Thursday, February 6, 2014

Adaptasi Konsep dan Sikap Berniaga Warga Asing

konsep atau sikap warga asing ketika berniaga sangat berbeza dengan cara peniaga-peniaga tempatan berniaga. Banyak aspek perniagaan yang boleh diguna pakai dan diadaptasi daripada cara warga asing menjalankan perniagaan.
08 MAC 2012 SINAR HARIAN BANTAH WARGA ASING
Menurut Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), sebagaimana yang dilaporkan TV3, 80% penjaja dan peniaga kecil di sekitar kawasan-kawasan tumpuan utama terdiri daripada warga asing.
Sementara itu di pusat beli belah barangan borong terkenal, Nilai 3, Seremban, Free Malaysia Today melaporkan 99 peratus peniaga di Pusat Borong Nilai 3 terdiri daripada warga asing terutama warganegara Pakistan dan Bangladesh.
Bagaimanakah warga asing boleh memonopoli perniagaan-perniagaan kecil di kebanyakan tempat di Malaysia? Apakah beza corak perniagaan mereka dengan rakyat tempatan? Kebanjiran peniaga warganegara asing sepatutnya membimbangkan rakyat tempatan kerana tidak mustahil sedikit masa lagi warganegara asing bakal menguasai pasaran perniagaan kecil-kecilan mahupun perniagaan runcit.
Beza Sikap Orang Tempatan dan Warga Asing Terhadap Perniagaan
Warganegara asing terutamanya Bangladesh, Myanmar dan Indonesia memiliki satu sikap yang disebut sebagai ‘survival skill’ atau kemandirian yang tinggi. Sebagai contoh peniaga-peniaga Bangladesh dan Myanmar yang banyak terdapat di sekitar pasar-pasar borong. Mengejutkan apabila bekalan barang-barang yang di jual mereka hanyalah barang-barang atau bahan makanan yang dikitar semula!
Penulis sempat bersembang kosong dengan beberapa warga asing yang agak lancar berbahasa Melayu. Kata mereka, banyak imigran yang datang ke Malaysia seperti bertemu ‘syurga dunia’. Di mana-mana sahaja di sini, mereka boleh hidup.
Menurut Abdulehi, salah seorang warganegara Bangladesh yang di temui, sampah sarap di Malaysia dan di negaranya juga ada perbezaan ketara. Di sana, sampah adalah benar-benar sampah. Tidak ada yang boleh dikitar semula. Kesempitan hidup menyebabkan rakyatnya memanfaatkan setiap bahan makanan, keperluan harian dan lain-lain sebaik-baiknya dan sehabis boleh.
Tiba di Malaysia, Abdulehi terkejut apabila menemui tepung yang masih belum dibuka (kerana telah tamat tarikh luput), pakaian, kerusi makan, set pinggan mangkuk dan banyak lagi barangan berguna di tempat pembuangan sampah sama ada di kawasan perumahan atau tempat pembuangan sampah awam.
Penulis merasa sedikit tersentak apabila warga asing sendiri mengatakan “sini rakyat senang banyak, malas lagi banyak” atau dalam bahasa yang mudah difahami, rakyat Malaysia hidup senang dan mahu senang tetapi malas.
Perhatikan bagaimana warga asing mencari dan merebut peluang rezeki dengan rakus! Hampir semua jenis perniagaan kecil-kecilan di Malaysia seperti menjual sayur, kuih-muih, barang-barang kitar semula, kad prabayar isian semula (reload) dan banyak lagi mula dikuasai mereka.

Strategi Perniagaan Warga Asing

1. Premis Perniagaan

Strategi mereka ialah menjual di kawasan terbuka dan tumpuan ramai. Tidak perlu premis perniagaan. Bentangkan sahaja kanvas atau karpet yang sudah usang, kotak polistirena, kotak kayu, papan plywood atau sekadar zink terbuang yang sudah berkarat tetapi di cat semula.

2. Bahan atau Barang-barang Jualan

Apa sahaja barang boleh diniagakan termasuklah ikan-ikan yang diasingkan oleh pembekal sebagai ikan ‘busuk’. Tetapi di tangan warga asing, ikan-ikan busuk ini di ubah nama kepada ‘ikan laksa’–ikan yang digunakan untuk membuat kuah laksa.
Ikan-ikan ini diperoleh daripada tempat pengasingan ikan segar dan rosak yang akan diletakkan di satu sudut di pasar borong. Ada juga yang memperoleh ikan-ikan ini dengan mengutip jatuhan ikan di sekitar tapak perniagaan di dalam pasar-pasar basah atau pasar borong.
Peniaga Warga Asing
Sayur dan buah-buahan antara bahan niaga yang paling popular di kalangan warga asing. Bekalan sayur dan buah-buahan merupakan sumber makanan yang paling tinggi permintaan terutamanya daripada peniaga-peniaga mahupun pengusaha restoran.

3. Pembekal

Fakta dan maklumat tentang bekalan bahan jualan yang diperoleh mereka amat mengejutkan. Serta menjijikkan. Tetapi, soal kebersihan ini bukan keutamaan. Kita mahu lihat usaha mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup tanpa meminta-minta mahupun hanya duduk diam.
Di fahamkan kebanyakan bahan jualan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan diperoleh dari tempat pembuangan sampah. Mereka akan memilih, mengasing dan membersihkan sayur-sayur mahupun buah-buahan yang masih elok. Kemudian, sayur-sayur tersebut akan diikat kemas dan ia sedia untuk dijual!
SayurKitarSemula
Manakala buah-buahan yang menjadi pilihan pula seperti tembikai, oren, pisang yang di jenamakan semula sebagai pisang cekodok dan buah-buahan berkulit tebal seperti delima, bali dan lain-lain. Strategi memilih bahan-bahan terbuang ialah dengan memilih sayuran atau buah-buahan yang lambat rosak dan tidak mudah busuk seperti buah-buahan berkulit tebal yang disebutkan tadi.
Ada juga yang memperoleh bahan-bahan tersebut melalui orang tengah iaitu peniaga-peniaga tetap di pasar-pasar basah dan borong. Kebanyakan peniaga-peniaga tetap ini maklum bahawa peniaga-peniaga warganegara asing menjual barang-barang dengan harga yang jauh lebih murah dan pelanggan suka datang kepada mereka. Kesempatan ini diambil mereka dengan menawarkan bekalan dan keuntungan yang dibahagi mengikut persetujuan dan budi bicara kedua-dua pihak.

4. Sikap Terhadap Perniagaan

Sikap warganegara asing yang ‘tidak tahu malu’, degil dan keras hati ketika berniaga boleh di adaptasi kepada sikap berniaga yang positif. Perhatikan peniaga-peniaga kecil warganegara asing di bahu-bahu jalan. Saban hari dihalau, dijerkah dan diberi peringatan oleh badan penguat kuasa Majlis Per/Bandaran untuk tidak menjalankan sebarang bentuk perniagaan di kawasan larangan.
Bukan setakat itu, barang-barang jualan mereka turut di rampas dan disodok kenderaan pembersihan Majlis Bandaran. Dijamin mereka akan kembali semula esok hari. Malah lebih awal daripada jangkaan, petang hari yang sama mereka kembali berniaga!
Mengapakah perkara ini berlaku? Dalam situasi ini, peniaga warganegara asing tidak rugi apa-apa, kerana bahan-bahan jualan yang dirampas diperoleh secara percuma. Bila-bila masa mereka boleh mendapatkannya semula dan teruskan berniaga.
Sebahagian besar warganegara asing yang tinggal di pekan-pekan atau kawasan pinggir bandar menjadikan berniaga bahan-bahan basah sebagai punca utama rezeki mereka. Oleh itu, mereka tidak boleh putus asa dan bersifat lemah apabila punca rezeki mereka diganggu dan dihalang, walaupun hakikatnya mereka melakukan kesalahan.
Mereka terus mencari peluang dan ruang. Jika tidak boleh menjual bahan-bahan makanan, mereka beralih mencari bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti barangan plastik, kayu, kaca dan kadang-kala pakaian dan barang-barang mainan.
Selain itu, warga asing juga saling menyokong perniagaan yang diusahakan oleh rakan senegara mereka. Jika mempunyai pilihan, segala keperluan asas akan dibeli daripada gerai atau kedai yang diusahakan oleh warga asing senegara juga. Antara faktor yang merancakkan sumber ekonomi warga asing dalam bidang perniagaan.

5. Kemahiran Hubungan Sosial atau Skil PR

Peniaga-peniaga warganegara asing ‘mengikat’ pelanggan atau pembeli melalui layanan kelas pertama. Jika barang yang diminta pelanggan tidak dijual mereka, mereka akan bergegas mencari dan mendapatkan barang tersebut daripada peniaga-peniaga lain dan menawarkan harga yang istimewa.
Sungguhpun mereka tidak fasih berbahasa Melayu, bahasa tubuh dan beberapa patah perkataan sudah cukup untuk menjadi medium komunikasi antara mereka dan pembeli. Senyuman juga tidak lekang daripada wajah mereka walaupun berniaga di bawah terik matahari.
Ada yang menawarkan menghantar barang-barang yang dibeli pelanggan sehingga ke kereta. Tidak kira sama ada kenderaan tersebut jauh atau dekat, mereka sedia berkhidmat.

Pilihan Untuk Berjaya

Tanpa perlu menulis perenggan perbandingan sikap mereka dengan peniaga-peniaga tempatan pun anda sudah pasti nampak perbezaannya. Daripada satu sudut, kita tidak menyokong apa-apa perbuatan mereka yang menyalahi undang-undang seperti berniaga di kawasan-kawasan larangan.
Namun, elemen yang ditekankan ialah sikap mereka dalam mencari rezeki terutamanya melalui bidang perniagaan. Dalam pada orang-orang tempatan terutamanya anak-anak muda sibuk membicarakan soal status sosioekonomi, personaliti, maruah dan kaitannya dengan kerjaya atau perniagaan yang dipilih, bangsa asing semakin giat mengumpul aset dan simpanan.
Sebahagian orang tempatan yang sedang sibuk bicara tentang air muka dan lain-lain, masih di takuk lama, masih menganggur dan meminta-minta bantuan menyara hidup daripada ibu bapa, pinjaman MARA, PTPTN dan lain-lain sedang warganegara asing bahagia dan senang hati di tanah air ini.
Satu-satunya perkara yang dirunsingkan mereka ialah pasport atau kad pemastautin. Selain daripada itu, tidak ada yang menyesakkan fikiran mereka. Hidup bebas hutang, simpanan makin bertambah dan semakin banyak peluang perniagaan dikaut mereka.
Pilihan untuk hidup senang tidak ada pada tangan orang lain, tidak pada kerjaya yang bagus, tidak di atas sijil pendidikan mahupun harta yang di warisi. Selain rezeki dan takdir dari Allah, kita sendirilah yang memilih dan menentukan masa depan kita. Bagaimana kita menilai hidup dan menghargai setiap peluang yang ada, itulah cara kita melihat masa depan kita.
Semoga artikel ini memberi impak dan semangat positif dalam diri pembaca semua. Teruskan menyokong ....
Kredit foto: farouqelynikhlasjason_weemin, wazari)
Sumber: majalahniaga.com

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI