Friday, April 17, 2009

Konsep homestay diubah suai

Sedia rumah berasingan bagi pelancong inginkan hak persendirian

PORT DICKSON: Konsep homestay, iaitu pelancong tinggal serumah bersama penduduk kampung perlu diubah suai kerana sesetengah pelancong walaupun menggemari suasana kampung tidak begitu selesa tinggal di rumah begitu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, berkata ada sesetengah pelancong mahu tinggal sendirian bersama rakan atau keluarga mereka di rumah yang berasingan daripada rumah penduduk kampung.

Katanya, pelancong begini mahu menikmati suasana dan kehidupan di kampung, tetapi mahukan hak bersendirian apabila pulang ke rumah penginapan.

"Walaupun kebanyakan pelancong mahu tinggal bersama penduduk kampung, ada yang mahu tinggal berasingan dan kita perlu mewujudkan rumah yang khusus untuk golongan begini di homestay sedia ada atau yang bakal dibuka," katanya merasmikan program Maulidur Rasul dan Aqiqah di Kampung Pacitan dekat sini, kelmarin.

Seramai 60 pelancong dari Singapura menyertai program itu untuk merasai sendiri menyambut program keagamaan itu dalam suasana kampung.

Mohammad Razi berkata, untuk itu rumah kosong sedia ada boleh dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan golongan berkenaan dan pada masa sama, mengurangkan rumah terbiar yang mencacatkan pemandangan kampung.

Beliau juga mengingatkan pengusaha homestay supaya mengutamakan kebersihan serta bersikap peramah kepada pelancong supaya kenangan manis akan mendorong mereka datang lagi dan menggalakkan orang lain datang ke homestay berkenaan.

Sementara itu, katanya homestay Pacitan mencatatkan kehadiran pengunjung kedua tertinggi di negeri ini, iaitu hampir 2,210 orang dan memberi pulangan sebanyak RM205,000 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pengusaha homestay lain di negeri ini supaya mempelajari kejayaan itu dengan matlamat bukan untuk meniru, tetapi mewujudkan keunikan tersendiri di homestay masing-masing.

Petikan dari Berita Harian online..

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI