Tuesday, February 4, 2014

Bangkitlah wahai usahawan muda

JATUH bangun dalam perniagaan sememangnya lumrah dan asam garam bagi usahawan lama atau baru. Bagi yang kuat akan bangun semula tetapi yang tidak, bagaimana? Bak kata Einstein You never fail until you stop trying atau anda takkan gagal selagi anda terus mencuba. Kata-kata ini harus diselami oleh para usahawan yang terpaksa menempuh onak duri cabaran perniagaan.

Sakit apabila jatuh dan kadangkala sampai terluka tetapi masih boleh diubati. Apabila jatuh dalam perniagaan, apakah ubat yang paling mujarab?

Berita kebakaran kilang saya dua tahun lalu, sebuah kilang minyak kitar semula yang berasaskan tayar terpakai betul-betul merupakan satu turning point dalam perniagaan saya. Kilang ini merupakan antara satu daripada perniagaan saya selain syarikat pembinaan, IT, kilang kaca dan sebagainya ketika itu. Perniagaan dipilih kerana keadaan atau permintaan terhadap hasil produk dan juga menyahut seruan kerajaan supaya usahawan menceburi bidang hiliran di dalam industri kitar semula.

Idea untuk membuka kilang ini dicetuskan oleh dua orang berbangsa Cina yang telah pun menjalankan perniagaan ini dan industri ini merupakan satu industri baharu yang boleh membuat keuntungan lumayan serta tidak memerlukan modal besar, tenaga kerja yang ramai dan bahan mentah digunakan adalah tayar terpakai yang banyak terdapat di Malaysia. Sebagai pengedar tunggal mesin minyak tersebut mereka telah berjanji akan terus memberi sokongan teknikal selama mana diperlukan serta jaminan bahawa bekalan tayar tidak akan terputus. Atas dasar tersebut, saya bersama rakan kongsi membuat keputusan menceburi perniagaan ini dengan modal sendiri sebanyak RM2 juta. Setelah setahun beroperasi, kami telah menambah tiga buah lagi mesin dengan bantuan bank dan telah berjaya menghasilkan sebanyak 280,000 liter sebulan dengan harga RM1,000 seliter. Permintaan pada ketika itu amat memberangsangkan sehingga ada pembeli dari Singapura dan India.

Masalah mula timbul tidak lama selepas itu apabila terdapat sekatan untuk mendapatkan bekalan tayar dan tenaga mahir yang dibekalkan oleh pengedar tunggal telah lari ke kilang lain. Apabila diselidiki, kami dapati terdapat lima buah kilang baru yang telah didirikan dengan modul dan modus operandi yang sama oleh pengedar tunggal ini. Pelbagai langkah telah cuba dilakukan termasuk mengimport tayar dari luar negara dan menggunakan tenaga kerja tempatan. Akibatnya kos tidak lagi kompetitif dan produktiviti telah menurun.

Apa yang ingin saya kongsi dengan semua usahawan di luar sana adalah bukan semua di atas kertas itu boleh menjamin kejayaan. Pengetahuan, kemampuan dan skil amat perlu dalam memastikan perniagaan dapat diteruskan. Kita perlu realistik dalam membuat keputusan untuk memulakan sesuatu perniagaan yang diluar kemampuan kita sendiri.

Kita tak mampu menjadi seperti syarikat milik kerajaan (GLC) atau syarikat multinasional (MNC) yang boleh berulang kali melakukan kesilapan di bawah nama learning curve kerana mereka mempunyai modal yang tinggi dan mampu meneruskannya.

Para usahawan perlu membina kekuatan untuk menganalisis pelan-pelan perniagaan yang diketengahkan kepada mereka. Kemahiran membuat keputusan dalam bidang perniagaan dan apa yang harus ditumpukan adalah kunci untuk mereka lebih fokus kepada bidang-bidang yang akan kekal mampan dalam jangka panjang.

Kelebihan pelabur paling berjaya dan individu ketiga terkaya di dunia iaitu Warren Buffet adalah kerana kemahiran beliau dalam memilih industri apa yang harus beliau melabur.

Kebakaran kilang tersebut menyebabkan saya dan rakan kongsi berhutang dengan bank dan tidak dapat bangkit untuk membina semula perniagaan tersebut akibat kekangan modal, tetapi ia adalah pengajaran amat berguna dalam perniagaan saya yang lain. Saya jatuh dan bangkit semula dengan menceburi bidang yang saya mempunyai kepakaran. Saya mula sedar bahawa pengetahuan dalam sesuatu bidang lebih menjamin kelangsungan untuk mencorak dan merangka perniagaan kita dengan lebih tersusun dan berjaya.

PENULIS adalah usahawan dan Presiden, Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) Malaysia serta Ahli Perbadanan SME Corp. Malaysia
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140203/ek_04/Bangkitlah-wahai-usahawan-muda#ixzz2sKDmVC5q 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI