Selain itu, katanya, kewujudan pertubuhan atau jaringan komuniti usahawan merupakan platform kepada usahawan dalam menjalankan perniagaan yang lebih bebas.

Katanya, jaringan komuniti usahawan membolehkan sebaran maklumat secara berkesan di antara usahawan tempatan termasuklah usahawan antarabangsa dalam ekosistem keusahawanan.

"Saya yakin usaha Mara melalui program pembangunan akan melahirkan usahawan yang mampu menguruskan perniagaan mengikut perkembangan semasa dan berhijrah daripada konsep konvensional kepada konsep pengurusan yang lebih moden," katanya.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI