Tuesday, July 14, 2009

SME Corp selaras dana PKS

BANTUAN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan lebih selaras di bawah SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang baru, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, isu yang perlu ditangani sebelum ini ialah terdapat 14 kementerian dan 16 agensi kerajaan secara langsung dan tidak langsung berkait dengan PKS.

“Jelas sekali, perlu ada penyelarasan yang lebih baik. Namun, akan lebih baik jika SME Corp akan melihat kepada pelbagai aspek dan fungsi yang dilaksanakan oleh pihak yang berbeza supaya kita dapat meminimumkan atau mengelak sebagai pertindihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Belia 2009 di Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan penjenamaan semula Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) kepada SME Corp, dengan tujuan membangunkan sektor PKS yang kompetitif dan berdaya tahan untuk menangani krisis ekonomi.

SME Corp, yang dijangka memulakan operasi bulan depan, akan bertindak antara lain sebagai pusat maklumat dan rujukan sehenti, menyelaras data dan program, serta melaksanakan penyelidikan berhubung PKS.

Ia akan melapor kepada majlis dan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Terdahulu dalam ucapannya, Mukhriz berkata, sehingga Mei 2009, daripada 384 permohonan yang diterima, sebanyak 276 permohonan diluluskan berjumlah RM16.47 juta, di bawah geran padanan untuk pembangunan dan promosi produk halal.

Dalam tempoh sama, daripada 1,371 permohonan yang diterima, 750 permohonan diluluskan berjumlah RM428.29 juta, di bawah pinjaman mudah untuk PKS, katanya.

Bagi pinjaman mudah untuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), beliau berkata, daripada 101 permohonan yang diterima, 26 permohonan diluluskan berjumlah RM50.01 juta, sehingga Mei tahun ini.

Mengenai jumlah kelulusan yang kecil berbanding permohonan yang diterima, Mukhriz berkata: “Kami kekurangan kakitangan. Promosi kami berjaya. Sehingga pada satu masa, kami mempunyai 20 pegawai memproses 20,000 permohonan, tentu berlaku kelewatan.”

Agensi mengambil kakitangan untuk mengurangkan permohonan tertangguh itu.

“Kami menjangka permohonan tertunggak itu akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan kami akan dapat mengikut KPI kami (petunjuk prestasi utama) dari segi kecepatan masa dalam pemprosesan permohonan ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada permohonan tertunggak itu menjejaskan promosi, Mukhriz berkata: “Kita menjalankan banyak promosi dan pameran bergerak.”

Dianggarkan 567,480 PKS beroperasi dalam negara dan sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada 37 peratus pada 2010 daripada 32 peratus pada 2005

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI