Tuesday, April 28, 2009

Cacat Bukan Halangan Kejayaan Si Tukang Jahit

image Gambar hiasan

Mohamad berkata minatnya timbul dalam bidang jahitan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada 1992 apabila motosikal yang ditunggangnya ke tempat kerja, iaitu sebuah Kilang Kelapa Sawit di Kluang bertembung dengan sebuah bas

KUALA TERENGGANU, 6 Feb (Bernama) -- Kecacatan bukanlah halangan untuk seseorang itu meraih kejayaan, asalkan mereka mempunyai kemahuan serta azam yang tinggi, pasti apa yang dicita-citakan semuanya mampu dicapai.

Inilah yang dibuktikan oleh Mohamad Ismail, 38, yang kudung kaki kanannya setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Namun kini beliau boleh berbangga kerana berjaya menjadi seorang tukang jahit yang popular dan terkenal di Kampung Kedai Buloh, Bukit Payong, Marang dekat sini.

Mohamad berkata minatnya timbul dalam bidang jahitan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada 1992 apabila motosikal yang ditunggangnya ke tempat kerja, iaitu sebuah Kilang Kelapa Sawit di Kluang bertembung dengan sebuah bas.

Akibat kemalangan itu, beliau mengalami kecederaan parah di bahagian kakinya dan terlantar selama 21 hari di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu.

Paling mengejutkan dirinya apabila doktor memberitahu kaki kanannya terpaksa dipotong.

"Masa itu, saya rasa hidup ini gelap dan tidak bererti lagi sehinggalah beberapa tahun kemudian, saya ambil keputusan untuk menyertai kursus jahitan di Baitulmal Cheras, Kuala Lumpur selama dua tahun," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Kedai Buloh dekat sini baru-baru ini.

KURSUS

Selepas tamat kursus, dia ditawarkan bekerja sebagai tukang jahit di Arked Medan Mara, Kuala Lumpur selama setahun.

Pada masa yang sama juga beliau turut beberapa kali turun naik mahkamah di Johor Baharu menuntut ganti rugi terhadap syarikat bas berkenaan, tetapi keputusan kes tidak berpihak kepadanya.

Namun begitu, syarikat bas berkenaan telah bermurah hati apabila memberikan sedikit wang saguhati sebanyak RM4,000 dan dengan wang itu, Mohamad membuka sebuah kedai jahit yang diberi nama "Mohis Tailor" di Kampung Kedai Buloh pada tahun 2000.

Bermula dengan tempahan secara kecil-kecilan daripada masyarakat setempat, kerjaya Mohamad kini semakin meningkat apabila diberi kepercayaan untuk menjahit pakaian secara kontrak kecil-kecilan oleh beberapa agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim (Perkaya).

"Pada bulan puasa tahun lepas, rezeki datang mencurah-curah dan banyak tempahan daripada pelanggan yang terpaksa saya tolak kerana bimbang tidak mampu untuk menyiapkan tempahan mengikut masa yang dijanjikan," katanya.

Menurut Mohamad, setiap kali musim Hari Raya, beliau mampu memperolehi pendapatan sehingga RM4,000 dan tiga orang pembantunya kadangkala tidak cukup tangan untuk menguruskan tempahan yang semakin meningkat.

RAHSIA KEJAYAAN

Ketika diminta berkongsi rahsia kejayaannya, Mohamad berkata: "Petuanya cukup mudah, kualiti jahitan, mestilah kemas dan sempurna.

"Pelanggan akan merasa selesa dengan pakaian yang dijahit kemas dan menarik dan sekiranya kualiti ini ada, sudah pasti kedai jahit itu mendapat sambutan," kata Mohamad yang berasal dari Kampung Gondang, Binjai Rendah di Marang.

Beliau juga turut bersyukur kerana walaupun cacat, masih ada gadis yang sudi menjadi teman hidupnya dan perkahwinannya dengan gadis sekampung Wan Kamariah Wan Nasir, 27, pada 1999 menguatkan lagi semangatnya untuk terus berjaya.

Hasil perkahwinannya itu, Mohamad dianugerahkan tiga orang cahaya mata berumur antara tiga bulan sehingga enam tahun.

"Walaupun keadaan fizikal saya tidak sempurna seperti orang-orang yang normal dan terpaksa menggunakan kaki palsu, namun hidup saya tetap bahagia ditambah lagi dengan sokongan isteri saya dan sekarang saya juga berbangga kerana mampu memiliki rumah sendiri hasil daripada menjahit," katanya.

Katanya lagi beliau melihat pekerjaan menjahit berpotensi memberikan pendapatan yang baik dan boleh menjamin kehidupan sekiranya dijalankan secara teliti, sempurna dan meyakinkan pelanggan.

BENGKEL

Di Kuala Terengganu ketika ini, menurutnya terdapat beberapa orang tukang jahit yang terdiri daripada orang-orang cacat anggota dan kesemua tukang jahit itu mendapat didikan dan latihan daripada bengkel orang-orang cacat di Pulau Kerengga, Marang.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana masih terdapat orang cacat anggota yang tidak membuat sebarang pekerjaan serta mengharapkan belas simpati daripada orang lain.

Katanya, fenomena ini sedikit sebanyak memberi tafsiran bahawa orang cacat malas berusaha sedangkan mereka sebenarnya mampu melakukan pekerjaan seperti menjadi tukang kayu, tukang rumah, berniaga, atau membuat ukiran kayu untuk menampung perbelanjaan keluarga.

-- BERNAMA

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI