Friday, April 17, 2009

PKS: Lebih mudah dapat biaya


ZETI Akhtar Aziz melancarkan penubuhan SME Credit sambil diperhatikan oleh Azhar Wan Ahmad di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 April - Isu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sukar mendapat pembiayaan dijangka tidak akan timbul lagi berikutan penubuhan SME Credit Bureau (M) Sdn. Bhd. (SME Credit) hari ini.

Ini kerana SME Credit yang ditubuhkan di bawah Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC), akan memberikan penarafan kepada PKS manakala institusi kewangan pula akan menawarkan pembiayaan berdasarkan penilaian itu.

Sebelum ini, PKS tempatan seringkali mengadu sukar mendapat pembiayaan kerana tidak mempunyai rekod pencapaian dan kewangan seperti mana dikehendaki oleh institusi kewangan.

Keadaan ini merugikan kerana banyak PKS berpotensi untuk berkembang tetapi pengurusan kewangan tidak tersusun menyebabkan keupayaannya sering dipersoalkan.

Menurut Pengerusi CGC, Datuk Azhar Wan Ahmad, SME Credit akan menjadi jambatan penghubung antara PKS dan institusi-institusi kewangan tempatan dalam mengatasi masalah berkaitan rekod pencapaian operasi dalam mendapatkan pinjaman.

''SME Credit beroperasi untuk menyediakan institusi kewangan dan para peminjam (PKS) dengan kemudahan yang tepat dan maklumat kredit yang boleh dipercayai," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan SME Credit di sini hari ini. Pelancaran itu disempurnakan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Pada majlis itu, Dr. Zeti turut menyaksikan perjanjian memorandum antara Dyn & Bradstreet (M) Sdn. Bhd. yang diwakili Pengerusinya, Kevin Koo dan Persatuan Bank-Bank Malaysia oleh Pengarah Ekskeutifnya, Chuah Mei Lin untuk bekerjasama dengan SME Credit.

Azhar menjelaskan, PKS tempatan mengalami terlalu banyak isu mengenai rekod pencapaian kredit sehingga ia menjejaskan peluang pembiayaan dalam sektor tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kewujudan SME Credit, akan memudahkan kedua-dua pihak mendapatkan maklumat dan pembiayaan kredit.

''Tetapi kami bukan badan penilaian atau pemberi sokongan kepada PKS yang mahu membuat pinjaman sebaliknya hanya menawarkan keperluan nilai tambah dengan objektif membantu mereka membina rekod pencapaian yang baik dan keperluan kewangan," jelasnya.

Menurut beliau, sebagai data bank kredit, SME Credit akan menyeragamkan data daripada sumber yang boleh dipercayai dan menyediakan institusi kewangan serta penilai perdagangan dengan akses masa dan maklumat kredit PKS, sekali gus mempromosikan pinjaman secara bertanggungjawab.

Beliau percaya dengan peranan yang diberikan itu, SME Credit berupaya membantu meningkatkan tahap kepercayaan antara institusi kewangan dengan PKS dengan harapan menambah bilangan pembiayaan PKS.

''Kita berharap dengan cara ini membolehkan institusi kewangan menawarkan lebih banyak produk baru pada kadar faedah yang lebih kompetitif berdasarkan profil kredit PKS," ujarnya.

Petikan dari utusan online...


No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI