Thursday, April 23, 2009

Pengusaha perlu hasil produk untuk eksport


KUCHING: Pengusaha tempatan perlu bijak mengenal pasti produk yang mampu memberi pulangan pendapatan yang tinggi serta mampu menghasilkan pengeluaran produk berskala besar, sekali gus menerokai pasaran antarabangsa. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah, berkata pelbagai produk atau barangan yang mempunyai identiti tempatan boleh diterokai oleh pengusaha di negeri ini. Justeru, mereka perlu berpandangan jauh dengan cuba mengeluarkan produk yang mempunyai potensi yang tinggi, bukan saja untuk keluaran tempatan malah boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh beras Bario, belacan serta kek lapis mempunyai nilai tersendiri serta berpotensi untuk dipasarkan ke seluruh negara. Pada masa sama kita boleh menjadikan ia produk tersohor bagi Sarawak. "Sekiranya mereka yang terbabit mampu menghasilkan barangan berkenaan dengan skala yang besar, maka ia mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa sekali gus mampu menjana pendapatan lebih lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Profesional di sini, semalam.
Bagaimanapun, Fatimah berkata, pengusaha produk terbabit perlu mengetahui langkah perlu terutama dalam menguasai penggunaan teknologi terkini dalam keluaran mereka dengan pada masa sama sentiasa menjaga kualiti barangan yang dihasilkan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, kumpulan penjawat pengurusan profesional yang cekap serta seimbang dalam setiap tindakan mampu menjadi tulang belakang kejayaan dan kelicinan pentadbiran sesebuah syarikat atau organisasi. Katanya, sebagai penjawat yang profesional, mereka perlu memberi layanan yang adil tanpa mengira status bagi menjamin kesetiaan kakitangan bawahan, sekali gus berupaya meningkatkan produktiviti serta integriti sesebuah organisasi.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI