Friday, April 17, 2009

Mida pelawa PKS sektor perkhidmatan mohon dana

LEMBAGA Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida), agensi kerajaan yang diamanah untuk mengagih dan menguruskan Dana Pembangunan Kapasiti Sektor Perkhidmatan (SSCDF) bernilai RM100 juta, mempelawa syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergiat dalam sektor perkhidmatan untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pembiayaan di bawah dana itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Jalilah Baba berkata, permohonan boleh dikemukakan terus kepada agensi itu atau menerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) serta semua dewan atau persatuan perniagaan seluruh negara.

"Dana ini hanya dibuka kepada syarikat, khususnya PKS yang terbabit dalam semua sektor perkhidmatan, kecuali kewangan, utiliti dan pembinaan.

"Mereka boleh mengemukakan permohonan mereka sekarang bagi memastikan ia dapat diproses lebih awal dan pembiayaan disalurkan dengan cepat.

"Matlamatnya adalah untuk menggalakkan syarikat terbabit untuk menggunakan wang ini bagi membuat persediaan meningkatkan daya saing mereka pada peringkat antarabangsa berikutan pembukaan pasaran bagi sektor perkhidmatan tidak lama lagi," katanya dalam taklimat media mengenai pengagihan dana SSCDF itu, di sini semalam.

Dana SSCDF adalah sebahagian daripada peruntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi pertama dan ia bertujuan memberi bantuan kewangan kepada syarikat tempatan bagi meningkatkan pembinaan kapasiti mereka untuk berdepan dengan persaingan daripada syarikat luar apabila pasaran dalam sektor perkhidmatan dibuka.

Ia juga bertujuan meningkatkan daya saing syarikat tempatan pada peringkat global dan seterusnya mengambil bahagian dalam projek antarabangsa.

Jalilah menegaskan, keutamaan akan diberikan kepada syarikat tempatan yang terbabit sebagai penyedia perkhidmatan dalam sektor kesihatan, pelancongan dan logistik.

Beliau berkata, ada empat program yang layak mendapat pembiayaan menerusi dana SSCDF itu, iaitu program bagi menjalankan latihan (pembiayaan sehingga maksimum RM250,000); akreditasi (RM250,000); penggabungan dan pengambilalihan (RM250,000); dan peningkatan taraf dan pemodenan (RM500,000).

Katanya, dari jumlah RM100 itu, RM50 juta akan diperuntukkan bagi geran pemadanan dan baki RM50 juta lagi bagi skim pinjaman mudah yang akan diagihkan menerusi MIDF.

"Permohonan mendapatkan geran itu juga boleh dikemukakan menggunakan borang yang boleh dimuat turun daripada laman web www.mida.gov.my, manakala penyedia perkhidmatan yang ingin melaksanakan program peningkatan taraf dan pemodenan perlu memohon pinjaman mudah menerusi Skim Pinjaman Mudah untuk Pembangunan Kapasiti Perkhidmatan, menerusi MIDF," katanya.

Katanya, setakat ini, Mida telah menerima satu permohonan yang dikemukakan oleh persatuan perniagaan dan mensasar untuk mengagihkan sepenuhnya dana itu menjelang September ini.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI